Friday 29 July 2011

A131958 Ahmad Afif Bin Ahmad Ridzwan LJO1- Emosi dan Saya >.

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada sesiapa sahaja yang sudi singgah sebentar bagi melayani coretan yang pertama kali saya hasilkan bagi kursus ZT2253 iaitu Kursus Pembelajaran Pengurusan Emosi lebih-lebih lagi kepada pensyarah yang disegani, DR Ahmad Zamri Mansor. Hari Rabu bersamaan 27/7/2011 merupakan kuliah kedua yang saya hadiri namun entri ini merupakan tugasan sulung saya bagi kursus ini. Saya telah dipertanggungjawabkan untuk mengarang sebuah jurnal mengenai apa yang saya telah pelajari tidak kira sama ada melalui kuliah atau melalui pengalaman yang ada lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan emosi. Terus terang saya katakan, perkataan emosi acap kali saya gunakan bagi merujuk kepada sesuatu perasaan yang seperti marah, sedih, kecewa, gembira dan sebagainya. Namun begitu, setelah saya menghadiri kuliah pengenalan mengenai emosi ini, barulah saya sedar bahawasanya emosi membawa maksud yang lebih luas, lebih universal berbanding dengan kefahaman saya selama ini. Pendedahan mengenai emosi ini secara tidak langsung telah membuka mata saya dan membuatkan saya berfikir bahawa hidup di atas dunia ini memerlukan ketelitian dalam semua perkara. Kita tidak boleh membuat kesimpulan dengan cepat berdasarkan kefahaman kita sendiri sahaja tetapi kita perlu mengambil kira pendapat orang lain juga di samping mengkaji sesuatu perkara itu dari setiap sudut sebelum membuat kesimpulan itu. Emosi yang pada awalnya saya rujuk hanya kepada perasaan namun setelah mempelajarinya saya dapati emosi merupakan lebih daripada sekadar perasaan. Emosi juga boleh merujuk kepada tingkah laku seseorang, riak muka dan sebagainya berbanding dengan kefahaman yang emosi merupakan perasaan yang hanya tersimpan di lubuk hati.
  Pada permulaan kuliah, saya telah diterangkan apakah yang didefinisikan sebagai emosi. Mengikut Kleinginna & Kleinginna (1981), emosi merupakan satu set interaksi yang kompleks yang melibatkan factor subjektif dan objektif. Faktor subjektif yang lebih melibatkan sesuatu yang abstrak seperti faktor yang mempengaruhi kepercayaan atau pegangan agama seseorang berdasarkan fakta yang jelas manakala faktor objektif pula boleh dirujuk sebagai sesuatu keadaan atau peristiwa yang terjadi yang membawa kepada tercetusnya emosi seseorang. Kedua-dua faktor ini dibantu atau dirangsang oleh sistem neurohormon badan kita sendiri. Faktor-faktor ini akhirnya akan membawa kepada kesan-kesan yang merupakan ciri-ciri emosi yang terbentuk besar kemungkinan melalui sistem badan neurohormon kita sendiri. Kesan yang pertama ialah yang dikenali sebagai 'affective experiences' iaitu satu tindak balas yang lebih kepada perasaan seseorang terhadap sesuatu peristiwa seperti suka, duka, marah, sedih dan sebagainya. Kesan yang kedua ialah 'cognitive processes' yang berlaku yang berlainan dengan respons perasaan, kesan ini lebih kepada memori yang dikawal oleh otak kita sendiri. Melalui kesan ini, sesuatu peristiwa yang berlaku itu akan disimpan dalam memori dan otak kita akan memproses maklumat tersebut seterusnya mencetuskan sesuatu persepsi dan mengadili sesuatu peristiwa tersebut berdasarkan pemikiran analitikal. Kesan ketiga yang berlaku adalah 'physiological adjustments' yang berlaku apabila badan atau diri kita hendak bertindak balas terhadap sesuatu keadaan yang berlaku. Sebagai contohnya apabila sesorang itu menggigil menandakan dia sedang dalam emosi kesejukan dan apabila seseorang itu menguap menandakan dia sedang berada dalam emosi mengantuk. Kesan yang keempat dan yang terakhir ialah 'behaviour' atau tindakan yang akan diambil untuk memperkenalkan atau menzahirkan emosi itu seperti seseorang itu akan berpeluk tubuh apabila sejuk dan akan baring dan tidur apabila mengantuk. Melalui ciri-ciri emosi ini, kita dapat melihat suatu 'flow' yang sistematik jika ingin menerangkan emosi seseorang. Sebagai contoh, apabila kebakaran berlaku, seseorang itu akan merasa takut seterusnya akan berfikir apa yang perlu dilakukan. Fisiologi badan secara tidak langsung akan berubah seperti meningkatnya degupan jantung dan berasa berdebar-debar. Akhirnya, tindakan akan diambil sama ada akan lari atau berusaha memadamkan api. Kesemua yang berlaku ini merujuk kepada emosi seseorang. Apabila saya telah diperkenalkan dengan apa itu emosi, saya secara tidak langsung telah mengimbas kembali beberapa pengalaman saya yang pada mulanya saya tidak merasa siknifikasinya tetapi kuliah ini telah membuatkan saya berfikir sejenak dengan peristiwa-peristiwa yang saya pernah lalui dan saya dengan sukacitanya ingin berkongsi atau menceritakan perkara yang berkait rapat dengan emosi saya sekarang ini...

  Mengimbau kembali sejak dari zaman persekolahan hingga ke hari ini, saya masih lagi digelar sebagai pelajar. Namun berbeza dari segi pangkat iaitu dahulunya pelajar sekolah dan sekarang merupakan seorang pelajar perubatan di universiti. Sejak zaman persekolahan lagi saya telah diajar oleh guru bahawa sebagai seorang pelajar, saya wajib menghormati guru. Saya juga harus menyiapkan atau membuat semua kerja yang diberi oleh guru sama ada suka mahupun tidak. Walaupun sudah menjadi seorang pelajar universiti, saya tetap terpaksa membuat kerja-kerja atau lebih dikenali sebagai 'assignment' yang diberi oleh pensyarah-pensyarah. Memanglah pada dasarnya, setiap kali tugasan diberi, saya akan merasa marah dan tidak suka kerana terlalu banyak kerja yang diberi tanpa mengambil kira keadaan atau masa. Justeru, saya hanya menyifatkan perasaan marah itu sahaja sebagai emosi.
  Namun begitu, setelah menghadiri kuliah pengurusan emosi, saya dapati setiap urutan peristiwa yang berlaku daripada mula-mula mendapat assignment sehinggalah saya menyiapkannya, semuanya merupakan suatu motif emosi yang bukan sahaja melibatkan perasaan malah perbuatan juga. Sebagai contoh, apabila saya mendapat tugasan untuk membuat sesuatu tugasan daripada pensyarah, saya akan merasa marah dalam diam dan berasa tidak setuju, di samping kecewa dengan sikap pensyarah yang member tugas tanpa mengambil kira keadaan para pelajarnya dan itu merupakan emosi pertama yang bermain-main di minda saya. Emosi ini seterusnya membawa kepada persepsi yang di interpretasi oleh otak. Saya akan berfikir adakah pensyarah ini tidak bertimbang rasa, tidakkah beliau mengetahui bahawa setiap pelajar mempunyai permasalahan yang berbeza dalam kehidupan seharian mereka. Saya juga akan berfikir adakah dengan keadaan saya sekarang ini saya dapat menyiapkan tugasan-tugasan yang diberi dengan baik. Keadaan ini seterusnya akan membawa kepada emosi dalaman iaitu pertukaran fisiologi badan. Lebih-lebih lagi badan akan merasa stres dan penat yang akhirnya akan membawa masalah kesihatan yang lain. Walaupun begitu, semua emosi itu terpaksa diteruskan dengan melaksanakan dan menyiapkan tugasan yang diberi lebih-lebih lagi jika ia melibatkan markah peperiksaan.
  Melalui peristiwa ini, saya dapat pelajari bahawa setiap yang berlaku pasti ada kesannya. Begitu juga apabila saya menjadi seorang doktor kelak. Saya akan berusaha untuk mendalami pesakit saya dengan lebih baik lagi sebelum menyuruh pesakit saya membuat sesuatu yang tidak disukainya seperti makan ubat yang pahit dan sebagainya. Ini adalah kerana bagi mengelakkan emosi pesakit terganggu yang seterusnya akan menyebabkan stres dan akan menyebabkan keadaan pesakit menjadi lebih serius. Melalui apa yang telah saya pelajari, inilah yang dinamakan 'comprehensive health care' iaitu merawat bukan setakat penyakit itu sendiri tetapi merawat pesakit itu secara keseluruhannya. 

No comments:

Post a Comment