Saturday, 4 September 2010

A132516 ctzara LJ07

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pensyarah Pengurusan Emosi, Ahmad Zamri Bin Mansor. Pada 1 september 2010, sekali lagi saya ke kuliah buat kali ke-8. Namun, saya datang agak lewat 20 minit kerana sebelum kuliah saya ada program memasak secara gotong-royong untuk majlis berbuka puasa kelab. Di sini saya ingin memonhon maaf kerana telah terlambat datang ke kelas. Semasa saya masuk ke kelas satu video telah di pasang dan saya terlepas untuk melihat video tersebut.
    Pada kuliah kali ini membincangkan tajuk ke-7 iaitu 'Emosi dan Ingatan'. Emosi dan ingatan terbahagi kepada dua iaitu kandungan emosi dan kadar emosi (mood). Melalui kesan kandungan emosi iaitu emosi yang gembira akan sentiasa hadir dalam ingatan jika dibandingkan dengan emosi yang tidak gembira. Kadar emosi (mood) pula memberi kesan emosi keselarasan dan emosi ketergantungan. Emosi keselarasan ialah kita akan ingat suatu peristiwa yang baru berlaku berdasarkan emosi kita pada ketika itu. Manakala, emosi ketergantungan pula ialah apabila kita mengingat fakta dengan disertai emosi akan lebih mudah ingat berbanding menghafal tanpa di sertai emosi.
    Bahagian otak yang paling kuat menyimpan emosi ialah amygdala. Amygdala adalah kunci dalam memproses emosi ingatan. Selain itu, bahagian otak yang turut bertindak dalam emosi ingatan ialah prefrontal cortex dan cerebellum. Emosi dan perhatian adalah suatu fenomena yang berkaitan. Emosi bertindak ke atas ingatan dalam setiap sudut kitaran memori iaitu encoding, consolidation dan retrieval. Selain itu, emosi juga bertindak dalam memori dengan pelbagai cara termasuklah dalam penghasilan hormon tekanan (stress) yang digunakan untuk menggerakkan keupayaan memori dan melibatkan beberapa bahagian otak.
    semasa di dalam kuliah, pensyarah kami ada menunjukkan dua buah video yang ada kaitan dengan tajuk ini. Video yang pertama menunjukkan perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam menguruskan diri, emosi dan ingatan. Antara yang saya dapat dalam video ini adalah seseorang perempuan dapat menguruskan hal dalam satu masa dan jika dibandingkan lelaki hanya tahu buat satu perkara dalam satu-satu masa. Manakala video kedua pula adalah video klip lagu Superman. Ape yang saya peroleh dalam video ini ialah seorang lelaki juga boleh menangis tetapi kebanyakan lelaki selalu suka kawal macho.
    Kesimpulannya, suatu emosi yang hadir dalam diri seseorang adalah kurniaan yang tidak terhingga daripada Yang Maha Kurnia. Emosi ini merupakan suatu lumrah hidup. Tanpa emosi yang disertai dalam sesuatu perkara memang amat payah untuk diingati. Oleh itu, sertailah emosi yang gembira ketika melakukan sesuatu perkara agar perkara itu akan menjadi kenangan yang manis.
Sekian, wassalam.

A133756 AMANINA LJ07

Salam sejahtera. Pada minggu ini,saya telah didedahkan dengan tajuk Emosi dan Ingatan. Apa yang dapat saya simpulkan ialah emosi yang gembira lebih diingati berbanding emosi yang kurang menggembirakan. Sebagai contoh, fitrah manusia itu jikalau diberi pilihan pasti ingin hidup bahagia tanpa merasai derita. Jadi,ini secara tidak langsung membuatkan kita akan lebih mengingati perkara yang menggembirakan berbanding yang mendukacitakan. Saya paling gemar mengingati kembali emosi yang berkaitan perkara yang gmenggembirakan di sekolah pada suatu ketika dahulu. Hidup di asrama sebenarnya agak mencabar bagi seseorang yang dimanjakan, tidak terkecuali diri saya. Pelbagai pahit manis dirasakan ketika itu tetapi setelah saya menamatkan zaman persekolahan, itu semua menjadi satu memori yang gembira pada diri saya. Seterusnya, ingatan pada sesuatu peristiwa juga mampu bergantung pada keadaan emosi ketika itu. Contohnya, perkara yang menyedihkan berlaku ketika kita mengalami perasaan yang negatif seperti sedih,tertekan,marah dan sebagainya akan lebih diingati kerana perkara tersebut berlaku seiring dengan keadaan emosi. Keadaan ini pernah dialami oleh saya dan kawan-kawan saya. Kami ketika itu sedang sibuk membuat persediaan untuk menghadapi Percubaan Sijil Pelajaran Malaysia. Perasaan ketika itu sangat berbaur malah lebih menjurus ke arah tertekan. Setelah selesai menjawab kertas peperiksaan pada hari pertama minggu peperiksaan, kami mendapat berita cikgu kesayangan kami telah meninggal dunia kerana cuba menyelamatkan pelajarnya yang lemas. Cikgu tersebut merupakan guru pengiring bagi lawatan sambil belajar pelajar-pelajar Tingkatan 4 yang sibuk menyiapkan projek mega sains mereka. Ini menyebabkan kami semua pelajar Tingkatan 5 berasa sangat sedih dan tidak bersemangat. Peristiwa itu sangat memberikan kesan yang mendalam dan diingati oleh kami semua. Selain itu,ingatan pada sesuatu peristiwa bergantung pada umur dan juga perbezaan jantina. Perempuan dikatakan lebih mengingati peristiwa yang berkaitan dengan emosi berbanding lelaki. Sebagai contoh, seseorang isteri lebih senang untuk mengingati ulang tahun perkahwinan berbanding suami kerana bagi seseorang perempuan, hari perkahwinan merupakan suatu hari yang tidak dapat dilupakan oleh dirinya kerana itu merupakan hari yang menggembirakan buat dirinya. Ibu bapa pula kalau dilihat lebih senang untuk mengingati peristiwa yang menggembirakan berbanding anak-anak yang lebih cenderung mengingati peristiwa yang membabitkan emosi negatif. Ini kerana, orang yang lebih tua dan berpengalaman mempunyai kemampuan untuk meningkatkan emosi positif berbanding emosi negatif. Sebab itu jikalau dilihat anak muda lebih mudah naik marah berbanding orang dewasa.Masakan tidak peribahasa darah muda mampu wujud dalam peribahasa melayu. Contohnya,makcik saya yang telah bercerai dengan suaminya. Anak-anaknya berasa sangat sedih dan tidak mampu melupakan peristiwa tersebut malah cenderung mengingati peristiwa yang kurang menggembirakan berlaku dalam keluarga mereka tetapi berbeza dengan makcik saya yang sentiasa tersenyum dan lebih cenderung mengingati perkara yang membahagiakan keluarga mereka suatu ketika dahulu.

Friday, 3 September 2010

A134730 Farzana LJ07

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada minggu ini satu tajuk baru telah diajar dalam sesi kuliah kursus Pengurusan Emosi iaitu emosi, ingatan dan pembelajaran. Persoalan yang timbul ialah. Adakah emosi membantu mengingat sesuatu? Tidak dinafikan bahawa emosi merupakan salah satu elemen penting bagi sesetengah individu untuk mengigati sesuatu perkara. Emosi secara lazimnya memberi kesan yang mendalam sekiranya peristiwa tersebut beremosi berbanding dengan peristiwa yang bersifat neutral.

Kesan emosi boleh dibahagikan kepada dua komponen iaitu emosi kesepadanan dan juga emosi kebergantungan. Emosi kesepadanan ialah apabila kita menyaksikan ataupun mengalami sesuatu perkara yang sepadan dengan emosi kita pada masa itu. Sebagai contoh, seorang individu melihat peristiwa kemalangan yang teruk dan mengakibatkan kematian. Emosi seseorang biasanya akan menjadi sedih. Jika pada masa yang sma individu tersebut sedia kala berasa sedih, keadaan emosi ini dikenali sebagai emosi kesepadanan. Emosi kebergantungan pula merujuk kepada bahawa mengingati fakta adalah mudah apabila emosi pada masa tersebut betul-betul ingin memahami perkara tersebut.

Terdapa tiga bahagian otak yang berkait rapat dengan emosi ingatan.  Bahagian amygdala berfungsi untuk menilai dan juga mengira emosi sesuatu peristiwa. Bahagian amygdale selalunya dikaitkan dengan pengalaman yang negatif. Bahagian seterusnya ialah cerebellum. Bahagian ini berkait rapat dengan koordinasi, juga terlibat dalam proses merangsang emosi dengan lebih kuat dan juga perasaan takut yang berpanjangan. Bagi bahagian prefrontal cortex, bahagian ini dipengaruhi oleh kombinasi mood dan juga kognitif.

Terdapat perbezaan dari segi jantina dan juga usia dalam emosi ingatan. Wanita adalah lebih baik dalam mengingati memori yang beremosi. Wanita juga dikatakan lebih terpengaruh dengan sebarang peristiwa yang beremosi. Semakin usia meningkat, ingatan terhadap sesuatu memori akan menjadi semakin lemah. Terdapat beberapa dapatan mengatakan bahawa bagi individu yang berusia, bahagian amygdala aktif dengan seimbang di antara imej positif mahupun negatif. Bagi individu yang muda pula, amygdale lebih aktif kepada imej yang negatif. Emosi dan juga prhatian berkait rapat dengan fenomena. Emosi berfungsi ke atas memori dalam pelbagai cara termasuklah menghasilkan hormon tekanan, kapasiti memori yang digunakan untuk bekerja, dan juga penglibatan bahagian otak yang tertentu.

Oleh yang demikian, ingatan seseorang dapat dipengaruhi oleh beberapa aspek dan juga terdapat beberapa bahagian otak yang mengawal emosi ini. Sekian, terima kasih.

 



A130854 Rafidah LJ 07

Assalamualaikum w.b.t... dan Salam Sejahtera….

Jurnal ketujuh pada kali ini membincangkan tentang emosi dan juga ingatan. Emosi dan ingatan adalah maklumat yang mudah diingati apabila 'mood' dan keadaan adalah selari. Contohnya seperti pengalaman positif, ianya lebih mudah diingati dalam keadaan gembira dan sebaliknya. Pengaruh emosi ke atas persepsi akan menyebabkan kita mengingati tentang sesuatu perkara.

            Kejadian-kejadian yang mempunyai nilai emosi akan lebih diingati berbanding dengan peristiwa biasa-biasa (neutral). Menurut fakta, perempuan lebih mudah untuk mengingati tentang sesuatu perkara berbanding dengan lelaki. Mengingati adalah lebih mudah jika 'mood' berpadanan dengan apa yang kita alami dan pelajari.

            Sebagai contoh, para ibu yang mempunyai anak pasti melalui pengalaman-pengalaman dalam membesarkan anak. Ibu sewajarnya memenuhi masa pembesaran anak tersebut secara sedar dan faham, tidak secara kebetulan ini kerana ia bukan sekadar pengalaman buat si ibu malahan ia akan memberi kesan dan ingatan kekal kepada anak.

Ini kerana rangkaian neuron dalam otak anak, pesat terbina dalam masa 3- 6 tahun pertama usia anak. Bahan 'input' yang wujud dalam tempoh tersebut akan menjadi asas rangkaian ini, maka apa saja yang dialami pada segi emosi akan terbina secara kekal bersama pengalaman melihat, mendengar, menyentuh dan seterusnya. Ini juga bermakna minat atau tidak minat, suka atau tidak suka , bersih atau kotor, tepat tau tidak akan bergantung kepada pengalaman emosi diperingkat awal iaitu sebelum umur enam tahun.

Pengalaman enam tahun pertama menjadikan asas pembinaan perwatakan, keperibadian, perangai, malahan cara anak itu berfikir dan membuat keputusan apabila dewasa kelak. Pengalaman ini lebih dikenali sebagai 'inner sel' iaitu bahasa senyap di dalam otak kita, yang sentiasa memberi arahan kepada kita secara tidak sedar.

 

Sebagai contoh, sekiranya seorang anak melihat benda-benda baru yang tidak pernah dilihatnya, anak kecil akan terus mendapatkan benda tersebut dan ingin memegang, merasa, membau dan ingin mendengar bunyi benda tersebut supaya ia mengenalinya. Anak belum tahu sama ada benda itu merbahaya atau tidak, mahal atau murah, tegap atau mudah pecah, apa yang  dia tahu ialah benda itu tidak pernah dia lihat, rasa, sentuh atau bau, dia ingin belajar tentang benda itu.

 

Sekirannya ibu bapa memimpin, merangsang dan menggalakkan dengan cara yang yang positif, penuh ikhlas dan kasih sayang, anak juga akan mengalami emosi yang memberangsangkan dan menggembirakan. Perasaan itu akan kekal dalam ingatan anak, bersama ciri-ciri dan nama benda itu yang disebut oleh ibu atau bapa. Ini bermakna  minat belajar pada diri anak tersebut terangsang.

 

 

http://wanitaisma.files.wordpress.com/2010/05/e5f33d19eb4048a61.jpg?w=130&h=128

 

Sebaliknya pula sekiranya keinginan anak untuk belajar dihalang dengan "tak boleh", "hep'… atau sering dipukul dan dikritik akan menghasilkan perasaan atau rasa emosi yang negatif atau rasa tidak tenteram , tidak selamat, tidak disayangi seterusnya merasa kecewa dan menekan jiwanya. Maka perasaan ini akan wujud dalam rangkaian belajar tasi dan akan menyebabkan anak itu tidak minat belajar, tidak suka bertanya, takut mencuba atau meneroka. Sebenarnya anak tidak perlu diajar semuanya oleh ibu bapa, penjaga dan guru., apa yang perlu wujud ialah persekitaran untuk anak itu minat belajar.

 

Anak dilahirkan bagai kain putih maka ibu bapanyalah yang akan mencorakkannya. Dan Rasulullah saw pernah bersabda maksudnya :

"Didiklah anak-anak kamu menghadapi zamannya , zaman yang sama sekali berlainan dari zaman mu".

 

Sekian,, Wassalam... Salam Aidil Fitri.....#


A127070 Sakinah LJ07

            Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pensyarah kita iaitu Encik Zamri dan rakan-rakan seperjuangan. Pada minggu ini, kami telah diberi kuliah tentang Emosi dan Ingatan. Pada permulaan kuliah, kami ditunjukkan dengan video tentang tragedi tsunami yang menyayat hati. Walaupun saya merasa marah apabila mengenangkan tentang sikap rakyat Indonesia terhadap Malaysia, saya tetap merasa sedih melihat nasib yang menimpa mereka suatu ketika dahulu. Sememangnya, emosi manusia sentiasa berubah-ubah dan tidak dapat dikawal sepenuhnya. 

            Kuliah pada kali ini mengajar kami tentang perkaitan antara emosi dan ingatan. Terdapat persoalan tentang adakah emosi membantu kita mengingati sesuatu? Jawapan yang akan diperolehi pasti akan mengejutkan kita semua. Terdapat dua elemen penting dalam menjawab persoalan ini. Elemen yang pertama ialah kandungan emosi dan kesan emosi yang dialami terhadap pembelajaran dan ingatan kita. Manusia didapati mengingati peristiwa yang melibatkan emosi yang menarik berbanding dengan peristiwa yang melibatkan emosi yang membosankan. Bagi kaum wanita, ingatan mereka lebih kuat mengenai peristiwa yang memberi kesan emosi yang mendalam. Kenangan positif mengandungi butiran lebih kontekstual yang akan membantu memori. Selain itu, maklumat yang tidak penting tidak akan membantu dalam memori manusia.

            Elemen lain yang terdapat dalam emosi ialah perasaan atau suasana hati. Perasaan akan memepengaruhi perkara yang dilihat dan dikodkan. Ia terbahagi kepada perasaan keselarasan dan perasaan pergantungan. Keadaan perasaan kita mempengaruhi daya ingatan kita. Dalam kata lain, semakin kuat emosi terangsang, semakin kuat daya ingatan kita. Sebagai contoh, saya merasa sangat sedih kerana suatu peristiwa. Oleh itu, keadaan ini membuatkan saya mengingati peristiwa ini dengan lebih kuat berbanding dengan peristiwa lain. Pernah pada suatu ketika, saya merasa amat berkecil hati dan sangat sedih dengan sikap rakan sekelas. Pada masa itu, terdapat sekumpulan rakan sekelas membuat perancangan untuk ke suatu tempat. Walaubagaimanapun, saya dan beberapa rakan lain tidak diajak untuk turut serta, malahan, kami tidak tahu langsung tentang hal itu sehinggalah pada hari mereka ingin ke sana. Maka, perasaan sedih yang lahir dari hati membuatkan saya dan rakan senasib tidak dapat melupakan hal itu. Namun begitu, kami cuba melupakannya dan menganggap ia tidak memberi sebarang kesa di dalam hidup kami walaupun pada hakikatnya kami sedih dan tidak dapat melupakan hal tersebut.

            Amygdala ialah kawasan otak yang paling banyak terlibat dalam memori emosional. Amygdala mempunyai kesan yang kuat terhadap peristiwa yang melibatkan emosi negatif. Namun begitu, bukan hanya amygdala yang terlibat dalam interaksi yang kompleks. Otak kecil, yang paling sangat berkaitan dengan kemampuan koordinasi motorik, juga mungkin terlibat dalam mengingati emosi yang kuat, khususnya, dalam konsolidasi kenangan jangka panjang dari rasa takut. Sebahagian dari korteks prefrontal juga nampaknya terlibat. Satu kajian mendapati bahawa daerah korteks prefrontal itu bersama-sama dipengaruhi oleh kombinasi dari keadaan mood dan tugas kognitif, tetapi tidak oleh salah satu saja.

            Terdapat juga perbezaan dalam memori emosional bagi golongan tertentu. Ia dapat dilihat dari segi umur dan jantina. Perempuan dan lelaki mempunyai cara yang berbeza dalam memproses emosional memori. Perempuan lebih baik mengingat ingatan emosional. Mereka juga nampaknya lebih cenderung untuk melupakan maklumat yang disajikan sebelum maklumat emosional. Sebagai contoh, perempuan lebih peka terhadap tarikh penting dalam hidup berbanding dengan lelaki seperti tarikh ulang tahun, hari jadi dan sebagainya. Terdapat juga perbezaan dari segi usia. Kecenderungan untuk membiarkan kenangan yang tidak menyenangkan hilang lebih cepat daripada kenangan yang menarik menjadi lebih kuat apabila kita semakin berusia. Ini mungkin merupakan cerminan dari kemampuan orang tua untuk menetapkan emosi mereka lebih berkesan daripada orang muda, dengan mempertahankan perasaan positif dan menurunkan perasaan negatif.

            Kesimpulannya, kuliah pada minggu ini memberi maklumat yang sangat berguna kepada semua orang. Sekurang-kurangnya kita tahu bahawa terdapat beberapa perbezaan untuk mengingati sesuatu peristiwa yang beremosi berdasarkan faktor-faktor yang tertentu. Sekiranya kita tidak didedahkan dengan kuliah pada minggu ini, kita mungkin tidak sedar tentang persoalan mengapa golongan lelaki kurang mengingati peristiwa-peristiwa tertentu dalam hidup mereka berbanding dengan perempuan. Sekian.


A134544 nabihan LJ07

            Bertemu kita kembali dalam edisi jurnal kali ini. Semoga para pembaca di luar sana dapat menggunakan segala ilmu yang dikongsi ke arah yang positif. Banyak perkara sebenarnya dalam ilmu yang saya kongsikan ini yang dapat kita aplikasikan dalam kehidupan seharian.

            Hari ini tepat pukul 4 petang saya melangkah masuk ke dalam kelas pengurusan emosi. Minggu ini merupakan minggu terakhir saya berada di UKM sebelum bermulanya cuti hari raya selama dua minggu. Memang perasaan saya pada minggu ini agak ceria kerana tidak sabar untuk pulang ke rumah setelah hampir tiga bulan berada di UKM dan tidak pulang ke rumah. Tetapi apabila mengenangkan ada kawan-kawan yang terpaksa balik lambat kerana kelewatan tiket menyebabkan perasaan saya menjadi sedih. Walau apapun, saya tetap berdoa semoga perjalanan pulang kami sentiasa di bawah lindungan-Nya. Bertambah menggembirakan saya pada hari ini ialah pensyarah-pensyarah subjek masing-masing membuat pengumuman bahawa minggu depan sudah tiada kelas kerana mereka memahami keadaan kami yang sudah membeli tiket.

            Pada hari ini tajuk pengurusan emosi ialah, Emosi Ingatan. Tentu para pembaca bingung dengan tajuk ini. Apa kaitannya emosi dengan ingatan? Para pembaca tentu tertanya-tanya. Baiklah saya akan menerangkan tajuk ini dengan lebih lanjut lagi. Sebenarnya terdapat dua aspek yang tentang emosi dan ingatan. Yang pertama kandungan sesuatu cerita yang beremosi. Yang kedua kita sendiri yang beremosi dalam sesuatu keadaan. Para pembaca tentu akan bersetuju dengan kajian yang telah dijalankan tentang tajuk ini. Kita sebenarnya lebih mudah untuk mengingati sesuatu peristiwa yang beremosi berbanding sesuatu peristiwa yang biasa-biasa sahaja. Sebagai contohnya peristiwa 13 Mei yang sering diperkatakan kerana peristiwa itu melibatkan masalah perpaduan dan pertumpahan darah. Sudah tentu peristiwa itu member kesan emosi kepada kita. Kerana itulah peristiwa itu sering diingati sehingga kini.

            Kemudian yang kedua berkenaan dengan kita sendiri yang beremosi dalam sesuatu keadaan. Sebenarnya memang banyak perkara yang membuatkan kita beremosi samada negatif ataupun positif. Dan yang lebih penting kita akan lebih mengingati kejadian tersebut. Sebagai contohnnya, seseorang apabila memperoleh kejayaan yang besar seperti mendapat keputusan peperiksaan yang bagus dia sudah pastinya akan mengingati keputusan itu untuk jangka masa yang lama. Ini kerana emosinya ketika itu yang sangat gembira menyebabkan dia sukar untuk melupakan peristiwa itu. Begitu juga dengan peristiwa sedih seperti peristiwa kematian orang yang tersayang. Emosi kita yang sangat sedih pada masa itu membuatkan kita teringat-ingat akan mereka yang telah pergi.

             Terdapat juga penjelasan dari segi saitifik tentang tajuk ini. Sebenarnya emosi dan ingatan ini saling berkait dengan otak kita. Terdapat tiga komponen dalam otak yang terlibat dalam menghasilkan ingatan dan emosi kita. Komponen tersebut ialah amygdala, cerebellum, dan prefrontal cortex. Masing-masing mempunyai tugas tersendiri. Dengan adanya peranan dari ketiga-tiga komponen otak itu, kita dapat mengingati sesuatu peristiwa itu dengan mudah.

            Dengan itu sekian sahaja penulisan jurnal saya untuk kali ini. Diharapkan para pembaca boleh mengambil sedikit sebanyak ilmu yang dikongsi untuk kegunaan diri para pembaca. Akhir kalam, selamat menyambut hari raya aidilfitri. Semoga kita semua dapat pulang ke kampung halaman masing-masing dengan selamat. Bergembiralah di hari lebaran yang bakal menjelma tiba. Dalam kita bergembira jangan lupa pada yang sudah tiada. Sekian.#


A129088 Rafiuddin LJ07

Salam 1Syawal, Salam 1000Pengampunan Dosa. Assalamualaikum dan selamat sejahtera dilontarkan kepada semua warga varsity UKm yang masih terperangkap dalam kekangan cuti Hari Raya Aidilfitri yang amat lewat berbanding sahabat-sahabat dari menara gading yang lain. Namun,focus kepada ilmu dan pencarian ilmu haruslah diteruskan. Walaupun ada yang terpaksa mengalah,pulang berhari raya pada malam takbir raya menggamit cuping telinga, terasa sayu di hati, dan senyuman ibubapa mula terbayang di kolam mata, percayalah,pengorbanan yang anda lakukan sangat berbaloi.

 

Berbalik kepada gokus lopak ilmu yang perlu ditarah, kursus Pengurusan Emposi yang dikepalai dengan hebat oleh En Zamri Mansur sudah masuk pertengahan semester,minggu ketujuh kini. Berlandaskan panduan tajuk, Emosi dan Ingatan, kelas pada hari Rabu yang penuh barakah itu dimulakan dengan tayangan video bencana alam yang meragut nyawa di Acheh dengan diiringi lagu latar Indonesia yang amat memilukan.

 

Emosi dan ingatan!Tajuk yang amat dekat dengan jiwa kita sebagai manusia. Kita dapat lihat dari aspek fisiologikal iaitu peranan otak dalam membantu emotional memory. Terdapat tiga bahagian dalam otak yang memainkan peranan dalam emotional memory ini iaitu amygdala, cerebellum dan prefrontal cortex. Encik Zamri telah memberikan satu nama singkatan iaitu ACP (Assistant Commissioner Police) untuk memudahkan kami mengingatinya.

 

Pertamanya, ialah amygdala yang memainkan peranan penting  iaitu mengira emosi sesuatu peristiwa yang membawa makna kepada seseorang dan memberi isyarat pada otak lalu bergabung dengan pengalaman deria. Ia juga mempengaruhi persepsi menyebabkan kita sedar sesuatu peristiwa itu berlaku walaupun kita tidak memberi perhatian terhadap peristiwa tersebut. Namun begitu, amygdala lebih bertindak kepada emosi negative. Cerebellum pula membantu kita menyelaraskan pergerakan, mengingati perkara-perkara yang mempunyai nilai yang tinggi dan membantu kita mengingati sesuatu perasaan terutamanya ketakutan dalam jangka masa panjang. Seterusnya ialah prefrontal cortex yang hanya wujud apabila terangsang melalui gabungan tugasan minda dan keadaan emosi tetapi jika salah satu daripadanya tidak muncul, maka prefrontal cortex ini tidak memainkan peranan.

 

Perihal yang paling mudah untuk dijadikan pencontohan ialah kes kemalangan jalan raya yang meragut nyawa. Andai kata dalam sekeluarga ynag memiliki lima orang ahli keluarga terlibat dalam kemalangan dan hanya seorang sahaja yang masih hidup,sudah pasti trauma dan memori terhadap insiden itu amat dirasai. Emosi dan ingatan terhadap kenangan bersama ahli keluarga ketika masih hidup pasti sukar untuk dilupakan.

 

Kesimpulannya, segala emosi dan perasaan yang dialami amat berkait rapat dengan kenangan dan memori yang tercipta.  Hal ini sudah pasti sedikit sebanyak mewarnai keindahan dalam diari kehidupan insan twersebut. Sempena denganb syawal yang bakal menjelma, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin. Saya juga ingin mohon maaf andai terkasar bahasa dan termengata dimana-mana.