Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia. Bertemu kembali dalam bicara tentang "Pengurusan Emosi". Hari ini 18 Januari 2011. Semakin hari semakin bertambah bilangan tarikh. Sekejap rasanya sudah pertengahan Januari. Hari ini kuliah berjalan seperti biasa seperti minggu-minggu sudah. Tajuk kuliah hari ini tentang EMOSI NEGATIF. Berbicara soal negatif, kebanyakkan di kalangan kita tidak suka hal-hal berkaitan dengan negatif. Selalunya sifat negatif merangkumi sifat takut, malu, sedih dan marah. Setiap orang pasti memiliki sifat negatif seperti yang disebutkan tadi, termasuk jugalah saya. Namun begitu, sifat-sifat tersebut di lihat bergantung kepada bagaimana seseorang itu mengawal perasaan negatifnya.
Takut boleh didefinisikan sebagai tindak balas terhadap situasi bahaya yang berkaitan dengan emosi bimbang. Pada kebiasaannya, kita akan berasa takut apabila kita berada dalam situasi negatif. Sebagai contoh ada sesuatu kejadian yang berlaku seperti kejadian jatuh dalam perigi yang akan mengakibatkan berlakunya trauma pada tempat-tempat gelap. Takut juga boleh dikaitkan dengan sesuatu yang abstrak sebagai contoh takut di ejek oleh masyarakat di sebabkan kecacatan dan sebagainya yang akan menyebabkan seseorang itu tidak suka berdepan dengan masyarakat.
Teringat saya sewaktu di zaman persekolahan. Ketika itu saya berada di sekolah menengah. Ketika saya berada di awal persekolahan sewaktu di tingkatan 1, 2 dan 3. Tidak tahu kenapa saya cukup takut apabila berdepan dengan orang, lebih-lebih lagi sewaktu pembentangan di dalam kelas. Mungkin di sebabkan perasaan malu yang terlampau. Asal saya berada di hadapan kelas membentangkan sesuatu, tangan saya pasti akan menggeletar dan suara saya juga agak terketar-ketar dek kerana gemuruh yang teramat sangat. Kadang-kadang saya rasa malu kalau-kalau ada di kalangan rakan saya yang duduk di bahagian hadapan terlihat kegemuruhan saya sekaligus dengan tangan yang menggeletar. Dari hari ke hari saya cuba untuk mengurangkan gemuruh saya apabila adanya pembentangan di dalam kelas. Kisah bermula sewaktu saya berada di tingkatan 4 di mana saya telah dicalonkan untuk memegang jawatan setiausaha jawatankuasa tertinggi asrama. Setiap malam kami akan adakan perhimpunan sebelum masing-masing ke kelas ulangkaji dan setiap AJK pula ada dijadualkan untuk mengendalikan perhimpunan tersebut termasuklah saya. Terpaksalah juga saya memberanikan diri. Dari minggu ke minggu, bulan ke bulan, tahun ke tahun akhirnya tangan saya yang dahulunya menggeletar apabila berdepan dengan orang semakin berkurangan. Semenjak saya memegang jawatan di exco asrama pada tingkatan 4, semenjak itulah banyak pula jawatan yang perlu saya pegang sebagai contoh AJK mana-mana program sekolah, naqibah dan sebagainya. Dari situlah lama kelamaan saya semakin terbiasa dan Alhamdulillah sehingga kini saya dapat mengurangkan darah gemuruh saya walaupun sesekali perasaan itu masih ada. Betullah kata Dr Zamri, perasaan-perasaan seperti ini boleh dididik dan dikawal mengikut cara bagaimana kita mengawalnya.
Berbalik kita kepada tajuk. Sifat negatif seterusnya ialah malu. Malu di rasai apabila melakukan sesuatu yang tidak dapat di terima dalam pekerjaan atau masyarakat. Ianya melibatkan air muka atau maruah bergantung kepada sesuatu yang dialami sebagai contoh melakukan sesuatu yang tidak normal atau sesuatu yang tidak dapat di terima oleh masyarakat seperti silap memakai kasut, memakai baju terbalik dan sebagainya. Terdapat 2 kategori malu iaitu:- 1. Personal – orang lain tertumpu kepada kita di sebabkan kesilapan kita atau kalah dalam sesuatu permainan. 2. Profesional – urusan yang berkaitan dengan pekerjaan sebagai contoh seorang pensyarah dipecat kerana telah berkhalwat dengan pelajar sendiri.
Seterusnya ialah emosi sedih. Sedih menggambarkan perasaan kerugian dan kehilangan. Jika emosi sedih yang serius ianya akan membawa kepada kemurungan dan perlu intervensi daripada pakar. Seseorang yang dahulunya periang akan bertukar menjadi pendiam apabila terdapat kesedihan dalam dirinya. Orang yang dilanda kesedihan kebiasaannya tidak semangat dan suka mengasingkan diri serta enggan untuk berjumpa dengan orang lain.
Teringat saya kisah beberapa tahun lepas. Kisah ini telah berlaku kepada makcik saya sendiri, Cik Ani yang mana dia telah kehilangan suami yang sangat dicintai dan disayangi secara mengejut. Pada malam itu arwah suami serta keluarga Cik Ani saya berkumpul satu keluarga sambil makan malam bersama dengan hidangan tom yam yang telah dibeli oleh arwah suami Cik Ani. Mereka bercerita sambil bergurau senda pada malam tersebut. Keesokkan paginya seperti biasa Cik Ani akan mengejutkan suaminya untuk bersiap-siap ke tempat kerja diikuti anak-anaknya pula untuk ke sekolah. Namun pada pagi itu, suami Cik Ani tidak juga bangun seperti kebiasaannya. Setelah anak-anak ke sekolah tergerak hati Cik Ani untuk membuka lampu bilik. Sangat terkejut Cik Ani apabila mendapati suaminya terkujur kaku dengan wajahnya yang kebiruan. Suaminya meninggal secara mengejut di dalam tidur. Semenjak hari itu, Cik Ani semakin lemah semangat, kemurungan dan sedih di atas pemergian suami sehinggakan pernah Cik Ani memberitahu saya terdetik di hatinya "kalau boleh acik nak ikut sekali arwah pergi". Terbayangkan anak-anaknya, Cik Ani semakin hari semakin cuba untuk menguatkan diri dan menerima segala kehendak Allah dengan redha. Dan Alhamdulillah akhirnya sehingga kini Cik Ani dapat semula menjalankan tanggungjawabnya membesarkan anak-anak walaupun tanpa suami tercinta di sisi.
Emosi yang terakhir ialah emosi marah. Marah boleh diertikan sebagai tindak balas emosi terhadap kesakitan dengan adanya persepsi penderitaan atau ketegangan dan ancaman. Emosi marah diekspresi dalam 2 bentuk iaitu secara aktif seperti tindakan memukul dan secara pasif seperti bermasam muka dan sebagainya. Teringat saya untuk mengaitkan emosi marah yang diekspresi secara aktif. Kalau kita lihat drama-drama di kaca tv banyak sekali terdapat rancangan-rancangan berkisar tentang sebuah keluarga yang hidup dalam porak peranda. Si suami atau ayah yang tidak bekerja asyik berjudi, ke kelab malam, berfoya-foya dan sebagainya dan si isteri pula yang bersengkang mata siang malam mengambil upah menjahit semata-mata untuk menanggung keluarga. Apa yang berlaku, apabila si suami pulang saja ke rumah semua layanan isteri serba tak kena dan di pukulnya isteri dan anak-anak tanpa belas kasihan dek kerana kemarahan yang membara di atas sebab-sebab yang kecil sahaja.
Menurut perspektif Islam pula, marah merupakan tanda kelemahan kita kerana kita tidak dapat mengawal diri kita sendiri dengan kesabaran. Di bawah diterangkan apa yang patut kita lakukan sekiranya kita berada dalam situasi marah. 1. Mengakui yang anda berada dalam keadaan marah. 2. Menilai situasi tersebut sesuai untuk marah atau tidak. 3. Jika sesuai untuk luahkan kemarahan, nilai pula pendekatan apa yang patut digunakan. Secara langsung atau tidak langsung. 4. Setelah marah cuba bermuhasabah diri kembali apa yang telah di alami untuk memperbaiki diri.
Pada kelas tutorial pula, kelas berjalan seperti biasa. Hari ini, Dr Zamri membahagikan kami kepada kumpulan kecil mewakili 4 emosi yang dibincangkan semalam. Untuk hari ini hanya emosi sedih dan marah sahaja yang sempat dibincangkan. Teringat saya tentang kesah yang diceritakan oleh salah seorang daripada kumpulan perbincangan sedih. Di mana beliau terpaksa berjauhan dengan ibunya yang terpaksa menjalani satu pembedahan kanser pangkal rahim. Bagi saya, apapun hal yang menimpa salah seorang ahli keluarga kita ataupun orang yang sangat kita sayangi memang amat menyedihkan lagi-lagi bila mana kita sendiri tidak dapat berada di sampingnya.
Akhir kalam, cuba renungkan kata-kata di bawah: " Jika kamu kesusuahan, ingatlah untuk menyimpan kesabaran" dan "kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal, tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah". Don't be sad. Renung-renungkan dan selamat beramal. Ketemu lagi di coretan yang akan datang. Wassalam… |
Thursday, 20 January 2011
A126800 IRA FAZLIANA BINTI SADELI TAJUK 4 EMOSI NEGATIF (-VE)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment