Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia. Ini merupakan kali pertama dalam seumur hidup saya, saya menulis jurnal dan untuk lebih mudah dengan erti kata lain adalah dairi hidup saya serta dikaitkan dengan pembelajaran ZT iaitu pengurusan emosi. Pertama sekali saya ingin menulis tentang definisi emosi mengikut kefahaman saya sendiri. Bagi saya emosi adalah setiap pergolakan rasa hati, fikiran, perasaan, nafsu dan ekspresi yang ditonjolkan oleh seseorang sama ada secara sedar ataupun tidak. Hidup ini penuh dengan cabaran dan rintangan yang memerlukan kita bergolok gadai untuk mendapatkan yang terbaik dalam segenap segi. Oleh itu, terbitlah pelbagai emosi yang dilemparkan dari seseorang tidak kira melalui gerak tubuh badan atau kata-kata semasa mereka menjalani kehidupan seharian di alam ini.
Berdasarkan penagajaran yang disampaikan oleh pensyarah saya pada waktu petang tadi, sedia maklum kita tahu bahawa emosi terdiri daripada 4 komponen. Salah satu daripadanya ialah keadaan perasaan kita sendiri sebagai seorang manusia. Secara jujurnya saya seorang yang sensitif dan mudah tersentuh. Oleh itu, berdasarkan pengalaman hidup saya, sekiranya saya dalam keadan dirundung pilu dan sedih terutamanya sewaktu dimarahi, saya lebih gemar untuk bersendirian untuk menenangkan jiwa saya sendiri. Selain itu, satu komponen yang lain adalah perubahan fisiologi. Sebagai pelajar perubatan, semestinya kita sedia maklum bahawa fisiologi merupakan kajian tentang fungsi struktur badan. Begitu jelas sekali fakta di sini untuk dikaitkan dengan diri saya. Sekiranya saya berada dalam keadaan yang takut , hati saya akan berdebar kencang dan berpeluh. Ini merupakan refleks atau tindak balas semula jadi tubuh badan kita terhadap mesej yang dihantar oleh otak kita ke tisu badan seperti jantung dan kelenjar peluh. Saya selalunya akan berada betul-betul dalam keadaan takut apabila bermimpi ngeri atau menonton cerita pembunuhan bersiri. Komponen emosi yang lain adalah tingkah laku yang berkaitan. Kesan daripada peristiwa-peristiwa yang pernah terjadi dalam hidup saya, sebagai contohnya kawan-kawan saya yang selalu membuat lawak ketika dalam keadaan stres kerana kerja terlalu banyak, saya seringkali akan tergelak dan rasa puas sangat kerana dapat melepaskan stres yang tertanggung berat dalam jiwa.
Emosi dan motivasi. Pada mulanya saya sukar untuk mengerti tentang perkaitan yang dinyatakan oleh Lang et al, 1992. Namun setelah saya kaitkan dengan pengalaman hidup saya, barulah saya sedar bahawa emosi memang boleh dikaitkan dengan motivasi kerana emosi luas maknanya bukan hanya sekadar perasaan semata-mata. Sebagai contoh, saya datang daripada golongan yang sederhana dan segala perit jerih ayah saya mencari rezeki membuatkan saya sedar bahawa saya sebagai anak yang sulung punya tanggungjawab dan amanah yang besar bagi menjadi contoh pada adik-adik serta merubah hidup keluarga saya agar kualiti hidup kami sekeluarga lebih meningkat berbanding dahulu. Oleh itu, sikap, perasaan dan pemikiran yang matang perlu ada dalam diri saya. Pemikiran yang positif untuk berjaya dalam hidup perlu dipupuk dalam minda saya supaya kita dapat memotivasikan diri untuk menjadi lebih hebat.
Bahasa emosi berdasarkan teori Plutchik adalah emosi boleh digambarkan dalam 3 bahasa yang berbeza iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkah laku dan bahasa fungsian. Pertama sekali adalah bahasa subjektif. Bahasa subjektif adalah bahasa biasa bagi emosi. Sebagai contohnya ialah saya akan berasa gembira sekiranya orang yang tersayang mengambil berat tentang diri saya dan menghadiahkan saya sejambak bunga ros putih ketika menyambut hari istimewa kami. Kemudian, bahasa tingkah laku, ini merujuk kepada apakah tindakan susulan dari emosi yang diransang. Sebagai contoh, apabila saya berasa gembira setelah diperlakukan dengan perkara yang indah, semestinya saya atau pun orang lain juga akan melakukan perkara yang sama seperti saya iaitu tersenyum sepanjang waktu bersama dia serta mengucapkan terima kasih sebagai tanda menghargai atas segala pemberian ikhlas yang dia telah berikan. Selain itu, bahasa fungsian merujuk kepada fungsi emosi tersebut kepada seseorang. Sebagai contoh, apabila saya berhadapan dengan orang ramai untuk memberikan pendapat atau pandangan, saya akan cuba sedaya upaya untuk memberanikan diri untuk melontarkan suara dan lama kelamaan keyakinan dalam diri lebih terserlah dan terbina dengan sendirinya sedikit demi sedikit kerana kita telah terbiasa untuk berucap dikhalayak ramai terutamanya membuat pembentangan dalam kumpulan perbincangan sewaktu sesi PBL( problem based learning).
Teori Plutchik mengenai reaksi adaptif asas ada 8 perkara iaitu takut,meluat, marah, terperanjat, gembira, sedih, terima dan rasa ingin tahu. Semua perkara di atas ada di dalm diri setiap manusia tidak terkecuali diri saya sendiri. Kadang kala kita tidak sedar bahawa bahasa tubuh kita sendiri boleh ditafsir oleh orang sekeliling. Saya mengambil contoh tentang diri saya sendiri iaitu ketika waktu kira-kira pukul 10 pagi, waktu itu saya dan rakan yang lain ingin makan di restoran mamak depan kampus. Sewaktu kami berjalan di lorong pejalan kaki, saya hampir dilanggar pakcik yang menunggang motosikal yang dalam waktu yang sama motor pakcik tersebut tergelincir kerana jalan yang licin. Ketika waktu itu, saya terkejut dan terkaku. Namun tiada apa-apa yang berlaku. Setelah berlalu kejadian itu, kawan saya menyatakan muka saya pucat dan cuak. Ekspresi wajah saya mudah ditafsir kawan-kawan kerana peristiwa yang terjadi itu begitu ketara menonjolkan emosi saya sewaktu itu.
Menurut kajian Plutchik juga, emosi boleh dikelaskan kepada 3 dimensi penting iaitu darjah kekuatan emosi, perkaitan dan kekutuban. Saya mengambil satu contoh iaitu kekutuban. Dalam pengamatan saya, kekutuban lebih mudah dikatakan sebagai kata lawan dalam tatabahasa bahasa melayu. Paling mudah adalah benci lawannya suka. Saya pernah membenci seseorang yang pernah hadir dalam hidup saya. Pada awalnya, dia memang suka menyindir, mengutuk, menyakiti hati saya di depan saya sendiri. Saya tidak tahu apa motif dia berbuat begitu. Saya cuba tanya pada rakan-rakan saya yang lain namun tiada jawapan yang diberikan. Pada satu tahap kami perang besar dan saya sendiri bersemuka dengan dia dan menyatakan keinginan saya untuk mengetahui mengapa dia sering membuat perkara keji tersebut walaupun saya tidak pernah mencari fasal dengan dia. Namun, geramnya saya, dia dengan selamba berkata, dia membenci saya tanpa alasan dan saja suka-suka. Saya berasa sangat pelik. Setelah peristiwa pahit itu berlalu, saya malas hendak fikirkan tentang diri dia lebih baik saya fokus belajar. Selepas tamat SPM barulah dia bercakap dengan saya dan meminta maaf sungguh-sungguh. Dia menyatakan dia sukakan saya selama ini. Waktu itu, saya berasa pelik yang berganda, suka tapi mencerca, mengeji. Dia berterus terang lagi dan berkata bahawa dia cemburu saya lebih berjaya daripada dia. Dia tidak mahu saya lebih daripada dia kerana dia berasa egonya tercabar kerana wanita yang dia suka lebih bijak daripada dia. Saya pening. Saya tidak mahu jiwa saya kotor bak kata Dr. Fadzilah Kamsah maka saya maafkannya dan terus berlalu tanpa kata apa-apa. Semasa cuti sekolah dia tidak putus- putus sms, dan telefon. Sekarang saya telah terima dia sebagai seorang kawan baik dan menganggap kisah dulu adalah zaman remaja kami yang tidak matang. Saya suka dan senang berkawan dengannya. Kadangkala apabila kami bercerita kenangan dulu, kami gelak bersama. Kekutuban iaitu dimensi emosi daripada benci lawannya suka sebagai contoh mudah.
No comments:
Post a Comment