Thursday, 28 July 2011

A 129883 Khazila Binti Khalid LJ01 Emosi Dan Kehidupan

Emosi Dan kehidupan
            Jurnal pertama saya bagi kursus ZT2253 Pengurusan emosi  adalah merangkumi dua kuliah yang telah disampaikan oleh Doktor Zamri pada hari ini (Rabu, 27 Julai 2011) iaitu pengenalan untuk tajuk pertama dan struktur dan ekpresi emosi bagi tajuk kedua. 
             Kuliah yang diadakan pada hari ini sedikit sebanyak dapat menambah dan  meningkatkan pemahaman saya mengenai emosi termasuklah definisi emosi, komponen emosi, jenis-jenis emosi, cara mengukur tahap emosi, hubungkait antara emosi dengan fisiologi, psikologi dan persekitaran. Bagi kuliah kedua, saya mengetahui dan memahami tentang struktur dan ekspresi emosi, teori-teori mengenai emosi, dan dimensi emosi.
            Menurut Kleinginna & Kleinginna (1981), emosi adalah merupakan set kompleks antara hubungan dalam kalangan subjektif dan objektif faktor, sistem hormon menjadi pengantaraan yang mana boleh mempengaruhi kepercayaan seseorang berdasarkan fakta sebenar serta fakta dan keadaan yang boleh mempengaruhi sesuatu keputusan. Ini membawa kepada pengalaman yang efektif, menjana proses kognitif di mana menyebabkan seseorang yang dilabel sebagai penakut mencari punca ketakutan itu dan cuba mengatasinya, pengawalan fisiologi bagi sesuatu keadaan yang boleh menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan akhirnya mempengaruhi kelakuan seseorang. Pada pendapat saya, emosi merupakan suatu perasaan yang kuat seperti gembira, marah, takut, sedih, cemburu atau gangguan pada perasaan. Emosi merupakan salah satu cara manusia mempamerkan perasaan mereka yang mana mungkin dipengaruhi oleh psikologi atau persekitaran mereka. Apabila kita mempamerkan emosi, kita akan mendapat suatu kepuasan dan kelegaan lebih-lebih lagi apabila emosi itu mengganggu jiwa dan pemikiran kita. Bagi saya, emosi selalunya dipengaruhi oleh persekitaran dan psikologi kita. Contohnya, saya berasa tidak selesa dan marah apabila bilik saya tidak bersih yang seterusnya menyebabkan saya tidak dapat memberi tumpuan kepada pembelajaran saya dan akhirnya boleh menyebabkan saya berasa tertekan. Emosi juga mempengaruhi pemikiran saya. Berdasarkan pengalaman yang saya lalui, saya mendapati apabila saya berasa gembira, sedih atau tertekan, ianya memberi kesan kepada pemikiran atau psikologi saya. Apabila saya gembira, saya dapat berfikiran positif dan menyelesaikan sesuatu masalah dengan lebih efektif tetapi apabila saya berasa sedih atau tertekan, saya akan lebih berfikiran negatif dan mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan sesuatu masalah tanpa memikirkan kesan dan akibat atas keputusan yang saya ambil. Saya juga percaya, emosi dapat mempengaruhi faktor fisiologi. Sebagai contoh, saya mudah berasa tertekan dan mudah diserang penyakit apabila saya berasa sedih atau murung. Dari segi perubatan, terbukti seseorang yang selalu gembira menjalani kehidupan yang lebih baik dan bebas daripada penyakit berbanding seseorang yang selalu tertekan dan berada dalam kemurungan. Mereka ini mudah mendapat penyakit seperti sakit, jantung, darah tinggi dan tekanan perasaan. Dari segi kelakuan dan penyesuaian fisiologi dalam sesuatu keadaan, contoh yang dapat saya berikan ialah apabila saya berasa takut, saya akan peka dengan keadaan sekeliling seperti bunyi, keadaan rumah sama ada berkunci atau tidak dan saya akan sentiasa berjaga-jaga serta berwaspada dengan keadaan sekeliling. Dari segi fisiologi, muka saya akan menjadi pucat, berpeluh dan bernafas dengan pantas.
            Emosi juga mempunyai hubung kait dengan motivasi. Dengan kata lain, emosi merupakan cara kita memotivasikan diri kita seperti yang disampaikan semasa kuliah tadi iaitu emosi juga tidak dapat dipisahkan dari motivasi (Baron & Logan, 1993) dan emosi sebagai motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional (Lang et al, 1992). Sebagai contoh apabila kita geram atau marah dengan seseorang, kita akan mempamerkan emosi itu melalui ekpresi muka atau intonasi semasa kita berkomunikasi dengan orang itu. Bagi saya pula, saya tidak menyatakan perasaan tidak puas hati atau marah secara langsung tetapi lebih kepada kelakuan saya seperti tidak berbual dengan orang itu atau membuat kerja sendiri tanpa menghiraukan dia. Dengan cara ini saya boleh cuba mengawal emosi saya terlebih dahulu sebelum berbincang bagi menyelesaikan perselisihan yang telah berlaku. Sekiranya saya terus terang menyatakan rasa tidak puas hati saya ketika saya geram atau marah, saya risau tiada jalan penyelesaian yang mana seterusnya menyebabkan hubungan antara saya dengan orang itu menjadi lebih teruk dan mungkin boleh menyebabkan pergaduhan yang lebih besar di mana boleh melibatkan kawan-kawan yang lain dan seteruskan mengganggu tumpuan dan fokus kami dalam pelajaran. Dari segi motivasi, apabila saya berasa tertekan lebih-lebih lagi semasa peperiksaan semakin hampir, tekanan itu memotivasikan saya dan menggalakan saya untuk tekun mengulangkaji pelajaran. Walaupun tekanan merupakan sesuatu yang negatif apabila berlebihan tetapi bagi saya tanpa tekanan seseorang itu akan berasa terlalu selesa dan tidak dapat menyelesaikan sesuatu tugasan dengan lebih berkesan dan tepat pada waktunya.
            Emosi mempengaruhi hubungan kita dengan seseorang. Contohnya, apabila kita sayang atau cintakan seseorang, kita akan cuba rapat dengan orang itu atau cuba membuatkan dia gembira. Contoh yang mudah yang boleh saya berikan ialah hubungan saya dan keluarga saya. Saya sayangkan ibu bapa saya dan tidak mahu mereka sedih atau menhampakan perasaan mereka. Cara saya menggembirakan mereka ialah dengan berlajar bersungguh-sungguh dengan harapan mendapat keputusan yang cemerlang dan berjaya dalam bidang yang diceburi dan seterusnya dapat membantu meringankan beban mereka apabila saya bekerja nanti dan inilah cara saya untuk membalas jasa mereka.
            Perkara baru yang saya belajar dari kuliah pertama ialah cara mengukur emosi seseorang iaitu melalui soal jawab, membuat ujian pada sistem badan mereka bagi mengetahui keadaan mereka dan mengukur psikologi mereka. Ini juga merupakan cara di mana kita dapat mengenalpasti seseorang itu berkata benar atau tidak.
            Bagi kuliah kedua, saya dapat memahami mengenai struktur dan ekpresi emosi. 'Primary emotion' atau dasar atau emosi utama merupakan emosi asas yang mana merupakan sifat semulajadi manusia. Secara kasar terdapat dua teori iaitu evolusi atau  teori biologi dan teori pembelajaran. Teori asas Darwin (Darwin's basic theory of evolution) merupakan teori dimana mengatakan asal usul manusia adalah daripada beruk (ape). Setelah melalui beberapa evolusi, akhirnya terjadilah bentuk badan manusia sepertimana yang ada sekarang. Walaubagaimnapun, tidak semua pihak menyokong teori ini. Bagi pendapat saya secara peribadi, saya juga tidak menyokong teori ini kerana Darwin merupakan seorang pelayar yang suka mengembara dan dia bukan lah seorang saintis dan mungkin juga tidak membuat kajian terperinci mengenai teori ini. Pendapat saya ini mungkin dipengaruhi oleh kepercayaan saya atau agama. Dalam al-Quran sendiri tidak dinyatakan mengenai teori ini yang menyatakan manusia berasal daripada beruk bahkan Allah mencipta manusia sebaik-baik kejadian di mana mempunyai akal untuk berfikir. Tetapi dari segi emosi, Darwin menyatakan dalam bukunya, "The Expression of the Emotions in Man and Animals", ekspresi wajah melambangkan emosi (sebab muka adalah yang senang dilihat, bukannya organ lain). Beliau telah menanyakan16 soalan tentang emosi kepada 36 bangsa berbeza dan didapati jawapan adalah sama.          
Sistem saraf dan struktur neural mampu menjadi pengantaraan kepada beberapa jenis emosi. Bagi spesifik emosi utama, terdapat beberapa teori lain iaitu Woodworth (in 1938) menyatakan struktur sistem untuk emosi, Schlosberg (in 1952) selanjutkan bahagikan emosi kepada 3 dimensi struktur emosi iaitu menyenangkan atau perasaan kurang menyenangkan, tumpuan atau diketepikan, tidur, perhatian atau tumpuan. Plutchik (1962) menghasilkan model yang lebih lengkap. Emosi primari ini adalah ciri-ciri dalaman manusia yang dialami serta diekspresikan dalam bentuk yang seragam di semua bangsa dan budaya (Kokoszka, 1993). Kebanyakan teorists i.e.Robert Plutchik, Silvan Tomkins, Caroll Izard and Paul Ekman – emosi primari menerbitkan emosi-emosi lain. Emosi primari bersifat adaptif. Kesemua emosi yang wujud adalah kombinasi gabungan antara emosi-emosi primari (Rolls, 1990). Apa yang dapat saya simpulkan disini berdasarkan pemahaman saya ialah, emosi primari merupakan tunjang atau asas kepada terbentuknya emosi-emosi lain dan juga merupakan emosi adaptif. Ini bermaksud emosi primari boleh berubah-ubah bergantung kepada persekitaran ataupun hubungan dengan seseorang. Sebagai contoh, saya benci atau kurang senang akan seseorang itu pada mulanya, tetapi disebabkan faktor persekitaran seperti terpaksa bekerjasama dengan orang itu untuk menyiapkan sesuatu tugasan ataupun mungkin kerana sikapnya yang terlalu memberi perhatian atau ambil berat kepada saya, menyebabkan perasaan benci kepada seseorang itu hilang dan beralih kepada sayang. Ini menunjukkan kita cuba menyesesuaikan emosi kita dengan keadaan dan persekitaran.
            Berdasarkan Plutchik's language of emotion, emosi boleh digambarkan dalam 3 bahasa yang berbeza iaitu subjective language – bahasa subjektif, behavioral language – bahasa tingkahlaku, functional language – bahasa fungsian. Takut(bahasa subjektif) boleh menyebabkan kelakuan membebaskan diri (bahasa tingkahlaku) dan membawa kepada melindungi (bahasa fungsian). Sebagai contoh, saya risau dengan peperiksaan yang bakal saya hadapi. Oleh itu, saya akan cuba bersedia dan buang rasa risau itu yang seterusnya meyebabkan saya tekun belajar.
Lapan reaksi penyesuaian daripada reaksi asas oleh Plutchik iaitu takut, meluat, marah, terperanjat, gembira, sedih,  terima dan rasa ingin tahu. Menurut Plutchik, emosi boleh jadi pelbagai berdasarkan tiga dimensi penting iaitu kekuatan yang mana merujuk kepada darjah kekuatan emosi (i.e. dari bahagia kepada gembira), persamaan iaitu merujuk kepada hubungan/perkaitan (i.e takut dan sedih lebih dekat berbanding takut dan gembira)
 dan kekutuban merujuk kepada kekutuban (i.e. benci lawannya suka). Pelbagai teori lagi yang menambah pengetahuan saya mengenai emosi seperti ekspresi muka semulajadi oleh Izard yang mana menyatakan ekspresi muka sangat dipengaruhi oleh emosi seseorang. Contohnya, apabila seseorang gembira, dia akan senyum atau ketawa, apabila marah akan membulatkan mata, apabila risau atau tertekan akan mengerutkan dahi dan apabila sedih akan menangis.
Dari segi biologi, emosi mempengaruhi hidup seseorang termasuklah tumbesaran bayi. Emosi mempengaruhi persekitaran dan pembelajaran bagi seorang bayi yang mana akhirnya faktor-faktor ini menjadi tabiat atau kelakuannya senpanjang tumbesarannya. Perbezaan pendapat juga merupakan salah satu faktor biologi. Sebagai contoh, kawan saya meminati subjek berkaitan ubat, farmakologi tetapi saya tidak meminati subjek itu. Jadi, apabila kuliah mengenai farmakologi saya akan berasa bosan dan tidak memberi sepenuh perhatian dan mungkin tertidur tetapi kawan saya dapat memberi sepenuh perhatian sepanjang kuliah tanpa hilang fokus. Jika doktor yang menyampaikan kuliah itu dengan baik sekalipun, saya akan mengangggap sebaliknya kerana saya telah tetapkan dalam minda saya yang saya tidak suka akan subjek itu.
            Secara keseluruhannya, apa yang dapat saya simpulkan ialah emosi memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kita kerana emosi boleh mempengaruhi pemikiran kita, persekitaran, perhubungan kita, fisiologi dan kesihatan tubuh badan kita termasuklah fizikal dan mental.
.
 
 
 
 
 
           
 

No comments:

Post a Comment