Saturday 30 July 2011

A131714 Nurshazwani binti Hishamuddin LJ01 EMOSI

Menulis jurnal bukanlah aktiviti yang menjadi pilihan saya untuk mengisi masa lapang tetapi kerana tugasan yang telah diamanahkan kepada setiap orang pelajar oleh Dr. Zamri, saya akur.

Assalamualaikum. Mengikuti kursus ZT2253 kendalian Dr. Zamri merupakan satu pengalaman pembelajaran yang baru bagi saya dan pendekatan yang digunakan amat berbeza jika dibandingkan dengan pensyarah-pensyarah yang lain. Alhamdulillah,saya dapat mengikuti dua kuliah yang telah dijalankan dengan baik. Buat julung kalinya saya menulis jurnal dan ini membuatkan saya berasa amat kekok tetapi insyaAllah dengan izinNya, saya akan cuba untuk menulis dengan sebaik mungkin.

Melihat kegigihan seorang pemuda Korea untuk mencuba nasib dalam program realiti yang hidupnya terumbang-ambing semenjak berumur lima tahun memang menyuntik semangat kepada saya untuk meneruskan cita-cita saya untuk terus berjuang dalam bidang perubatan yang dikatakan penuh dengan dugaan dan rintangan yang mencabar. Pengurusan emosi yang baik diperlukan sebagai senjata untuk menempuh halangan yang mendatang. 

Dalam kuliah pertama bertajuk Pengenalan, saya telah didedahkan dengan maksud emosi. Menurut Kleinginna & Kleinginna (1981), emosi adalah satu set interaksi yang kompleks berlaku di antara faktor subjektif dan objektif, di mana sistem neurohormon menjadi pengantara di antara keduanya. Emosi terdiri daripada empat komponen penting iaitu: 1) pengalaman efektif, 2) proses kognitif, 3) perubahan fisiologi dan 4) perubahan tingkahlaku. Bagi memudahkan penghafalan, Dr. telah memberikan satu tips untuk menghafal komponen tersebut iaitu akaun facebook.

Sebagai contoh, setelah pulang dari kuliah, Zara mendapati ada sejambak bunga mawar tanpa kad di atas mejanya. Dia berasa amat gembira dan bangga kerana buat pertama kalinya ada seseorang menghadiahkannya sejambak mawar (pengalaman efektif). Dia lantas bertanya kepada teman sebiliknya untuk mengetahui siapakah gerangan pengirimnya (proses kognitif). Jantungnya berdegup kencang dan pipinya menjadi kemerah-merahan setelah mengetahui bahawa Zaki yang menghadiahkan bunga itu kepadanya (perubahan fisiologi). Dia lantas menelefon Zaki untuk mengucapkan terima kasih (perubahan fisiologi).

Saya juga ada terbaca dalam slide pembentang "Pengurusan Emosi" oleh Dr. Khamsiah Ismail tentang definisi emosi. Beliau menyatakan bahawa emosi adalah satu ciri jiwa manusia yang mempamerkan perasaan-perasaan kuat yang berpunca daripada psikologi (mental) seseorang dan emosi dapat berlaku secara naluri bergantung pada situasi.

Menurut Lang et al (1992), emosi sebagai motivasi kepada tingkah laku dan motif boleh menjadi emosional dan pada tahun 1993, Baron & Logan telah menyatakan bahawa emosi tidak dapat dipisah daripada motivasi.

Di sini saya ingin berkongsi sebuah pengalaman yang tak dapat saya lupakan buat selamanya. Kejadian ini berlaku pada awal tahun 2011 iaitu pada bulan Mac. Nenek telah dimasukkan ke hospital disebabkan serangan jantung secara mengejut. Saya amat terkejut dan sedih apabila mendengar perkhabaran tersebut melalui ibu. Ingin saja say pulang ke kampung tetapi jadual kuliah yang padat tidak mengizinkan saya berbuat demikian. Setelah berusaha mencari ruang-ruang kosong dalam jadual kuliah,saya pulang ke kampong. Saya bersama ibu melawat nenek di hospital dan setibanya di sana, hati saya menjadi sayu melihat keadaan nenek yang tidak bermaya dan hanya terbaring di atas katil. Pelbagai wayar kelihatan berselirat di bahagian dada nenek. Secara tidak sedar,air mata saya menitis kerana tidak mampu menahan sebak. Segera saya menyapu air mata itu kerana tidak mahu nenek melihatnya. Saya memegang tangan nenek dan berkata kepadanya bahawa saya akan merawatnya tetapi dengan syarat nenek harus kuat melawan penyakitnya. Sepanjang nenek berada di hospital, ibu dan ibu saudara saya yang lain bergilir-gilir menjaga nenek. Tidak lama kemudian nenek mengalami komplikasi dengan ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor dan dia telah dipindahkan ke hospital besar. Di sana, nenek berada di bawah jagaan yang rapi oleh doktor serta jururawat yang bertugas. Menurut ibu, keadaan nenek tidak menentu, kadang-kadang nenek tidak sedarkan diri sehari suntuk. Hati saya semakin cemas kerana bimbangkan nenek tambahan pula saya berada dalam minggu mengulangkaji untuk peperiksaan akhir semester dua . Macam-macam yang  terlintas di fikiran saya dan saya pohon kepada Allah supaya nenek cepat sembuh dan kembali sihat seperti sedia kala. Menurut ibu lagi, doktor menyatakan bahawa peluang untuk nenek pulih amat tipis dan beliau menyarankan agar nenek dibawa pulang ke rumah. Allah lebih menyayangi nenek. Dia telah kembali ke rahmatullah pada 17 April 2011. Saya menangis teresak-esak apabila ibu menelefon saya memaklumkan bahawa nenek telah meninggal dunia. Pada awalnya, saya ragu-ragu mahu pulang atau tidak kerana pada 19 April peperiksaan akan bermula tetapi apabila memikirkan ini peluang terakhir saya menatap wajah nenek, saya pulang jua bersama sepupu saya. Pengkebumian nenek berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Pengalaman itu menjadi motivasi kepada saya untuk menguatkan lagi diri untuk menempuhi segala rintangan dalam usaha menjadi seorang doktor.

Sebelum menghadiri kuliah, saya tidak pernah tahu bahawa emosi mempunyai teori-teorinya yang tersendiri. Antara teori yang dikupas dalam kuliah kedua yang bertajuk Struktur dan Ekspresi Emosi ialah Teori evolusi/biologi dan teori pembelajaran. Menurut Harris & Pashler (1995), emosi kita sekarang adalah produk yang terhasil secara genetik yang diadaptasi daripada manusia zaman dahulu hingga ke zaman kuno. Teori pembelajaran dapat dikecualikan yang mempunyai hipotesis di man-man kedua-dua emosi dan ekspresinya adalah datang daripada setiap individu melalui pengalaman tentang budaya persekitaran di mana dia  membesar dalam persekitaran tersebut. Teori evolusi/biologi dapat di bahagikan kepada Teori Darwin, teori Plutchik, teori Tompkin dan teori Izard.

Teori Darwin, dalam bukunya "The Expression of the Emotions in Man and Animals" (1872) bahawa ekspresi emosi berkait dengan emosi tertentu adalah merupakan sesuatu yang sama merentasi semua budaya dan ini bermakna ianya merupakan sesuatu yang semulajadi. Ekspresi wajah melambangkan emosi kerana ianya senang dilihat. Contoh, ketika kita berjalan dan tiba-tiba terpijak duri,muka kita akan berkerut menandakan kita sedang menahan kesakitan.

Seterusnya, emosi boleh diterangkan  dalam tiga bahasa yang berbeza menurut Plutchik. Tiga bahasa itu adalah bahasa subjektif, bahasa tingkahlaku dan bahasa fungsian. Bahas subjektif adalah bahasa yang lazim untuk emosi seperti sedih, gembira, takut. Bahasa tingkahlaku merrujuk kepada apakah tindakan susulan dari emosi yang telah dirangsang seperti bersorak ketika gembira dan menjerit ketika takut. Selain itu, bahasa fungsian merujuk kepada fungsi emosi itu terhadap seseorang dan bagaimana emosi itu berperanan kepada individu seperti contoh takut memberikan fungsi mempertahankan diri. Dalam teori ini, terdapat lapan reaksi adaptif asas seperti takut, meluat, marah, terperanjat, gembira, sedih terima dan rasa ingin tahu. Teori ini menarik minat saya kerana ianya mudah difahami dan diingati.

Secara keseluruhan, emosi diperlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup,membuat keputusan, berkomunikasi dan penyatuan. Semua manusia mengalami pelbagai emosi, suka atau tidak, kita tiada pilihan kecuali menguruskannya. Pengurusan emosi bukan bermakna menafikan kewujudannya tetapi mengakuinya dan belajar mengawalnya.

"Ketahuilah, sungguh jika dia tidak berhenti (berbuat demikian) nescaya Kami tarik ubun-ubunnya, (iaitu) ubun-ubun orang yang mendustakan lagi derhaka."
(Al Qur'an, Al-Alaq:15-16)

…"ubun-ubun orang yang mendustakan lagi derhaka" Penelitian yang dilakukan di tahun-tahun kebelakangan ini mengungkapkan bahawa bahagian prefrontal, yang bertugas mengatur fungsi-fungsi khusus otak seperti merancang,mengatur dan mengawal terletak pada bahagian depan tulang tengkorak. Para ilmuwan hanya mampu menemui fungsi bahagian ini setelah kurun 60 tahun terakhir, sedangkan Al Qur'an telah menyebutkannya 1400 tahun lalu.

Rujukan :
1)      Nota Kuliah ZT2253
2)      Terjemahan Bab 13 Emosi, Smith, B. D. 1998. Psychology, science & understanding, hlm. 465-489, Boston: McGrawHill.
 
 
 

No comments:

Post a Comment