Saturday, 22 January 2011

A128145 Rohaida binti Abdul Latiff Tajuk 4 Emosi Negatif

Salam seindah kata pembuka bicara. Pada coretan kali ini saya ingin berkongsi mengenai sesi pembelajaran yang telah saya belajar pada kuliah minggu ini yang mana saya telah mempelajari mengenai emosi negatif. Agak sedih sedikit kerana saya tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian pada kuliah minggu ini akibat kesihatan diri yang kurang mengizinkan. Namun begitu, ia bukanlah alasan untuk saya tidak memahami apa yang dipelajari pada minggu ini. Saya dapat memahami mengenai emosi negatif dengan baik setelah merujuk nota kuliah.

 

Emosi negatif merangkumi sifat takut, malu, sedih dan marah. Takut merupakan tindak balas emosi terhadap situasi budaya yang berkaitan dengan emosi bimbang. Kebiasaannya, seseorang itu menjadi takut kerana kejadian yang memberikan kesan trauma kepadanya. Contohnya, jatuh ke dalam perigi, takut hilang pengaruh dan takutkan kritikan.

 

Peristiwa yang tidak dapat saya lupakan yang mana peristiwa tersebut telah menyebabkan saya mengalami ketakutan dan trauma ialah ketika saya mengalami kemalangan sewaktu berumur 15 tahun. Kemalangan tersebut berlaku ketika hari pertama saya menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Apabila berakhirnya peperiksaan matapelajaran Pendidikan Agama Islam (PAI) pada pukul 4.30 petang, saya bergegas untuk pulang ke rumah. Semasa hendak melintas jalan, kereta Wira telah melanggar saya dari arah yang bertentangan. Saya tidak dapat mengawal motosikal yang saya naiki lalu bertembung dengan kereta tersebut dan menyebabkan saya tercampak ke jalan raya lalu tidak sedarkan diri. Saya berada di hospital sebaik sahaja tersedar dan mendapati bahawa kepala saya telah dijahit sebanyak 4 jahitan dan terdapat luka-luka kecil di badan. Saya juga terpaksa menghadapi peperiksaan PMR di hospital akibat keadaan kesihatan yang tidak baik. Semenjak kejadian tersebut, saya berasa takut untuk menunggang motosikal. Akan tetapi, dengan semangat dan sokongan yang diberikan oleh keluarga, saya dapat mengatasi perasaan takut atau trauma tersebut dan kini saya lebih berhati-hati apabila menunggang motosikal.

 

Kemudian, sifat malu pula dirasai apabila melakukan sesuatu yang  tidak diterima dalam pekerjaan atau masyarakat. Sifat malu juga melibatkan air muka seseorang bergantung kepada sesuatu yang dialami. Terdapat dua kategori malu iaitu:

 

Personal : malu apabila perhatian orang lain bertumpu kepada kita kerana kesalahan yang dilakukan, kalah dalam pertandingan atau melakukan pembohongan terhadap orang lain.

 

Professional : ianya melibatkan urusan pekerjaan seperti dasar kerajaan yang gagal dan   pendedahan salah guna kuasa.

 

Teringat kisah sewaktu saya berumur belasan tahun di mana pada waktu itu saya pergi ke pusat membeli belah bersama rakan-rakan. Semasa sedang khusyuk memilih baju, saya terdengar ada seorang makcik yang memanggil nama saya lalu saya menyahut panggilan tersebut dengan kuat. "Iya saya..ada yang boleh saya bantu ke makcik?", makcik tersebut seakan-akan pelik dengan tingkahlaku saya. Rupa-rupanya makcik itu memanggil anak dia yang sama namanya dengan saya. Malunya saya! Merah padam muka saya dibuatnya ketika itu.

 

Kemudian, emosi sedih menggambarkan suatu perasaan kerugian atau kehilangan seseorang individu di mana sifat sedih ini boleh mengakibatkan seseorang itu menghadapi kemurungan, pendiam, tidak mempunyai semangat dalam melakukan sesuatu perbuatan, dan tiada keinginan untuk berhadapan dengan orang ramai. Kebiasaannya, orang yang sedih akan menunjukkan ekspresi muka seperti menundukkan muka, bibir akan ke dalam dan fizikal yang lemah dan pergerakan yang perlahan.

 

Sebuah kisah yang dapat saya kongsikan di sini adalah mengenai kisah jiran saya yang saya gelarkannya sebagai Cik Zie. Cik Zie merupakan seorang jiran yang prihatin, mudah beramah mesra dengan orang lain dan seorang yang periang. Dia sudah berumah tangga hampir 29 tahun dan memperolehi 6 orang puteri. Keluarga mereka hidup dengan gembira dan bahagia sehinggalah Cik Zie dan keluarga telah diuji oleh Allah iaitu suaminya telah berkahwin lain tanpa pengetahuannya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan yang dihadapi oleh Cik Zie dan anak-anak. Sejak itu, kehidupan keluarganya mula berubah. Cik Zie mula mengasingkan dirinya akibat malu dengan jiran tetangga bahkan menjadi seorang yang pendiam, sentiasa sedih dan menangis. Suaminya pula mula kurang mengambil berat tentang Cik Zie dan anak-anak. Setiap hari Cik Zie mengadu dengan ibu saya dan meminta nasihat serta semangat untuk dia meneruskan sisa-sisa hidup di muka bumi ini. Setahun lamanya untuk Cik Zie kembali mendapatkan semangat dan redha dengan takdir yang telah ditetapkan oleh-Nya. Setiap hari dia memohon agar keluarganya kembali bahagia seperti dahulu dan berkat kesabarannya, suaminya pulang ke pangkuan Cik Zie dan semoga mereka sentiasa bahagia sehingga akhir hayat.

 

Emosi marah pula merupakan suatu tindak balas emosi yang mana jika marah itu terus dibiarkan akan memberikan kesan buruk pada diri terutama pada tindakan. Tindak balas agresif pasti akan mencetuskan suasana yang lebih tegang jika tiada usaha untuk meredakan kemarahan tersebut.  Marah boleh diumpamakan sebagai api yang sedang marak. Oleh itu, jangan sekali-kali kita cuba mencurahkan minyak kerana pasti kemarahan akan menyebabkan konflik yang lebih teruk dan sukar dikawal. Oleh kerana itulah ketika mana sahabat Rasulullah datang meminta nasihat daripada baginda, Rasulullah berpesan "Jangan kamu marah! Jangan  kamu marah! Jangan kamu marah!". Tiga kali baginda mengulangi nasihat yang sama kepada sahabat. Ia menunjukkan bahawa kemarahan yang melampaui batas juga bahayanya amat besar.  Sebagai contoh, perceraian dalam perkahwinan juga boleh berlaku hanya disebabkan hati yang marah dan tidak dapat dikawal.

 

Akhirnya, emosi merupakan  suatu yang mendatangkan padah jika tidak tahu cara untuk mengatasinya. Oleh itu, kita haruslah sentiasa bertenang dan mampu untuk tidak beremosi negatif. Kita mampu mencantas emosi negatif setiap kali ia cuba bertandang dalam minda lalu kita mampu memiliki kekuatan dalaman yang tinggi untuk kekal tenang.

 

Wassalam.

 

 


No comments:

Post a Comment