Saturday 30 July 2011

Salam sejahtera. Ini merupakan jurnal pertama saya untuk kursus Pengurusan Emosi ZZZT2253 yang berdasarkan pada kuliah pengurusan emosi pada semester ketiga ini pada 27 Julai 2011 yang bertempat di Dewan Kuliah 1 UKM KCKL. Semasa Dr. Zamri memulakan kuliahnya pada hari tersebut, pelajar yang hadir masih ada lagi yang asyik dengan kerja-kerja sendiri dan ada yang menunjukkan muka bosan memandangkan masa tersebut adalah masa yang baik untuk tidur petang selepas makan tengah hari. Tetapi, sebaik sahaja Dr. Zamri menayangkan video pendek dari youtube, semua fokus pelajar adalah pada skrin di hadapan dewan kuliah. Video pendek tersebut menceritakan kisah peserta tersebut dimana beliau telah mengharungi masa kegelapan dalam kehidupan beliau dan kini beliau telah berjaya mengharunginya dan menggunakan emosi tersebut untuk memotivasikan beliau untuk tabah dalam menjalani kehidupan beliau agar dapat berjaya dalam kehidupan.

 

                Sebelum ini, anggapan saya terhadap emosi adalah perasaan tanpa sebarang faktor-faktor lain. Terbukti anggapan saya yang tidak berasas dan tidak berpengetahuan tersebut adalah salah apabila doktor telah menerangkan bahawa emosi adalah terdiri daripada perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkahlaku berkaitan. Emosi adalah satu interaksi yang kompleks antara faktor-faktor subjektif dan objektif dan juga sistem saraf dan hormon di dalam tubuh badan manusia.  Setiap satu komponen emosi adalah saling berkaitan dimana perubahan emosi akan membawa kepada perasaan yang kami rasai dan kemudiannya menjana proses kognitif dan seterusnya perubahan fisiologi akan berlaku untuk mengadaptasikan tubuh badan kita kepada emosi tersebut. Akhirnya, kami akan membuat sesuatu respons iaitu tingkahlaku berkaitan dengan emosi tersebut.

 

                Sebagai contoh, dalam video yang ditayangkan pada permulaan kuliah, kisah peserta lelaki tersebut telah membuatkan saya berasa sedih terhadap apa yang dihadapi oleh beliau pada masa tersebut. Seterusnya, proses kognitif telah berlaku apabila saya melabelkan beliau sebagai seorang yang tabah dalam cabaran kehidupan. Tidak lama selepas itu, degupan jantung bertambah kencang dan titisan air telah dialirkan dari mata saya sendiri tanpa saya sendiri di mana perubahan fisiologi telah mengambil tempatnya terhadap emosi saya. Seterusnya, saya tidak mempedulikan rakan-rakan saya disebelah yang cuba bercakap kosong dengan saya dan saya memejamkan mata saya untuk menghayati lagu yang dinyanyikan oleh peserta lelaki tersebut. Saya tersenyum lebar apabila mengetahui bahawa beliau telah berjaya meneruskan pertandingan tersebut ke peringkat yang seterusnya. Ini adalah tingkahlaku yang berkaitan yang telah saya lakukan terhadap emosi tersebut.

 

                Seperti yang dikatakan oleh Baron dan Logan (1993), emosi tidak dapat dipisahkan dari motivasi, saya amat bersetuju dengan ayat tersebut. Sebagai contoh, apabila saya telah gagal dalam peperiksaan akhir modul, saya akan berasa amat kecewa dengan sendiri dan melabelkan diri sebagai pelajar yang lemah. Perubahan fisiologi yang berlaku dalam tubuh badan saya terutamanya perubahan hormon telah membuatkan saya serba salah. Tingkahlaku yang berkaitan yang dilakukan adalah untuk belajar dengan lebih gigih dan bijak. Emosi ini yang terpahat dalam hati saya telah memotivasikan saya agar saya belajar dengan bersungguh-sungguh untuk setiap modul dan seterusnya untuk peperiksaan akhir agar saya tidak akan gagal lagi dalam peperiksaan-peperiksaan yang saya duduki. Walaupun belajar dengan gigih mungkin didorong oleh motif untuk berjaya, tetapi emosi untuk tidak gagal dalam peperiksaan telah menjadi faktor perdana dalam memotivasikan saya untuk belajar bersungguh-sungguh.

 

                Sebelum ini, saya tidak pernah memikirkan persoalan sama ada emosi boleh diukur atau tidak. Tetapi menerusi penjelasan doktor, barulah saya memahami bahawa persoalan bolehlah diukur. Emosi boleh diukur menerusi testimoni seseorang, pemerhatian dan juga pengukuran physiologi tubuh badan. Sebagai bakal doktor perubatan, saya haruslah peka terhadap emosi pesakit. Emosi pesakit adalah sangat penting kerana ia akan mempengaruhi pesakit tersebut untuk menceritakan sejarah penyakitnya di samping juga akan mempengaruhi keberkesanan rawatan kerana rawatan tertumanya dari segi pemakanan ubat adalah amat memerlukan pematuhan pesakit tersebut. Sekiranya mereka adalah beremosi dan doktor yang merawat mereka tidak peka terhadap emosi mereka dan cuma fokus pada penyakit pesakit, nescaya rawatan tersebut akan berjaya tanpa rawatan berulang dan selanjutnya. Oleh itu, untuk menjadi seorang doktor yang peka terhadap emosi pesakit, saya haruslah tahu mengukur emosi pesakit sebaik sahaja pesakit berjalan masuk ke bilik rawatan. Ini akan memudahkan pesakit tersebut untuk menceritakan sejarah penyakitnya dan juga meletakkan pesakit tersebut di keadaan yang selesa dan seterusnya menjayakan rawatan pesakit tersebut dari segi fizikal mahupun mental.

 

                Dalam kuliah ini juga, saya telah didedahkan kepada 4 teori yang berkaitan dengan emosi dan menjadi asas kepada kebanyakan kajian berkaitan emosi. Teori yang paling asas adalah 'Darwin's basic theory of emotion'.  Dalam buku beliau yang bertajuk 'The Expression of Emotions In Man and Animals' beliau menyatakan bahawa expresi wajah melambangkan emosi seseorang. Namun demikian, wajah tidak semestinya melambangkan emosi seseorang. Seseorang boleh menyembunyikan emosinya agar tidak dapat dikesan oleh orang lain atau semata-mata untuk tidak menegangkan situasi pada masa itu. Misalnya, semasa berseronok dengan rakan-rakan di sebuah restoran, seseorang akan menyembunyikan emosinya yang bimbang akan masih banyak lagi buku untuk dibaca dan peperiksaan sudah dekat. Ini adalah untuk agar tidak membuatkan rakan-rakan yang lain yang masih syok lagi menceritakan kisah-kisah mereka rasa kurang selesa. Ini adalah seperti menuangkan air ke atas api. Api tersebut adalah untuk memberi  haba kepada manusia disekelilingnya. Tetapi, apabila api tersebut telah hilang, maka haba tidak dapat dikeluarkan oleh api lagi dan menyebabkan manusia kesejukkan. Sekiranya kita menunjukkan emosi kita yang bimbang akan pelajaran apabila rakan-rakan lain yang masih syok bercerita dan sudah sekian lama tidak berjumpa, mereka akan berasa tidak selesa dan seterusnya berhenti bercerita dan akhirnya akan bersurai dengan perasaan tidak puas bercerita dengan kebelakangan hidup mereka sesama sendiri.  Oleh itu, kita pasti akan menyembunyikan emosi kita dan menunjukkan emosi yang ceria. Oleh itu, teori tidak berapa tepat tetapi teori ini telah menjadi asas kepada teori yang lain dan mencetuskan idea kepada ahli teori yang lain.

 

                Seterusnya, teori yang saya pelajari adalah 'Plutchik's Primary Emotion Theory'.  Dalam teori ini, emosi dibahagikan kepada 3 komponen utama yang dinamakan sebagai bahasa emosi, tindakan asas untuk mengadaptasi dan dimensi emosi. Bahasa emosi digambarkan kepada 3 bahasa iaitu bahasa subjektif iaitu perasaan kita; bahasa tingkah laku iaitu tindakan kita terhadap emosi tersebut dan bahasa fungsian iaitu isi tersirat terhadap respons yang diberikan terhadap perasaan kita terhadap emosi yang dihadapi.  Dalam tindakan asas untuk mengadaptasi, terdapat lapan reaksi dan reaksi ini boleh dibahagikan kepada 4 pasangan yang berpolar seperti marah dan takut. Untuk dimensi emosi pula dibahagikan kepada tiga komponen dimensi iaitu keamatan, persamaan dan polarity. Melalui pembacaan di laman web, Plutchik dipercayai adalah ahli teori yang telah mengemukakan model emosi yang paling tepat dan saya sendiri juga berpendapat demikian.

 

                Teori yang dipelajari juga adalah 'Tomkin's Facial Feedback Theory'. Teori ini mengatakan bahawa ekspresi wajah melambangkan emosi kita. Sebagai contoh, apabila kita bimbang atau risau, dahi kita akan berkerut dan apabila kita gembira, senyuman manis pasti terukir di bibir kita. Namun, teori ini adalah berdasarkan teori Darwin maka masalah yang sama telah timbul; iaitu seseorang boleh menyembunyikan emosi mereka seperti mana yang telah dijelaskan di atas.

 

                Teori yang terakhir yang dipelajari adalah 'Izard's Innate Facial Expression'.  Teori ini menyatakan bahawa emosi adalah semulajadi dan pembelajaran hanya member impak yang kecil terhadap reaksi tersebut. sebagai contoh, apabila kita pernah terkena percikan api daripada mercun, secara semulajadinya, kami akan cuba berdiri dari jauh untuk melihat mercun tersebut apabila melihat orang lain sedang bermain mercun.

               

                Secara kesimpulannya, emosi merupakan satu topik yang kompleks yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia yang tidak dapat dielakkan. Emosi mampu memberi impak yang besar kepada kehidupan kita. Oleh itu, kita haru tahu cara mengawal emosi kita agar emosi tidak mengawal kita dalam tindakan-tindakan kita. Kuliah ini telah mendedahkan dan menebalkan pengetahuan saya mengenai emosi  dan telah mengubah persepsi saya terhadapnya.

 

                

No comments:

Post a Comment