Thursday, 27 January 2011

A126800 IRA FAZLIANA BINTI SADELI TAJUK 5 TEORI PERUBAHAN EMOSI

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia. Bertemu kembali dalam coretan Pengurusan Emosi. Pada minggu ini, 25 Januari 2011 kuliah Pengurusan Emosi berjalan seperti biasa. Dari minggu ke minggu banyak yang saya telah pelajari sepanjang menghadiri kuliah untuk kursus ini. Sebelum kuliah dimulakan, kami menyambung semula tugasan yang tertangguh sewaktu tutorial pada minggu lepas iaitu berkenaan dengan tajuk Emosi Negatif yang berbentuk takut dan malu. Kumpulan yang bertanggungjawab membentangkan tajuk-tajuk ini serta menceritakan segala pengalaman mereka dan juga apa yang mereka faham berkenaan tugasan yang diberikan.

 

Tajuk pada minggu ini ialah Teori Aras Adaptasi dan Teori Proses Berlawanan Solomon. Pada mulanya saya berasa tajuk ini sukar untuk di fahami tentang apakah sebenarnya yang di maksudkan dengan Teori Aras Adaptasi. Melihat kepada tajuk itu sendiri yang menunjukkan satu teori saya berasa kurang berminat kerana bagi saya lazimnya, apa pun perkara yang berbentuk teori saya merasakan ianya suatu yang sukar kerana melibatkan sesuatu fakta yang tidak boleh direka. Apa pun, saya cuba untuk memahami dan berfikir positif bahawa kita tidak akan mendapat apa pun maklumat tanpa tahu apakah teorinya.

 

Teori Aras Adaptasi. Melihat kepada tajuk itu sendiri saya tidak tahu bagaimana untuk ditafsirkan. Setelah diterangkan definisi teori tersebut, ianya adalah suatu yang bertindak balas terhadap suatu ransangan berdasarkan adaptasi semasa kita. Ianya secara automatik meletakkan titik neutral terhadap situasi yang kita hadapi. Sebagai contoh, apabila kita cuba mendengar bunyi-bunyian di sekeliling kita, kita akan dapati bunyi-bunyian tersebut tidak terlalu kuat dan inilah yang menunjukkan aras adaptasi kita dan kita tidak akan marah. Namun begitu, jika bunyian tersebut terlalu kuat sehinggakan boleh mengganggu ketenteraman kita, kita akan berasa kurang selesa dan perasaan marah akan timbul.

 

Teringat saya sewaktu zaman persekolahan di tingkatan 1 dan ketika itu saya baru sahaja mula untuk hidup berdikari kerana saya terpaksa tinggal di asrama dan terpaksa jugalah saya berjauhan dengan keluarga yang disayangi. Kebetulan ketika itu kediaman asrama puteri, bilik saya dan kelas saya betul-betul bersebelahan dengan landasan keretapi dan setiap hari, setiap waktu terpaksalah kami mendengar bunyi bising tersebut. Paling membosankan kami apabila sesi pembelajaran dan pengajaran (P&P) dijalankan, sangat-sangatlah mengganggu sehingga kadang kala saya sendiri tidak dapat menumpukan perhatian tambahan pula, jika suara guru yang mengajar ketika itu sangatlah perlahan. Amat mengganggu saya sekali bila mana sewaktu tidur, sehinggakan kadang kala saya kerap terjaga dek kerana bunyi kereta api yang melalui landasan tersebut. Paling membuat saya sakit hati bila mana kereta api yang terlalu panjang yang membawa barang dan terpaksa mengambil masa yang lama untuk melalui landasan tersebut. Namun, lama kelamaan dari tahun ke tahun saya sudah lali dengan bunyi bising tersebut dan merasakan laluan kereta api itu sudah lagi tidak menjadi satu masalah buat saya untuk tidur, mengulangkaji pelajaran dan sebagainya.

 

Berbalik semula kepada tajuk kita, adaptasi sekarang dengan adaptasi yang akan datang tidak akan sentiasa sama dan akan sentiasa berubah. Aras adaptasi akan sentiasa berada dalam keadaan neutral, hanya suatu yang lebih baik akan menjadikan kita gembira.

 

Teori yang seterusnya ialah Teori Proses Berlawanan Solomon. Teori ini merupakan hasil ubah suai daripada Aras Adaptasi. Pada asalnya, teori ini adalah untuk menerangkan tingkah laku berkenaan dengan ketagihan dadah. Setiap emosi yang dilahirkan akan mengakibatkan terbitnya emosi yang berlawanan. Sebagai contoh, 2 insan yang berlainan jantina benci antara satu sama lain, namun akhirnya mereka melangsungkan pernikahan mereka kerana ada perasaan cinta yang timbul di antara mereka.

 

Melihat kepada contoh tersebut teringat saya kepada seorang kawan saya bernama Fiza. Kisah ini berlaku ketika mana Fiza menyambung pelajarannya di luar negara. Fiza melalui hari-hari pengajiannya seperti biasa dan bersungguh-sungguh dengan harapan mampu berbakti kepada ummah kelak. Memang tidak di nafikan Fiza ialah seorang yang bijak sejak sekolah menengah lagi. Semasa di luar negara kebiasaannya mereka mempunyai persatuan mahasiswa Malaysia dan di situ jugalah Fiza telah memegang jawatan sebagai Exco Kebajikan bagi Mahasiswi Malaysia. Exco Kebajikan bagi Mahasiswa Malaysia pula dijawat oleh seorang siswa bernama Faiz. Sepanjang tempoh mereka bekerjasama dalam satu pasukan namun mereka kerap kali bertengkar berkenaan soal cadangan-cadangan yang dikemukakan. Masing-masing tidak sepakat dalam membuat keputusan sehinggakan terpaksa dibantu oleh exco lain tambah-tambah lagi terpaksa meleraikan pergaduhan di antara mereka di sebabkan perkara-perkara yang remeh. Pernah Fiza mengadu kepada saya "Faiz ni selalu sangat cari gaduh dengan aku", namun saya menafikan kata-kata tersebut dengan membalas "orang kalau selalu benci-benci, lama-lama akan jadi sayang". Sampailah satu ketika di mana ketika itu mereka berada di tahun akhir pengajian mereka. Fiza dirisik oleh seorang lelaki bernama "Faiz" melalui teman rapatnya. Tidak di sangka perkara seperti ini akan berlaku. Mereka yang dahulunya sentiasa bertengkar rupa-rupanya Faiz menyimpan perasaan terhadap Fiza. Untuk Fiza menolak lamaran tersebut jauh sekali memandangkan Faiz adalah seorang mahasiswa yang berkebolehan, mempunyai ciri-ciri suami soleh, bijak dan banyak lagi. Akhirnya Fiza membuat keputusan untuk menerima lamaran tersebut, dan lama kelamaan perasaan cinta Fiza terbit sedikit demi sedikit buat Faiz. Mereka telah melangsungkan perkahwinan mereka pada awal tahun lepas dan kini telah pun mempunyai seorang putera. Benarlah kata orang, mula-mula benci, lama-lama jadi sayang.

 

Berbalik semula kepada tajuk berkenaan Teori Proses Berlawanan Solomon. Contoh lain yang boleh saya kemukakan ialah jogging. Seseorang yang mula cuba untuk berjogging akan berasa penat dan letih, namun setelah selalu berjogging, akhirnya perasaan tersebut bertukar menjadi seronok kerana seseorang itu dapat menjaga kesihatannya dan mengekalkan bentuk badan yang ideal. Mengulangi sesuatu pengalaman emosi akan meningkatkan kekuatan relatif emosi yang berlawanan sebagai contoh semakin banyak membuat penerjunan semakin seronok untuk melakukannya dan semakin hilang rasa takut.

 

Rasanya sampai di sini sahaja coretan saya buat kali ini…jumpa lagi…wassalam

 

 

 

 


No comments:

Post a Comment