Friday 29 July 2011

A131556 Noramira Binti Robani LJ01 Emosi

Assalamualaikum dan salam sejahtera, kursus pengurusan emosi ini sememangnya masih baru bagi saya dan alhamdulilah kuliah pertama dan kedua dapat saya ikuti dengan baik. Ini adalah jurnal pertama saya bagi kursus pengurusan emosi dan tidak dinafikan saya agak sedikit kekok untuk menulis jurnal ini. Walaubagaimanapun, saya percaya bahawa lama-kelamaan saya akan terbiasa dengan keadaan ini malahan saya sendiri dapat memperbaiki kepakaran saya dalam IT.

            Dalam kuliah pertama yang telah diterangkan oleh Dr.Zamri, saya telah mengetahui dengan lebih mendalam tentang apakah sebenarnya yang dinamakan sebagai emosi. Emosi menurut Kleinginna & Kleinginna (1981) ialah satu interaksi yang kompleks antara subjektif dan penyebab-penyebab objektif berlaku (faktor atau situasi yang mempengaruhi sesuatu keputusan) yang dipengaruhi oleh sistem neural hormon dalam badan yang boleh menyebabkan beberapa tindakbalas terjadi. Terdapat 4 komponen penting dalam emosi antaranya ialah pengalaman efektif, proses kognitif, perubahan fisiologi, dan juga perubahan tingkah laku. 4 komponen ini sangat penting dan saling berkait antara satu sama lain.

            Pengalaman efektif ialah apabila seseorang itu mempunyai perasaan pada waktu itu disebabkan oleh sesuatu faktor. Dan pengalaman ini akan menyebabkan proses kognitif itu berlaku di mana seseorang itu cuba mengenal pasti punca terjadinya perasaan itu. Kemudian, seseorang itu akan mengalami perubahan fisiologi di mana tubuh badan akan cuba untuk menstabilkan perasaan tersebut. Dan akhir sekali, seseorang itu akan melakukan sesuatu untuk mengekspresikan perasaan mereka.

            Saya selitkan satu contoh supaya kita akan lebih mudah memahami komponen-komponen emosi yang mana saya mengambil contoh perasaan marah. Zaidi pulang dari sekolah dan tiba-tiba dia mendapati bahawa aiskrim yang disimpannya di dalam peti sejuk telah tiada. Dia berasa sangat sedih dan marah kerana dia membeli aiskrim itu dengan duitnya sendiri.(pengalaman efektif). Kemudian untuk mengetahui siapa yang telah mengambil aiskrimnya, dia bertanya pada ibunya tentang hal tersebut dan ibunya memberitahu bahawa adiknya telah mengambil aiskrim tersebut.(proses kognitif). Kemudian Zaidi merasakan jantungnya berdegup pantas dan wajahnya menjadi merah kerana menahan marah.(perubahan fisiologi). Dia kemudian terus berlari mencari adiknya dan memarahi adiknya kerana telah mengambil aiskrim yang telah dibelinya. Namun begitu, dia tidak memukul adiknya kerana dia masih boleh mengawal emosinya waktu itu.(perubahan tingkah laku).

            Emosi sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan motivasi menurut Baron & Logan (1993) dan emosi juga sebagai motivasi kepada tingkah laku dan motif boleh menjadi emosional menurut definisi Lang et al (1992). Sebagai contoh, apabila kita melihat seorang tua yang buta terkapai-kapai mencari jalan untuk melintas, kita secara spontan akan merasa kasihan dan simpati terhadap orang tua itu. Lalu, emosi itu akan membuatkan kita berasa kita perlu memberi pertolongan kepadanya dan seterusnya kita akan menuju kearah orang tua itu dan memimpinnya untuk melintas jalan. Inilah yang dikatakan emosi mendorong kepada motivasi dan seterusnya menghasilkan tingkah laku.

            Dan tidak dinafikan juga, semua individu mempunyai pengalaman emosi mereka sendiri dan sama juga seperti saya. Ingin saya ceritakan di sini tentang pengalaman emosi saya yang saya rasai pada tahun lalu yang sememangnya sangat terkesan dalam hati saya. Saya mempunyai beberapa ekor kucing dan entah bagaimana salah seekor kucing saya(Kempot) telah bergaduh dengan kucing lain tanpa saya sedari. Seperti biasa, luka yang ada dibadannya saya anggarkan sebagai luka biasa dan saya hanya mengubatinya dengan minyak gamat sahaja. Hari demi hari, saya lihat dan perhati bahawa Kempot kelihatan sukar untuk bernafas dan semakin kurus kerana tidak lalu makan. Dalam hati saya terdetik perasaan kasihan dan risau kerana saya tidak sampai hati melihat dia berasa terseksa. Hinggalah hari kesepuluh setelah kejadian, saya melihat dia bernafas melalui mulut dan di situ terdetik dalam hati saya bahawa keadaan Kempot semakin membimbangkan. Saya mula risau dan sedih. Sebagai proses kognitif, saya meminta izin dari ibu bapa saya untuk membawa Kempot ke klinik haiwan kerana saya kasihan melihat dia bernafas melalui mulut. Banyak persoalan dalam minda saya dan saya ingin mengetahui adakah ia kesan daripada Kempot bergaduh dan sejauh mana tahap keseriusan penyakitnya. Saya membawanya ke klinik dan bertanya pada doktor haiwan di situ tentang Kempot. Doktor di sana telah melakukan X-ray terhadap Kempot dan mengatakan keadaannya sangat serius kerana paru-paru Kempot telah dipenuhi nanah, kesan daripada pergaduhannya dengan kucing liar. Paru-parunya telah dijangkiti kuman yang mugkin ada pada kuku kucing liar tersebut. Doktor menasihatkan saya untuk meninggalkan Kempot di klinik beberapa hari untuk dirawat dan saya merelakan kerana saya kasihan dan tidak sanggup melihatnya sakit. Saat itu, hanya Allah yang tahu tentang perasaan saya, sedih kerana terpaksa melihat kucing saya menderita kesakitan, marah dan bersalah kerana saya merasakan bahawa saya yang bersalah kerana lewat membawa Kempot ke klinik. Sampai di rumah, saya terpaksa pula menerangkan situasi Kempot kepada keluarga saya dan sememangnya emosi saya bercampur aduk saat itu. Dua hari kemudian, saya mengambil Kempot dari klinik dan saya terkejut apabila doktor menunjukkan nanah yang telah 70% dikeluarkan dari badannya. Badannya juga menjadi sangat kurus dan dia tak mampu untuk bersuara. Saya bawa pulang Kempot dan menjaganya dengan sepenuh perhatian kerana keadaannya yang sangat memerlukan. Keesokannya, saya lihat keadaannya bertambah teruk. Makan dan minum langsung tidak dan dia seolah-olah sudah tidak mampu untuk berdiri, hanya terbaring lesu di dalam sangkar yang kami sediakan. Waktu itu, saya sudah tidak sanggup menahan emosi saya dan saya menangis kerana terlalu sedih melihat keadaannya yang bagaikan bagaikan nyawa-nyawa ikan. Saya tahu dia sudah tidak mampu untuk bertahan dan saya menangis sambil menemani dia di saat-saat akhirnya. Dan tak lama kemudian, Kempot pergi buat selama-selamanya. Melihatnya terseksa sudah cukup membuatkan saya sedih inikan pula melihatnya mati di depan mata. Waktu itu, saya menangis dan terus menangis kerana tidak dapat mengawal emosi saya yang ketika itu sangat sedih. Itulah pengalaman saya yang saya boleh jadikan contoh di mana emosi mendorong motivasi dan seterusnya menghasilkan tingkah laku.

            Seterusnya, dalam kuliah kedua Dr Zamri telah menerangkan tentang struktur dan teori-teori yang berkaitan dengan emosi. Struktur dan ekspresi emosi boleh dikategorikan kepada 2 bahagian iaitu teori biologi dan teori pembelajaran. Dalam teori biologi terdapat 4 jenis teori yang berkaitan dengan emosi antaranya ialah Darwin's basic theory of emotions, Plutchik primary emotion theory, Tomkin's facial feedback theory dan juga Izard's innate facial expression. Dalam teori Darwin, beliau telah mengolah tentang emosi primari(teori asas). Di samping itu, emosi juga boleh digambarkan dengan ekspresi wajah. Ekspresi wajah seseorang merupakan kaedah paling mudah untuk mengesan emosi seseorang.

            Menurut teori Plutchik, emosi boleh digambarkan dalam 3 bahasa yang berbeza. Antaranya ialah bahasa subjektif, bahasa tingkah laku dan bahasa fungsian. Bahasa subjektif ialah bahasa biasa bagi emosi, contohnya seperti takut, sedih, gembira dan lain-lain. Manakala bagi bahasa tingkah laku pula merujuk kepada tindakan susulan apabila sesuatu emosi itu dirangsang, contohnya menjerit apabila marah dan menangis apabila sedih. Dan seterusnya, bahasa fungsian pula merujuk kepada fungsi emosi tersebut kepada seseorang, contohnya gembira memberikan kebahagiaan dan marah memberikan kebencian. Seperti pengalaman yang telah saya kongsikan di atas, apabila saya sedih tatkala melihat kucing saya sakit dan terseksa, saya akan menangis dan kesedihan ini melambangkan keakraban hubungan persahabatan saya dengan kucing saya.

            Kesimpulannya, setiap individu mengalami emosi yang berbeza dan emosi inilah yang akan memberikan tingkah laku dan ekspresi wajah yang berbeza. Emosi yang baik, tentu akan memberikan tingkah laku yang baik dan begitu juga jika sebaliknya. Oleh itu, pengurusan emosi sangat penting dalam kehidupan harian agar tingkah laku juga dapat dijaga.

 

           

 

No comments:

Post a Comment