Saturday, 7 August 2010
A133818 NURSUFIAH LJ03
A130854 Rafidah LJ 03
Assalamualaikum w.b.t... dan Salam Sejahtera….
Kita bertemu lagi didalam jurnal yang seterusnya iaitu jurnal yang ketiga. Pada minggu ini topik yang telah pun dikuliahkan oleh Dr Zamri ialah berkenaan tajuk 'Emosi Positif'. Emosi positif merangkumi perasaan gembira, bahagia juga kasih sayang. Sebenarnya secara literal, kita yang meletakkan 'level' samada emosi itu positif ataupun negatif.
Lumrah bagi kehidupan manusia, semua orang menginginkan kebahagiaan, kedamaian, kemakmuran serta kesempurnaan. Setiap manusia semuanya mempunyai emosi dan emosi yang dikurniakan tidak hanya marah, benci, suka, duka tetapi sebenarnya ada pelbagai emosi yang berada dalam dada manusia. Renungkanlah betapa hebatnya Maha Pencipta, menciptakan pelbagai emosi dalam jasad ini. Emosi yang tidak nampak tapi ianya memberi impak yang begitu hebat dalam kehidupan kita seharian. Terdapat tujuh jenis emosi positif iaitu keinginan, keyakinan, cinta, seks, azam, romantik dan juga harapan.
Kebahagiaan ialah suatu keadaan perasaan aman damai serta gembira. Dengan kata yang lain, kebahagiaan melebihi hanya perasaan kegembiraan. Umumnya, kegembiraan amat berkait dengan sesuatu kejadian atau pencapaian yang khusus, sedangkan kebahagiaan berkait beerti keadaan yang lebih umum seperti kesenangan hidup atau kehidupan berumah tangga. Bagaimanapun, kedua-dua perasaan ini adalah amat berkait dan juga amat subjektif.
Emosi dan perasaan bahagia manusia adalah bersifat fana dan sementara. Kebahagiaan tidak pernah dan tidak akan kekal abadi kerana dalam kenyataan hidup, adalah mustahil sama sekali bagi sesiapa untuk memperoleh dan menikmati apa yang dia hajati dan ingini. Apatah lagi manusia sendiri tidak faham dan tidak tahu hati nuraninya, keinginan, dan hawa nafsunya. Tambahan pula, keinginan dan hawa nafsu manusia sentiasa berubah-ubah, malahan bertentangan sesama diri.
Kupasan tentang kebahagiaan ini mengingatkan saya kepada suatu kisah dimana, sahabat seperjuangan saya yang kesunyiaan dan tidak pasti tentang hubungan cintanya dengan lelaki. Kisahnya bermula ketika dia masih menuntut dibangku sekolah dan dia telah jatuh cinta kepada seorang lelaki yang juga sahabat sekelas. Sudah menjadi fitrah lumrah remaja pada usia begini untuk tertarik pada teman berlainan jantina. Namun dia dibelenggu sejarah hitam keluarga dimana ibubapanya mengalami kemelut rumah tangga yang berakhir dengan penceraian. Bapanya seorang yang tidak bertanggungjawab dan sering menggunakan kekerasan dalam menyelesaiakan masalah. Disebabkan sikap bapanya itu dia sering berpandangan negatif terhadap insan bernama lelaki. Sehingga perkenalan saya dengannya dia masih prejudis terhadap lelaki apatah lagi membina hubungan cinta.
Perasaan cintanya yang pertama adalah pada rakan sekelasnya. Namun ia hanyalah cinta yang terpendam. Rakan lelakinya itu sering cuba untuk mendekatinya akan tetapi dia menjauhkan diri dan menafikan perasaan sendiri. Kesalnya dia tidak dapat merasa alam cinta monyet dibangku sekolah. Bagi saya cinta monyet itu adalah sesuatu yang indah dan melucukan apabila dikenang. Sayangnya bagi mereka-mereka yang tidak pernah merasa alam cinta monyet. Disebabkan sikapnya yang sering menjauhkan diri dari lelaki maka lelaki itu mengundur diri. Sikap penolakannya terhadap lelaki berlarutan sehingga dia melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma. Melihat kawan-kawannya yang bercinta, dia merasakan kekosongan dihatinya. Saat itu seorang jejaka hadir dan menagih kasihnya. Namun disebabkan sikap prejudisnya dia sering menolak dan berkali-kali melukai hati jejaka itu. Selama tiga tahun dia menuntut dikolej itu, jejaka itu tidak jemu bersamanya susah dan senang dia sentiasa disampingnya. Setelah tamat pengajian si jejaka cuba melamar namun ditolak.
Setahun kemudian, dia dipertemukan kembali ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di UKM. Pertemuan kali ini membibitkan perasaan cinta di hati sahabat saya kepada jejaka itu. Saat berpisah dahulu, dia telah sedar betapa dia memerlukan seorang jejaka untuk memberikan kebahagiaan kepadanya. Setelah setahun bercinta saya mendapat undangan perkahwinan mereka yang baru berlangsung pada cuti semesta lepas. Saya berharap agar sahabat saya itu menemui kebahagiaan dalam melayari bahtera rumah tangga mereka.
Sekian, Wassalam,,,,#
A135345 Yuvarani Nair A/P Sukumaran LJ01
Salam sejahtera saya ucapkan kepada Prof Ahmad Zamri Bin Mansor. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Prof kerana sudi meluluskan rayuan saya untuk menyertai kursus Pengurusan Emosi ini. Mengulas kuliah minggu ini yang bertemakan Emosi Positif. Kuliah ini lebih menfokuskan kepada tajuk Happiness ataupun dikenali sebagai kegembiraan. Secara umumnya, kegembiraan didefinasikan sebagai keadaan emosi yang mempercirikan perasaan keseronokan serta kepuasan, dan simbol kegembiraan adalah senyuman. Terdapat perbezaan pandangan mengenai maksud kegembiraan dalam kalangan beberapa ahli falsafah. Misalnya, Aristotle mengatakan bahawa kegembiraan merupakan hasil kejayaan yang diperoleh daripada kepuasan yang dikejar seseorang. Manakala Plato berkata bahawa kegembiraan seseorang berpunca daripada kesucian hidup. Epicurean pula berpendapat bahawa kegembiraan adalah sesuatu yang mempunyai tahap kepuasan yang maksimum serta tahap keperitan yang minimum. Seterusnya, Mills berpandangan bahawa kegembiraan itu merupakan kesesuaian segala tingkah laku seseorang. Setelah memproses setiap pandangan ahli falsafah di atas serta cuba menerapkan ke dalam pengalaman saya, saya bersetuju dengan buah fikiran Epicurean. Di sini saya ingin berkongsi sedikit-sebanyak pengalaman saya yang menyebabkan saya memilih pendapat Epicurean. Apabila keputusan UPU dikeluarkan pada 19 Jun 2010, saya dapati bahawa saya tidak ditawarkan sebarang kursus IPTA. Waktu itu merupakan salah satu waktu yang telah mendatangkan keperitan yang tidak dapat saya huraikan sampai hari ini. Saya menderita setiap kali saya memikirkan masa depan yang seolah-olah telah menjadi gelap dan juga melihat wajah ibubapa saya yang penuh dengan kekecewaan. Pada ketika itu, sememangnya tahap penderitaan saya berada di maksimum. Walau bagaimanapun, sebaik sahaja rayuan saya diluluskan oleh UPU dan saya ditawarkan kursus Biokimia di UKM, segala sengsaraan saya telah bertukar kepada kepuasan. Pada masa itu, saya menyedari bahawa kegembiraan saya bergantung kepada tahap kepuasan dan kesengsaraan saya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa pada ketika itu tahap kepuasan saya berada di maksimum, manakala kesedihan saya minimum dan hanya muncul kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga saya. Kejadian seterusnya yang memihak kepada teori Epicurean adalah seperti berikut. Disebabkan saya merupakan salah seorang siswa pengambilan kedua, saya telah banyak ketinggalan samada dari segi pendedahan mahupun pembelajaran. Sewaktu pendaftaran subjek, saya terpaksa menghadapi pelbagai kesulitan. Hal ini adalah kerana kebanyakan kursus yang ingin saya menyertai telah penuh. Ada kala juga kursus yang ditawarkan juga itu bercanggah dengan subjek lain. Disebabkan kekeliruan ini, saya bersama beberapa rakan saya yang sama nasib dengan saya terpaksa berulang-alih dari pejabat ke pajabat untuk menyelesaikan masalah kami. Pada ketika itu, bukan sahaja saya tetapi rakan-rakan saya juga mengalami pengalaman yang agak memenatkan serta memeritkan. Tetapi, dugaan kami berakhir apabila segala urusan kami telah disiapkan dengan sempurna. Segala usaha kami telahpun dibalas. Di situlah kami dapat menyedari perasaan puas hati. Dan di situlah kami menyedari kewujudan kegembiraan. Keadaan ini telah jelas menunjukkan bahawa kegembiraan hanya wujud apabila kadar kepuasan melebihi keperitan. Selain itu, kuliah minggu ini turut menjelaskan bahawa kegembiraan terdiri daripada kegembiraan jangka masa panjang dan kegembiraan jangka masa pendek. Berdasarkan Additive Model, kegembiraan adalah hasil penambahan jangka masa panjang dan pendek. Terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi kegembiraan seseorang individu, iaitu kesihatan, persahabatan, kerja, rekreasi dan penghayatan agama. Kesimpulannya, pelajaran minggu ini telah membuka mata saya terhadap sesuatu pandangan yang berbeza terhadap perasaan gembire serta membolehkan saya memahami maksud kegembiraan dengan lebih mendalam. |
A132529 Siti Nurliyana LJ03
Assalamualaikum saya ucapkan sekali lagi buat Prof Ahmad Zamri bin Mansor. Kuliah bagi kursus Pengurusan Emosi pada minggu ini menekankan aspek emosi yang memang tidak asing lagi bagi rata-rata manusia. Emosi yang diperkatakan di sini tidak lain dan tidak bukan, emosi positif yang merangkumi kebahagiaan dan kegembiraan. Manusia memang tidak boleh dipisahkan dengan kebahagiaan dan bukanlah melampau jika dikatakan yang kebahagiaan adalah antara sebab atau tujuan bagi seseorang itu untuk hidup. Bagi kita semua, hidup harian kita dipenuhi dengan perlakuan yang mementingkan mengecapi kebahagiaan dalam hidup tidak kira sama ada dalam bentuk pencapaian personal ataupun pencapaian bersama. Apakah kebahagiaan itu sebenarnya? Setelah kuliah minggu ini diadakan, saya bukan sahaja tertanya-tanya, malah saya rasa bingung tentang pengertiannya. Setelah membaca beberapa jurnal, saya dapati kebahagiaan sering dikaitkan dengan kejayaan dan sebagainya tetapi sejauh manakah kaitannya. Menurut pakar psikologi, kebahagiaan boleh dibahagikan kepada 3 jenis; 'hedonic', 'eudaimonic' dan juga 'chaironic'. Untuk menjelaskan maksudnya, kita boleh mengambil situasi harian sebagai contoh. Jika seseorang itu mendapat hadiah hari jadi, dia akan rasa ekstatik dan gembira, namun kegembiraan seumpama ini hanya sementara dan bukan dalam jangka masa panjang. Kebahagiaan ini termasuk dalam kelas 'hedonic' iaitu kebahagiaan yang bersifat agak materialistik. Hedonisme tidak mempunyai ciri-ciri spiritual dalamnya dan ahli-ahli falsafah terkemuka seperti Aristotle dan Aristippus mengatakan ianya membuatkan manusia bertindak mengikut hawa nafsu untuk mendapat kepuasan tanpa mengira aspek kerohanian. Seterusnya kebahagiaan yang dikelaskan dalam 'eudaimonic' berbentuk lebih menyeluruh atau holistik. Ahli-ahli falsafah dan ketua-ketua badan kerohanian amat mementingkan pencarian kebahagiaan yang 'eudaimonic' ini. Antara kebahagiaan yang termasuk dalam kelas ini adalah seperti keupayaan seseorang itu untuk menerima dirinya, hidupnya dan kewujudannya dengan seadanya dan penuh bersyukur. Dalam Latin, eu bermaksud baik dan daimon pula membawa maksud roh atau rohani manakala ic bermaksud secara lumrahnya. Maka perkataan 'eudaimonic' boleh dikatakan bermaksud mempunyai rohani yang baik secara lumrahnya. Jika dipraktikkan dalam kehidupan kita, amalan mengejar kebahagiaan 'eudaimonic' benar-benar mampu membantu kita menjalani hidup yang lebih sihat untuk fizikal dan rohani kerana amalan ini berbentuk sederhana dalam segala perkara dan tidak terlalu ekstrem dalam mengejar kejayaan yang bersifat kebendaan. Akhir sekali, 'chaironic' bersifat lebih melankolik berbanding kebahagiaan lain. Jarang sekali bagi seseorang itu untuk mengecapi tahap 'chaironic' dan hanya seseorang yang optimistik dan yang telah melalui pelbagai kesusahan yang mampu melihat situasi dirinya yang malang sebagai satu anugerah dalam bentuk cubaan. Terdapat banyak kajian yang mengatakan terdapatnya hubungkait di antara tahap kebahagiaan seorang individu itu dengan tahap kejayaan dan juga kesihatannya. Tetapi antara persoalan yang menjadi tanda tanya pakar psikologi dan juga bagi saya juga ialah adakah kebahagiaan dapat dikecapi dengan kejayaan mendapatkan perkara yang kita idamkan. Atau adakah ianya bergantung pada perspektif kita, cara kita memandang sesuatu keadaan itu. Hal ini adalah kerana kebahagiaan adalah sesuatu yang berbentuk sangat subjektif dan tidak boleh diklasifikasikan sebagai benda yang sama bagi setiap orang. Sebagai contoh, seseorang itu mungkin meletakkan kejayaan dalam kerjaya sebagai keutamaannya dalam hidup dan akan berpuas hati apabila dinaikkan pangkat. Namun, seseorang yang berlainan mungkin mengutamakan kejayaan dalam soal cintanya dan berasa bahagia jika berkahwin nanti. Akhir kata, seperti yang dikatakan oleh Aristotle sendiri, "happiness is the pursuit of pleasure". Jika diperhatikan, dia menyebut pursuit iaitu mengejar dan bukannya achievement iaitu mengecapi dalam ayatnya itu. Ini menunjukkan yang kebahagiaan bukanlah perkara yang boleh dikecapi pada setiap masa sebaliknya kita perlu mengejarnya sepanjang hidup kita. Tidak kiralah selama mana kita mengejarnya, kita memang tidak mampu mendapat kebahagiaan yang hakiki. Selagi kita masih bernyawa kita perlu berusaha mendapatkan kebahagiaan tersebut untuk melengkapi hidup kita. Hakikat inilah yang menjadikan manusia itu, manusia.
Bismillahirrahmanirrahim.. Sama seperti minggu yang lalu, hari-hari yang ku lalui, sungguh meletihkan mental dan fizikalku disebabkan oleh jadual ku yang amat padat. Terutamanya di dalam bidang akademik. Kuliah ku terus-terusan dari pagi sehinggalah ke waktu senja. Begitulah rutin ku dari sehari ke sehari. Masa begitu padat sehinggakan untuk melaksanakan solat, aku terpaksa mencuri-curi masa kerana tiada jarak masa dari satu kuliah ke kuliah yang lain. Kerja tugasan, laporan makmal dan kuiz datang bertimpa-timpa. Minggu ini sahaja, ku mempunyai 10 kerja tugasan termasuk tutorial, laporan makmal, mencari bahan untuk perbentangan dan bermacam-macam lagi. Semua itu perlu dihantar pada hari Isnin minggu hadapan. Aku tidak pernah menyangka inilah yang akan dituntut dalam bidang kejuruteraan. Moga Allah mempermudahkan urusan-urusanku. Walaupun kapasiti dalam bidang kejuruteraan ini terlalu dahsyat bagi insan yang kerdil seperti ku, aku amat berharap, aku masih lagi boleh bergerak dalam bidang dakwah. Ya, aku ingin berjaya dengan cemerlang dan gemilang untuk kedua-duanya. Berjaya dalam akademik sebagai seorang jurutera biokimia dan berjaya menyebarkan Islam yang sebenar kepada semua manusia, agar mereka kembali kepada Penciptanya. Itulah kebahagiaan bagi diriku. Kebahagiaan adalah tahap emosi yang dikarektorkan sebagai perasaan suka, nyaman, dan puas. Menurut Epicurean, kebahagiaan adalah dengan memaksimumkan kegembiraan dan meminimumkan kesakitan. Apa yang boleh membuatkan saya gembira? Berjaya menjadi hamba Allah yang yang diredhaiNya, berjaya menjadi isteri mithali, berjaya menjadi anak yang taat, berjaya dengan cemerlang di dalam bidang akademik dan menjadi pekerja yang berdedikasi. Juga, melanjutkan pelajaran di Negara China dan menetap di sana buat sementara waktu. Itu semua adalah impian ku. Berdasarkan apa yang aku pelajari di dalam kuliah minggu ini, aku dapat mengelaskan impian-impianku kepada 2 major kompoen bagi faktor-faktor dalam kebahagiaan. Pertama ialah di dalam masa jangka panjang dan kedua ialah di dalam masa jangka yang pendek. Walaupun itu semua adalah merupakan perkara yang dapat memberikan aku kebahagiaan, namun, bukan semua manusia mempunyai keinginan dan impian yang sama. Sama dengan apa yang dikatakan oleh Veenhoven (1995), di mana pertembungan budaya menunjukkan bahawa erti kebahagiaan adalah berbeza dari satu negara ke negara yang lain. Menurut Diener et al (1995), budaya masyarakat Asia kurang mempunyai rasa bahagia berbanding yang lain. Bagiku, aku tidak setuju. Masyarakat Asia bukan kurang mempunyai rasa bahagia, cuma, masyarakat Asia lebih suka bersederhana dalam segala perkara, termasuklah dalam mengekspresikan emosi diri. Perhubungan kita dengan ibubapa kita semasa kecil adalah perkara yang penting dalam menentukan kesuaian, peraturan dan kebahagiaan di masa akan datang (Freud). Orang yang sudah berkahwin lebih bahagia berbanding orang yang bujang. Ini adalah antara bait-bait kata yang ku pelajari di dalam kuliah pengurusan emosi pada minggu ini. Ya, benar. Di sini ingin ku kongsikan satu lagi kata-kata yang menarik perhatianku di mana ia berkaitan dengan perkahwinan dan perhubungan. Aku begitu bersetuju dengan ayat ini. Moga ia menjadi suatu nasihat bagi pasangan yang inginkan kebahagiaan di dalam perhubungan. Terdapat juga faktor-faktor yang lain menyebabkan seseorang merasa bahagia iaitu seperti mempunyai kesihatan yang baik, dapat menjalinkan persahatan yang kukuh dan di naikkan pangkat. Juga, faktor penghayatan dalam agama. Orang yang beriman dan taat dalam agama, mereka adalah orang yang bahagia dan kurang stress. Hal ini adalah benar kerana mereka yang taat dalam beragama, adalah lebih bersikap positif dan redha terhadap apa sahaja yang menimpa mereka. Semoga aku, keturunanku dan sesiapa sahaja yang bersama-sama denganku, dapat merasai kebahagian di dunia dan di akhirat dan terselamat dari siksa api neraka dan siksa kubur yang dahsyat. Itulah kejayaan yang diimpi-impikan! Kegembiraan adalah sesuatu yang abstrak, amat sukar untuk dijelaskan tetapi terlalu mudah untuk dirasai. Ini kerana setiap orang pasti mempunyai pandangan yang tersendiri apabila menyebut perkataan GEMBIRA. Dalam kelas Pengurusan Emosi pada minggu ini, para pelajar didedahkan dengan satu tajuk yang amat menarik iaitu emosi positif. Apabila kita menyebut berkenaan emosi positif, sudah tentu kita akan mengaitkannya dengan perasaan gembira. Hal ini demikian, kerana emosi gembira paling mudah untuk dikenali berbanding emosi lain. Kadang-kadang dengan wujudnya sedikit kegembiraan, kita akan melupakan sekejap penderitaan atau kesedihan yang kita alami ketika itu. Malah, ketika kita melihat orang di sekeliling kita bergembira kita juga akan turut tersenyum dan merasakan begitu indahnya dunia ciptaan Allah s.w.t ini. Menurut pemahaman saya di dalam kelas, kegembiraan adalah suatu perasaan yang menerangkan tentang keseronokan, kesenangan dan kepuasan. Keadaan ini menunjukkan bahawa apabila seseorang itu berasa gembira, dia akan turut berasa senang hati, ceria, dan dapat merasakan kenikmatan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Takrifan kegembiraan mengikut pandangan Aristotle ialah kegembiraan seseorang terhasil daripada kejayaan memperoleh kesenangan. Pada pandangan Plato pula mengatakan bahawa sumber kegembiraan adalah kehidupan baik. Kehidupan baik yang dapat dijelaskan mengikut pandangan saya ialah apabila kita dapat menjalani kehidupan kita mengikut nilai-nilai yang ditetapkan dan tidak melanggar atau melakukan perkara-perkara yang negatif sehingga boleh menghapuskan kegembiraan yang dicipta. Manakala mengikut Epicurien, kegembiraan akan dapat dirasai apabila seseorang dapat memaksimumkan kesenangan dan meminimumkan rasa sakit. Untuk memperolehinya, sudah pastilah kita perlu sentiasa bertindak secara positif dan mengelakkan perbuatan-perbuatan yang boleh mendatangkan keburukan kepada diri serta menjejaskan emosi kita. Walau pelbagai pendapat telah dicetuskan namun, kegembiraan yang dirasai oleh seseorang itu terletak pada diri sendiri yang merasainya sahaja. Adakalanya, dengan hanya berlaku suatu peristiwa kecil dalam hidup tetapi jika seseorang itu menganggapnya sebagai sesuatu yang istimewa maka orang tersebut boleh menganggap dirinya mencapai suatu kegembiraan yang tidak terhingga. Bagi diri saya sendiri, saat yang paling menggembirakan saya adalah apabila melihat senyuman manis kedua ibu bapa saya apabila mengetahui saya dapat memasuki universiti. Pada ketika itu saya berasa sangat bahagia kerana dapat memberikan kegembiraan kepada kedua ibu bapa saya dan saya berjanji pada diri saya sendiri supaya saya tidak sesekali akan mengecewakan mereka. Terdapat dua komponen dalam menentukan kebahagiaan atau kegembiraan seseorang iaitu Long term affective states dan Short term affective states. Keadaan emosi jangka masa panjang dapat dilihat melalui kestabilan emosi seseorang sejak dari kecil sehingga sekarang. Sebagai contoh, jika kita mempunyai keluarga yang bahagia dan tidak menghadapi konflik maka kehidupan kita juga akan menjadi baik dan emosi kita juga tidak mudah terganggu. Kita juga pasti akan dapat menghadapi situasi yang sukar dalam keadaan yang tenang dan dapat menyelesaikannya secara rasional. Manakala keadaan emosi jangka masa pendek pula berdasarkan sesuatu peristiwa atau situasi yang dialami pada sesuatu masa seperti gagal dalam peperiksaan atau mendapat anugerah cemerlang dalam pembelajaran dan sebagainya. Keadaan-keadaan tersebut akan mempengaruhi emosi kita sama ada menjadi positif atau negatif. Selain itu, terdapat kajian yang mengaitkan kebahagiaan dengan perkahwinan. Kebanyakan individu yang sudah berkahwin akan berasa lebih gembira berbanding individu yang belum berkahwin. Bagi diri saya sendiri, walaupun saya belum merasai alam perkahwinan itu sendiri tetapi saya dapat menbayangkan alam perkahwinan itu adalah sesuatu yang dapat memberikan keseronokan dan kebahagiaan pada diri kerana kita dapat berkongsi apa sahaja dengan pasangan kita dan kita tidak perlu bimbang tentang keselamatan kita kerana ada seseorang yang dapat menjaga dan melindungi kita. Tambahan pula dengan kehadiran anak-anak yang sudah pasti akan menambahkan keceriaan dalam sesebuah perhubungan itu. Di samping itu, terdapat faktor lain yang menyumbang kepada kebahagiaan iaitu seperti kesihatan yang baik, persahabatan, pekerjaan yang boleh menjamin masa depan, dan yang paling utama ialah faktor penghayatan agama. Ini kerana, jika seseorang amat berpegang teguh pada agamanya sudah pasti dia akan senang memperoleh ketenangan dan kedamaian yang akhirnya membawa kepada kebagiaan dalam kehidupan yang dijalaninya. Oleh itu, carilah kebahagiaan dalam kehidupan kita yang singkat ini dan teruskan perjuangan untuk mencipta kejayaan-kejayaan yang sudah pasti akan menjanjikan kebahagiaan yang kekal abadi. Jangan mudah berputus asa dan bersedih apabila menemui kegagalan kerana dengan adanya usaha yang bersungguh-sungguh untuk bangkit kembali dari kegagalan tersebut sudah pasti kegembiraan yang akan kita kecapi kelak. Assalamualaikum dan salam satu Malaysia. Kelas pada hari ini bermula dengan Encik Zamri memberikan kuiz mengenai Plutchik, walaupun dalam keadaan yang kurang bersedia, alhamdulillah saya berjaya juga menjawabnya. Pengkuliahan hari ini sepatutnya adalah bertajuk Teori FKP namun diganti dengan emosi positif. Saya pada mulanya agak terkejut namun apabila sesi pengkuliahan bermula, saya merasakan tajuk ini agak menarik kerana ia adalah berkaitan dengan emosi gembira, bahagia (happiness) dan kasih sayang (love). Pensyarah saya, Encik Zamri memulakan pengkuliahan mengenai tajuk emosi kebahagiaan atau happiness. Hari ini ada kisah menarik yang ingin saya sampaikan kepada pembaca sekalian mengenai emosi positif ini. Happiness ialah emosi yang dicorakkan oleh perasaan seperti kenikmatan, kepuasan dan kegembiraan. Senyum merupakan salah satu simbol menunjukkan seseorang itu sedang bahagia, namun terdapat juga orang yang tidak menunjukkan kebahagiaannya melalui senyuman dan dia hanya simpan kebahagiaannya itu untuk orang sekelilingnya sahaja. Kebanyakan ahli falsafah seperti Aristotle, Plato, Epicurean dan Mills menyatakan bahawa kebahagiaan ini mendatangkan banyak kebaikan kepada diri seseorang. Menurut Aristotle, kebahagiaan adalah apabila seseorang itu mampu mengejar kemewahan dan dia dianggap bahagia apabila mempunyai banyak harta. Mampu menguruskan kehidupan dengan bijak pula dinggap sebagai sudah mengecapi kebahagiaan. Falsafah ini dinyatakan oleh Plato. Manakala bagi Epicurean pula, kebahagiaan dicapai apabila seseorang itu memaksimakan kesenangan dan meminimumkan kesakitan. Namun ia berbeza dengan Mills iaitu dia beranggapan bahawa kebahagiaan adalah bergantung kepada perilaku seseorang. Dia menganggap semua orang mempunyai takrifan sendiri dalam erti kebahagiaan. Ada orang yang sudah bahagia bagi mendapatkan keluarga yang bahagia namun ada juga orang yang bahagia jika mendapat harta yang banyak, inilah yang dikatakan kebahagiaan adalah berbeza mengikut individu. Namun bagi saya, saya merasakan kebahagiaan dapat dikecapi jika kita sudah seimbang dari segi keagamaan kepada Allah dan mampu berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara. Faktor happiness adalah terbahagi kepada dua iaitu jangka masa panjang dan jangka masa pendek. Emosi yang stabil sejak kecil dipanggil kesan emosi jangka panjang. Sebagai contoh, saya mempunyai keluarga yang sangat bahagia dan saya sangat gembira dengan kebahagiaan itu. Emosi jangka pendek pula ialah peristiwa yang berlaku dalam jangka masa terdekat. Sebagai contoh, kakak saya yang baru mengetahui bahawa dia mengandung, dia sangat gembira dan gembira ini adalah dikatakan sebagai emosi jangka pendek. Hal ini kerana emosi itu baru sahaja datang iaitu apabila dia mengetahui bahawa dia mengandung. "Perkahwinan membawa kebahagaian". Ayat yang saya rasakan agak bersesuaian dengan topik emosi positif ini. Hal ini kerana kajian yang dijalankan oleh Veroff et al (1981) menyatakan bahawa perasaan 35% lelaki berkahwin dan 41.5% wanita berkahwin adalah sangat bahagia. Namun berbeza dengan hanya 25.5% lelaki dan 18.5% wanita yang masih bujang yang mengalami kebahagiaan. Hal ini saya lihat terjadi kepada salah seorang daripada rakan saya. Ketika dia masih lagi bujang dan berpasangan dengan teman lelakinya, saya lihat dia sentiasa tidak ceria, mana tidaknya kerana hampir setiap hari mereka bergaduh. Namun alhamdullillah setelah mereka meniti alam perkahwinana saya lihat mereka semakin bahagia dan sudah jarang mendengar dia merungut mengenai pasangannya kepada saya. Inilah yang dikatakan keajaiban apabila sudah berumahtangga. Terdapat juga faktor lain yang menyebabkan kebahagiaan iaitu kesihatan, persahabatan, kerja, rekreasi serta faktor keagamaan. Faktor-faktor inilah yang menentukan kegembiraan dan kebahagiaan seseorang dalam kehidupan seharian mereka. Saya percaya hampir 98% rakyat Malaysia mempunyai agama. Oleh itu, amat bertepatanlah kiranya saya ingin menyatakan bahawa agama dapat membantu kebahagiaan dan kegembiraan seseorang. Hal ini kerana jika kita mempunyai masalah, kita semua akan berdoa kepada tuhan mengikut cara agama masing-masing. Sebagai contoh, saya sebagai orang Islam, akan berdoa kepada Allah jika mempunyai sebarang masalah tidak kiralah masalah mengenai pelajaran, cinta ataupun masalah keluarga, saya akan berdoa kepada Allah. Ini menunjukkan bahawa kebahagiaan dan keagamaan mempunyai perkaitan yang amat rapat. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa semua orang mampu mengecapi kebahagiaan, namun ia bergantung kepada seseorang itu bagaimana cara untuk mencari kebahagiaan yang ingin dikecapinya.
|