Friday 14 January 2011

A134166 NOORHASNIYAH MD RODZEE TAJUK 3 KEBAHAGIAAN

Pejam celik pejam celik rupanya minggu ini adalah jurnal pengurusan emosiku yang ketiga. Masa berlalu begitu pantas sekali. Semakin hari juga minat mempelajari tentang emosi semakin seronok pula kurasa. Pada minggu ini tajuk kuliah yang diberi oleh Dr.Ahmad Zamri sememangnya menarik minatku untuk tekun mendengar tanpa tidak ada sekalipun aku terasa hendak menguap sepanjang beliau memberi kuliah. Kuliah pada minggu ini bertajuk tentang "HAPPINESS" atau dalam Bahasa Melayunya adalah "KEBAHAGIAAN".

Apa itu kebahagiaan? Erti sebuah kebahagiaan kalau ditanya kepada semua orang pasti jawapan yang diterima berbeza-beza kerana pada aku sebuah kebahagian itu boleh ditafsirkan dengan pelbagai cara tetapi semuanya aku pasti mempunyai maksud yang sama iaitu "kebahagiaan ialah satu tahap dimana kita dapat mencapai apa yang kita idamkan di dalam hidup". Tetapi apa yang aku dapat dalam kuliah pada minggu ini, kebahagiaan itu  adalah emosi yang bercirikan emosi-emosi seperti keseronokan, kegembiraan dan kepuasan hati. Menurut pembacaan aku dalam Wikipedia pula, kebahagiaan ini ialah suatu keadaan perasaan aman damai serta gembira. Dengan kata yang lain, kebahagiaan melebihi hanya perasaan kegembiraan.

Kebahagiaan seseorang tidak dapat diukur atau digambarkan, dan berubah-ubah mengikut peredaran masa dan tempat. Orang yang kelihatan bahagia tidak semestinya bahagia, dan orang yang kelihatan tidak bahagia tidak semestinya tidak bahagia. Cuma orang itu sendiri yang tahu sama ada dia bahagia atau tidak. Pengertian kebahagiaan berbeza-beza antara seorang dengan seorang. Ada yang berasa bahagia kalau dia mendapat makanan, pakaian dan kediaman yang paling sederhana, terelak daripada penyakit, kelaparan, dan perang. Sebaliknya, ada orang berasa tidak bahagia meskipun hidupnya dalam keadaan yang aman, mewah, sihat, dan senang-lenang. Ada orang berasa tidak bahagia sekalipun, walaupun dia mempunyai kuasa, status, dan kekayaan.

Terdapat empat pandangan ahli falsafah mengenai kegembiraan dan kebahagiaan iaitu

  • Aristotle berpendapat kegembiraan ialah hasil kepada pencarian ke arah keseronokan. 
  •   Plato mengatakan punca kebahagiaan ialah kehidupan yang baik atau mulia.
  •  Epicurean menyatakan kebahagiaan ialah dengan memaksimakan keseronokan dan meminimakan penderitaan.
  •   Mills berpendapat kebahagiaan ialah sejauh mana kesesuaian tingkah laku kita.

Setiap hari kita mempunyai bermacam-macam kekangan dan masalah yang perlu kita tempuhi, oleh yang demikian pelbagai perasaan akan timbul seperti marah, gelisah dan lain-lain emosi. Oleh itu, gembira adalah salah satu cara untuk mengembalikan semula perasaan yang normal pada setiap orang itu. Gembira ini adalah amat penting untuk menjadikan seseorang itu merasa bahagia. Contohnya gembira dapat dilihat apabila seseorang itu telah menamatkan pelajarannya atau dalam kata yang lain iaitu berjaya, mendapat kereta yang mereka idamkan selama ini, mendapat kerja yang mereka impikan, bahagia apabila tercapai hasrat untuk berkahwin dengan kekasih hati yang sudah lama bercinta, menimang cahaya mata apabila setelah mereka lama menunggunya dan mempunyai sebuah keluarga yang bahagia. Jadi, apabila kita bahagia automatik juga kita akan gembira dan tersenyum. Menurut  pengkaji dan pengamal barat percaya dengan memulakan hari dengan senyuman bukan sahaja berupaya menceriakan hidup kita tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut 'tersenyum' dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak.

Mengikut pengalaman diriku sendiri,aku lebih merasa bahagia apabila berada di samping ibu, abah dan ahli keluarga yang lain. Sememangnya apabila melihat wajah-wajah mereka, aku merasa begitu amat bahagia dan terasa tenang jiwa ini dengan kehadiran anak-anak buahku yang nakal. Melayan karenah mereka kadang-kadang boleh menghilangkan tekanan aku. Oleh sebab itu apabila aku mendapat tawaran belajar yang agak jauh dari keluarga aku merasa amat sayu sekali hendak meninggalkan mereka semua. Bila terasa sunyi pasti, gelak tawa mereka yang menjadi igauan aku ketika pertama sekali aku tinggal jauh dengan keluarga. Perasaan ini tetap terasa walaupun dah berumur 20tahun. Setiap kali tiba musim cuti semester, pasti hati ini terasa tidak sabar hendak bertemu dengan mereke semua terutama ibu dan abah tercinta. Aku bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang bahagia dan dilimpahkan dengan penuh kasih sayang. Setiap kali merindui mereka aku pasti mengingati bait-bait kata chorus lagu "Jalinan" nyanyian kumpulan nasyid UNIC.

Indahnya jika kita dapat bersama,

Hidup selalu gembira di dunia ini,

Lagi indahnya jika kita dapat bersama,

Hidup di dalam gembira di akhirat sana…

Berbalik kepada kuliah Dr.Ahmad Zamri, apakah faktor dalam kebahagiaan?  Terdapat dua faktor iaitu jangka masa panjang dan jangka masa pendek. Jangka masa panjang ialah perkara yang kita alami sejak kecil yang membawa kebahagiaan sehingga dewasa dan kini. Contoh ini dapat dilihat melalui pengalaman penceritaan di atas tadi. Manakala jangka masa pendek pula ialah seperti mendapat bayi, gagal dalam peperiksaan, mempunyai rumah yang besar. Di samping itu, sejauh mana pula kita bahagia? Antaranya :

·         Orang yang dapat sesuaikan diri

·         Orang yang bahagia adalah lebih pandai dalam menyesuaikan diri

·         Orang yang tahap penyesuaiannya lebih tinggi adalah lebih baik dalam mengatasi masalah

·         Mereka yang ada strategi koping yang efektif menjadikan mereka lebih gembira.

Kesimpulan apa yang saya dapat dalam pembelajaran pada minggu ini ialah kebahagiaan amat penting dalam kehidupan seseorang dan gembira pula adalah satu perasaan yang penting dan perlu ada bagi seseorang yang mempunyai akal yang waras. Cuba amati antara wajah orang yang sentiasa ceria dan wajah orang yang sentiasa murung dan perhatikan juga mereka yang sentiasa tersenyum dan mereka yang tak pernah senyum ataupun payah untuk senyum apalagi untuk ketawa. Tentu sekali kita dapat melihat perbezaan. Wajah mereka yang ceria, sering tersenyum dan ketawa tentu sekali kelihatan berseri-seri dan tidak keterlaluan jika dikatakan nampak muda dari usianya yang sebenar. Oleh itu, senyum dan bahagia amat berkait rapat. Setakat ini dulu penulisan jurnalku pada minggu ini. Semoga bertemu lagi pada minggu yang akan datang. InsyaAllah…….Wassalam…J

 


No comments:

Post a Comment