Friday, 13 August 2010

A123875 Nurul LJ04

Bismillahirrahmanirrahim

Ramadhan datang lagi menjadi pengubat kegersangan hati insan-insan yang jauh dari Penciptanya..

Masa begitu pantas berputar, dan bulan yang dinanti-nantikan akhirnya tiba jua.  Terdetik di dalam hati,

"Bersediakah aku untuk bertemu dengan Ramadhan?".  Memang aku menantikan kehadiran Ramadhan,

namun aku masih tidak bersedia menemuinya. Mungkin kerana maksiat dan dosa-dosa yang

aku lakukan menggelapkan hatiku. Hari demi hari, semakin hampir dengan bulan penuh rahmat itu, dan

aku, sedikit demi sedikit mencuba untuk membersihkan hati dan jiwaku dengan memperbanyakkan

amalan ibadah. Juga, berusaha untuk memperelokkan akhlakku dengan makhluk-makhluk yang lain. 


Sewaktu mengerjakan solat terawikh pada malam Ramadhan yang pertama, aku teringat kembali kisah

dahulu.  Aku berumur 13 tahun sewaktu aku melangkah masuk ke asrama penuh dan itulah buat pertama

kalinya aku mengerjakan solat terawikh. Dan sejak dari itu, aku tidak pernah sekalipun meninggalkan

solat terawikh. Walaupun adakalanya, aku tidak dapat bersolat terawikh jemaah di masjid disebabkan oleh

berlakunya sesuatu yang menghambat diriku, namun, aku akan mengerjakannya bersendirian.  Mungkin

inilah antara caranya untuk aku menunjukkan rasa sayang dan cinta kepada Tuhanku.  Semoga semua

amalan kita diterimaNya.  

Kebanyakan perkara tentang agama, aku belajar dari sekolah.  Bersolat, mengaji dengan lancar, belajar

mengenal ALLAH dan RasulNya. Suatu kenangan indah yang tidak dapat aku lupakan.  Memang fitrah

manusia, ingin dekat dengan Penciptanya. Mungkin aku berbeza dengan orang lain. Aku mengenal,

mencintai dan merasa rindu akan Tuhanku dari sekolah, tetapi orang lain mengenal Tuhan atas didikan

ibubapa.  Apa sekalipun aku amat berterima kasih kepada mereka kerana melahirkan, menjaga, menyayangi,

dan menyekolahkan aku di sekolah itu.  Suatu hari nanti aku juga akan mempunyai zuriat sendiri.

Dan aku bersama-sama pasanganku akan mendidik mereka supaya kenal akan Tuhannya. 


Tajuk kuliah pada minggu ini adalah berkisar tentang emosi negatif. Sebagai seorang manusia, kita tidak dapat

lari dari memiliki emosi negatif ini.  Minggu ini, juga sama seperti minggu-minggu sebelumnya.  Pasti ada hari

yang aku berasa sedih, takut atau marah.  Pada hari Isnin yang lalu, aku merajuk dengan kawan satu kumpulan

projek denganku kerana percakapannya seolah-olah tidak menghormatiku. Aku cuma berasa tidak adil, kerana

aku juga berusaha sedaya-upaya dalam menyempurnakan tugasan itu sehinggakan aku mengabaikan

kesihatanku.  Merajuk adalah antara contoh marah yang pasif.  Marah yang aktif adalah marah yang akan ditunjukkan

secara perlakuan atau fisikal kepada orang yang terlibat.  Aku bukanlah orang yang pandai untuk menunjukan

marahku.  Jika aku terlampau marah dan aku tidak dapat meluahkannya, aku hanya akan menangis. Akanku

adukan segalanya kepada yang Maha Mendengar segala penderitaan dan kesedihanku. Hanya Dia yang

benar-benar menyayangiku. 

Sedih juga adalah antara emosi-emosi sedih.  Sedih adalah emosi yang mempamerkan rasa kehilangan dan sedih

yang mendalam akan membawa kepada kemuraman.  Selalunya, jika seseorang berada di dalam keadaan sedih,

seseorang itu akan menjadi pendiam, kurang bertenaga dan suka bersendirian.  Dia juga tidak suka keluar dan

tidak ada keinginan untuk bergaul dengan orang lain.  Aku pernah berasa sedih dengan sikap kawanku.  Dia

hanya mencariku di saat dia di dalam kesusahan. Di masa dia senang, aku tidak pernah ada di dalam diari hidupnya. 

Aku tidak akan sekali-kali berbuat begitu kepada kawan-kawanku yang lain. Aku tidak akan membiarkan

sahabat-sahabatku yang lain merasa  seperti apa yang ku rasakan.  Teringatku kepada satu kata-kata dari Saidina Ali

" Selemah-lemah manusia adalah orang yang tidak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah dari itu

adalah orang yang mensia-siakan sahabat yang telah dicari".

Mempunyai emosi negatif seperti sedih, takut, malu atau marah adalah lumrah kita sebagai seorang manusia. 

Cuma yang penting, adalah kita tahu bagaimana hendak mengawalnya supaya emosi-emosi negatif itu tidak

memberi impak yang buruk kepada diri kita dan orang lain. Dan salah satu cara yang berkesan untuk

mengawalnya adalah mendekatkan diri kepada Ilahi.

Wallahu'alam.


No comments:

Post a Comment