Saturday 30 July 2011

A131230 Mohamed Ismail Ahmad Komponen Emosi

Menurut Kleinginna & Kleinginna (1981), emosi adalah gabungan interaksi antara faktor subjektif dan juga faktor objektif melalui pengantaraan sistem neural hormon. Apa yang saya faham mengenai definisi yang diutarakan ini adalah gabungan gabungan ini akan mempengaruhi tingkah laku, pandangan, persepsi dan juga keinginan dan selalunya kerap sekali perubahan ini dilihat melalui ekspresi pada wajah seseorang. Namun, tidak cukup sekadar penggunaan deria penglihatan untuk membuat pemerhatian terhadap pembelajaran emosi. Pembelajaran tentang emosi ini haruslah disertakan dengan kelima lima deria yang dianugerahkan kepada kita iaitu deria penglihatan untuk pemerhatian, deria bau untuk menghidu, deria mendengar untuk mendengar, deria sentuhan untuk sentuhan dan juga deria rasa untuk merasa. Semua jenis deria ini kerap sekali digunakan untuk memahami emosi seseorang sama ada secara sedar mahupun tidak sedar.
Menurut Dr Zamri melalui kuliah pertama yang saya hadir pada petang rabu, 27/7/2011, emosi terbahagi kepada empat komponen utama iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan juga tingkah laku. Kesemua komponen ini tidak dapat diukur dengan mana mana peralatan.
Mengenai komponen perasaan, saya berpendapat pemahaman tentang perasaan seseorang wujud apabila kita mempunyai ilmu sama ada ditimba melalui pengalaman atau melalui pembacaan, dan juga menjiwai atau memahami dengan sepenuh jiwa tentang ilmu yang diperolehi. Pengalaman saya untuk mengulas lebih lanjut mengenai pendapat yang saya ketengahkan ini adalah pengalaman ketika menimba ilmu pengetahuan di sekolah dan universiti. Saya sering mempelajari sesuatu dengan menghafal dan disertakan pula dengan niat untuk lulus peperiksaan. Sebagai contoh subjek pendidikan Islam, kebanyakannya saya dapati saya perlu menghafal ilmu yang disalurkan melalui buku. Apabila diceritakan tentang perasaan berkasih sayang, apa yang saya buat adalah menghafal definisi istilah dan bahasanya. Namun tidak sedikitpun saya faham apa yang saya belajar. Inilah akibatnya sekiranya memahami melalui akal fikiran tetapi tidak disertakan dengan hati. Saya dapati apa yang saya faham melalui hati adalah definisinya, padahal sifat ayat dan situasinya saya tidak dapat faham kerana penggunaan jiwa tidak turut serta dalam proses pemahaman. Oleh itu saya pelajari, untuk memahami ekspresi wajah atau perasaan yang diluahkan oleh seseorang lebih berkesan sekiranya difahami melalui akal dan juga dengan hati.
Di samping ilmu baru mengenai komponen perasaan yang saya perolehi daripada kuliah,
komponen tingkah laku juga bukan sesuatu yang boleh dilihat dengan sebelah mata sahaja menurut Dr Zamri. Tingkah laku berkait rapat dengan perasaan. Secara tidak sedar, tingkah laku manusia sering kali berubah ubah dan ada kalanya kita tidak menjangka sesuatu perubahan itu. Sepanjang dua puluh tahun saya hidup, tidak pernah sedikitpun terlintas di kepala saya bahawa faktor yang menjadi medium utama dalam perubahan tingkah laku ini adalah dipandu oleh perasaan seseorang. Melalui pemerhatian saya, saya dapati sebahagian besar daripada rakan sebaya saya berubah tingkah lakunya kerana perasaan bergelora yang berpanjangan terhadap seseorang. Lebih mudah sekiranya saya simpulkan perihal ini sebagai alam percintaan. Setiap kali mula percintaan, mulalah juga perubahan kelakuan daripada kelakuan yang tidak siuman kepada yang lebih siuman. Namun setiap permulaan pasti ada penghabisannya. Penghabisan bagi percintaan ini adalah penghabisan juga kepada kelakuan yang siuman, seterusnya kembali kepada jalan hidup yang asal bahkan lebih teruk lagi. Contoh yang kedua yang saya boleh kaitkan di sini adalah melalui tayangan video oleh Dr Zamri di kuliah mengenai seorang lelaki korea yang tampil membuat persembahan nyanyian dalam sebuah rancangan popular "Korea's Got Talent". Perasaan Sung-bong terhadap persembahan nyanyian yang disaksikannya menjadikan dia berminat dalam alam nyanyian. Minatnya pula menjadikan tingkah lakunya banyak berlatih menyanyi dan latihannya pula menjadikan persembahannya penuh beremosi.  Jadi apa yang boleh saya simpulkan mengenai pembelajaran saya di sini adalah ada emosi yang menjurus kepada perubahan tingkah laku yang positif dan ada pula negatif. Berlawanan kepada ulasan saya ini, bukan sahaja perasaan mempengaruhi tingkah laku. Tingkah laku juga boleh mempengaruhi perasaan.
Perubahan fisiologi pula adalah menerangkan tentang perubahan pada sistem dalaman
seseorang untuk mombolehkan badan seseorang mengadaptasi perubahan dari segi emosi. Menurut apa yang saya pelajari, sistem ini dikawal secara majoriti oleh sistem saraf autonomik. Menurut apa yang disampaikan oleh Dr Zamri mengenai perubahan fisiologi ini pada kuliah lepas, perubahan yang paling jelas adalah perubahan dari segi kadar degupan jantung semakin cepat dan pernafasan semakin kuat dan cepat. Kaedah penyampaian seperti ini memberi ilham dan idea kepada saya bahawa peningkatan suhu badan, kulit berubah menjadi semakin kemerah merahan dan juga peluh adalah termasuk dalam penjelasan mengenai perubahan fisiologi ini. Dr Zamri juga pernah menyebut tentang pengalaman dia dan juga rakan rakannya ketika pertama kali naik ke pentas untuk membuat pembentangan yang memerlukan daya kemampuan bercakap, perihalnya memang sangat tertekan dan bergetar terutamanya pada kaki dan suara ketika perkara ini belum menjadi kebiasaan. Namun Dr Zamri menegaskan dengan ungkapan 'alah bisa tegal biasa' kerana bercakap di khalayak ramai lama kelamaan akan memjadi perkara biasa juga. Untuk itu perubahan fisiologi boleh diaplikasikan untuk menganalisis pengalaman Dr Zamri. Analisis yang saya dapati adalah perubahan fisiologi dapat membantu seseorang mengadaptasi perubahan emosi yang dialami dan seterusnya secara tidak langsung membolehkan seseorang imun kepada tekanan yang bakal datang dalam episod yang selanjutnya.
Saya telah mempelajari satu perkara baru yang paling saya tidak faham dan tidak tahu iaitu
proses kognitif. Oleh itu saya mencari rujukan luar melalui internet untuk mengetahui lebih lanjut tentang apa yang dimaksudkan dengan proses kognitif ini. Proses kognitif dalam istilah bahasanya merujuk kepada keupayaan manusia pemprosesan maklumat, termasuk persepsi, pembelajaran, mengingat, menilai dan menyelesaikan masalah. Menurut Jean Piaget, seorang yang sangat berpengaruh dalam bidang perkembangan fisiologi, manusia sangat unik apabila dibezakan dengan binatang kerana manusia ada kemampuan untuk membuat 'abstrak hujah simbolik'. Dalam teorinya iaitu 'Piaget teori Psikologi Perkembangan', proses kognitif berkembang mengikut peringkat umur seseorang. Apa yang saya boleh simpulkan di sini adalah proses kognitif berkembang sesuai dengan tahap kematangan seseorang. Dr Zamri telah mengunakan contoh 'takut' sebagai metode utama dalam penjelasan kepada proses kognitif ini. Menurut kuliahnya, manusia akan menganalisis apakah punca kepada perasaan 'takut' ini barulah kemudiannya diikuti pula dengan bagaimana untuk mengatasi perasaan 'takut' itu.
                Kesimpulannya, emosi dapat difahami dengan lebih jelas sekiranya dilihat melalui komponen perasaan, tingkah laku, perubahan fisiologi dan juga proses kognitif. Kaedah mempelajari emosi melalui setiap komponen ini akan dapat meningkatkan keberkesaan langkah langkah yang diambil untuk mengurus emosi. Sekiranya Emosi dapat diurus dengan baik, maka tidak mustahil komplikasi penyakit penyakit emosi akan dapat dikurangkan.
          

No comments:

Post a Comment