Saturday 30 July 2011

Seah Zeyen A131580 Jurnal 1

Seah Zeyen A131580



                Salam sejahtera. Pada 27 Julai 2011, iaitu hari Rabu yang lepas, saya telah menghadiri kuliah ZT 2253 iaitu Pengurusan Emosi yang diajar oleh Dr. Zamri. Kuliah tersebut dibahagikan kepada dua tajuk, tajuk pertama ialah Pengenalan Emosi manakala tajuk kedua ialah Struktur Asas Emosi. Sebelum ini, saya berasa bahawa perkataan 'emosi' bermaksud sesuatu perasaan intens yang ditunjukkan oleh seseorang, contoh yang paling mudah dan boleh dilihat selalu adalah gembira, sedih dan marah. Saya juga berpendapat bahawa emosi boleh dikawal oleh jiwa dan minda seseorang, dan seterusnya boleh mempengaruhi perasaan, fikiran dan tindakan sendiri dan orang lain. Walaupun begitu, selepas mendengar kuliah yang diberikan, barulah saya sedar bahawa pengetahuan tentang emosi adalah sangat luas dan banyak penyelidikan dan analisi telah dibuat pada tajuk ini yang membolehkan saya mempelajari dan memahami konsep-konsep emosi dengan lebih mendalam lagi.

                Sebenarnya, emosi ialah hasil daripada beberapa faktor yang berinteraksi antara satu sama lain dan terdiri daripada empat komponen iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkah laku berkaitan. Sebagai contoh, apabila seekor anjing yang garang menghampiri saya, saya akan berasa takut (perasaan), seterusnya akan berfikir saya berada dalam keadaan bahaya (proses kognitif yang memerlukan minda dan pemikiran). Kemudian, hati saya berdebar dengan cepat dan mula berpeluh (perubahan fisiologi tubuh). Respons saya untuk situasi tersebut adalah berlari dengan segera dan menjauhkan diri daripada anjing garang itu (tingkah laku dan tindakan yang diambil). Walaupun proses ini dinampak kompleks, tetapi semua ini hanya berlaku dalam masa yang singkat sahaja. Selain itu, emosi boleh digunakan sebagai pendorong kepada tingkah laku dan motif. Jika saya mendapat keputusan peperiksaan yang teruk saya akan berasa malu dan tidak puas hati dan seterusnya memotivasikan saya untuk terus berusaha dengan lebih tekun untuk mencapai motif atau matlamat saya. Kuliah juga telah mengajar saya tentang cara untuk mengukur emosi, antaranya ialah 1) laporan sendiri, biasanya melalui soal selidik ataupun temu bual; 2) pemerhatian; dan 3) pengukuran perubahan fisiologi badan seperti tekanan darah dan kadar pernafasan.

                Struktur asas emosi boleh dijelaskan menggunakan Darwin's Basic Theory of Emotion, Plutchik's Primary Emotion Theory, Tomkin's Facial Feedback Theory ataupun Izard's Innate Facial Expression. Berdasarkan Darwin's Basic Theory of Emotion, emosi terdiri daripada emosi asas atau dikenali sebagai emosi primari, yang bermaksud ciri-ciri dalaman seseorang yang dialami dan diekspresikan melalui wajah dalam bentuk yang seragam di semua bangsa dan budaya. Kesemua emosi yang wujud merupakan kombinasi gabungan antara emosi- emosi primari. Plutchik's Primary Emotion Theory pula lebih rumit. Teori ini mendedahkan bahawa emosi boleh dibahagikan kepada tiga bahasa iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkah laku dan bahasa fungsian. Contohnya, perasaan terkejut (bahasa subjektif) akan membawa kepada tindakan untuk berhenti (bahasa tingkah laku) untuk memenuhi nafsu ingin tahu (bahasa fungsian). Plutchik menyenaraikan lapan jenis emosi asas dan membahagikan mereka kepada empat pasangan emosi yang bertentangan. Emosi juga boleh diukur daripada tiga dimensi iaitu darjah, persamaan dan kekutuban. Model emosi 3D Plutchik telah menunjukkan emosi secara berperingkat, di mana emosi yang kurang serius berada di bawah model manakala emosi yang lebih serius terletak di atas. Daripada pengalaman saya, semasa beratur untuk membeli makanan di kafe, orang yang berdiri di belakang sedang bercakap dengan kuat dan kasar, saya akan berasa geram tetapi cuba sabar dan tidak mempedulikannya. Sekiranya orang tersebut memotong garisan, saya akan berasa marah sehingga bersuara untuk menegurnya.

                Tomkin's Facial Feedback Theory pula menjelaskan emosi dengan lebih mendalam dan dari segi yang lebih abstrak berbanding dengan yang lain. Semasa kuliah, teori ini telah membuatkan saya tertanya-tanya sama ada ekspresi wajah yang menghasilkan emosi ataupun yang sebaliknya. Akhirnya, pada pendapat saya, emosilah yang membawa kepada ekpresi wajah. Secara lojiknya, mestilah sesuatu perkara yang menyebabkan seseorang berasa sedih lalu mengalirkan air mata, dan tidak mungkin seseorang itu mengalirkan air mata tanpa sebab barulah berasa sedih. Walaupun begitu, saya bersetuju dengan kritikan teori ini yang menyatakan bahawa ekspresi wajah seseorang tidak boleh 100% menentukan emosinya. Hal ini kerana ekspresi wajah seseorang adalah pada permukaan sahaja dan mungkin ditunjukkan atas sebab-sebab tertentu dan bukannya perasaan dalamnya sendiri. Contohnya, jurujual selalu senyum untuk memaparkan imej yang sopan kepada pelanggan dan bukannya kerana dia berasa gembira pada setiap masa.

                Izard's Innate Facial Expression pula menerangkan bahawa manusia telah memiliki kemahiran untuk menunjukkan emosi melalui ekspresi wajah secara semulajadi dan proses pembelajaran tidak akan memberi apa-apa impak ataupun kesan kepada pengalaman emosi. Dalam teori ini, emosi adalah keupayaan semulajadi manusia dan pengajaran emosi kepada seseorang hanyalah bertujuan untuk mengawal emosinya. Bayi akan tahu berasa marah dan terperanjat pada umur tiga hingga empat bulan, tahu berasa marah dan takut pada umur lima hingga enam tahun, berasa puas hati pada umur satu tahun dan tahu berasa bersalah apabila berumur dua tahun. Saya bersetuju dengan teori ini kerana bayi yang baru dilahirkan tidak mungkin faham apa yang dilakukan oleh orang dewasa namun mereka erti senyum dan gelak apabila mereka berasa gembira, lucu atau gatal dan sebaliknya erti menangis apabila terasa sakit atau lapar.

                Tambahan pula, pembelajaran dan pengalaman memainkan peranan dan watak yang penting untuk membolehkan menunjukkan emosi kita dengan lebih matang dan mengikut keadaan tertentu. Kalau pengalaman dilihat dari perspektif biologi, Plutchik mengatakan bahawa seseorang akan mengekspresikan emosinya secara langsung dan proses pembelajaran diperlukan untuk mengubahsuai emosi itu.Dari pengalaman saya, semasa ibu bapa berbual-bual dengan kawan-kawan mereka di ruang tamu, saya tidak akan merungut untuk menunjukkan kebosanan saya kerana tingkah laku yang mementingkan diri sendiri ini akan memalukan ibu bapa di hadapan kawan-kawan. Sebaliknya, kalau kita menglihat pengalaman dari segi teori pembelajaran, semua emosi adalah dipelajari bukannya didapati semasa dilahirkan. Kajian Albert membuktikan bahawa perasaan ketakutan juga dipelajari. Contohnya, bukan semua orang akan berasa takut pada cicak,lipas, kegelapan, ketinggian dan sebagainya. Sesetengah orang memupuk perasaan takut pada sesuatu disebabkan pengalaman dan pembelajaran.

                Kesimpulannya, terdapat banyak teori yang memberi penjelasan tentang emosi dan teori-teori ini berkait rapat antara satu sama lain. Selepas kuliah, saya telah memahami tajuk ini dengan lebih jelas. Saya sedar akan kepentingan untuk menguruskan dan mengawal emosi saya dengan lebih baik dan berhati-hati dalam kehidupan seharian agar tidak menyinggung perasaan orang lain, mengelakkan perselisihan faham dan seterusnya boleh berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain dengan lebih efektif.

No comments:

Post a Comment