Saturday 30 July 2011

A 131567 Hamishatul Shamsiah Abdul Manaf LJ01 Oh Emosi

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pada 27 Julai 2011 yang lalu merupakan kuliah ZZZT 2253 yang pertama. Saya mempelajari dua tajuk pada hari itu iatu Pengenalan dan Struktur dan Ekspresi Emosi. Boleh dikatakan ini kali pertama saya diberi pendedahan tentang emosi dan juga ini kali pertama saya menulis jurnal.
 
Definisi menurut Kleinginna & Kleinginna (1981); emosi adalah satu set kompleks interaksi di kalangan subjektif (dipengaruhi oleh kepercayaan peribadi) dan faktor objektif (fakta atau situasi yang mempengaruhi sesuatu hasil), diantarai oleh sistem saraf hormon, yang boleh menimbulkan  pengalaman afektif dan menjana proses kognitif seperti kesan emosi yang berkaitan persepsi, penilaian, proses perlabelan yang mengaktifkan penyesuaian fisiologi yang meluas dan membawa kepada tingkah  laku yang sering, tetapi tidak semestinya, ekspresif, bermatlamat, dan adaptif.
 
Emosi mempunyai empat komponen iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkah laku. Sebelum ini saya menyangka emosi bermakna perasaan. Setelah menghadiri kuliah tersebut, saya faham bahawa emosi itu lebih luas maknanya daripada perasaan. Emosi juga tidak dapat dipisahkan dari motivasi (Baron & Logan, 1993). Maka, emosi dapat menjadi motivasi kepada tingkah laku. Seperti yang dinyatakan oleh Lang et al, 1992; Emosi sebagai motivasi kepada tingkah laku dan motif boleh menjadi emosional. Namun begitu, emosi tidak sentiasa menjadi motivasi atau pendorong.
Emosi diukur melalui penyataan seseorang tentang perasaannya. Ini dapat dilakukan melalui temu bual dan lain-lain lagi. Selain itu, emosi juga dapat diukur dari segi fisiologi.
 
Semasa kuliah, saya diperkenalkan beberapa teori berkaitan dengan emosi seperti Darwin's Basic Theory, Plutchik's Primary Emotion Theory, Tomkin's Facial Feedback Theory, Izard Innate Facial Expression dan Learning Theory.
 
Menurut teori Darwin, emosi terdiri daripada emosi asas (primary emotion). Ia merupakan ciri – ciri dalaman yang dialami dan diekspresikan dalam bentuk yang seragam. Ini berdasarkan Kokoszka, 1993; Emosi primari ini adalah ciri-ciri dalaman manusia yang dialami serta diekspresikan dalam bentuk yang seragam di semua bangsa dan budaya. Darwin juga menyatakan bahawa ekpresi wajah dapat melambangkan emosi. Ini kerana wajah adalah mudah dilihat berbanding organ lain (perubahan fisiologi).
 
Jika kita lihat kepada Plutchik's Primary Emotion Theory, ia menekankan kepada tiga perkara iaitu language of emotion, basic adaptive reactions dan dimensions of emotion. Menurut Plutchik , emosi dapat digambarkan dalam tiga bahasa yang berbeza iaitu bahasa subjektif (subjective language),  bahasa tingkah laku (behavioral language) dan bahasa fungsian (functional language). Bahasa subjektif ialah satu bahasa yang biasa bagi emosi seperti takut, sedih dan gembira. Manakala bahasa tingkah laku merupakan tindakan susulan kepada emosi setelah ia diransang seperti senyum ketika gembira dan mengalirkan air mata ketika bersedih. Bahasa fungsian pula merujuk kepada fungsi emosi kepada seseorang dan ia juga merujuk kepada bagaimana emosi itu berperanan kepada individu. Sebagai contoh, berani memberi keyakinan kepada seseorang.
Plutchik's basic adaptive reactions menyenaraikan lapan tindak balas penyesuaian di mana kelapan – lapan tindak balas penyesuaian ini bertindak sebagai prototaip untuk semua emosi. Lapan tindak balas penyesuaian yang diperkatakan ialah takut, jijik/meluat, gembira, marah, sedih, rasa ingin tahu, penerimaan dan terperanjat.
 
Plutchik kemudiannya membahagi emosi kepada tiga dimensi penting (Plutchik's dimensions of emotion) iaitu intensiti, persamaan dan polariti. Intensiti (intensity) merujuk kepada darjah kekuatan emosi sesuatu emosi  seperti dari bahagia kepada gembira. Manakala persamaan (similarity) merujuk kepada perhubungan atau perkaitan antara emosi. Sebagai contoh,  takut dan sedih adalah lebih dekat berbanding dengan takut dan gembira. Polariti (polarity) pula merujuk kepada kekutuban sesuatu emosi itu seperti benci lawannya adalah suka.
 
Dari segi pendekatan dimensi, terdapat juga model alternatif selain Plutchik. Donald Fromme dan Clayton O'Brien (1982) mencadangkan Kitaran Emosi (Emotion Circle) sebagai alternatif kepada teori Plutchik. Di mana dimensi emosi pula dibahagi kepada empat, iaitu dominance-submission, approach-avoidance, pleasure-pain dan parasympathetic arousal-sympathetic arousal.
 
Tomkin's Facial Feedback Theory mengaitkan tentang pergerakan muka yang boleh mempengaruhi pengalaman emosi. Emosi merupakan tingkah laku wajah terutamanya. Teori Tomkin disokong oleh dua kajian oleh Ursula Hess and colleagues (di kalangan prasiswazah perempuan di University of Geneva, Switzerland) dan Robert Zajonc & colleagues. Namun teori Tomkin menerima beberapa kritikan. Antara kritikan tersebut ialah ekspresi seseorang pada sesuatu masa itu bukanlah  satu petanda emosi yang tulen. Bagi saya, kritikan tersebut adalah benar, kerana ekspresi wajah boleh disengajakan atau dipalsukan. Sebagai contoh, walaupun anda tidak suka akan seseorang itu, namun anda tetap senyum untuk tidak mengguris perasaan orang itu. Ini bermakna ekspresi wajah yang diberikan tidak menandakan emosi yang tulen. Orang lain mungkin menyangka bahawa kita gembira dengan kehadiran seseorang itu, namun meluat atau benci adalah emosi yang sebenar. Satu lagi kritikan kepada teori Tomkin ialah ekspresi wajah merupakan alat komunikasi dan mempunyai kaitan dengan perasaan emosi dalaman. Senyum itu tidak bermakna seseorang itu gembira. Mungkin itu ialah cara untuk seseorang itu menyembunyikan kesedihannya.
 
Teori seterusnya yang saya pelajari pada kuliah tersebut ialah Izard's Innate Facial Expression. Teori Izard menerangkan bahawa mekanisme neural untuk ekspresi wajah dan persepsi daripada ekspresi adalah semulajadi. Dalam erti kata lain, emosi adalah semulajadi. Maka pembelajaran mempunyai impak kecil kepada pengalaman emosi. Ianya dibuktikan melalui kajian – kajian seperti  Newborn's 'born to smile' Studies dan Cross-cultural Studies. Paul Ekman (1994) juga menyokong akan kesejagatan mimik muka dengan emosi. Selain itu, Scherer & Wallbott (1994) meneliti kajian-kajian meliputi 37 negara dan 5 benua dan mendapati bahawa konsep kesejagatan emosi wajah adalah mantap dan stabil. Apa yang membezakannya adalah bagaimana emosi itu dialami dan dikawal, bukan pada bagaimana emosi itu dizahirkan.
 
Di akhir kuliah, saya didedahkan dengan teori terakhir iatu Learning Theory. Peranan pembelajaran dan pengalaman terhadap emosi dapat dilihat dari sudut pandangan biologi dan pandangan teori pembelajaran. Pengalaman dari segi pandangan biologi ialah pembelajaran memainkan peranan kecil dalam emosi. Plutchik menyatakan bahawa emosi adalah ekspresi secara langsung potensi genetik seseorang individu, pembelajaran bertindak untuk mengubahnya. Proses kognitif pula berbeza – beza antara satu individu dengan individu yang lain. Pengalaman dari sudut pandangan teori pembelajaran pula menyatakan bahawa semua emosi adalah dipelajari.
Setelah mempelajari dua tajuk kuliah pada hari tersebut, saya menjadi lebih jelas tentang emosi. Emosi adalah satu set kompleks interaksi di kalangan subjektif dan faktor objektif diantarai oleh sistem saraf hormon, yang boleh menimbulkan  pengalaman afektif dan menjana proses kognitif yang mengaktifkan penyesuaian fisiologi yang meluas dan membawa kepada perubahan tingkah laku. Segala pembelajaran pada hari itu diharapkan dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

No comments:

Post a Comment