Saturday 30 July 2011

A131790 NUR AFIQAH BINTI BAHAMAN LJ01-HIDUP BEREMOSI

gambar 1 apa emosi anda sekarang

gambar 2: smile.. it makes you happy -Tomkin said

 

Assalamulaikum dan selamat membaca jurnal pertama saya ini. Pada 27 Julai 2011 yang lalu bermulanya sesi kuliah kedua bagi ZZZT 2253 Pengurusan Emosi. Persoalan pertama yang pasti akan muncul dalam minda setiap pelajar "kenapa kita perlu belajar pengurusan emosi ini? Penting ke nak tahu?". Pendidikan Negara kita jarang mempertengahkan aspek emosi sebagai salah satu pembelajaran, sedangkan kehidupan pelajar ini merupakan satu tahap yang penuh dengan pelbagai emosi dan perasaan yang perlu dikawal setiap masa. Oleh yang demikian kursus ini ditubuhkan agar dapat  memperkemaskan minda dan sikap pelajar bagi menangani perubahan dan cabaran, dengan keterampilan dari segi kemahiran menguruskan emosi mereka sebagai persediaan untuk hidup dalam masyarakat modenisasi.

Sebelum ingin menguruskan emosi pastinya kita perlu tahu apa yang dimaksudkan dengan emosi. Dalam kuliah tempoh hari, saya telah didedahkan dengan definisi emosi. Menurut Kleinginna & Kleinginna (1981), emosi didefinisikan sebagai satu set kompleks interaksi antara faktor-faktor subjektif dan objektif, dihubung pula oleh sistem saraf hormon, yang mana emosi ini dapat

a)     menimbulkan pengalaman afektif seperti perasaan keseronokan atau tidak berpuas hati

b)    menjana proses kognitif seperti kesan emosi yang berkaitan persepsi, penilaian,proses pelabelan

c)     mengaktifkan penyesuaian fisiologi yang meluas kepada syarat-syarat yang membangkitkan

d)    membawa kepada tingkah laku yang sering, tetapi tidak semestinya, ekspresif, matlamat yang diarahkan, dan adaptif

Daripada definisi ini, dapat disimpulkan bahawa emosi ini terdiri daripada empat komponen utama iaitu  pengalaman afektif , proses kognitif, perubahan fisiologi dan perubahan tingkahlaku berkaitan. Sebagai contoh, Ahmad suka pada Siti (pengalaman afektif). Setiap hari dia cuba mendekati Siti (proses kognitif). Namun setiap kali bersua muka, jantungnya pasti berdegup kencang (perubahan fisiologi). Bagi memastikan hatinya tenang, Ahmad terus melamar Siti (perubahan tingkah laku).

Selain itu, emosi juga dikaitkan dengan motivasi. Perkara ini disokong oleh dua pendapat iaitu Baron & Logan, 1993 yang mengatakan emosi tidak dapat dipisahkan dari motivasi dan Lang et al, 1992 mendakwa emosi sebagai motivasi kepada tingkahlaku & motif boleh menjadi emosional. Sebagai contoh, cinta menjadi motif Ahmad berkahwin dengan Siti.

          Saya sendiri sokong bahawa emosi tidak dapat dipisahkan dengan motivasi. Hal ini dapat saya kaitkan dengan kehidupan sebagai seorang pelajar perubatan. Bagi pelajar perubatan di UKM, kami belajar mengikut modul dan setiap kali modul kami akan diuji dengan End Of Module. Ini seperti peperiksaan bulanan yang perlu kami hadapi dan markah peperiksaan ini akan diambil 20 peratus untuk peperiksaan akhir nanti. Oleh yang demikian, setiap kali modul perasaan takut untuk  gagal dalam end of module mendorong saya sentiasa konsisten belajar untuk setiap modul. Sama juga jika seandainya ditakdirkan gagal dalam peperiksaan, perasaan sedih akan timbul namun akhirnya bertukar menjadi semangat untuk tidak mengulang perkara yang sama pada masa yang akan datang. Di sini sahaja kita dapat lihat betapa pentingnya pengurusan emosi. Jika saya tidak mampu mengawal perasaan sedih, saya mungkin berputus asa dan hanya berserah pada takdir sedangkan realitinya kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha.

          Satu lagi perkara yang saya belajar ialah emosi dapat diukur. Bagaimana? Kita dapat mengukur emosi dengan cara self report iaitu dengan cara bertanya terus perasaan seseorang atau dengan teknik pemerhatian. Bagi pendapat saya, melakukan teknik pemerhatian lebih baik berbanding bertanya terus kerana dengan hanya memerhati tingkah laku dan reaksi muka seseorang kita akan mudah mengetahui apa emosi dia pada waktu itu sama ada dia sedang gembira, sedih ataupun marah. Pertanyaan secara terus kadang-kadang tidak mencapai matlamatnya kerana kemungkinan seseorang yang sedih tidak mahu memberitahu hal yang sebenarnya rakannya.

Seterusnya, pada kuliah ini juga kami diajar tentang teori-teori yang wujud tentang emosi. Secara jujurnya, saya langsung tidak menyangka terdapat banyak teori tentang emosi. Antara yang dikemukakan dalam kuliah ialah:

1.     Darwin's theory of  basic emotion

2.     Plutchik's primary emotion theory

3.     Tomkin's facial feedback theory

4.     Izard's universal facial expression

 

Setiap teori mempunyai pandangan masing-masing yang berbeza-beza. Melalui hasil bacaan saya, Charles Darwin dalam bukunya, "The Expression of the Emotions in Man and Animal" berpendapat bahawa ekspresi wajah melambangkan emosi. Selain itu, Darwin yang memang terkenal dengan teori evolusinya turut menyatakan ekspresi muka juga berubah mengikut masa. Bagi membuktikan teorinya, beliau mengemukan 16 soalan tentang emosi kepada 36 responden yang berbeza bangsa. Turut menyokong pendapat Darwin ialah Caroll Izard yang mencadangkan emosi berevolusi selari dengan evolusi otak. Menurutnya Izard ekspresi wajah adalah berpandukan ekspresi emosi yang subjektif.

 

Bagi Robert Plutchik dalam teorinya, Emosi boleh digambarkan dalam 3 bahasa yang berbeza:

·        Subjective language – bahasa subjektif,

·        Behavioral language – bahasa tingkahlaku,

·        Functional language – bahasa fungsian

Bahasa subjektif ialah bahasa yang lazim untuk emosi, contohnya "sedih", "takut", "gembira". Bahasa tingkah laku pula merujuk kepada reaksi seseorang sebagai respon kepada emosi. Akhir sekali bahasa fungsian mengambarkan apa yang emosi lakukan pada seseorang. Oleh itu, takut (bahasa subjektif) membawa kepada kelakuan melarikan diri (bahasa tingkah laku) seterusnya mempertahankan diri (bahasa fungsian). Plutchik akhirnya menyimpulkan bahawa reaksi menunjukkan emosi seseorang. Saya suka denga teori ini kerana prinsip ini yang saya pegang selama ini walaupun saya tidak pernah tahu pun tentang kewujudan teori ini. Sebagai contoh situasi di mana satu hari tu tiba-tiba seorang rakan kita belanja kita makan, agak-agak apa emosi dia masa tu? Mesti la gembira. Macam mana kalau tiba-tiba rakan kita ni tak pedulikan kita satu hari tu. Apa emosi dia? Banyak kemungkinannya kan. Jadi kesimpulannya kita kena tahu bagaimana untuk memerhatikan reaksi seseorang dan kaitkannya dengan emosi dia ketika itu.

Pernahkah kita berfikir, adakah senyuman yang menyebabkan kita gembira atau apabila kita gembira kita akan tersenyum? Selalunya saya anggap jika seseorang itu gembira dia akan tersenyum. Namun berbeza dengan Tomkin, yang mana beliau percaya bahawa emosi secara asasnya terbit daripada eksperesi muka. Saya sendiri pun susah umtuk percaya dengan teori ini. Tapi setiap orang ada pendapat yang berbeza tentang emosi. Setiap teori pasti ada buktinya dan Tomkins juga telah pun membuat beberapa kajian untuk membuktikan bahawa apabila kita senyum kita akan gembira dan apabila muka berkerut kita akan marah. Robert Zajonc dan rakan-rakannya turut menerima teori ini dengan mengaitkan emosi dengan reaksi vaskular dan kepelbagaian kedudukan otot-otot muka.  Berdasarkan teorinya, pergerakan otot muka akan menyekat pengaliran darah yang mempengaruhi suhu tisu otak. Apabila suhu tisu otak berubah, neurotransmitter yang berkaitan dengan emosi sama ada akan disekat atau dibebaskan dan akhirnya menghasilkan keadaan emosi.

Secara keseluruhannya memang hidup itu perlu beremosi kerana emosi itu penentu apa yang kita lakukan di dunia ini. Tanpa emosi kita hanya manusia tanpa perasaan yang tidak mampu berbuat apa-apa. Kalau tiada perasaan ingin tahu, tidak mungkin saya di sini menuntut ilmu perubatan kerana perasaan itu salah satu komponen emosi. Ketahuilah emosi memainkan peranan penting dalam kehidupan. Jadi teruskan hidup anda dengan emosi yang terkawal.

 

Rujukan:

Nota kuliah "Pengenalan" dan 'Struktur dan Ekspresi Emosi"

Terjemahan Bab 13 Emosi, Smith, B. D. 1998. Psychology, science & understanding, hlm. 465-489, Boston: McGrawHill.

No comments:

Post a Comment