Sunday 16 January 2011

A132153 Tajuk 2 Emosi positif-Gembira, bahagia dan kasih

 

             

 

pemandangan.jpg

 

                Assalamualaikum dan salam satu pengurusan emosi.  Tanpa disedari sudah memasuki minggu keempat saya mengikuti kelas Dr. Zamri serta bersua muka dengan rakan-rakan baru di kelas pengurusan emosi. Masa berlalu begitu pantas dan saya semakin teruja untuk mencoret catatan pada jurnal setiap kali kelas pengurusan emosi dijalankan. Tajuk pembelajaran pada minggu ini membuatkan saya merasa sangat bersemangat untuk memberikan sepenuh perhatian kerana aku ingin sekali mengetahui tentang falsafah kebahagiaan. Tajuknya adalah  Emosi Positif – Gembira, Bahagia dan Kasih.

                   Apakah itu kebahagiaan?Kebahagiaan merujuk kepada  keadaan emosional atau afektif yang ditandai dengan perasaan kenikmatan, kesenangan, dan kepuasan.  Namun demikian, terdapat ramai tokoh-tokoh yang memberi erti kebahagiaan dengan pandangan yang berbeza. Di sini, terdapat empat ahli falsafah yang mempunyai pandangan berbeza berkaitan erti kebahagiaan. Aristotle berpendapat kegembiraan ialah hasil kepada pencarian ke arah keseronokan. Saya turut bersetuju dengan pendapat Aristotle. Suatu ketika dahulu saya amat meminati lukisan. Saya sentiasa mengimpikan untuk menjadi pelukis yang hebat. Namun, apa yang lebih aku angankan pada waktu itu ialah untuk memenangi pertandingan melukis yang akan diadakan pada akhir tahun. Saya akan merasa seronok dan gembira sekali seandainya dapat berbuat demikian. Setiap hari aku akan cuba melukis lukisan yang menarik yang akan dapat menarik perhatian juri nanti. Saya turut memasuki kelas lukisan di kawasan tempat kediaman. Disaat saya begitu berusaha untuk memenagi pertandingan lukisan itu, saya berasa bahagia kerana saya menganggap semua usaha saya itu telah membuat saya menjadi seorang insan yang semakin matang dalam menjalani kehidupan-kehidupan seharian.

                 Plato pula berpendapat punca kepada kebahagiaan ialah kehidupan yang baik atau mulia. Manakala, Epicurean pula berpendapat kebahagiaan ialah dengan memaksimakan keseronokan dan meminimakan penderitaan. Saya melihat pendapat Epicurean ini bertepatan dengan gaya hidup manusia kini terutamanya bagi masyarakat yang tinggal di bandar. Mereka sentiasa mencari keseronokan dan apa yang menjadi tunjang kepada keseronokan ini adalah wang. Kebanyakan mahasiswa kini juga sentiasa mengejar keseronokan dalam kehidupan. Pada masa lapang, mereka akan melakukan aktiviti yang diatakan 'enjoy' seperti menonton wayang, bermain games, bermain futsal, membeli belah, melepak dengan kawan-kawan dan sebagainya. Hal ini adakalanya membuatkan masyarakat kini leka diarus pemodenan oleh kerana terlalu mencari,memaksimunkan dan mengejar sebuah kehidupan yang penuh keseronokan.  Pandangan Mills tentang erti kebahagiaan pula ialah sejauh mana kesesuaian tingkah laku kita.

              Beberapa kajian telah dijalankan tentang kebahagiaan. Berdasarkan maklumat terdapat  hasil kajian yang dijalankan oleh Veenhoven pada tahun 1995. Kajian-kajian merentas budaya menunjukkan kebahagiaan berbeza daripada satu Negara ke Negara yang lain. Kajian yang dijalankan oleh Diener ET Al pada tahun 1995 pula melaporkan budaya-budaya di Asia melaporkan tahap kegembiraan yang lebih rendah berbanding dengan negara yang lain. Hal ini mungkin kerana budaya masyarakat asia yang masih menjaga batasan agama dalam melakukan sesuatu walaupun terlalu gembira. Sebagai contoh, orang barat akan meraikan sesuatu kemenangan bola sepak dengan minum arak, pesta serta mabuk-mabuk. Hal ini tidak berlaku kepada orang asia yang tidak menyambut sesuatu perkara itu dengan keterlaluan. Kajian yang dijalankan oleh Argyle pada tahun 1987 pula melaporkan orang yang dikatakan paling bahagia ialah mereka yang tinggal di Amerika utara,Australia dan Eropah.

               Terdapat beberapa faktor-faktor yang menyebabkan sesetengah individu lebih senang merasai kebahagiaan berbanding dengan yang lain. Individu tersebut adalah orang yang dapat sesuaikan diri bahagia. Hal ini kerana orang yang bahagia adalah lebih pandai dalam menyesuaikan diri. Orang yang dapat penyesuaiannya lebih tinggi adalah lebih baik dalam mengatasi masalah. Menurut Rim, mereka yang mempunyai strategi koping yang efektif menjadikan mereka lebih gembira. Saya sangat bersetuju dengan pendapat Rim. Saya masih ingat sebelum memasuki tingkatan 6 dahulu saya sering memikirkan bagaimana ingin menyesuaikan diri dengan kawan-kawan baru serta menjadi belia yang masih bersekolah. Satu demi satu pertanyaan muncul di fikiran saya setiap hari ketika saat untuk memulakan hari di tingkatan 6 semakin hampir. Tanggal 1 Julai 2008, saya memulakan hari pertama di tingkatan 6 iaitu di SMKA Sheikh Abdul Malek. Alhamdulillah, hari pertama yang saya lalui agak baik kerana saya sudah boleh menyesuaikan diri dengan kawan-kawan baru walaupun masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan alam persekolahan baru serta suasana baru. Namun demikian, sedikit demi sedikit saya dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran disekolah tersebut malahan menjadi pelajar yang amat aktif tidak kira dalam bidang akademik dan kokurikulum. Hari-hari yang saya lalui terasa amat indah dan mengembirakan. Saya berasa begitu bahagia kerana mempunyai ramai kawan-kawan yang baik serta guru-guru yang bagus dan suasana persekolahan yang afektif.

 

                 Menurut Kotma Et Al,kebahagiaan dapat dikategorikan mengikut dua komponen utama,iaitu jangka masa panjang dan jangka masa pendek. Jangka masa panjang ialah sesuatu latar belakang atau perkara yang memberi kebahagiaan kepada kita dalam jangka masa yang berpanjangan seperti dari kecil hingga kini. Contohnya ialah mempunyai keluarga yang bahagia dan kehidupan yang baik dan bebas. Jangka masa pendek pula ialah perkara yang baru berlaku dalam kehidupan kita yang memberi kebahagiaan kepada kita dalam jangka masa yang pendek. Contohnya ialah dapat bayi,memenangi cabutan bertuah,mendapat keputusan yang cemerlang dan lain-lain.

                 Menurut teori Freud,hubungan kita dengan ibu bapa kita pada masa kecil adalah penting untuk menentukan kebahagiaan kita pada masa depan.  Argyle pada tahun 1987 telah menjalankan satu kajian dimana keputusanya adalah kebanyakan responden berpendapat seseorang akan mencapai kegembiraan atau kebahagiaan apabila dilamun cinta,mencapai keputusan yang cemerlang dan pulih darpada penyakit.

                  Menurut Vanfossen pula, pasangan berkahwin adalah lebih bahagia daripada berseorangan. Saya sangat bersetuju dengan pendapat ini memandangkan mempunyai pengalaman hidup bersama  dengan orang yang telah berkahwin. Saya mempunyai seorang kakak yang agak garang dan kurang mesra dengan adik-adik. Dia sering berada dalam mood yang tidak baik dan seorang yang pemarah. Namun demikian, dia telah berubah setelah berkahwin dengan abang ipar saya. Dia menjadi seorang yang sangat mengambil berat terhadap adik-adiknya dan tidak lagi marah-marah. Saya dapat melihat raut wajahnya yang sering senyum gembira samaada ketika berada disisi suami tersayang atau tidak. Saya telah membuat kesimpulan yang perkahwinan telah membahagiakan kakak saya.

                 Menurut Argyle,terdapat beberapa faktor juga yang boleh menyebabkan seseorang mencapai kegembiraan dan kebahagiaan. Antaranya termasuklah kesihatan, persahabatan,kerja,rekreasi dan penghayatan agama. Seseorang yang beragama adalah lebih gembira dan kurang tekanan. Kenyataan ini telah dibuktikan oleh beberapa kajian yang telah dijalankan oleh Gallup, menurutnya  seseorang yang beragama adalah dua kali ganda lebih gembira daripada orang yang tidak beragama.

                  Cinta yang sejati membuatkan seseorang itu berada di alam kebahagiaan. Terdapat tiga faktor-faktor utama yang menyebabkan perasaan kasih sayang dilahirkan. Antaranya ialah komitmen,keintiman dan passion. Dalam percintaan,proses yang membawa dua orang saling mencintai adalah daya tarikan interpersonal. Menurut Hatfield and Rapson,faktor-faktor yang menyebabkan lahirnya daya tarikan interpersonal adalah sama tanpa mengira budaya dan jantina. Selalunya daya tarikan interpersonal tidak akan memulakan apa-apa perubahan kecuali salah satu individu ingin memulakan perhubungan,kedekatan fizikal sangat erat dan mempunyai ketrampilan sosial yang diperlukan untuk mengekalkan dan memulakan perhubungan. Perasaan menyukai dan keberahian awal dapat bergerak ke arah kedekatan dan keintiman yang lebih besar melalui proses penetrasi sosial. Penetrasi sosial boleh menjadikan luas dan mendalam. Selain bahagia, cinta juga boleh menyebabkan seseorang itu berada dalam kebingungan dan kerisauan yang berterusan.              

                  Kegembiraan emosi akan dilahirkan apabila seseorang berasa bahagia dan kepuasan hidup. Penyelidik telah menetapkan kebahagiaan dalam dua cara iaitu kehidupan yang memuaskan dan dominasi relatif positif terhadap emosi negatif. Saya sangat setuju dengan kedua-dua cara ini. Hal ini kerana orang yang puas hati terhadap apa yang dimiliki sekarang akan berasa bahagia dan menghargai apa yang dimiliki oleh dia. Manakala orang yang tidak mudah puas hati terhadap apa yang dimliki oleh dia akan sentiasa tidak gembira dan mengeluh. Orang yang sering berfikiran positif juga akan lebih bahagia daripada orang yang selalu berfikiran negatif. Ini kerana orang yang berfikiran positif mempercayai bahawa setiap masalah pasti dapat diselesaikan. Manakala orang yang berfikiran negatif sering berfikiran rumit dan takut masalah mereka tidak dapat diatasi.

                Kesimpulanya, tidak ada perbezaan jantina dalam kebahagiaan secara keseluruhan, kesejahteraan global, kepuasan hidup, dan merentasi budaya dan negara. Tidak ada juga perbezaan umur dalam kebahagiaan secara keseluruhan, walaupun keadaan yang membuat orang bahagia berubah dengan usia. Hal ini adalah benar apabila seseorang semakin dewasa, permintaannya terhadap kebahagiaan dan kegembiraan juga semakin meningkat. Contohnya , budak-budak akan berasa gembira apabila diberikan gula-gula. Namun, orang dewasa hanya akan berasa gembira apabila mendapat wang yang banyak dan naik pangkat. Sampai sini sahaja coretan saya pada kali ini, InsyaAllah pada minggu hadapan saya akan menulis lagu untuk dikongsi bersama rakan-rakan.# end

 


No comments:

Post a Comment