Saturday 30 July 2011

PENGURUSAN EMOSI, VITTARINO BIN JOHNNY, A131865, LJ01, EMOSI

PENGURUSAN  EMOSI (ZT2253)
VITTARINO BIN JOHNNY, A131865, LJ01, EMOSI.
Salam sejahtera dan salam perpaduan saya ucapkan kepada rakan-rakan sekalian. Saya, Vittarino Bin Johnny ingin berkongsi serba sedikit tentang apa yang telah saya pelajari dalam kuliah pertama Pengurusan Emosi pada 27 Julai 2011 yang lalu. Sebelum itu, saya ingin bertanya kepada rakan-rakan sekalian, apakah kepentingan kita mengetahui cara-cara untuk mengurus emosi? Pada pendapat saya, antara kepentingannya ialah dapat membantu kita untuk mengawal emosi kita sendiri dalam pelbagai situasi. Hal ini sekali gus dapat mengelakkan kita untuk melakukan apa jua masalah yang akan memberikan impak yang buruk kepada kita.
Pada permulaan kuliah ini, kami telah menyaksikan satu tayangan video pendek iaitu 'Korea's  Got Talent'. Video ini berkaitan seorang remaja yang bernama Sung-bong yang merupakan seorang pekerja manual. Dia ditinggalkan di rumah anak-anak yatim sewaktu berumur tiga tahun dan pada umur lima tahun, dia melarikan diri dari rumah anak-anak yatim itu kerana dibuli. Sejak dari itu, untuk menanggung hidupnya, dia menjual minuman dan makanan ringan selama hampir sepuluh tahun. Meskipun melalui banyak cabaran dalam hidup, ini tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan hidup. Apabila melihat tayangan video ini, saya berasa sangat tersentuh bagaimana seorang kanak-kanak kecil dapat mencari nafkah untuk dirinya sendiri sehinggalah dia menjadi remaja. Tambahan pula, sewaktu mendengarnya menyanyi , saya berasa bangga dan kagum kerana dia mempunyai suara yang bagus meskipun saya tidak mengerti lagu yang disampaikannya.  Ini jelas membuktikan bahawa kemiskinan bukanlah penghalang untuk kita terus berusaha dalam hidup.   
Dalam kuliah ini, saya telah mempelajari banyak perkara tentang emosi. Sebelum ini, saya mendefinisikan emosi sebagai perasaan, namun setelah mempelajari kuliah ini baru saya tahu bahawa emosi itu lebih dari satu perasaan. Malahan, sebelum ini saya tidak menganggap pengurusan emosi itu sebagai satu benda yang penting dalam kehidupan kita setiap hari, namun setelah mendengar apa yang telah diajar oleh Dr. Zambri baru saya tahu kepentingan mengetahui cara-cara mengurus emosi kita.
Menurut Kleinginna & Kleinginna (1981), emosi didefinisikan sebagai satu set kompleks interaksi di kalangan subjektif (yang dipengaruhi oleh kepercayaan peribadi) dan faktor objektif (iaitu fakta atau situasi yang mempengaruhi sesuatu hasil.  Ini diantarai oleh sistem saraf hormon yang dapat menghasilkan pengalaman afektif, menjana proses kognitif, mengaktifkan penyesuaian fisiologi  yang meluas dan juga membawa kepada sesuatu tingkah laku.  Dalam erti kata lain, emosi itu merangkumi empat komponen yang penting iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkah laku berkaitan. Ini dapat dilihat dalam kehidupan kita seharian. Sebagai contoh apabila kita berada dalam keadaan yang menakutkan misalnya balik dari kerja pada lewat malam. Sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah, kita seolah-olah terdengar bunyi seperti orang mengikuti kita. Kita akan mula berasa cemas dan takut. Kita pun berfikir siapakah orang itu. Kita pun berjalan dengan lebih cepat. Pada masa yang sama, jantung kita pun berdegup kencang. Tiba-tiba bunyi itu semakin kuat. Akhirnya, kita pun melarikan diri.
Seterusnya, saya juga telah mempelajari beberapa  teori berkaitan dengan struktur dan ekspresi emosi. Teori yang pertama ialah Darwin's Basic Theory yang menyatakan bahawa emosi terdiri dari emosi asas (primary emotion). Dalam Kokoszka, 1993; emosi primari merupakan ciri-ciri dalaman manusia yang dialami serta diekspresikan dalam bentuk yang seragam di semua bangsa dan budaya. Dalam bukunya  "The Expression of the Emotions in Man and Animals", Darwin ada menyatakan ekspresi wajah juga melambangkan emosi.
Teori yang kedua ialah Plutchik's Primary Emotion Theory yang lebih berkisar tentang tiga aspek iaitu Language of Emotion, Basic Adaptive Reactions dan Dimensions of Emotion. Dalam Plutchik's Language of Emotion, emosi boleh digambarkan dalam tiga bahasa yang berbeza iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkah laku dan bahasa fungsian. Bahasa subjektif ialah bahasa biasa bagi emosi. Bahasa tingkah laku pula merujuk kepada tindakan susulan dari emosi yang telah dirangsang. Bahasa fungsian merujuk kepada fungsi emosi tersebut kepada seseorang dan juga bagaimana emosi itu berperanan kepada individu. Terdapat lapan tindak balas dalam Plutchik's Basic Adaptive Reactions ; takut, meluat, marah, terperanjat, gembira, sedih, terima dan rasa ingin tahu. Dalam Plutchik's Dimension Of Emotion, Plutchik's menyatakan emosi boleh dibahagikan kepada tiga dimensi yang penting. Pertama keamatan (intensity), merujuk kepada darjah kekuatan emosi misalnya dari bahagia kepada gembira. Kedua persamaan (similarity), merujuk kepada sesuatu hubungan atau kaitan contohnya, perasaan takut lebih dekat dengan perasaan sedih berbanding perasaan takut dengan perasaan gembira. Ketiga kekutuban (polarity), merujuk kepada dua perasaan yang berlawanan seperti perasaan sedih lawannya gembira dan suka lawannya benci. Di samping teori dimensi yang diberikan oleh Plutchik, terdapat juga model alternatif dalam pendekatan dimensi. Donald Fromme dan Clayton O'Brien mencadangkan Kitaran Emosi (Emotion Circle) sebagai model alternative kepada teoti Plutchik. Terdapat empat dimensi emosi yang ada iaitu dominance-submission, approach-avoidance, pleasure-pain dan parasympathetic arousal-sympathetic arousal.
Teori yang ketiga ialah Tomkin's Facial Feedback Theory. Teori ini lebih berkaitan dengan ekspresi muka dan pergerakan wajah. Terdapat dua kajian yang dijalankan iaitu oleh Ursula Hess dan rakannya di kalangan prasiswazah perempuan di University of Geneva, Switzerland serta oleh Robert Zajonc dan rakannya. Kedua-dua kajian ini menyokong teori yang diberikan oleh Tomkin. Namun demikian, terdapat kritikan yang diterima tentang Tomkin's Facial Feedback Theory.  Kritikan itu menyatakan, ekspresi seseorang pada sesuatu masa itu bukanlah menunjukkan petanda emosi yang tulen.  Pada pendapat saya, kritikan ini boleh diterima kerana ada kalanya seseorang itu akan menyembunyikan ekspresi mukanya yang sebenar. Misalnya , Abu tidak menyukai sikap yang ada pada rakannya, Ali. Sewaktu berkomunikasi dengan Ali, dia akan berpura-pura senyum terhadap Ali. Hal ini boleh memberi pengajaran kepada kita supaya tidak mudah 'termakan' dengan ekspresi seseorang itu.
Teori yang keempat yang telah saya pelajari ialah Izzard's Innate Facial Expression. Apa yang saya faham mengenai teori ini ialah emosi merupakan sesuatu yang semulajadi. Paul Ekman (1994) turut menyokong dan bersetuju bahawa kesejagatan mimik muka dengan emosi. Dalam analisa foto muka yang dilakukan, beliau mengenal pasti wajah gembira lebih dominan berbanding wajah takut. Seterusnya, Scherer dan Wallbott (1994) telah meneliti kajian-kajian yang meliputi 37 buah Negara dan 5 buah benua dan mendapati bahawa konsep kesejagaten emosi adalah mantap dan stabil.
Konklusinya, banyak informasi yang saya dapat dalam kuliah pertama Pengurusan Emosi ini. Saya dapat mengetahui bahawa emosi itu bukan hanya sekadar perasaan sahaja. Ia merangkumi perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkah laku. Emosi ini yang dapat mengawal pemikiran kita serta tingkah laku kita. Sekiranya kita tidak dapat mengawal dan mengurus emosi kita dengan baik, akan membawa kepada tingkah laku yang buruk. Emosi juga dapat menjadi pendorong kita dalam sesetengah keadaan. Ia membantu kita supaya kita tidak akan melakukan sesuatu perkara yang jahat. Dengan mengatahui cara-cara yang betul untuk mengawal dan mengurus emosi kita, kita tidak akan berdepan dengan pelbagai masalah dalam kehidupan kita seharian. Oleh itu, tidak dinafikan lagi bahawa pengurusan emosi adalah penting dalam diri kita masing-masing.
Sekian dan terima kasih.  
 
 
 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment