Thursday, 10 February 2011

A130117 Normashitah Binti Mohamad Nashir Tajuk 5 Emosi dan Ingatan




Kuliah pada minggu ini berjalan seperti biasa walaupun baru lepas bercuti menyambut Tahun Baru Cina. Rasanya tidak terlewat lagi untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina bagi semua rakyat Malaysia terutama buat yang berbangsa Cina yang meraikannya pada tahun ini. Semoga tahun ini mendapat tuah buat mereka. Namun dalam kemeriahan bercuti ramai juga pelajar di UKM tidak liat untuk pulang awal menghadiri kuliah-kuliah seperti biasa, walaupun semangat bercuti masih lagi bermain di fikiran. Oleh kerana itu kuliah pada minggu ini nampaknya sangat berkaitan dengan emosi para pelajar yang baru pulang dari kampung halaman iaitu Emosi dan Ingatan.


Terdapat dua perkara yang berkaitan dengan emosi yang membuatkan seseorang itu menngingati sesuatu peristiwa dalam hidup mereka. Yang pertama ialah mengenai kandungan emosi dalam maklumat yang ingin kita ingati dan kedua pula pengaruh keadaan emosi kita terhadap pembelajaran dan ingatan kita.


Sepertimana yang kita ketahui emosi itu merupakan perasaan yang lahir mengikut tindak balas yang berlaku di persekitarannya. Emosi juga terdiri daripada pelbagai bentuk samada berbentuk positif atau negatif. Jika diteliti emosi seseorang pada sesuatu perkara akan membantu seseorang mengingati sesuatu peristiwa. Ini kerana dalam beremosi pastinya terdapat maklumat yang ingin diingati melalui kandungan emosi yang terdapat dalam sesuatu peristiwa. Contoh yang terdekat adalah peristiwa Thunami yang berlaku di Banda Acheh pada 13 Mei 2006 suatu ketika dahulu. Peristiwa tersebut berlaku dengan sekelip mata tanpa di sedari penduduk sekitar. Peristiwa ini telah melakarkan pelbagai cerita duka dan membabitkan emosi yang kritikal terutama bagi kanak-kanak.


Selain itu pembelajaran seseorang pada sesuatu peristiwa juga memberi kesan kepada ingatan dan secara tidak langsung ia juga menguatkan ingatan pada peristiwa tersebut. Ini dapat kita lihat di mana ia pasti berlaku pada setiap orang. Contohnya apabila seseorang itu mendapat kegagalan selepas memperoleh kejayaan. Hal ini pastinya perit untuk dihadapi oleh seseorang yang kuat motivasi dirinya. Oleh itu, selepas dia selidiki punca kegagalan pastinya selepas ini dia akan lebih berhati-hati untuk melangkah kehadapan agar tidak terluka lagi. Tambahan pula, kenyataan ini juga berlaku pada diri saya sendiri, dimana pada cuti yang lepas saya telah mengikuti program kembara salah satu persatuan dan saya telah menyertai salah satu permainan tradisional semasa menyertai program kembara tersebut. Permainan itu dinamakan 'Tarik upih'. Di sebabkan tiada yang sanggup untuk menyertai saya sendiri telah tampil kehadapan untuk menyertainya. Saya ditarik oleh rakan yang sama berat badan diantara kami. Sehingga sekarang saya merasa malu mengenangkan peristiwa itu kerana saya telah tercicir semasa rakan menarik saya dengan pelepah kelapa itu. Memang tidak dapat dilupakan kerana pada masa tersebut banyak mata yang melihat aksi tersebut. Keadaan emosi malu saya pada ketika itu membuatkan saya teringat-ingat dan kadang-kadang saya tersenyum sendirian mengenangkannya.


Apabila dikatakan emosi mempengaruhi ingatan, pastinya ia melibatkan otak seseorang. Ini kerana otak manusia adalah pusat system saraf. Oleh itu, otak manusia bertanggungjawab terhadap pengaturan seluruh badan dan pemikiran manusia karena itu terdapat hubungkait antara otak dan pemikiran. Terdapat 3 aspek penting di dalam otak yang membantu daya ingatan seseorang iaitu Amygdala, Cerebellum dan Prefrontal Cortex ataupun dengan ringkasannya ACP.


 Fungsi ketiga-tiga struktur ini membantu dalam proses daya ingatan seseorang. Tanpa salah satu daripada struktur tersebut daya ingatan seseorang akan lemah.

ü  Amygdala berperanan dalam memproses ingatan dan sebahagian daripada sistem limbik yang mengawal emosi dan tingkah laku.

ü  Cerebellum pula berfungsi sebagai sesuatu yang mengawal pergerakan otot manusia apabila melakukan sesuatu pekerjaan.

ü  Prefrontal cortex pula merancang tingkah laku kognitif, personaliti dan tingkah laku sosial individu tersebut.


Kerosakan salah satu daripada ketiga-tiga struktur tersebut akan menyebabkan masalah pada emosi seseorang, kekeliruan identiti dan perubahan perangai. Ini dapat dibuktikan seperti yang telah terjadi pada Phineas Gage. Seorang pekerja stesen kereta api yang telah memghadapi kecelakaan akibat tercucuk satu batang besi tajam dari pipi ke kepalanya yang menyebabkan terdapat sedikit kerosakan pada otaknya. Kisah ini berlaku pada tahun 1848 yang telah membuka mata kebanyakan pakar otak mengenai fungsi frontal lobe yang sebelum ini dianggap tidak penting untuk kehidupan manusia.


Gage yang berusia 26 tahun mempunyai ciri fizikal yang hebat, seorang yang cerdik, pantas membuat keputusan, punyai personaliti yang menarik dan disenangi ramai. Kejadian malang yang menimpa Gage berlaku ketika beliau sedang memasukkan bahan peledak kedalam lubang semasa hendak menyiapkan landasan kereta api. Tanpa disedari, bahan peledak itu meletup dan batang besi telah menembusi pipi kirinya serta bahagian atas kepalanya. Walaupun mengalami kecederaan yang teruk, bahagian depan otaknya yang hilang (frontal lobe) Gage tidak sedikitpun mengubah keupayaannya untuk bercakap, bergerak dan berjalan. Beliau kemudiannya dibawa ke hotel yang berdekatan dan dirawat oleh Dr William.


Walaupun dia masih boleh berjalan, boleh bercakap dan boleh melakukan kerja seperti orang normal selepas kemalangan tersebut, namun terdapat masalah pada tingkah laku dan emosinya semasa tempoh penyembuhannya. Sikap Gage semakin hari semakin menunjukkan perubahan yang kurang menyenangkan. Kadang kala ia berkelakuan seperti anak kecil dan kadang kala marah pada seseorang tanpa sebab yang tertentu. Gage sudah kehilangan sifat-sifat positif yang ada pada dirinya malah lebih bersifat negative selepas kemalangan tersebut. Hal ini membuktikan bahawa komponen-komponen di dalam otak seperti ACP menyumbang besar dalam mempengaruhi tingkahlaku dan emosi seseorang.


Selain itu juga, faktor jantina dan umur amat berkait rapat dengan emosi dan ingatan. Kajian telah menunjukkan bahawa kaum Hawa lebih mudah untuk mengingati sesuatu peristiwa berbanding kaum Adam. Ini dapat kita lihat dimana tidak ramai lelaki mengingati tarikh penting orang disekelilingnya berbanding wanita. Ini kerana wanita lebih sensitif dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Namun tidak dinafikan terdapat juga segelintir wanita tidak cenderung bersifat demikian kerana manusia itu dicipta dengan memiliki kelebihan dan kekurangan tersendiri. Namun hakikatnya wanita lebih beremosi dan dengan emosi tersebut akan membantu seseorang mengingati sesuatu peristiwa yang berlaku. Sepertimana orang lelaki tidak berasa malu sekiranya dia berpakaian kurang kemas dan agak berbau badannya. Namun bagi wanita mereka pastinya akan sentiasa teliti dalam penampilan bagi memenuhi kepuasan diri dan tindakan tersebut juga bagi mengelakkan perasaan malu apabila berhadapan dengan orang di sekelilingnya. Oleh kerana itu sering kali kita melihat kaum Hawa pasti akan kerap ke bilik air setiap kali berada di sesuatu tempat. 


Sehubungan itu, faktor usia juga berperanan dalam proses ingatan seseorang. Ini kerana Semakin kita berusia, kecenderungan untuk membiarkan kenangan yang tidak menyenangkan hilang lebih cepat dari yang menyenangkan semakin kuat. Ini mungkin kerana kemampuan orang tua untuk mengawal emosi mereka lebih berkesan daripada orang yang lebih muda, dengan mempertahankan perasaan positif dan menurunkan perasaan negatif.


Kesimpulan yang saya dapat dari tajuk ini, ingatan seseorang sangat berkait rapat dengan emosi yang dihadapi. Emosi pula bergantung dengan beberapa factor seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. Sehubungan itu, sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran bersamalah kita memelihara emosi dan tingkah laku kita agar tidak tersasar dari kehidupan yang sebenar. Jadikanlah pengalaman lalu sebagai pengajaran untuk masa hadapan. Janganlah kita bersikap dendam pada orang yang telah menyakiti hati kita. Bak kata orang dulu-dulu 'buang yang keruh ambil yang jernih'.

Sekian.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

   

     

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

   

     

 

 

 

 

 

 

 

 

 

   

     

 

 


No comments:

Post a Comment