Saturday 30 July 2011

A131749-----NURUL FATIN AQMA ISMAIL

Emo..??? Saye..???


Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada saudara atau saudari yang sudi meluangkan masa untuk singgah dan membaca coretan saya buat kali yang pertama ini. Apa yang ingin saya kongsikan dengan anda di sini adalah tentang emosi yang tidak asing lagi di kotak minda anda semua dan juga saya sendiri.

Pada 27 Julai 2011, adalah kuliah kedua bagi kursus Pengurusan Emosi dan ketika itu saya dan juga rakan-rakan saya yang lain telah diterangkan dengan jelasnya tentang perihal emosi ini. Mengikut Kamus Pelajar, edisi ke dua, emosi dapat didefinisikan kepada dua iaitu 1) perasaan jiwa (batin) yg kuat seperti sedih, marah, takut dan sebagainya dan 2) keadaan perasan atau fikiran yang terangsang dan melibatkan perubahan psikologi dan fisiologi pada seseorang. Sepanjang kuliah yang diberikan oleh En.Zamri, ada satu ayat yang sangat menarik perhatian saya iaitu apabila beliau berkata emosi tidak dapat dipisahkan dengan motivasi (Baron & Logan, 1993). Ketika itu, saya berasa sangat pelik, emosi…. motivasi….. macam mana ia boleh dikaitkan bersama sedangkan 2 perkara ini adalah sangat berbeza. Beliau menyambung lagi, emosi adalah sebagai motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional (Lang et al, 1992). Apa yang dapat saya faham di sini ialah, emosi itu dapat mencerminkan dan mempengaruhi tindakan serta tingkahlaku seseorang itu. Sebagai contohnya, Damia telah gagal untuk melayakkan diri bagi Kejohonan Softball, lalu dia berasa sangat sedih dan kecewa (emosi) dan menangis(tingkah laku) bagi meredakan apa yang dirasainya saat itu.

Ilmu baru yang saya pelajari ialah emosi terdiri daripada 4 komponen penting iaitu Afektif (perasaan), Kognitif (proses kognitif), Fisiologi ( perubahan) dan Behaviour (tingkah laku). Di sini saya ingin kaitkan komponen-komponen ini dengan satu keadaan yang saya alami sendiri. Hal ini terjadi apabila menjelangnya cuti raya di mana anda boleh membayangkan betapa ramainya orang yang berada di stesen bas ketika itu. Jam menunjukkan 5 minit lagi, pukul 9 mlm. Ketika itu saya berasa pelik kenapa saya masih lagi tidak nampak kelibat bas Transnasional yang berplat DAB 532. Ketika itu, saya mula berasa takut, kenapa bas tak sampai lagi, sedangkan banyak bas yang akan bertolak pada pukul 9 dah masuk dalam stesen. Saya pun berfikir (kognitif) jika saya terlepas bas, macam mana, dan saat itu saya hanya memikirkan untuk balik ke rumah walau apa cara sekalipun. Jadi, saya mengambil langkah untuk mencari bas Transnasional (fisiologi) , ketika itu dapat tak anda bayangkan di Stesen Putra, saya berulang alik beberapa kali di stesen dari bahagian depan ke belakang, dari belakang ke depan (behavior). Malang sekali, saya masih lagi tidak jumpa bas itu. Saya pun bertanya kepada orang yang menjaga kemasukan bas, "Encik, bas nie da masuk ke..??" Orang tu pun berkata, "Dah lama dah masuk dik". Ketika itu, perasaan takut semakin menebal dan ketika itu saya rasa sangat sedih(afektif) kerana perkara ini terjadi pada pertama kali saya belajar untuk naik bas di kawasan Kuala Lumpur ini. Setelah itu, saya cuba lagi untuk mencari (fisiologi), tetapi masih lagi tidak kujumpa. Saya pun pergi ke kaunter dan bertanya (behavior), saya sangat terkejut apabila diberitahu bas dah terlepas. Ketika itu, perasan takut dan sedih bercampur baur, lalu saya menangis di situ (afektif). Tetapi, saya sangat bernasib baik kerana ada 2 orang yang juga tertinggal bas yang sama dengan saya, lalu kami diberitahu, bas berhenti di Gombak. Dengan beraninya, saya meminta untuk ditumpangkan juga ke sana (behavior). Kira-kira, dalam 20 minit, kami dapat menjejaki bas itu dan saya berasa sangat lega akhirnya, dapt juga saya pulang ke rumah. Melalui pengalaman yang saya ceritakan, dapatlah kita lihat di sini terdapat banyak komponen-komponen emosi yang wujud.

Selain itu juga, saya dapat mempelajari tentang beberapa teori tentang emosi yang tidak pernah saya belajar selama ini. Teori pertama ialah Darwin's basic theory yang menyatakan ekpresi wajah melambangkan emosi seseorang itu. Hal ini demikian kerana, sangat senang untuk melihat emosi di muka berbanding dengan organ-organ lain. Plutchik's Primary Emotion Theory menggambarkan emosi dari segi 3 bahasa yang berbeza iaitu bahasa subjektif (bahasa biasa bagi emosi yang kita rasai iaitu gembira, sedih dan takut),  bahasa tingkah laku (bahasa yang menunjukkan tingkah laku ataupun tindakan yang diambil ekoran daripada emosi yang dirasai. Sebagai contoh, melompat kegembiraan, menjerit dan menangis kerana kesedihan) dan bahasa fungsian (bahasa yang menunjukkan fungsi emosi yang ditunjukkan. Sebagai contohnya, takut yang membuatkan seseorang itu gementar, gembira yang membuatkan seseorang itu tenang). Plutchik juga mengatakan emosi dapat dibezakan mengikut dimensi iaitu intensiti yang merujuk kepada darjah kekuatan emosi (Cik Puteri berasa sangat gembira sehingga mengeluarkan air mata). Dimensi yang kedua ialah persamaan yang boleh mengaitkan 2 emosi, sebagai contoh marah dan sedih lebih dekat daripada marah dan gembira. Kekutuban merujuk kepada perbezaan emosi yang ketara, contohnya gembira lawan kepada sedih.

Teori yang ketiga ialah Tomkin's Facial Feedback Theory. Apa yang saya faham melalui teori ini adalah ekspresi muka boleh mencerminkan dan memperlihatkan emosi seseorang itu. Contohnya, apabila kita senyum, pastinya kita sedang gembira dan apabila kita muram pastinya kita sedang bersedih. Namun begitu, ada juga yang mengkritik teori ini di mana mereka mengatakan ekspresi muka tidak semestinya menunjukkan emosi sebenar seseorang itu. Hal ini demikian kerana ada segelintir individu yang mampu tersenyum walaupun berada dalam kesedihan bagi menyembunyikan perasaaan sebenarnya daripada diketahui ramai. Kadang-kadang saya juga terfikir bagaimana mereka dapat tersenyum walaupun hakikatnya berada dalam kesedihan. Apa yang saya dapat fikirkan, orang seperti ini adalah orang yang suka memendam perasaannya  dan ada juga mereka yang tidak mahu membimbangkan orang lain kerana kesedihan yang dirasai.

Tambahan pula, Izard's universal facial expression juga adalah salah satu daripada teori yang menerangkan tentang emosi. Teori ini menyatakan emosi adalah sesuatu yang semula jadi sejak lahir lagi dan tidak dapat dipelajari begitu sahaja. teori ini telah diteliti oleh Scherer & Wallbot (1994) dan mendapati teori ini adalah mantap dan stabil. Apa yang berbezanya di sini ialah bagaimana seseorang itu mengawal dan mengalami sesuatu emosi itu, dan bukannya bagaimana ia dizahirkan. Teori lain ialah Learning and Experience Theory yang mengandungi 2 sudut pengalaman iaitu biological view dan learning theory view. Dari sudut pandangan biologi, terdapatnya situasi yang membolehkan emosi itu terzahir di mana lain individu, lain sebabnya. Contonhya, Kamil sangat takut kepada lebah sehinggakan badannya menggigil. Teori pembelajaran melibatkan semua emosi yang ada. Albert menyatakan bahawa perasaan takut dalam diri manusia juga boleh wujud melalui proses pembelajaran.

Dengan ini, berakhirlah coretan saya untuk kali ini. Diharapkan saudara dan saudari dapat lagi meluangkan masa bagi mengikuti perkembangan untuk topik-topik yang lebih menarik selepas ini. Akhir kata, saya sangat berterima kasih kepada anda yang sudi membaca dan melayan coretan saya ini. Assalamualaikum……….

 

No comments:

Post a Comment