Saturday 30 July 2011

A126900 ZAFIRAH AINNA RA'ATU

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
            Ini adalah jurnal pembelajaran saya yang pertama dalam kursus ZT2253. Kursus ini adalah mengenai pengurusan emosi. Bagi saya kursus ini penting terutamanya kepada pelajar. Ini kerana pelajar adalah golongan yang mudah bertindak mengikut emosi. Ini dapat dibuktikan dengan beberapa kes yang berlaku dimana ada pelajar yang membunuh diri mahupun mencederakan diri sendiri apabila berhadapan dengan masalah lalu mengambil jalan pintas tanpa berfikir akan akibat yang mereka akan hadapi pada masa akan datang.
            Kelas pertama kursus ini telah diadakan pada 20 Julai 2011 pada jam 2.00 petang bertempat di dewan kuliah 1. Dr Ahmad Zamri adalah pensyarah yang bertanggungjawab memberi kuliah untuk kursus ini. Beliau telah memberi beberapa penerangan seperti panduan membuka blog bagi kursus ini, bagaimana untuk membuka nota kuliah yang telah disediakan, cara untuk menghantar jurnal pembelajaran yang perlu dihantar setiap minggu, cara untuk menghantar borang markah kehadiran dan penyertaan dan juga cara menyemak markah kehadiran dan markah tugasan yang telah siap dihantar. Kelas telah ditamatkan dalam jam 4.00 petang.
            Pada 27 Julai 2011, jam 2.00 petang, kelas kedua saya dalam kursus pengurusan emosi. Dr. Zamri telah menayangkan sebuah video dari Youtube bertajuk 'Emotional Story of a Talented Korean'. Video ini mengenai seorang lelaki berumur 22 tahun, dikenali sebagai Sung-bong yang menghadiri uji bakat nyanyian. Sebelum memulakan nyanyian, juri-juri yang mengadili pertandingan itu telah mangaju beberapa soalan mengenai kehidupan beliau oleh kerana beliau tidak mengisi ruangan 'keluarga' dalam borang penyertaan. Beliau telah ditinggalkan di rumah anak yatim semasa berumur 3 tahun dan melarikan diri dari tempat tersebut semasa berumur 5 tahun kerana tidak tahan dipukul. Sejak itu, beliau hidup sendiri selama 10 tahun. Sepanjang tempoh tersebut beliau menyara hidupnya dengan menjual gula-gula getah dan minuman isotonik. Beliau juga tidak menamatkan pembelajaran di sekolah tinggi kerana masalah kewangan. Beliau mula meminati bidang nyanyian setelah melihat seorang penyanyi membuat persembahan di sebuah kelab malam. Beliau tidak pernah mendapat sebarang latihan dalam bidang nyanyian dan hanya membuat latihan sendiri. Setelah itu, juri meminta beliau mempersembahkan nyanyian beliau. Semasa beliau menyampaikan nyanyian, juri-juri terpegun kerana beliau mempunyai bakat yang luar biasa. Peserta yang lain juga terpegun lalu memberi tepukan yang gemuruh. Setelah beliau selesai membuat persembahan, kebanyakan peserta yang lain mahupun juri telah mengalirkan airmata. Saya juga turut mengalirkan airmata setelah melihat beliau membuat persembahan. Bukan itu sahaja, salah seorang juri telah setuju untuk menghantar beliau ke kelas nyanyian tanpa membuat sebarang pembayaran. Dengan bakat yang luar biasa, beliau berjaya ke peringkat seterusnya. Sekarang beliau tidak lagi keseorangan ini kerana beliau disokong oleh berjuta-juta penduduk yang menonton rancangan tersebut.
            Setelah tayangan video, Dr.Zamri telah memulakan kuliah yang pertama bertajuk 'Pengenalan'. Kuliah ini memberi pengenalan mengenai pengurusan emosi seperti definasi emosi, struktur asas emosi dan juga perbezaan eksperasi muka dengan emosi yang dialami. Menurut Kleinginna (1981), emosi adalah interaksi diantara kepercayaan seseorang berdasarkan pengalaman yang dialami dengan faktor atau keadaaan yang boleh mengubah sesuatu keadaaan. Emosi terdiri daripada empat komponen iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkahlaku berkaitan. Menurut Baron dan Logan (1993), emosi tidak dapat dipisahkan dari motivasi manakala menurut Lang et al (1992), emosi sebagai motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional. Walaubagaimana pun, tidak semua keadaan, emosi menjadi pendorong (motivator). Tidak semua pendorong(motivator) berasaskan kepada emosi. Apakah struktur asas emosi? Pertama adalah secara lisan dimana seseorang itu menyatakan perasaan yang dialaminya dengan sendiri. Kedua adalah melalui penilaian secara terus dengan membuat kajian menggunakan ukuran secara fisiologi. Terdapat beberapa teori mengenai struktur dan eksperasi emosi seperti teori Darwin, Plutchik, Tomkin dan Izard. Perbezaan eksperasi emosi juga terdiri daripada beberapa teori iaitu, Teori Fisiologi, Teori Kognitif dan Teori Fisioanalisis.
            Setelah itu, Dr.Zamri menyambung kuliah kedua yang bertajuk 'Struktur Asas Emosi'. Kuliah ini adalah sambungan kepada kuliah yang pertama. Teori Darwin menyatakan bahawa emosi terdiri dari emosi asas (primary emotion). Emosi primary ini adalah cirri-ciri dalaman manusia yang dialami serta dieksperasikan dalam bentuk yang seragam di semua bangsa dan budaya (Kokoszka, 1993). Dalam bukunya, "The Expression of the Emotions in Man and Animals", eksperasi wajah melambangkan emosi. 16 soalan tentang emosi kepada 36 bangsa berbeza dan didapati jawapan adalah sama. Kebanyakan teori seperti Teori Robert Plutchik, Silvan Tomkins, Caroll Izard dan Paul Ekman menyatakan emosi primary menerbitkan emosi-emosi lain. Emosi primary adalah emosi bersifat adaptif. Kesemua emosi yang wujud adalah kombinasi gabungan antara emosi-emosi primary (Rolls, 1990). Plutchik pula mengeluarkan 3 teori bagi emosi asas. Pertama adalah bahasa emosi, kedua reaksi adaptif asas dan ketiga adalah demensi asas. Bahasa emosi boleh digambarkan dalam 3 bahasa yang berbeza iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkahlaku dan bahasa fungsian. Bahasa subjektif adalah bahasa biasa bagi emosi seperti takut, gembira dan sedih. Bahasa tingkahlaku pula merujuk kepada apakah tindakan susulan dari emosi yang telah diransang seperti melompat kegirangan dan senyum disebabkan perasaan gembira. Bahasa fungsian merujuk bagaimana emosi itu berperanan kepada individu. Didalam reaksi adaptif asas pula terdapat 8 reaksi iaitu takut, meluat, marah, terperanjat, gembira, sedih, terima dan rasa ingin tahu. Manakala terdapat 3 demensi penting di dalam demensi emosi iaitu keamatan, kesamaan dan kepolaran. Keamatan merujuk kepada darjah kekuatan emosi seperti dari bahagia kepada gembira. Kesamaan merujuk kepada hubungan atau perkaitan seperti takut dan sedih lebih dekat berbanding takut dan gembira. Kepolaran pula merujuk kepada kekutuban seperti benci lawannya suka.
            Sebelum kuliah berakhir, Dr.Zamri telah mengadakan satu aktiviti dimana beliau telah memilih tiga orang pelajar untuk mengulas kembali kuliah yang baharu sahaja diberi. Dua orang pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki telah dipilih dan dikehendaki berucap di hadapan dewan kuliah. Ketiga-tiga pelajar tersebut mendapat 1.5 markah kerana berani untuk kehadapan dan memberi komen terhadap input yang baru sahaja mereka dapat. Pelajar yang lain mendapat 1 markah disebabkan oleh markah kehadiran. Kuliah berakhir pada jam 4.30 petang.
            Di sini, saya ingin berkongsi serba sedikit mengenai diri saya yang berkaitan dengan emosi. Saya mengaku bahawa pada keadaan yang tertentu, saya amat beremosi seperti hal mengenai keluarga dan diri sendiri. Saya juga berpendapat bahawa pelajar lain juga mengalami perkara yang sama. Bagi mengatasi perkara ini, saya selalunya akan berpikir terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu perkara. Sentiasa berpikiran positif dan terima sesuatu keadaan dengan redha dan percaya bahawa setiap perkara yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Selain itu juga, jika saya dalam keadaan marah, saya akan menarik nafas sedalam-dalamnya dan lepaskan sebelum saya memarahi seseorang itu. Itu sahaja serba sedikit mengenai diri saya yang saya boleh kongsikan di dalam jurnal pertama saya. Saya berharap dapat berkongsi pendapat pada jurnal yang akan datang.
Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment