Saturday 30 July 2011

A131740 LAU CHIN LJ01 EMOSI

A131740   LAU CHIN   LJ01 EMOSI

Selamat sejahtera. Ulasan ini merupakan ulasan jurnal pembelajaran saya untuk khusus Pengurusan emosi ZZZT2253. Kuliah mengenai pengenalan, struktur dan ekspresi emosi telah mendedahkan saya kepada konsep emosi dalam konteks yang lebih lanjut dan teliti. Setelah menghadiri kuliah tersebut, pemahaman saya terhadap konsep emosi telah ditingkatkan kerana sebelum ini saya hanya faham bahawa emosi merupakan sesuatu yang lahir secara semula jadi dan tidak pernah berfikir secara mendalam bagaimana berlakunya evolusi pelbagai emosi and apa sebenarnya yang mendorong kewujudan emosi ( contohnya, mengikut Tomkin's Facial Feedback Theory, emosi adalah akibat daripada ekspresi muka, iaitu, senyuman menyebabkan wujudnya perasaan gembira )

Daripada kuliah tersebut, saya telah memperoleh pengetahuan bahawa emosi adalah sesuatu yang berbeza daripada perasaan. Emosi terdiri daripada perasaan yang wujud sewaktu insiden berlaku, proses kognitif, pelarasan fisiologi dan kelakuan. Saya agak terperanjat kerana tidak menyangka bahawa emosi adalah begitu kompleks dan sebenarnya keempat-empat proses ini memang wujud dalam kehidupan harian kita tanpa kita sendiri benar-benar merasainya.

 

 Selain itu, saya juga tidak tahu bahawa emosi sebenarnya dapat diukur. Pada pandangan saya, cara self-report itu kurang berkesan untuk mengukur emosi seseorang individu kerana sewaktu mengendalikan sesi soal jawab dengan responden, tidak semestinya responden tersebut akan mengeluarkan semua perasaannya dengan jelas tanpa sebarang penipuan. Oleh itu, saya berpendapat bahawa adalah lebih tepat untuk kita mengukur emosi dengan menggabungkan cara self-report dan pengukuran fisiologi kerana emosi bukan sahaja semata-mata bermaksud perasaan tetapi juga merangkumi pelarasan fisiologi. Pengukuran fisiologi akan membolehkan kita tahu tentang perubahan fisiologi dalam badan dari segi tekanan darah, kadar pernafasan, aktiviti elektrikal dalam otak dan sebagainya.

 

Saya agak bersetuju dengan teori yang dikemukakan oleh Darwin yang mengatakan bahawa emosi terdiri daripada emosi asas (primary emotion). Pada pendapat saya, emosi primari memang wujud dan kombinasi emosi tersebut akan membentuk pelbagai emosi yang lain. Mengikut Plutchik's Primary Emotion Theory, emosi dapat digambarkan dalam tiga bahasa yang berbeza, iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkah laku dan bahasa fungsian. Bahasa subjektif merujuk kepada bahasa biasa bagi emosi seperti perasaan gembira, takut, sedih dan sebagainya. Bahasa tingkah laku pula merujuk kepada  tindakan susulan dari emosi yang telah dirangsang. Misalnya, seseorang akan melompat kegirangan disebabkan oleh perasaan gembira.  Manakala bahasa fungsian pula merujuk kepada fungsi emosi tersebut kepada seseorang. Ia juga merujuk kepada bagaimana emosi itu berperanan kepada individu. Sebagai contoh, perasaan berani telah berfungsi member keyakinan kepada seseorang individu. Plutchik juga telah menyenaraikan lapan tindak balas adaptif asas, iaitu

ü  Takut

ü  Meluat

ü  Terperanjat

ü  Gembira

ü  Sedih

ü  Terima

ü  Marah

ü  Rasa ingin tahu

Apa yang mengagumkan saya adalah Plutchik dapat mengkaji konsep emosi dalam 3 dimensi, iaitu intensity, similarity dan  polarity. Akan tetapi, saya agak tertanya-tanya bahawa sama ada tempoh kelanjutan sesuatu emosi itu juga boleh dikira sebagai satu dimensi penting atau tidak. Hal ini kerana saya berpendapat bahawa bukan semua emosi adalah berlaku dalam tempoh masa yang sama. Contohnya, emosi gembira wujud dan hanya berlanjutan dalam masa yang singkat manakal emosi cinta terhadap sesuatu objek atau seseorang individu boleh berlanjutan sepanjang hayat.

Selain itu, kuliah pada hari Rabu yang lepas juga telah mendedahkan saya kepada teori  Tomkin, iaitu Tomkin's Facial Feedback Theory. Mengikut teori Tomkin, sesuatu emosi wujud disebabkan oleh ekspresi muka seseorang individu. Contohnya, perasaan gembira adalah disebabkan oleh senyuman. Dalam konteks ini, saya tidak bersetuju dengan teori Tomkin. Pada pendapat saya, ekspresi muka tidak semestinya merupakan jawapan mengenai emosi yang tersembunyi dalam individu itu sendiri. Adakalanya sesuatu ekspresi muka dipaparkan semata-mata hanya disebabkan situasi memerlukannya. Tambahan pula, kebanyakan orang menggunakan ekspresi muka sebagai komponen berkomunikasi dengan pihak lain dan bukann hanya berdasarkan emosi sendiri. Pendapat tersebut dikukuhkan dengan pangalaman saya sendiri. Sebagai contoh, sewaktu bekerja sebagai waitress di sebuah restoran, saya telah berdepan dengan pelanggan yang pelbagai ragam. Apabila berdepan dengan rungutan dairpada pelanggan yang berkelakuan buruk atau tidak menyenangkan, saya juga terpaksa mengekalkan ukiran senyuman pada muka saya demi menjaga reputasi restoran tersebut. Senyuman merupakan satu komponen komunikasi penting sewaktu saya melayan pelanggan di restoran tersebut dan bukan paparan emosi sebenar sepanjang masa.

 

Teori Izard, iaitu Izard's innate facial expression mengatakan bahawa mekanisme neural untuk ekspresi muka dan juga emosi adalah wujud secara semula jadi. Pandangan saya mengenai konsep emosi sebelum menghadiri kuliah adalah lebih kurang sama dengan teori yang dihasilkan oleh Izard. Izard telah memberi beberapa bukti seperti kajian mengenai ekspresi emosi yang wujud melalui ekspresi muka bayi  pada usia awal. Mengikut kajian Scherer & Wallbott yang meliputi 37 negara dan 5 benua, mereka mendapati bahawa konsep kesejagatan emosi wajah adalah mantap dan stabil. Yang berbeza adalah bagaimana emosi itu dialami dan dikawal dan bukannya bagaimana emosi itu dizahirkan.

Menurut kuliah yang saya hadiri, saya juga telah difahamkan bahawa konsep emosi juga boleh diterangkan mengikut teori pembelajaran dan pengalaman. Menurut Plutchik, emosi adalah ekspresi potensi genetik secara langsung dalam seseorang individu, dan pembelajaran berfungsi mengubahsuaikannya. Mengikut Izard pula, setiap emosi akan membolehkan seorang bayi menjadi sensitif kepada ciri-ciri tertentu dalam persekitaran dan ini akan memudahkan proses pembelajaran. Secara konklusinya, sesuatu emosi asas seperti perasaan marah sebenarnya lahir secara semula jadi, tetapi ia menjadi ekpresi yang berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain disebabkan proses pembelajaran masing-masing yang telah mengubahsuaikannya.

 

Akan tetapi, ada juga teori yang mengatakan bahawa semua emosi adalah hasil pembelajaran sendiri dan bukannya wujud secara semula jadi. Teori ini dibuktikan dengan kajian Miller mengenai kebolehan tikus memperoleh sesuatu emosi setelah diberi kejutan elektrik. Di samping itu, kajian Albert juga menunjukkan kebolehan manusia memperoleh sesuatu emosi seperti perasaan takut melalui proses pembelajaran. Pada pendapat saya, bukan semua emosi dapat diperoleh melalui proses pembelajaran. Emosi asas seperti perasaan marah, sedih, gembira, takut dan sebagainya adalah lahir secara semula jadi, manakala emosi lain hasil daripada gabungan emosi asas adalah diperoleh melalui proses pembelajaran. Contohnya, emosi berdendam yang merupakan gabungan emosi asas seperti marah dan sedih akan dipelajari oleh seseorang individu akibat hasutan orang, persepsi sendiri individu itu terhadap kejadian yang menimpanya dan sebagainya. Tambahan lagi, proses pembelajaran bukan mengajar seseorang menguasai sesuatu emosi asas tetapi membolehkan individu tersebut menyatakan emosi asas dalam cara yang lain.

 

Selepas memahami kesemua jenis teori mengenai konsep emosi yang diterangkan sewaktu kuliah , saya telah dapat membuat satu kesimpulan iaitu, emosi merupakan sesuatu yang abstrak dan kompleks dan memerlukan kajian dalam pelbagai aspek untuk benar-benar menentukan konsepnya. Walau bagaimanapun, kawalan emosi adalah berbeza antara seseorang individu dengan individu yang lain dan merupakan sesuatu yang boleh dipelajari.

No comments:

Post a Comment