Sunday, 6 February 2011

A132153 Tajuk 5 Md Iqbal bin Mohd Noor Teori Aras Adaptasi


                  Assalamualaikum dan salam sejahtera. Minggu ini sudah memasuki minggu kelima saya mencatatkan catatan pembelajaran emosi dan bermakna minggu terakhir saya menulis catatan pembelajaran saya. Terasa seperti sekejap sahaja masa berlalu saban hari. Kuliah Dr.Zamri yang saya ikuti bersama kawan-kawan sungguh memberi banyak ilmu dan pengetahuan yang boleh saya sematkan dalam benak fikiran untuk menghadapi liku-liku kehidupan. Terdapat dua teori telah dibelajari pada minggu ini iaitu teori Aras Adaptasi dan teori Proses Berlawanan Solomon.

                Konsep asas teori aras adaptasi ialah kita bertindak balas terhadap sesuatu rangsangan berdasarkan aras adaptasi semasa kita. Aras adaptasi seseorang tidak tetap dan sama sepanjang masa. Aras adaptasi ini akan berubah mengikut keadaan yang berbeza-beza. Sebagai contoh,kita cuba mendengarkan bunyi –bunyi di sekeliling kita. Jika bunyi itu pada kita berasa tidak kuat dan tidak juga perlahan,maka itu adalah dalam aras adaptasi kita. Manakala, jika kita mendengar bunyi yang kuat dan perlahan ini untuk satu tempoh masa yang agak lama,aras adaptasi kita akan meningkat dan menurun mengikut intensif bunyi yang didengari. Teori aras adaptasi juga menyatakan jika kita gembira dengan apa yang kita ada sekarang seperti mendapat keputusan yang cemerlang,menjadi pelajar yang cemerlang,mendapat kehidupan yang bertaraf tinggi,mendapat pekerjaan yang baik, memiliki badan yang sihat dan sebagainya. Namun,kita tidak akan berterusan gembira dengan apa yang kita ada atau memiliki sekarang, sehingga kita mendapat yang lebih baik dan lebih baik. Aras adaptasi kita sentiasa pada titik neutral,hanya sesuatu yang lebih baik berlaku pada diri kita akan menjadikan kita lebih gembira. Saya teringat kembali ketika saya berada di Tingkatan satu, keluarga saya telah berpindah ke rumah baru di kawasan yang berhampiran lapangan kapal terbang. Saya dan keluarga terpaksa berpindah disitu kerana tempat tersebut lebih dekat dengan tempat kerja ibu saya yang bekerja sebagai seorang guru. Pada mulanya kami berasa agak tidak selesa dengan bunyi kuat kapal terbang yang berterusan dari pagi sampai ke malam. Kebiasaanya, sewaktu cuti saya akan mengambil kesempatan untuk tidur pada waktu pagi selepas solat subuh. Namun demikian, hasrat dan keinginan saya itu tidak kesampaian apabila berpindah di rumah baru akibat terganggu oleh bunyi bising kapal terbang tersebut. Saya berasa amat tertekan dengan bunyi bising tersebut yang membelenggu keluarga kami setiap hari namun menerimanya dengan hati terbuka kerana terdapat kelebihan lain berpindah ke kawasan rumah tersebut yang lebih maju dari tempat tinggal saya sebelum ini. Walaubagaimanapun, lama-kelamaan kami sekeluarga dapat membiasakan diri dengan bunyi kuat kapal terbang tersebut. Hal ini menunjukkan teori adapatasi keluarga saya telah meningkat mengikut bunyi yang didengari.

                   Teori yang seterusnya ialah teori Proses Berlawanan Solomon. Teori proses berlawanan Solomon ialah hasil ubahsuaian daripada teori aras adaptasi. Teori ini dipelopori oleh Richard Solomon pada tahun 1980 untuk menerangkan tingkah laku ketagihan dadah. Oleh itu, teori ini diberi nama teori proses berlawanan Solomon. Teori ini menjelaskan setiap emosi yang dilahirkan akan mengakibatkan terbitnya emosi yang berlawanan. Teori ini juga menjelaskan bahawa emosi adalah "berpasangan". Hal ini kerana apabila satu emosi dialami, "pasangan"nya akan di "tahan" juga. Terdapat dua keadaan dalam teori proses berlawanan Solomon, iaitu keadaan awal ( primary state ) dan keadaan berlawanan ( opponent state ). Situasi ini dapat dijelaskan apabila keadaan awal dihasilkan, kemudian keadaan ini akan mencetuskan keadaan emosi yang berlawanan. Peringkat awal iaitu keadaan awal tidak dapat dipelajari, kerana emosi ini adalah tindak balas automatik. Manakala peringkat berlawanan iaitu emosi yang berlawanan akan bermula selepas emosi dalam keadaan atau peringkat awal bermula. Emosi yang berlawanan ini berterusan lebih lama. Emosi ini akan menjadi semakin kuat jika diulangi manakala emosi dalam keadaan awal menjadi semakin lemah. Contohnya, jika kita takut akan air, tetapi kita dipaksa terjun ke dalam air atau sungai secepat yang mungkin dalam keadaan terpaksa. Pada peringkat awal, kita tidak dapat mengawal perasaan ketakutan kita dan menjadi semakin gementar apabila semakin menghampiri air tersebut. Namun ,perasaan takut ini akan dapat diatasi selepas kita memberanikan diri terjun ke dalam air. Saya mempunyai satu kisah yang dapat diperihalkan berkenaan teori Solomon ini. Dulu saya langsung tidak suka bermain games di komputer. Bagi saya games adalah sesuatu yang membosankan kerana tidak realistik malahan membazir wang ringgit untuk ke cyber cafe. Ketika itu, rumah saya tidak mempunyai computer lagi. Saya lebih suka melakukan aktiviti yang lebih lasak seperti bermain bola, memancing dan mandi sungai berbanding bermain games. Namun demikian, ketika saya memasuki tingkatan enam, emak membelikan sebuah laptop untuk saya dan adik-adik gunakan. Adik-adik saya yang gemar bermain games terus mengambil kesempatan dengan meletakkan pelbagai aplikasi games di dalam laptop tersebut. Pada suatu hari, saya pulang dari sekolah dengan penuh tekanan akibat dimarahi guru. Saya tidak dapat keluar rumah pada hari tersebut untuk melakukan aktiviti yang dapat menghilangkan tekanan kerana hari tersebut hujan begitu lebat. Saya menceritakan tekanan tersebut kepada adik lalu adik mencadangkan saya supaya mencuba bermain games bagi melepaskan tekanan tersebut. Walaupun tidak suka, saya telah cuba bermain games itu dengan adik. Saya berasa sedikit lega apabila mula bermain games tersebut. Pada hari-hari selepas itu sekiranya saya bosan saya akan bermain games di laptop. Lama kelamaan saya amat suka bermain games di laptop malahan mengurangkan aktiviti luar yang saya begitu minat sebelum ini. Disisni saya dapat menghuraikan bahawa kebencian saya terhadap permainan games adalah emosi pada peringkat awal dan kesukaan saya untuk bermain games adalah emosi yang berlawanan.

               Contoh yang lain ialah ketagihan dadah. Ketagihan dadah berlaku kerana ada pasangan emosi keseronokan dan " kesakitan". Emosi keseronokan dialami apabila mendapat dadah untuk memuaskan nafsu mereka. Manakala "kesakitan" dialami apabila berhenti menagih dadah dan tidak mendapat dadah. Pada mulanya, penagih dadah akan mengalami aras keseronokan yang tinggi dan aras " kesakitan" yang rendah. Selepas beberapa lama atau satu tempoh yang lama, apabila aras keseronokan dan dadah yang diambil menurun, aras " kesakitan" kerana tidak mengambil dadah akan meningkat. Akibatnya ,penagih akan terus mengambil dadah walaupun tidak mendapat keseronokan daripadanya.

                Tanpa disedari, masa pembelajaran kuliah pada minggu ini sudah berakhir. Saya berasa belum puas untuk mempelajari kuliah ini.  Catatan pembelajaran pada minggu ini adalah catatan pembelajaran terakhir saya. Saya merasa amat seronok dan gembira sepanjang menulis learning jurnal ini. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih terhadap pensyarah ZZZT 2253 Pengurusan Emosi iaitu Encik Ahmad Zamri Bin Mansor. Beliau telah mengajar saya tentang emosi serta cara untuk menguruskanya. Saya menjadi lebih matang untuk membuat sesuatu yang berkaitan emosi malahan terasa ada perubahan paradigma dalam mengawal pelbagai emosi yang berkejaran dalam diri ini. InsyaAllah, selepas ini saya akan terus menumpukan sepenuh perhatian ketika Dr.Zamri mengajar.

Sekian, Terima kasih.



No comments:

Post a Comment