Monday 10 January 2011

A132153 Md Iqbal bin Mohd Noor- Tajuk 2 Struktur Asas Emosi

           

 

              Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada 4 dan 5 Januari 2011, bermulalah tajuk kedua kursus pengurusan emosi iaitu Struktur Asas Emosi. Topik ini agak menarik kerana melibatkan pelbagai pendapat berbeza antara tokoh emosi tentang teori struktur-struktur asas emosi. Aku amat teruja untuk mempelajarinya apatah lagi dapat mempelajarinya dari pensyarah yang sangat berdedikasi iaitu Dr.Zamri.

            Terdapat empat teori yang telah diperolehi hasil dari kajian empat orang saintis yang berbeza pendapat iaitu Plutchik, Tomkin, Darwin, dan Izard. Teori-teori tersebut ialah Teori Asas Emosi daripada Darwin, Teori Emosi Primari Plutchik, Teori Maklum Balas Wajah daripada Tomkin, dan Teori Ekspresi wajah Semula Jadi daripada Izard. Selain itu terdapat satu lagi teori iaitu Teori Pembelajaran.

            Mengikut Teori Asas Emosi Darwin, emosi terdiri daripada emosi primari. Mengikut pandangan Darwin, ekspresi wajah melambangkan emosi seseorang kerana muka yang paling senang dilihat dan bukannya organ-organ lain. Berdasarkan teori ini, 16 soalan tentang emosi telah dikemukakan kepada 3 bangsa berbeza dan didapati jawapan adalah sama. Ketika sedang khusyuk mendengar Dr.zamri mengajar saya terkelu apabila mengingatkan kembali bapa saudara saya yang berada dalam keadaan nazak pada awal tahun lepas. Dia dikenali dengan panggilan Ayah Ngah dalam kalangan keluarga. Ketika itu saya dapat melihat raut wajahnya yang seakan menahan kesakitan yang amat sangat. Ekspresi wajahnya begitu menggusarkan saya dan sesiapa yang melihatnya. Setelah kami semua tidak henti-henti membaca surah 'yasin' dan mengajar Ayah Ngah mengucap, akhirnya Ayah Ngah menghembuskan nafas terakhir. Saya berasa sangat sedih akan kehilanganya. Sekarang saya merasa setuju dengan pendapat Darwin tentang ekspresi wajah melambangkan emosi seseorang apabila mengenangkan kembali raut wajah bapa saudara saya ketika dalam keadaan nazak.

Megikut Plutchik, emosi boleh digambarkan dalam tiga bahasa yang berlainan iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkah laku dan bahasa fungsian. Bahasa subjektif merujuk kepada bahasa biasa bagi emosi seperti takut, gembira dan sedih. Bahasa tingkah laku pula merujuk kepada apakah tindakan susulan dari emosi yang dirancang. Contohnya apabila seseorang itu merasa gembira, dia kemungkinan akan melompat kegirangan. Manakala bahasa fungsian merujuk kepada bagaimana emosi itu berperanan kepada individu. Selepas tamat kuliah ini dan pulang ke kolej, fikiran saya terus melayang  mengenangkan kembali kenangan ketika saya berada di Tingkatan 6 yang mana berkaitan dengan teori Plutchik. Saya dan kawan-kawan sentiasa berlumba-lumba untuk mendapat keputusan terbaik dalam setiap peperikasaan. Kami belajar bersungguh-sungguh di sekolah dan menghadiri setiap kelas tambahan yang dibuat oleh cikgu. Kami sering melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama, mengharungi liku-liku kehidupan di Tingkatan 6 bersama-sama dengan penuh tabah dan bersemangat. Sebenarnya, sekolah saya dahulu adalah sekolah yang amat dikenali diseluruh Negara kerana kecemerlangan dalam pelbagai bidang. Kami pelajar tingkatan 6 seperti anak tiri kepada sekolah kerana pihak sekolah seakan-akan memandang rendah kebolehan kami disebabkan kami bukanlah pelajar asal disekolah berkenaan. Walaubagaimanapun, saya dan rakan-rakan tidak sesekali berputus asa dan terlalu bersedih akan perkara tersebut, malahan kami terus berjuang bermati-matian menempuh pahit getir dalam mengharungi kehidupan di tingkatan 6. Akhirnya peperiksaan STPM bermula dan hari keputusan peperikasaan tiba. Oleh kerana sekolah kami berdekatan dengan pantai, saya dan rakan-rakan berpakat untuk berkumpul di pantai dahulu sebelum mengambil keputusan. Ketika kami rancak berbual-bual setelah lama tidak bertemu, seorang kawan saya telah menelefon saya dan memberitahu yang keputusan peperikasaan boleh diketahui melalui SMS. Saya serta merta berbuat demikian dan merasa amat gembira kerana mendapat keputusan yang cemerlang. Saya terus melompat-lompat kesukaan di pantai tersebut tanpa menghiraukan orang di sekeliling. Kejayaan saya ini adalah hadiah untuk keluarga yang tidak putus-putus memberi sokongan dan dengan keputusan ini saya berjaya memasuki universiti yang diidamkan iaitu UKM. Melalui pengalaman ini, saya membuat kesimpulan bahawa:-

Bahasa subjektif  - emosi gembira

Bahasa tingkah laku - melompat-lompat kesukaan

Bahasa fungsian – memasuki university yang diidamkan iaitu UKM.

             Berbalik kepada teori yang dipelajari, selepas teori Plutchik, Dr Zamri mengajar pula kami tentang teori Tomkin. Berdasarkan Tomkin's teori beliau mengatakan "what cause what". Hal tersebut bermaksud emosi itu terjadi daripada perbuatan individu tersebut. Contohnya senyum yang membuat emosi gembira timbul pada seseorang. Namun demikian terdapat beberapa kritikan terhadap Tomkin's teori seperti raut wajah seseorang itu ketika membuat ekspresi tertentu tidak semestinya melambangkan perasaan yang dialaminya. Dalam hal ini saya teringat akan cerita di dalam novel yang pernah saya baca suatu ketika dahulu yang bertajuk Bicara Hati. Novel ini amat menarik kerana berkisahkan pasangan yang kahwin kontrak, namun  akhirnya mereka benar-benar saling jatuh cinta antara satu sama lain. Pada permulaan kisah didalam novel ini, Nazlia telah bersetuju untuk berkahwin kontrak dengan Fazril akibat terlibat dalam satu kemalangan. Walaupun mereka baru mengenali antara satu sama lain, mereka telah mengambil keputusan untuk berkahwin kontrak demi kepentingan masing-masing. Selepas berkahwin, ketika pulang ke rumah Fazril, Nazlia berlakon seolah-olah mereka begitu bahagia di hadapan keluarga Fazril. Nazlia sentiasa senyum dan melayan keluarga Fazril dengan baik sekali. Oleh yang demikian, berdasarkan pengalaman membaca novel ini, saya amat bersetuju dengan kritikan terhadap teori Tomkin yang menyatakan ekspresi tertentu tidak melambangkan perasaan sebenarnya seperti watak Nazlia yang berpura-pura senyum dan gembira di depan keluarga Fazril.

              Manakala teori daripada Izard pula beranggapan bahawa emosi adalah sesuatu yang semulajadi yang zahir sejak lahir bukannya dipelajari. Kajian telah dilakukan kepada seorang bayi. Seawal usia 2-3 bulan, kebiasaanya bayi tidak akan menangis jika dia disentuh atau didukung oleh orang yang tidak dikenalinya. Akan tetapi, setelah bayi tersebut membesar, kita akan melihat bayi tersebut akan menangis apabila disentuh dengan orang yang tidak biasa denganya kecuali ahli keluarga sahaja. Kajian ini sebenarnya seolah-olah mengiyakan pengalaman yang pernah saya  alami dalam kehidupan seharian saya  bersama keluarga tersayang. Saya mempunyai seorang anak saudara lelaki yang bernama Tsaqif Murshid dan semasa dia kecil saya pernah menjadi pengasuhnya ketika saya cuti selepas peperiksaan STPM. Saat saya mendukung dan membelainya, bayi ini tidak akan menangis dan seolah-olah mengenali saya. Namun demikian, apabila terdapat kawan-kawan saya datang ke rumah dan cuba mendukung Tsaqif, dia tiba-tiba menangis seakan-akan mengetahui bahawa orang asing yang sedang menyentuhnya. Hal ini berlaku ketika Tsaqif berumur 4 bulan. Oleh yang demikian, bagi saya teori Izard ini sememangnya boleh diguna pakai dalam kehidupan seharian.

          Akhir sekali, teori pembelajaran pula bercanggah dengan pendapat Izard dimana teori pembelajaran mengatakan bahawa pembelajaran adalah perubahan tingkah laku yang berlaku dalam diri seseorang individu yang disebabkan oleh pengalaman. Proses pembelajaran ini dilalui oleh setiap insan sejak dia dilahirkan, sehingga sukar bagi kita untuk membeza dan memisahkan antara pembelajaran dengan tumbesaran, kerana kedua-duanya adalah saling berkaitan.

              Saya berasa amat seronok mempelajari kesemua teori-teiri tersebut. Melalui apa yang saya pelajari, saya dapat membuat rumusan bahawa terdapat empat emosi utama yang menjadi persetujuan antara Plutchik, Tomkin dan Izard iaitu emosi takut, meluat, marah dan terperanjat. Mereka telah menyatakan bahawa empat emosi utama ini adalah tergolong dalam emosi seseorang itu sendiri. Setakat itulah saja coretan saya untuk kali ini. InsyaAllah pada minggu-minggu seterusnya saya akan terus menulis jurnal untuk dikongsi bersama di dalam blog.

Sekian, terima kasih.

 


No comments:

Post a Comment