Saturday 30 July 2011

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pada kuliah ZT yang pertama kami iaitu 27/7/2011 yang lalu, kami telah didedahkan tentang definisi sebenar emosi dan beberapa aspek-aspek kajian tentang emosi itu sendiri.
Pada awal kuliah, kami telah dipertontonkan sebuah rakaman video dari YouTube mengenai  kisah seorang remaja yang  menyertai rancangan realiti  Korean's Got Talent .Remaja tersebut hidup sebatang kara sejak dia melarikan diri dari rumah anak-anak yatim setelah sering dibuli.Sewaktu bekerja menjual gula-gula  di sebuah kelab malam,dia mendengar  nyanyian seorang penyanyi  yang begitu mengasyikkan dan sejak itu dia telah menanam impian untuk menjadi seorang vokalis.Bagi mengetahui  apakah kaitan antara video ini dengan kuliah yang akan disampaikan, kita perlu terlebih dahulu memahami apakah itu emosi, dan adakah emosi itu hanya perasaan semata-mata.
Menurut  Kleinginna & Kleinginna (1981), emosi  ialah suatu interaksi yang kompleks antara subjektif (iaitu orang yang  beremosi itu sendiri) serta  faktor-faktor objektif ( situasi atau keadaan bila mana emosi itu terhasil) yang dihubungkan melalui sistem  neural hormonal yang seterusnya  menyebabkan berlakunya proses-proses berikut :
Perubahan dari segi perasaan( afektif)
Terhasilnya proses-proses kognitif ( iaitu proses minda kita menerima input-input, memproses dan hasil daripada proses inilah kita memperoleh pemikiran yang menentukan tingkah laku kita)
Perubahan fisiologikal
Dan akhirnya ialah perubahan tingkah laku.
Inilah keempat-empat komponen dalam emosi.Justeru, pendapat bahawa emosi adalah sama ertinya dengan perasaan adalah tidak tepat kerana perasaan baru meliputi komponen pertama yang membentuk emosi.Contohnya, sewaktu  juri-juri  dalam rancangan realiti Korean's Got Talent mendengar nyanyian Sung Bong Choi  terdapat perubahan dari segi perasaan ( sedih  dan terharu), terhasilnya proses kognitif ( minda sedang memproses kisah yang diceritakan oleh Sung Bong Choi dan nyanyiannya), yang seterusnya menyebabkan berlakunya proses fisiologikal( pengaktifan sistem limbik dan  cabang parasimpatetik dari sistem saraf  yang kemudiannya merangsang  kalenjar air mata melalui penghasilan neurotransmitter-rujukan  http://baobab-4.blogspot.com) dan akhirnya perubahan tingkah laku ( pengeluaran air mata ).
Melalui kuliah kali ini juga kami mengetahui bahawa emosi  kadangkala mempunyai perkaitan dengan motivasi.Misalnya Sung Bong Choi  yang terkesan dengan nyanyian vokalis yang didengarinya dan emosi  gembira serta bahagia yang dirasainya sewaktu menyanyi  memotivasikannya untuk menjadi vokalis.
Kemudian, kami juga mempelajari tentang struktur dan ekspresi emosi.Dalam topik ini, kami mempelajari   teori asas tentang emosi yang mengatakan bahawa terdapat beberapa emosi asas yang digelar emosi primer dan emosi-emosi lain terhasil melalui gabungan emosi-emosi primer ini.Terdapat dua teori bagi membincangkan tentang topik ini iaitu yang pertama yang mengambil kira pandangan emosi  adalah biologikal iaitu emosi dan ekspresinya  ini memang akan terhasil dalam diri manusia sewaktu pembesaran sama sahaja seperti kita memperoleh ciri-ciri biologikal lain seperti kemahiran bercakap dan warna mata manakal pembelajaran hanya terlibat secara minimum.Teori kedua, iaitu teori pembelajaran pula mempunyai pandangan bahawa emosi dan ekspresinya  dating dari pengalaman yang dilalui oleh seseorang sewaktu pembesarannya. 
Teori pertama, iaitu teori evolusi dipelopori oleh Charles Darwin,yang berhujah bahawa emosi primari ini adalah ciri-ciri dalaman manusia yang dialami serta diekspresikan dalam bentuk yang seragam di semua bangsa dan budaya (Kokoszka, 1993).Untuk mengesahkan hipotesis ini, Darwin telah menjalankan kajian dengan menyediakan soalan tentang ekspresi dalam emosi dan memberikan kepada ramai orang, yang berbeza bangsa dan kebudayaan, merentasi sempadan geografi.  Hasilnya dia mendapati emosi dan ekspresi emosi ini adalah semulajadi apabila jawapan terhadap soalan-soalan ini kebanyakannya sama

Dalam membincangkan tentang teori primer, ahli-ahli teori seperti Robert Plutchik, Silvan Tomkins,dan Caroll Izard semua bersetuju bahawa emosi primer menerbitkan emosi-emosi lain , namun mereka berbeza pendapat tentang emosi-emosi  yang dikategorikan sebagai emosi primer  dan terdapat empat emosi yang dipersetujui oleh ketiga-tiga ahli teori ini iaitu emosi takut,meluat, marah dan terperanjat.

Dalam Plutchik's primary emotion theory , Plutchik mengatakan emosi boleh digambarkan dalam 3 bahasa; iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkah laku dan bahasa fungsian.Sebagai contoh, gembira  adalah bahasa subjektif ; senyum gembira adalah bahasa tingkah laku; dan bahasa fungsian adalah penghargaan terhadap kejayaan.
Selain itu,Plutchik juga merumuskan bahawa terdapat lapan reaksi adaptif asas yang menjadi prototaip untuk semua emosi.Emosi-emosi ini dilihat sebagai empat pasangan yang berlawanan (terima/meluat; gembira/sedih;takut/marah;terperanjat/berharap). Menurut Plutchik juga , emosi-emosi boleh berbeza dalam tiga dimensi yang penting; iatu keamatan (merujuk kepada darjah kekuatan emosi misalnya  dari bahagia kepada gembira), kesamaan (merujuk kepada hubungan/perkaitan contohnya  takut dan sedih lebih dekat berbanding takut dan gembira), dan kekutuban (merujuk kepada kekutuban misalnya benci lawannya suka).Kemudian melalui ketiga-tiga dimensi ini, beliau telah membina Model Emosi Plutchik.

Sementara itu, Silvan Tomkins pula mengasaskan Teori MaklumBalas Wajah, yang mana beliau menyatakan bahawa ekspresi wajah menerbitkan emosi dan bukan sebaliknya.Terdapat beberapa kajiaN yang membuktikan kebenaran hipotesis ini,antaranya adalah kajian yang telah dijalankan oleh Ursula Hess serta rakan-rakannya dari Universiti Geneva, Switzerland di mana responden perlu melakukan tiga tugasan.Yang pertama, mereka dikehendaki untuk merasai 4 emosi asas,kemudian mereka perlu melahirkan ekspresi wajah tanpa menghayati perasaan tersebut, dan yang terakhir mereka dapat merasai kedua-dua emosi tersebut dan dapat melahirkan ekspresi wajah.Hasil kajian mendapati tugasan ketiga adalah lebih mudah dilakukan.

Sementara itu, Robert Zajonc dan rakan-rakannya pula telah mengenalpasti perkaitan antara 
perubahan otot-otot pada wajah yang akan mempengaruhi perasaan yang berkaitan dengan emosi. Hipotesis ini menyatakan bahawa, pergerakan otot muka akan menyekat pengaliran darah, oleh itu ia akan mempengaruhi tahap kepanasan dan kesejukan pada otak. Jika suhu pada tisu otak berubah, ia boleh menyebabkan 'neurotransmitters' yang berkaitan dengan emosi samada disekat atau dibebaskan, dan menghasilkan keadaan emosi (Zajonc et al., 1989). Zajonc berpendapat, penyejukan otak akan menghasilkan emosi gembira; begitu pula sebaliknya. Dalam satu ujian menarik yang telah dilakukan oleh Zajonc, apabila udara yang dihembus ke dalam hidung peserta adalah panas,seseorang itu akan mengalami emosi negatif; sementara itu, apabila udara yang dihembus ke dalam hidung mereka adalah sejuk, mereka
mengalami emosi yang positif. Walau bagaimanapun terdapat kritikan terhadap teori ini kerana tidak semua ekspresi wajah menggambarkan emosi seseorang.Misalnya seorang pelayan tetamu yang sedang menjalankan tugas di kaunter yang sedang tersenyum tidak semestinya sedang merasakan emosi gembira.Mungkin sahaja senyuman yang dilontarkan adalah salah satu bentuk komunikasi.

Ahli teori yang seterusnya pula mencadangkan bahawa mekanisme saraf bagi keduadua
ekspresi wajah dan persepsi untuk mengekspresi emosi itu adalah semulajadi (Izard, 1994).Hipotesis Izard ini disokong oleh dua kajian, yang pertama kajian newborn's "born to smile"  yang secara majoritinya menunjukkan bahawa sepanjang proses tumbesaran seorang bayi, mereka mula menzahirkan satu demi satu ekspresi emosi mengikut tempoh-tempoh masa tertentu (perasaan jijik, tertarik, terkejut, tersenyum dan tertekan).Kajian kedua adalah kajian cross-cultural di mana Ekman telah mengadakan kaji selidik dengan melibatkan  responden-responden yang terdiri daripada budaya yang berbeza untuk meneka emosi beberapa foto wajah manusia.Hasil kajian ini menunjukkan meskipun berbeza budaya namun mereka semua mempunyai pilihan yang sama tentang emosi bagi satu-satu foto
Begitulah beberapa pelajaran yang kami pelajari dalam kuliah pertama kali ini.Kesimpulannya emosi merupakan sebahagian dari fitrah kejadian manusia dan tidak dinafikan manusia itu sendiri terdiri daripada dua unsur iaitu unsur material (yakni jasmani; jasad tubuh badan) dan unsur spiritual (yakni rohani; emosi dan lain-lain).Kedua-dua unsur ini saling berkaitan dan untuk mencapai kesihatan yang menyeluruh kesihatan kedua-dua unsur ini perlu sama dititik beratkan.Justeru, pemahaman yang mendalam tentang emosi adalah antara pengetahuan yang kritikal dalam membantu mengekalkan dan memperoleh kesihatan yang mantap. 





No comments:

Post a Comment