Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat sekian kalinya. Kuliah ke-10 pengurusan emosi pada minggu ini menyentuh tajuk kebijaksanaan emosi atau emotional intelligence. Seperti yang diperkatakan oleh Daniel Goleman seorang pakar psikologi dari Amerika Syarikat dalam buku karyanya Emotional Intelligence, "all emotions are, in essence, impulses to act". Ini bererti yang emosi kita adalah pendorong untuk kita mengambil tindakan seterusnya. Perkara ini dapat dilihat dengan hasil ekspresi muka manusia yang berbagai-bagai. Sebagai contoh, apabila seseorang itu terkejut atau mengalami emosi 'surprised', keningnya akan terangkat dan matanya akan menjadi besar, hal ini adalah agar dia dapat meluaskan skop penglihatannya dengan membenarkan lebih banyak cahaya memasuki retinanya. Dengan begini, badan seseorang itu telah betindak secara impuls untuk menyediakan dirinya akan apa yang akan datang. Begitu juga dengan apabila dilanda perasaan geli, menyampah atau 'disgusted', bibir atas akan tersimpul ke tepi dan hidung disengetkan sebagai langkah menahan diri dari ketidak selesaan yang dihadapi. Pada awal kuliah kali ini, kami telah disajikan dengan beberapa video yang menunjukkan ekspresi manusia yang berbeza dan pelbagai. Air muka seseorang itu mampu dibaca oleh seorang pakar yang terlatih dalam bidang tersebut, dan kemahiran ini sangat berguna bagi kita memahami sifat manusia. Sebagai contoh, kita dapat mengesan jika seseorang itu sedang menipu dari ekspresi wajah dan juga gerak badannya. Bagi menguji kemahiran kami dalam membaca ekspresi orang, kami telah diberikan dua jenis ujian visual. Kedua-dua ujian berbentuk kuiz itu mengandungi wajah orang dengan ekspresi yang berbeza-beza. Namun, oleh kerana ujian kedua merangkumi orang dari pelbagai kaum dan etnik, kebanyakan pelajar tidak berjaya mendapat keputusan yang baik. Dengan ini, barulah kami sedar kepayahan membaca ekspresi muka orang. Kebijaksanaan emosi adalah kemampuan seseorang itu mengawal emosinya dan juga keadaan sekelilingnya. Seseorang yang mempunyai emosi terkawal tidak mudah menunjukkan perasaan sebenarnya melalui ekspresi mukanya. Sebaliknya golongan yang ada pengawalan emosi yang rendah terlalu mudah untuk menampakkan isi hatinya di wajahnya menyebabkan mereka sukar untuk menyelamatkan diri dalam situasi sosial yang sukar. Kesimpulannya, kita perlu mempunyai kebijaksanaan yang tinggi bagi mengawal emosi kita dan memudahkan urusan kita dengan orang lain.
|
No comments:
Post a Comment