Friday, 1 October 2010

A130188 RASHIDAH LJ10

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia. Masa berlalu dengan begitu pantas sehinggakan saya tidak sedar bahawa ini merupakan jurnal terakhir yang akan dinilai oleh Encik Zamri. Pengkuliahan kami pada hari ini adalah mengenai kebijaksanaan emosi (EI). Apabila tajuk ini dipaparkan, saya mula menyoal pada diri sendiri, apa itu kebijaksanaan emosi? Menurut Encik Zamri, kebijaksanaan emosi adalah bagaimana seseorang itu menguruskan emosinya sehinggakan emosi tersebut mampu mempengaruhi emosi orang lain. (Totterdell, 2000)

Pada setiap minggu, pasti ada perkara berbeza yang dilakukan oleh Encik Zamri untuk menarik perhatian kami untuk memberikan perhatian dalam kelas dan memahami lagi konsep yang ingin diajar oleh beliau. Pada minggu ini, beliau telah menyuruh kami untuk meneka riak emosi pada wajah yang beliau paparkan. Terdapat 7 emosi yang ditunjukkan iaitu marah, contempt, terkejut, gembira, sedih, takut, dan jijik. Walaupun riak wajah yang ditunjukkan hampir sama namun saya berjaya juga menekanya dengan betul berdasarkan keterangan mimik muka yang dinyatakan. Saya merasakan pengalaman ini agak menarik kerana kami akan lebih memahami tajuk pembelajaran kami pada hari pengkuliahan tersebut.

Berbalik kepada tajuk pengkuliahan kami pada hari ini, terdapat empat model teori dibawah tajuk kebijaksanaan emosi ini iaitu Ability-Based Model, The Emotional Competencies (Goleman) Model, The Bar-On Model of Emotional-Social Intelligent (ESI) dan The Trait EI Model.  Namun dalam jurnal ini, saya akan memfokuskan kepada tajuk Ability-Based Model. Dalam Ability-Based Model, ia mencadangkan mengenai individu berbeza dari segi kemampuan memproses maklumat tentang tabii emosi manusia. Ia juga berkaitan dengan kemampuan individu untuk menghubungkan pemprosesan emosi kepada kognisi yang lebih luas. Kemampuan ini dapat dilihat dalam tingkahlaku penyesuaian. Sebagai contoh, saya terpaksa menyesuaikan diri apabila pertama kali datang ke Universiti Kebangsaan Malaysia. Hal ini kerana terdapatnya perbezaan loghat dan jauh dari tempat tinggal saya menyebabkan saya terpaksa menyesuaikan diri dengan sebaiknya.

Terdapat empat jenis kemampuan dalam Ability Based Model ini iaitu perceiving emotion (mengenalpasti emosi), sebagai contoh apabila saya dimarahi oleh ayah saya kerana melakukan kesalahan, saya dapati emosi saya pada ketika itu adalah emosi sedih dan kecewa. Kedua ialah using emotion ( menggunakan emosi). Ia adalah berkaitan dengan bagaimana mengunakan emosi untuk berfikir dan menyelesaikan masalah. Sebagai contoh, saya telah menolong rakan saya iaitu Alia yang menghadapi masalah kewangan dengan memberi nasihat kepadanya untuk memohon zakat daripada Pusat Kebajikan Pelajar UKM. Seterusnya ialah understanding emotion (memahami emosi) yang merujuk kepada keupayaan kita untuk mengenalpasti dan menilai bagaimana emosi boleh berkembang secara tiba-tiba. Sebagai contoh, rakan saya, Wani tiba-tiba marah apabila menjawab panggilan telefon sedangkan sebelum itu dia beremosi baik. Apabila saya memahami emosinya iaitu mungkin dia mempunyai masalah setelah menjawab panggilan telefon maka saya tidaklah terlalu berkecil hati. Terakhir adalah managing emotion ( mengurus emosi). Managing emotion adalah keupayaan untuk mengawal emosi ketika itu tidak kiralah emosi kita sendiri ataupun membantu mengawal emosi oramg lain. Sebagai contoh, apabila saya dikejar oleh monyet, saya cuba untuk menguruskan emosi saya supaya tidak terlalu takut dan tidak menangis.

Terdapat juga fakta mengenai alexithymia iaitu gejala kekosongan emosi. Gejala jenis ini adalah berkaitan dengan individu yang tidak mengetahui apakah perasaan atau emosi yang sedang dialami oleh meraka. Mereka tidak dapat menyatakan secara terbuka apakah emosi yang sedang mereka alami. Mereka juga merasakan bahawa meraka tiada perasaan marah, suka dan sedih serta mereka juga jarang menangis. Encik Zamri ada mengaitkan gejala kekosongan emosi ini dengan cerita "Rain Man". Walaupun saya tidak berkesempatan lagi untuk menonton cerita tersebut namun berdasarkan cerita yang disampaikan oleh Encik Zamri ini saya mendapati bahawa gejala ini lebih kepada seseorang individu yang mempunyai penyakit seperti autism. Kita sebagai individu normal selalu memandang serong terhadap golongan seperti ini, namun kita tidak mengetahui bahawa sebenarnya mereka juga mempunyai keistimewaan iaitu seperti pandai melukis dan ada juga yang bijak dalam pengiraan.

Kesimpulannya, setiap individu harus bijak dalam mengenalpasti, menggunakan, memahami dan menguruskan emosi. Hal ini kerana melalui pengawalan emosi yang baik, ini dapat menunjukkan kebijaksanaan seseorang individu. Seterusnya, kepada pembaca jurnal ini jangan lupa menonton cerita Rain Man yang dicadangkan oleh Encik Zamri iaitu dilakonkan oleh Tom Cruise, Dustin Hoffman dan Valeria Golino. Selamat menonton.#END


No comments:

Post a Comment