Saturday 30 July 2011

Fatimah Othman (A131409)

Assalamuailaikum dan selamat sejahtera.Ini merupakan jurnal pertama yang perlu saya dan rakan-rakan fakulti Perubatan Tahun Dua sesi 2011/2012  yang lain perlu laksanakan.Kuliah pertama Kursus ZT 2253  Pengurusan Emosi ini berhubung "Pengenalan kepada Pengurusan Emosi" dan juga "Struktur Asas Emosi".Seikhlasnya ini merupakan kali  pertama saya menulis jurnal untuk mengulas kembali serba sedikit mengenai perkara yang telah saya pelajari sewaktu menghadiri kuliah pertama pada 27 Julai 2011.

Selain itu,sewaktu permulaan kuliah ini telah diselitkan sedikit paparan kisah mengenai Choi Sung Bong.Kisah pemuda yang dianugerahkan bakat yang luar biasa ini jelas memberi iktibar kepada saya.Jika hanya dilihat riak wajah yang ditonjolkan dan emosi yang dipamerkan siapa akan menyangka bahawa lelaki ini pernah mengalami penderitaan hidup yang hebat sejak berusia 5 tahun.Saya kagum dengan cara dia mempamerkan emosinya.Dia telah menunjukkan kepada saya apa itu makna sebenar ketabahan dan kecekalan hati.

Sebelum menghadiri kuliah ini,saya hanya memahami erti emosi itu hanyalah salah satu cara manusia mengekspresikan perasaan mereka sama ada melalui perbuatan atau air muka,tetapi ternyata saya silap.Berdasarkan kuliah yang telah diberikan Dr.Zambri,iaitu menurut definisi Kleinginna & Kleinginna(1981),emosi adalah satu set interaksi yang kompleks yang wujud antara faktor subjektif dan faktor objektif dimana setiap faktor tersebut boleh mendapat kesan daripada sesuatu dan dikawal oleh hormon dari sistem saraf.Faktor subjektif boleh mendapat pengaruh daripada kepercayaan seseorang yang berdasarkan fakta sebenar.Manakala,faktor objektif pula boleh mendapat kesan daripada situasi semasa.Dimana semua perkara ini akan memberi kesan kepada ingatan seseorang seperti rasa marah,pembinaan proses kognitif seperti cepat memberi persepsi,pembentukkan penyesuaian secara fisiologikal terhadap keadaan tersebut dan akhirnya membawa kepada sikap atau tindakan seseorang.

 

 Tambahan pula menurut Baron & Logan, 1993,emosi juga tidak dapat dipisahkan dari

motivasi .Selain itu,berdasarkan Lang et al, 1992,emosi sebagai motivasi kepada

tingkahlaku & motif boleh menjadi emosional tetapi hanya keadaan yang tertentu sahaja emosi boleh bertindak sebagai pendorong dan tidak semua pendorong itu hasilnya daripada emosi.Contohnya,seseorang yang kuat bekerja adalah emosi berasaskan kuasa pendorong manakala seseorang yang mencuri atau membunuh boleh disebabkan oleh emosi dan tidak melibatkan nilai motivasi.

 

Jika dilihat situasi semasa sememangnya banyak keadaan dimana seseorang terdorong untuk mengejar kejayaan sekiranya dia telah belajar apakah erti kegagalan lantas ini menbentuk seperti satu bentuk ingatan dalam minda mereka bahawa kegagalan yang berlaku itu mungkin kekhilafan mereka sendiri lantas mereka belajar untuk memperbaiki kelemahan mereka itu.Tetapi tidak semua orang akan mempamerkan kesan daripada kegagalan dengan cara yang positif begitu jadi barangkali inilah keadaan yang dimana emosi yang dialami itu dibiarkan sahaja tanpa dicuba ditranformasikan kepada satu bentuk motivasi lantas mungkin inilah keadaan yang diistilahkan sebagai emosional.

 

Pada sesi kedua kuliah pula saya telah mempelajari mengenai teori struktur dan ekspresi emosi yang terdiri daripada  Darwin's basic theory of emotions, Tomkin's facial feedback theory, Plutchik primary emotion theory, dan Izard's innate facial expression.

 

Berbanding antara semua teori tersebut saya berpendapat Plutchik primary emotion theory adalah agak mudah difahami dan lebih sistematik berbanding teori yang lain.Berdasarkan Plutchik,emosi itu adalah sesuatu yang melibatkan keupayaan mengekspresi  secara terus oleh seseorang akan perasaaan mereka,dimana dengan pembelajaran kita boleh belajar memperbaiki emosi kita.

 

Plutchik  mengatakan bahawa emosi boleh digambarkan dalam 3 bahasa yang utama,bahasa subjektif,tingkahlaku dan fungsian.Untuk lebih mudah memahami akan maksud pembahagian bahasa ini adalah contohnya adalah apabila seseorang berasa sangat marah terhadap seseorang ini dikatakan sebagai bahasa subjektif dan perasaan marah ini akan menyebabkan beliau mungkin memukul orang yang dimarahinya itu dan keadaan ini dikatakan sebagai bahasa tingkahlaku.Natijah daripada perbuatannya itu adalah kerana dia ingin member amaran kepada orang yang dimarahi itu dan inilah yang dikatakan sebagai bahasa fungsian.Pada pendapat saya,teori ini lebih melibatkan kelaziman yang berlaku dalam situasi masyarakat sekarang.

 

Jika ingin diperincikan Plutchik turut melibatkan beberapa tindak balas penyesuaian yang asas(Plutchik's basic adaptive reaction)  yang melibatkan 8 tindakbalas iaitu takut,meluat,marah,terperanjat,gembira,sedih,penerimaan dan rasa ingin tahu.Dan setiap perasaan ini mempunyai pasangan masing-masing yang kontra seperti perasaan sedih lawannya perasaaan gembira.Plutchik turut mewujudkan perkembangan yang baik dalam struktur emosi dimana daripada 8 emosi primari itu bahkan ia boleh digabungkan menjadi satu bentuk emosi tambahan yang baru seperti apabila kita berasa gembira dan boleh menerima kelemahan dan kelebihan seseorang itu seadanya kebarangkalian itu akan boleh menjadi komponen utama emosi yang membentuk perasaan cinta.Kerana dalam mencintai seseorang semua emosi ini harus bergerak seiring.Inilah yang dinamakan dimensi emosi Plutchik(Plutchik's dimension of emotion),berdasarkan Kitaran Emosi oleh Donald Fromme dan Clayton O'Brien(1982).

 

Teori ini boleh dilihat perkembangan dan dinamiknya apabila setiap bentuk emosi  primer itu boleh dikhususkan tahap intensitinya daripada perasaan tidak suka boleh membangun kepada perasaan benci lantas meluat dan jengkel.Keadaan ini adalah logik kerana setiap orang punya perasaan yang terbentuk kepada insan lain yang dikenalinya dalam pelbagai bentuk.Kadang-kadang disebabkan satu masalah yang remeh kepada satu pihak tidak semestinya akan dipandang remeh oleh pihak lain lantas membentuk satu persepsi yang berbeza terhadap seseorang/sesuatu perkara yang dihadapi oleh dua pandangan.Contohnya sekiranya saya cuma berasa tidak suka sekiranya ada orang mengambil barang saya tanpa meletakkannya kembali tetapi rakan saya yang lain pula akan menganggap tindakan itu sebagai biadap dan mungkin akan boleh membentuk bahasa tingkah laku yang agak kasar.

 

Teori seterusnya iaitu, Tomkin's facial feedback theory,adalah agak unik kerana secara ringkasnya ia melibatkan keadaan dimana ekspresi wajah kita yang akan membantu menentukan emosi kita  ketika itu.Contohnya,seseorang mungkin lebih mudah untuk ketawa dan berasa gembira sekiranya dia berada di sekililing orang yang sedang berjenaka.Keadaan ini amat sesuai untuk seseorang yang mungkin tidak mahu mempamerkan emosi mereka yang sebenar mungkin atas alasan malu atau profesionalisme.

 

Berdasarkan pendapat Zajonc,perubahan pada otot muka akan memberi ekspresi muka yang spesifik.Keadaan ini adalah apabila wujudnya reaksi otot muka yang sedang mengalami kontraksi akan memberi kesan kepada pengaliran darah di muka.Lalu menganggu proses penghantaran haba,disebabkan itulah sekiranya kita lihat orang yang sedang marah akan kelihatan seperti merah padam dan kelihatan hangat.

 

Mengenai teori seterusnya,Izard's innate facial expression. Contoh paling mudah bagi teori ini adalah melibatkan reaksi bayi.Kita sering lihat bayi sering tertawa tetapi perkara itu tak semestinya berlaku kerana bayi tersebut sedang rasa gembira tetapi itu mungkin adalah melibatkan fasa-fasa normal dalam tumbesaran bayi itu.Disebabkan itulah pembelajaran tidak akan membantu dalam emosi tidak seperti yang ditonjolkan teori Plutchik.Walaupunbegitu,saya mengalami sedikit kekeliruan dalam membezakan teori ini dengan  teori Tomkin yang sebelum ini.

 

Kesimpulannya,saya berpendapat pembelajaran Pengurusan Emosi ini memberi sedikit sebanyak input kepada saya mengenai apakah erti sebenar emosi dan beberapa kajian yang telah dijalankan.Tidak sangka perkataan semudah emosi ini sebenarnya punya makna dan tafsiran yang berbeza oleh golongan cerdik pandai.Walaupunbegitu,saya berpendapat adalah suatu perkara normal untuk seseorang mempamerkan emosinya dalam keadaan tertentu dengan cara yang tersendiri kerana kita dilahirkan sebagai manusia memang punya banyak kelemahan.Tetapi itulah sebenarnya yang membuat kita istimewa dan berbeza antara satu sama lain.Lalu membuatkan kehidupan kita ini menjadi lebih bermakna dan penuh warna warni bagi mereka yang tahu menghargai dan memaknakan perasaan mereka.

 

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment