Saturday 30 July 2011

Oon Xing Yu (A131827)-LJ 01

Oon Xing Yu (A131827)-LJ 01

Salam sejahtera. Apakah itu emosi? Selama ini, boleh dikatakan bahawa  pengetahuan saya tentang perkataan "emosi" ini adalah teramat sangat cetek kerana bagi saya emosi tidak ada bezanya dengan "perasaan". Namun, selepas saya menghadiri kuliah pengurusan emosi (ZT2253) sesi pertama pada 20hb Julai dan sesi kedua pada 27hb Julai yang disampaikan oleh Dr.Zamri , saya telah mempunyai pemahaman yang lebih tepat dan menyeluruh tentang topik emosi ini.

            Hasil pemahaman saya daripada kuliah pengenalan emosi, emosi menurut Kleinginna & Kleinginna (1981) melibatkan interaksi antara faktor subjektif dan objektif, serta peranan sistem neuralhormonal badan kita. Perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkahlaku berkaitan merupakan 4 komponen penting untuk menjelaskan emosi seseorang. Biar saya berkongsikan pengalaman saya untuk menunjukkan pemahaman saya tentang 4 komponen emosi tersebut :

Pada hari selasa yang lepas, saya telah kehilangan pendrive saya. Hal ini  menyebabkan saya cemas dan bimbang (perasaan) kerana terdapat banyak dokumen-dokumen penting yang saya simpan dalam pendrive tersebut. Mungkin disebabkan saya terlalu bimbang, saya dapat merasakan  jantung saya berdengut dengan kuat dan pantas  manakala pada masa yang sama, tapak tangan saya sejuk dan berpeluh-peluh (perubahan fisiologi). Saya berusaha mengimbas kembali di mana agaknya saya tertinggal pendriva saya itu (proses kognitif). Sebaik  sahaja saya teringat yang rupa-rupanya pendrive saya tertinggal di dalam bilik komputer, saya terus bergegas ke perpustakaan untuk mencarinya (tingkahlaku berkaitan).

            Menurut para penyelidik emosi juga, emosi berkait rapat dengan motivasi dan motif. Seseorang yang berasa sedih dan malu setelah diejek oleh kawan-kawannya disebabkan saiz badannya yang besar akan didorong oleh emosinya untuk mengurangkan berat badan. Situasi ini tepat menjelaskan bahawa emosi merupakan motivasi yang membawa  kepada tingkahlaku. Walaubagaimana pun, penjelasan ini gagal diaplikasikan kepada semua keadaan kerana tidak semua motivasi adalah hasil daripada emosi semata-mata. Sebaliknya, motif pula berupaya untuk melahirkan emosi. Sebagai contoh, biasanya seseorang yang mempunyai motif pembunuhan pastinya akan diselubungi dengan emosi tertekan dan perasaan kebencian.

            Seterusnya, dalam kuliah tentang Struktur dan Ekspresi Emosi, Darwin's Basic Theory of Emosions, Plutchik's Primary Emosion Theory, Tomkin's Facial Feedback Theory, Izard's Innate Facial Expression dan Learning Theory telah dibincangkan. Ketika video yang berkisah tentang ketabahan seorang lelaki Korea yang meneruskan kehidupannya dalam kemiskinan dan semangat beliau yang tidak berputus asa dalam mengejar impiannya ditayangkan di dewan kuliah, saya dapat melihat, mendengar dan merasai perubahan emosi kawan-kawan yang duduk di sekeliling saya. Kebanyakannya daripada mereka mempamerkan emosi sedih dan terharu terhadap nasib malang yang menimpa lelaki korea itu dengan pipi mereka dibasahi air mata manakala ada juga antara mereka yang kelihatan tenang menumpukan perhatian pada video tersebut, seolah-olah mereka sedang memikirkan sesuatu. Apabila bakat menyanyi lelaki Korea itu mendapat pujian daripada para pengadil Korea Got Talent dan berjaya mara ke pusingan seterusnya, ramai yang  tersenyum lebar dengan mengalirkan air mata kegembiraan sambil bertepuk tangan kepada lelaki Korea itu sebagai tanda sokongan dan tahniah atas usaha gigih dalam mengejar impiannya.

            Menurut Darwin's basic Theory of Emosion, emosi terdiri daripada emosi asas, iaitu ciri-ciri dalaman yang dialami oleh manusia dan boleh diekpresikan dalam bentuk yang seragam dalam semua bangsa dan budaya. Darwin juga mengatakan bahawa emosi boleh dilihat dan diketahui melalui ekspresi wajah seseorang seperti yang dicatatkan dalam bukunya, "The Ekpression of the Emosion in Man and Animal". Kemudiannya, kebanyakan teorist menerangkan bahawa emosi asas akan menghasilkan emosi-emosi yang lain.

            Menurut Plutchik's Primary Emosion Theory pula, beliau menggunakan 3 bahasa , iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkahlaku, bahasa fungsian untuk menggambarkan emosi dalam Plutchik's Language of Emosion. Cuba menggambarkan situasi apabila kucing peliharaan anda mati kerana dilanggar kenderaan. Anda pasti akan berasa sedih (bahasa subjektif), mungkin juga mengalirkan air mata kesedihan (bahasa tingkahlaku) sebagai tanda kasih sayang terhadap kucing kesayangan anda (bahasa fungsian). Plutchik's Dimensi Emosi membahagikan emosi dari 3 dimensi, iaitu : intensity yang merujuk kepada tahap kekuatan emosi ; similarity yang merujuk kepada hubungan atau perkaitan emosi ; polarity yang merujuk kepada kekutuban emosi.

            Menurut Tomkin's Facial Feedback Theory, emosi berkait rapat dengan ekspresi muka, namun ekspresi muka tidak selalunya tepat dalam menentukan emosi seseorang pada sesuatu masa. Hal ini demikian kerana sebagai contoh, pelajar pasti akan bersenyum sambil mengangguk kepala ketika bertemu dengan pensyarah di kawasan universiti tetapi ini tidak selalunya membawa makna bahawa pelajar tersebut benar-benar suka akan pensyarah tersebut. Kebanyakan masanya, tingkahlaku seperti senyum dan mengangguk kepala ini cuma merupakan satu tanda hormat sahaja.

            Menurut teori Izard's Innate Facial Expression, emosi adalah sesuatu yang setiap manusia dilengkasi secara semula jadi dan disebabkan itu emosi tidak banyak dipengaruhi oleh pembelajaran. Hasil kajian Scherer dan Wallbott (1944) menunjukkan bahawa konsep kesejagatan emosi wajah adalah stabil dan mantap dan perbezaannya cuma boleh dilihat dari segi bagaimana emosi itu dialami dan dikawal.

            Menurut biological view of experience , pembelajaran hanya memainkan peranan yang kecil dalam mempengaruhi emosi seseorang. Plutchik juga mengatakan bahawa emosi adalah hasil ekspresi genetik seseorang dan pembelajaran sebenarnya berfungsi untuk mengubahsuainya sahaja. Seorang lagi teorist , Matsumoto yang menjalankan kajian tantang ekspresi dan tahap kekuatan emosi mendapati bahawa sebenarnya emosi asas adalah hampir  sama , cuma perbezaan yang sangat halus dapat dilihat melalui ekspresi emosi. Penyebab yang mengaktifkan sesuatu emosi adalah berbeza bagi setiap individu. Contohnya, ada sesetengah orang yang senang memuas hati dan berasa gembira dengan cuma mendapat  B  dalam peperiksaan ,sebaliknya ada pula sesetengah orang yang meletakkan harapan yang sangat tinggi pada pancapaiannya dimana orang seperti ini hanya akan berasa gembira dengan A+ sahaja. Selain daripada itu, proses kognitif turut berbeza mengikut individu. Sebagai contoh, terdapat 2 orang  yang mendapat markah yang kurang memuaskan dalam ujian . Pelajar A  berfikiran positif dengan memikirkan langkah-langkah untuk memperbaiki dirinya supaya dapat mendapat keputusan yang lebih baik pada masa akan datang manakala bagi  pelajar B pula, keadaan seperti ini mungkin menyebabkannya patah semangat terus dan kehilangan minat untuk meneruskan pelajarannya lagi.

            Kesimpulannya,  inilah serba sedikit yang saya faham dari kuliah 1 dan 2  pengurusan emosi. Memang tidak dapat dinafikan yang pengenalan saya terhadap topik emosi ini masih lagi berada di tahap yang sangat rendah dan saya sedar bahawa  banyak masa , tenaga dan usaha yang perlu dicurahkan sekiranya saya ingin mengetahui dengan lebih mendalam dan teliti tentang topik emosi ini. Namun pada pandangan saya, semua ini adalah berbaloi kerana apa yang dipelajari adalah sangat bermakna dan hampir semuanya boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian saya. Jadi, sebelum mengakhiri jurnal saya,sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah kami, Dr.Zamri atas kuliah yang diberi.

No comments:

Post a Comment