Rabu, 01 September 2010, bulan yang baru selepas Ogos ditinggalkan. Seperti biasa jam 4 hingga 7 petang, kuliah pengurusan emosi diadakan , tajuk yang dipelajari pada hari ini adalah mengenai emosi dan ingatan. Wah tajuknya sangat menarik dan sesuai dengan saya sebagai pelajar universiti untuk mengetahui lebih mendalam lagi apa itu emosi dan ingatan. Pada petang itu, sebelum kuliah bermula En. Zamri telah menyajikan suatu tayangan video di dalam kelas mengenai kejadian yang menyayat hati yang telah mengemparkan seluruh dunia pada tahun 2004 iaitu Tsunami yang berlaku di Indonesia. Tayangan video itu serba sedikit telah mengembalikan memori dan ingatan saya terhadap berita-berita dan gambar-gambar mengenai kemusnahan dan kerosakan harta benda, rumah dan bangunan, serta kehilangan nyawa penduduk tempatan ketika berlakunya ombak besar tsunami. Walaupun saya tidak mengalami kejadian ini tetapi ia turut memberi kesan kepada emosi saya apatah lagi kepada masyarakat yang telah mengalaminya sendiri, pasti mereka tidak dapat melupakan setiap saat dan detik ketika berlakunya Tsunami, pasti emosi mereka turut terjejas teruk.
Berbalik kepada topik kuliah iaitu emosi dan ingatan. Maksud emosi sudah saya jelaskan pada kuliah sebelum ini, jadi saya akan menjelaskan maksud berkaitan ingatan. Ingatan bermaksud maklumat atau informasi yang kita perolehi dan disimpan dalam ingatan jangka panjang, dan boleh dikeluarkan semula apabila kita memerlukannya. Jadi ingatan adalah seperti gambar-gambar yang telah dipisahkan satu persatu dan disimpan di dalam otak manusia. Adakah ingatan dapat membantu kita untuk mengingati sesuatu benda? Terdapat dua elemen untuk menjelaskan mengenai ingatan iaitu yang pertama kandungan emosi dalam maklumat yang hanya untuk diingati sahaja. Kedua kesan emosi dalam pembelajaran dan pengingatan. Memori dan ingatan terbahagi kepada dua iaitu kandungan emosi (emotional content) dan keadaan emosi (emotional state-mood). Sebagai manusia, kita sememangnya sangat mudah mengingati sesuatu peristiwa atau kejadian yang berlaku kepada kita melalui pengalaman yang melibatkan emosi yang positif berbanding dengan pengalaman emosi negatif. Sebagai contohnya, kita akan mengingati peristiwa yang gembira dan mengelikan hati sahaja seperti majlis sambutan hari jadi berbanding dengan peristiwa kita berpisah dengan seseorang yang kita sayangi. Lagipun pengalaman yang melibatkan emosi negatif mudah hilang dan pasti cepat untuk dilupakan. Contohnya saya sendiri, sehingga sekarang masih lagi mengingati peristiwa saya memperolehi hadiah daripada abang saya kerana telah berjaya melanjutkan pelajaran di universiti dan sampai sekarang jika saya melihat hadiah itu kembali saya pasti akan ingat saat-saat yang gembira.
Elemen emosi dan ingatan yang kedua ialah keadaan emosi (emotional state –mood). Elemen ini bergantung kepada keadaan emosi kita. Elemen ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu, kesepadanan emosi (mood congruence) dan kerbergantungan emosi (mood dependence). Kesepadanan emosi (mood congruence), di mana kita mengingati peristiwa yang bersepadanan dengan emosi dan keadaan kita pada ketika itu, Sebagai contohnya, jika kita sedang bersedih ataupun tertekan, kita lebih cenderung untuk mengingati peristiwa atau kejadian yang sedih-sedih sahaja. Manakala kerbergantungan emosi (mood dependence) merujuk kepada bahawa kita lebih senang mengingati sebuah kejadian yang lain jika kita mengalami emosi dan peristiwa yang sepadan. Walaubagaimana pun, kita tidak boleh mengatakan keadaan emosi mempengaruhi ingatan dan memori. Sifat emosi yang dialami dan dirasai juga adalah penting, kerana peristiwa yang berlaku juga disebabkan oleh tingkah laku.
Kesimpulannya, peristiwa yang dialami oleh manusia banyak dipengaruhi oleh emosi. Dan melalui emosi juga lahirlah ingatan yang dapat dikenang. Tanpa peristiwa yang positif dan negatif tiadalah kenangan dan juga memori yang dapat kita ingati sepanjang kita menempuh perjalanan dalam kehidupan ini. Sekian.
No comments:
Post a Comment