Friday 23 July 2010

A126968 Liyana LJ01

Semasa saya mengikuti kelas Pengurusan Emosi ini, pada permulaannya emosi adalah suatu fahaman yang mudah difahami. Namun, ketika saya mempelajarinya, ianya adalah sesuatu yang rumit dan kita perlu tahu tentang emosi ini. Saya akan membuat ulasan sepanjang pengetahuan saya tentang mempelajari subjek Pengurusan Emosi. Saya ingin mengulas tentang konsep-konsep yang telah diberikan semasa kuliah iaitu emosi adalah bersifat subjektif bagaimana suatu perasaan itu timbul menyebabkan tercetusnya suatu pemikiran untuk melakukan sesuatu sejurus dengan tindakan selanjutnya. Hal ini, berikut merupakan salah suatu proses apabila emosi menguasai diri seseorang serta merupakan 4 komponen emosi. Perkara baru yang telah saya ketahui adalah emosi tidak sama dengan perasaan malah perasaan adalah salah satu komponen dalam emosi. Apa yang saya tahu ialah emosi boleh dikaitkan dengan pergerakan badan kita contohnya mimik muka. Apabila kita mempamerkan mimik muka ceria, kita akan tersenyum dan ia melibatkan proses emosi bahawa kita sedang gembira. Salah satu perkara baru yang saya pelajari dan baru saya fahami ialah emosi tidak boleh dipisahkan dengan motivasi. Pada permulaannya saya kurang faham tentang situasi tersebut. Rupa-rupanya emosi ini adalah motivasi kepada tingkah laku dan sesuatu motif yang menjurus kepada emosional. Seperkara lagi, tidak semua keadaan emosi menjadi pendorong seperti 'saya mahu makan kerana lapar'; lapar bukanlah situasi emosi. Hal ini menunjukkan bahawa, tidak semua apa yang kita mahukan dalam hati sebagai emosi. Contoh emosi adalah perasaan dendam, cinta, marah, ketakutan dan sebagainya. Perkaitan antara motif yang berunsurkan emosi atau yang sebaliknya adalah seperti emosi adalah suatu perasaan yang lahir dari hati sehingga melibatkan pemikiran dan perubahan yang berlaku akan ditentukan oleh tingkah laku. Sebaliknya, bukan emosi seperti 'saya mahu makan kerana lapar' adalah terdiri daripada sifat fizikal kita yang mengalami perubahan dari segi fizikalnya seperti lapar kerana perut kosong, bukan kerana emosi; kesakitan, kaki saya luka kerana terpijak kaca, juga bukan kerana emosi. Perkaitan antara kedua-dua tersebut mempunyai perbezaan yang ketara. Oleh hal yang demikian, emosi adalah satu sifat semula jadi supaya setiap manusia mempunyai perasaan sendiri untuk menilai kehidupan mereka seharian. Seterusnya, saya didedahkan dengan cara untuk mengukur sesuatu emosi. Melalui cara ini, kita dapat tahu bagaimana untuk menilai emosi seseorang melalui budaya. Budaya yang disebutkan adalah percambahan budaya, perubahan budaya dan permasalahan budaya melalui emosi seseorang dan masyarakat. Melalui pemerhatian saya, saya telah mengenali seorang sahabat yang telah lama saya kenal dan sebelum saya mengenalinya, beliau adalah seorang yang bersih daripada segala kekotoran budaya pada masa kini. Malangnya, kini beliau telah terjebak dengan suatu gejala yang tidak sihat. Ini menampakkan suatu perubahan budaya yang telah berlaku atas dirinya. Setelah saya mendalami masalah beliau dengan lebih mendalam, barulah saya mengetahui apakah punca di sebalik bagaimana beliau boleh terjebak dengan gejala yang tidak sihat ini. Bagi saya ianya berkaitan dengan emosi kesedihan beliau yang sangat tinggi. Salah satu sebab beliau terjebak dengan dadah ialah kurang kasih sayang daripada keluarga. Beliau dipinggirkan malah dipandang serong oleh masyarakat serta tuduhan yang bertubi-tubi. Akhirnya, beliau mengalami tekanan perasaan yang amat tinggi sehingga menyebabkan beliau menyelesaikan masalah dengan mengambil dadah. Kesimpulan yang saya dapat melalui pemerhatian saya ini ialah emosi dalam diri seseorang adalah amat penting. Jika kita dapat menjaga dengan baik sudah tentu emosi berada dalam keadaan yang stabil dan tingkah laku juga akan terpelihara. Oleh itu, saya mempelajari bagaimana 4 komponen emosi tersebut berfungsi. Sekian.

 


No comments:

Post a Comment