Saturday 30 July 2011

A 131433 Izzat Zulhilmi bin Abd Rahman LJ01 : Emosi & Kita

J.U.R.N.A.L.1

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. 27 Julai 2011 merupakan hari kuliah Pengurusan Emosi bermula. Kuliah yang bermula pada jam 2 petang ini dimulakan dengan penerangan mengenai kursus Pengurusan Emosi. Pada mulanya saya berpendapat bahawa kursus ini agak membebankan kerana kami perlu menghantar jurnal pada setiap minggu memandangkan kami sangat sibuk dengan kuliah- kuliah lain dan kekangan masa menjadi masalah utama kami untuk menyiapkan jurnal. Tetapi saya yakin pelajar perubatan tahun 2 pandai membahagikan masa untuk menyiapkan tugasan masing – masing.

Pada hari pertama kuliah ini saya telah mempelajari banyak perkara baru yang berkaitan dengan emosi. Menurut Kleinginna & Kleinginna (1981), emosi didefinisikan sebagai set interaksi yang kompleks antara faktor subjektif dan objektif yang dicetuskan oleh sistem hormonal neural yang boleh menyumbang kepada 4 komponen emosi:
 
1)      Perasaan
2)      Proses kognitif
3)      Perubahan fisiologi
4)      Tingkahlaku
 
Semasa kuliah ini juga saya telah diperkenalkan dengan Teori Emosi Asas Darwin yang diperkenalkan oleh Charles Darwin dalam bukunya yang bertajuk "The Expression of the Emotions in Man and Animals". Beliau berpendapat ekspresi wajah melambangkan emosi kerana muka adalah bahagian yang paling senang dilihat berbanding bahagian- bahagian lain. Selain itu, saya telah belajar mengenai Plutchik's Primary Emotion Theory, Tomkin's Facial Feedback Theory dan Izard's Innate Facial Expression yang kesemuanya membincangkan teori- teori emosi manusia.

Perasaan dan emosi seperti tangisan, sedih, takut dan gelak ketawa mencorakkan warna kehidupan, membentuk sikap dan personaliti serta menggerakkan arah kehidupan seseorang manusia. Perkataan emosi ini berasal daripada perkataan Greek "emovere" yang membawa maksud "untuk keluar". Maka untuk itu, emosi akan ditonjolkan keluar sebagai satu bentuk bagi memenuhi kepuasan seseorang. Emosi boleh ditakrifkan sebagai satu keadaan yang dialami oleh seseorang manusia yang melibatkan beberapa perubahan proses fisiologi, diri dan psikologi. Perubahan ini melibatkan satu set tindak balas automatik, viseral iaitu meluap-luap dan komunikasi emosi seperti ekspresi muka, perkataan, isyarat dan tingkah laku lain yang dipaparkan oleh seseorang itu. Manusia yang normal dilihat sebagai individu manusia yang mengalami situasi yang pelbagai dan berkehendakkan reaksi bagi melahirkan emosi yang juga berbeza.

 
Berbalik kepada input- input yang saya perolehi melalui kuliah pertama ini, saya amat tertarik dengan subtajuk emosi dan motivasi. Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa emosi amat berkait rapat dengan motivasi diri seseorang (Baron & Logan 1993). Sebagai contoh, seseorang individu yang hidup dalam sebuah keluarga bahagia telah dibuktikan secara saintifik mempunyai emosi yang lebih stabil berbanding individu yang hidup dalam keluarga yang porak- peranda. Emosi seumpama ini telah memotivasikan diri individu tersebut untuk melakukan yang terbaik dalam hidupnya sebagai contoh dalam pelajaran. Tidak hairanlah jika ditemu ramah pelajar- pelajar cemerlang, mereka mengatakan mereka tidak pernah berputus asa kerana mendapat dorongan dan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada ahli keluarga masing- masing.

Berdasarkan kajian pakar psikologi Goleman, manusia mempunyai 8 jenis emosi utama iaitu marah, sedih, takut, gembira, sayang, hairan, benci dan malu. Perasaan marah merupakan emosi yang paling kerap timbul dalam diri seseorang manusia. Perasaan marah ini jika tidak dapat dikawal akan memberikan pelbagai impak negatif seperti pergaduhan, memutuskan hubungan persahabatan dan macam- macam lagi. Justeru, kita perlulah menjadi lebih peka dan arif dalam menguruskan emosi dan perasaan kita.  Agama Islam  telah menggariskan panduan untuk mengawal kemarahan melalui hadis Rasulullah SAW :
 
"Apabila seseorang kamu marah dalam keadaan berdiri hendaklah dia duduk, jika masih tidak hilang kemarahannya hendaklah dia berbaring secara mengiring" (HR Ahmad & Abu Daud)          
 
 
Berdasarkan pencarian saya di internet, emosi yang tidak stabil akan membawa kepada stress. Ingin saya tekankan di sini bahawa pelajar perubatan dan stress sudah tidak dapat dipisahkan lagi ibarat isi dengan kuku. Justeru, adalah penting untuk pelajar-pelajar perubatan mengetahui komplikasi buruk akibat daripada stress yang tidak terkawal. Salah satu contoh mudah adalah apabila kita terlalu stress, sistem imun badan kita akan menjadi lemah (immunosuppresed). Apabila hal ini terjadi, badan kita akan mudah dijangkiti pelbagai spesis kuman dan bakteria yang ada di sekeliling kita saban hari. Perkara ini akan membawa kepada pelbagai jenis penyakit yang berbahaya. Kita juga mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menyebarkan penyakit tersebut kepada orang lain di sekeliling kita. Disini saya sertakan beberapa tips mudah untuk menangani gajala stress agar ianya dapat menjadi panduan untuk kita semua.

1.   1. Kita hendaklah menjadi seorang individu yang berwawasan dan mempunyai perancangan hidup yang baik.
2.   2. Berzikir dan beribadah dengan khusyuk.
3.   3. Menyeimbangkan masa berkerja/belajar dengan masa beistirahat
4.   4. Senaman dan rekreasi
5.   5. Berdoa
 
 
           Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Kecerdasan emosi dapat dibentuk bermula sejak kecil lagi. Justeru ibu bapa mempunyai peranan yang sangat besar dalam membentuk seorang anak yang stabil dari segi emosinya. Mereka haruslah mengajar mendidik serta membimbing anak- anak mereka tentang kecerdasan emosi dengan memberikan contoh teladan yang baik. Untuk mencapai hasrat ini, ibu bapa seharusnya mengajar dan menyemai dalam diri anak- anak beberapa kriteria berikut :
 
1.            1.    Membina hubungan persahabatan yang baik dan harmonis
  1. Bekerja dalam kumpulan secara harmonis
  2. Berbicara dan mendengarkan secara efektif
  3. Mencapai prestasi yang lebih tinggi sesuai dengan aturan yang ada (jujur)
  4. Mengatasi masalah dengan teman yang nakal
  5. Berempati antara satu sama lain
  6. Kemampuan untuk memecahkan atau menghilangkan masalah antara peribadi ketekunan
  7. Mengatasi konflik
  8. Membangkitkan rasa humor atau jenaka
  9. Memotivasikan diri apabila menghadapi saat-saat yang sulit dan genting
  10. Menghadapi situasi yang sulit dengan percaya kepada diri sendiri
  11. Menjalin keakraban

           Akhir sekali, apa yang dapat saya simpulkan di sini adalah emosi itu sendiri mempunyai maksud tersendiri daripada pelbagai aspek yang berbeza. Zaman remaja adalah tempoh masa seseorang itu paling banyak melibatkan emosi dalam kehidupan seharian. Justeru, para remaja pada hari ini perlulah memahami emosi mereka sendiri dengan lebih mendalam dan tahu bagaimana untuk menguruskannya dengan lebih berkesan. Mereka perlulah bijak bermain dengan perasaan mereka sendiri terutamanya perasaan marah kerana jika perasaan ini gagal dikawal dengan baik kelak akan memakan diri mereka sendiri.

           Konklusinya, kuliah pengurusan emosi ini banyak membantu saya memahami emosi saya sendiri sungguhpun ini adalah kuliah kami yang pertama. Saya berharap agar kami dapat belajar lebih banyak lagi dalam kuliah- kuliah yang akan dating. Sebelum saya mengundur diri hayatilah kata- kata pujangga berikut:
 
"Berfikir secara rasional tanpa dipengaruhi oleh naluri atau emosi merupakan satu cara menyelesaikan masalah yg paling berkesan."
 
"Reaksi emosi jangan dituruti kerana implikasinya tidak seperti yang diimaginasi."
 
Sekian terima kasih.
 
 

1 comment:

  1. Good day! I just want to give you a huge thumbs up for your great information you have got right here. I will be returning to your blog for more surfing benefit. thank you so much for sharing. Also visit miu post utme past questions and answers

    ReplyDelete