Saturday 30 July 2011

Eng Yii Hern A131737

         Salam sejahtera. Saya ingin menggunakan jurnal ini untuk meluahkan apa yang saya pelajari setelah  menghadiri kuliah Pengurusan Emosi ZT2253 pada 27 Julai 2011. Kuliah pada hari tersebut bertajuk 'Struktur dan Expresi Emosi'. Berdasarkan pengetahuan saya, emosi merupakan perasaan dalam diri seseorang yang akan meyumbang kepada expresi muka, contohnya seorang individu akan senyum apabila dia berasa gembira.Walau bagaimanapun, kuliah pada hari tersebut telah mendedahkan saya terhadap pelbagai aspek dan perspektif tentang emosi manusia. Sehubungan itu, saya berasa semakin berminat untuk mengkaji tentang emosi manusia. Saya juga berharap dengan penguasaan ilmu tentang emosi dapat membantu saya dalam pengurusan emosi diri saya dan  menyumbang kepada kejayaan saya sebagai doktor pada masa hadapan.


       Doktor telah memulakan kuliah pada hari itu dengan tayangan video daripada laman web youtube. Video yang dipaparkan mengisahkan tentang seorang remaja bernama Sung-bong yang menyertai pertandingan menyanyi. Apabila Sung-bong berdiri di atas pentas, dia diminta untuk memperkenalkan diri oleh salah seorang pengadil. Remaja itu merupakan seorang anak yatim sejak kecil lagi, dan dia melarikan diri dari rumah kebajikan tersebut ketika berusia 5 tahun. Selepas itu, dia menjalankan kehidupan secara berdikari. Sung-bong mengalami pelbagai kesusahan selepas dia melarikan diri. Saya berasa kagum terhadap Sung-bong kerana dia tidak mengabaikan pelajarannya dan tetap mengekalkan sikap yang positif walaupun dia melalui zaman kanak-kanak yang derita. Keadaan dalam video tersebut memang mengharukan apabila Sung-bong menyanyi. Semua penonton berasa terharu terhadap latar belakang Sung-bong serta nyanyiannya yang merdu. Saya berasa tujuan doktor menunjukkan video ini bertujuan untuk menyatakan kepentingan pengurusan emosi dalam kehidupan seseorang. Selain itu, saya turut memperlajari bahawa emosi boleh dijadikan motivasi seseorang selepas menonton video tersebut.


       Secara ringkasnya, emosi boleh dibahagikan kepada beberapa kategori, termasuklah gembira, sedih, bersalah, terperanjat dan sebagainya. Selain itu, emosi turut boleh dibahagikan kepada 4 komponen iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan pisiologi dan tingkah laku. Semua komponen ini adalah berkaitan antara satu sama lain. Sebagai contoh, apabila seseorang berasa marah, tingkah lakunya yang ganas akan mencerminkan perasaan marah dalam diri seseorang itu. Saya juga memahami teori Darwin selepas menghadiri kuliah pada hari tersebut. Teori Darwin mengatakan bahawa emosi terdiri daripada emosi asas. Emosi asas dikenali sebagai ciri-ciri dalaman manusia yang dialami serta diexpresikan dalam bentuk yang seragam di semua budaya dan bangsa. Menurut buku Darwin ''The Expression of the Emotions in Man and Animals", ekspresi wajah melambangkan emosi seseorang. Di samping itu, saya mendapati emosi seseorang bukannya berdasarkan emosi asas. Hal ini disebabkan emosi manusia merupakan gabungan beberapa elemen emosi asas. Contohnya,penghasilan perasaan gembira merupakan gabungan 3 elemen emosi asas.

 

      Selepas mendengar penerangan doktor tentang teori Plutchik, saya berasa kagum kerana emosi manusia boleh dikaji dari pelbagai aspek. Menurut Plutchik, terdapat 3 komponen dalam emosi seseorang. Antaranya adalah bahasa emosi, respons dan dimensi emosi. Plutchik turut membina model 3D tentang emosi manusia berdasarkan 8 emosi asas. Di samping itu, saya juga memahami teori FFT. FFT teori mengatakan seseorang hanya akan menunjukan expresi berdasarkan perasaan dalam dirinya. Teori ini dibuktikan melalui kajian yang dijalankan oleh Ursula Hess. Dalam kajian ini, pelajar diminta untuk melakukan dua perkara iaitu menunjukkan expresi tanpa mengalami emosi, dan menunjukkan expresi berdasarkan perasaan sebenar dalam diri mereka. Hasil kajian membuktikan teori FFT adalah benar kerana masa digunakan untuk menunjukkan expresi berdasarkan perasaan sebenar adalah singkat. Namun demikian, Zajonc percaya bahawa suhu otak akan mempengaruhi emosi seseorang. Menurut Zajonc, seseorang akan mempunyai emosi yang positif seperti gembira apabila suhu otak diturunkan dan mempunyai emosi yang negatif apabila suhu otak ditingkatkan. Banyak konflik telah berlaku demi membuktikan kebenaran teori ini. Antara ahli psikologi yang menyokong teori ini adalah Paul Ekman, Scherer dan Walbott.

 

      Paul Ekman telah menjalankan pelbagai kajian untuk membuktikan kebenaran teori FFT. Saya pernah membaca tentang salah satu hasil kajian mengenai microexpresi yang dijalankan oleh Paul Ekman. Microexpresi merupakan expresi manusia yang berlaku selama 1/25 saat. Microexpresi telah diperkenalkan oleh Haggard dan Isaacs. Menurut kepada kajian mereka, microexpresi yang ditunjukkan adalah seragam bagi setiap manusia dan ia mencerminkan emosi sebenar diri seseorang. Microexpresi manusia boleh dibahagikan kepada beberapa jenis termasuklah terperanjat, benci, marah, gembira, dan sedih. Setiap miroexpresi mempunyai ciri-ciri tertentu. Sebagai contoh, ciri-ciri microexpresi marah adalah pergerakan kedua-dua bulu kening ke bahagian tengah dan bibir mulut akan ditutup dengan ketat. Hasil kajian ini telah membolehkan kita mengetahui sama ada seseorang itu sedang melakukan penipuan. Dengan membaca microexpresi seseorang, kita dapat membezakan antara expresi berdasarkan perasaan sebenar ataupun expresi tanpa perasaan. Penggunaan microexpresi telah banyak menyumbang kepada aktiviti siasatan pihak polis dalam aspek mendapatkan kebenaran daripada orang yang terlibat dalam kes-kes tertentu.

 

      Saya juga mempelajari aspek Learning theories (teori pembelajaran). Terdapat 2 teori pembelajaran iaitu pandangan biologi pengalaman (the biological view of experience) dan Pandangan teori pembelajaran dari pengalaman (the learning theory view of experience). Menurut pandangan biologi, pembelajaran bukan merupakan faktor utama yang mempengaruhi emosi manusia. Menurut teori tersebut, suasana seseorang merupakan pengaktif utama yang menghasilkan emosi dalam diri setiap individu. Selain itu, setiap individu mempunyai pengaktif yang berbeza dalam  penghasilan sesetengah emosi. Contohnya, A mengalami ketakutan apabila berada di kawasan yang tinggi dan B mengalami ketakutan terhadap lipas. Di sebaliknya, pandangan teori pembelajaran dari pengalaman mengetengahkan aspek pembelajaran dalam penghasilan emosi. Ia mengatakan bahawa sesetengah emosi seperti ketakutan merupakan hasil daripada pembelajaran. Hal ini disebabkan teori ini tidak bersetuju bahawa seorang individu dilahirkan dengan sesetengah emosi. Misalnya, seseorang kemungkinan mengalami ketakutan terhadap ular selepas insiden dipatuk ular. Dengan erti kata lain, emosi adalah dipelajari dalam kehidupan seseorang berdasarkan teori tersebut.

 

        Pendek kata, emosi merupakan sesuatu yang unik dan complex dalam diri setiap manusia. Ia akan menjejaskan tingkah laku, pemikiran serta fisiologi badan kita. Kesan-kesan pengurusan emosi yang tidak efektif jelas dilihat di masyarakat kita melalui kes-kes bunuh diri yang kini kian meningkat.

Oleh sebab itu, pengurusan emosi amatlah penting kerana emosi akan memberi impak yang besar kepada kehidupan kita. Di samping itu, saya berasa setiap orang haruslah memahami emosi dalam diri kita supaya kita dapat meluahkan perasaan kita dengan menggunakan cara yang betul. Tanpa pengurusan emosi yang baik, kita tidak dapat berfikir secara rasional dan ini akan menjejaskan setiap keputusan yang dibuat.Oleh itu, saya berharap semua mahasiswa yang terlibat dapat mengaplikasikan konsep pengurusan emosi dalam perjalanan menuju ke arah kejayaan.    

No comments:

Post a Comment