Friday, 28 January 2011

A130117 Normashitah Tajuk 4 Teori Perubahan Emosi


Salam Ukhwah dan salam 1Malaysia…


Pada kuliah minggu ini kami telah mempelajari dua teori dalam perubahan emosi seseorang iaitu teori asas adaptasi dan teori proses berlawanan. Pada awalnya persepsi diri mengatakan teori itu sesuatu yang sukar difahami. Namun setelah diterangkan oleh Dr. Zamri, Alhamdulillah saya mendapat kefahaman mengenainya. Sebelum kuliah dimulakan Dr. Zamri meminta kepada kami agar melangsaikan hutang yang tidak berbayar. Hutang itu bukanlah berbentuk wang ringgit, tetapi hutang tugasan yang telah berikan Dr. Zamri pada tutorial minggu lepas. Iaitu berkaitan dengan tugasan emosi negatif.


Secara asasnya, ransangan seseorang terhadap tindakbalas yang diterima adalah berdasarkan aras adaptasi semasa seseorang. Menurut kefahaman saya aras adaptasi adalah tahap emosi seseorang berdasarkan situasi disekelilingnya. Contohnya yang boleh saya aplikasikan adalah apabila seseorang yang tidak pernah mengulangkaji pelajaran dalam suasana yang bising atau sambil mendengar radio pasti ia akan marah pada sesiapa yang buat bising kerana telah mengganggunya untuk focus kepada pelajaran yang hendak di ulangkaji, tambahan pula apabila hampir-hampir menjelang peperiksaan. Pastinya akan menimbulkan kemarahan yang bersangatan.


Berbeza pula dengan situasi bagi seseorang yang tidak boleh mengulangkaji pelajaran tanpa mendengar radio. Baginya radio atau lagu yang didengarinya dapat membangkitkan ilham serta dia tidak akan berasa bosan semasa mengulangkaji pelajaran. Dengan kata mudahnya belajar secara santai. Sudah banyak kita lihat budaya dikalangan pemuda pemudi hari ini yang sering kali memakai headphone dalam kehidupan sehariannya. Tidak kira dimana sahaja pasti kita akan melihat budaya sebegini. Sering kali saya melihat senario ini ketika saya pulang ke kampung dengan menaiki Kereta Api Tanah Melayu (KTM). Malah budaya ini tidak mengenal jantina, bangsa dan agama. Memang tidak salah budaya ini diamalkan, kerana jika ia membawa kebaikan kepada seseorang itu apa salahnya dia membudayakan perbuatan itu.


Saya juga mempunyai sahabat yang suka mendengar lagu serta mempelajari sesuatu dengan mendengar berulangkali. Sepertimana kita mendengar lagu-lagu dalam bahasa Inggeris pastinya kita akan fasih dalam menyebut setiap perkataan Inggeris dengan yakin apabila berhadapan dengan orang ramai. Secara tidak langsung ia akan menambah pengetahuan dan minat kita pada bahasa Inggeris terutamanya. Namun dalam setiap kebaikan yang ada pasti terselit juga keburukan atau kesan pada masa akan datang. Seperti pepatah Melayu ada menyebut dalam setandan pisang pasti ada busuknya. Saya membuat perumpamaan ini kerana saya ada terbaca beberapa article tentang kesihatan telinga yang mengatakan bahawa jika seseorang itu kerap kali menggunakan headphone pasti gegendang telinganya akan rosak akibat frekuansi bunyi yang terlalu dekat dengan telinga. Begitu juga keadaannya jika seseorang itu kerap kali menelifon dengan menggunakan telifon bimbit dalam kehidupan seharian akibat dari radiasi dari telifon tersebut. Begitu hebat teknologi hari ini.


Teori yang kedua yang telah dipelajari adalah Teori Proses Berlawanan Solomon. Teori ini merupakan hasil ubahsuaian teori asas adaptasi yang telah diterangkan sebelum ini. Teori ini telah dipelopori oleh Richard Solomon pada tahun 1980 untuk menerangkan tingkahlaku ketagihan dadah. Menurut teori ini setiap emosi yang dilahirkan akan mengakibatkan terbitnya emosi yang berlawanan. Ini kerana setiap emosi itu berpasangan. Jika satu emosi dialami oleh seseorang pasti pasangan emosi yang satu lagi akan terpendam. Seperti mana yang menurut Dr. Zamri di dalam kuliah sebelum ini angkasawan Negara iaitu Dr. Sheikh Muszaphar adalah seorang yang takutkan ketinggian. Namun beliau telah menghilangkan perasaan takut dan menzahirkan keberanian dalam dirinya yang hasilnya telah membawa kejayaan bukan sahaja pada diri beliau malah membawa kejayaan pada Negara. Bak kata pepatan melayu, tak kenal maka tak cinta.


Menurut teori ini, emosi seseorang akan berada dalam dua peringkat atau lebih mudah dikatakan ia berpasanagn. Pada peringkat awal, emosi seseorang terhadap sesuatu yang terjadi disekelilingnya adalah lahir secara automatic. Contohnya seperti seorang perempuan yang tidak suka untuk bersukan kerana ia sangat memenatkan. Dalam keadaan emosi yang tidak sukakan sukan, dalam dirinya juga terdapat satu lagi emosi yang terpendam iaitu ingin bersukan kerana berat badan yang semakin meningkat. Namun setelah diajak oleh teman untuk mencuba sesuatu yang baru tambahan pula hasilnya lumayan seperti hilang berat badan pastinya ia akan berubah menjadi semakin suka untuk bersukan. Seperti mana menurut teori ini emosi yang terpendam sifatnya akan beterusan dan menjadi semakin kuat jika diulang beberapa kali dan emosi dalam keadaan awal tadi akan menjadi semakin lemah. Seperti kata-kata semangat yang sering kita dengar practice make perfect!


Teringat saya pada sinetron Ketika Cinta Bertasbih Special Ramadhan. Pada episode awal sinetron tersebut yang mengisahkan seorang remaja yang telah  ditangkap menagih dadah atau bahasa Indonesianya pencadu nakoba. Dia telah dibawa oleh kedua orang tuanya ke pesantren dalam keadaan terpaksa dan tidak suka dengan tarbiyyah dan didikan yang dibawa persentren itu. Akhirnya remaja itu telah berubah menjadi seorang muslimah yang baik. Sehinggakan ibunya sendiri tidak percaya dengan perubahan yang dilalui anaknya itu. Menurut kisah ini, saya melihat remaja tersebut yang diberi nama Aprilia, sebenarnya budak yang baik dan pandai dalam akademik. Ini kerana semasa dia belajar di pesantren itu dia merupakan antara pelajar yang bijak dalam menjawab persoalan-persoalan yang sukar dijawab oleh pelajar lain. Aprilia menjadi sebegitu adalah disebabkan kelalaian kedua orang tuanya terhadap dirinya. Hakikatnya dalam diri Aprilia sebelum itu adalah mahu berubah namun dia tidak berdaya kerana telah terjebak dengan ketagihan dadah. Dengan jiwa yang kuat akhirnya dia telah berubah dan kembali pulih seperti remaja sebaya dengannya. Namun peristiwa hitam dalam hidupnya telah dijadikan pengajaran buat diri Aprilia sendiri kerana dia kini amat menyayangi orang disekelilingnya.


Babak dalam sinetron ini dilihat sama seperti teori yang kedua iaitu teori Solomon. Ini kerana beliau menghasilkan teori ini adalah berdasarkan perubahan emosi yang mendadak oleh penagih dadah. Di mana menurut Solomon ketagihan dadah adalah dipengaruhi oleh du emosi iaitu keseronokan dan kesakitan. Pada peringkat permulaan penagih akan merasa seronok yang bersangatan dan merasa kesakitan yang amat kurang. Namun apabila ia telah mengambilnya dengan kerap ia akan merasa sakit yang bersangatan sehinggakan sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan najis dadah tersebut untuk kepuasan yang sementara.


Kesimpulannya terdapat kebenaran juga pada kedua-dua teori ini. Namun ia bergantung kepada seseorang untuk mengawal emosi yang dihadapi. Ini kerana setiap permasalahan  yang kita hadapi pasti ada penyelesaian di penghujungnya. Setiap suasana yang kita tidak sukainya seperti tidak suka suasana bising haruslah kita pelajari untuk berada dalam suasana itu. Ini perlu agar emosi kita berada dalam keadaan yang stabil dan juga bagi mengelakkan kita mengeluarkan kata-kata yang kurang menyenangkan kepada orang lain. 


No comments:

Post a Comment