Monday 3 January 2011

A128657 SUJAIHAH YUSUF LJ01 PENGENALAN EMOSI

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada semester ini, saya telah mengambil kursus ZT2253  Pengurusan Emosi yang dikendalikan oleh Dr Ahmad Zamri bin Mansor. Pada mulanya saya tidak terfikir untuk mengambil kursus ini, tetapi apabila saya mula mendaftar dan  hadir pada kuliah yang pertama, saya  merasa saya  perlu tahu dan belajar tentang pengurusan emosi. Ini adalah kerana emosi sangat rapat dalam kehidupan seseorang yang bergelar manusia.

Emosi. Perkataan ini sering meniti di bibir seseorang apabila berdepan dengan sesuatu masalah atau sesuatu perkara tidak kira emosi yang  positif ataupun negatif. Sebelum ini saya hanya mengetahui bahawa emosi adalah satu perasaan yang hadir dalam diri  manusia apabila berdepan dengan sesuatu masalah. Emosi sering dikaitkan dengan perasaan samaada perasaan takut, marah, gembira, kecewa dan sebagainya. Itulah yang dapat saya kupas dari perkataan emosi. Sebenarnya, perkataan "emosi" diturunkan dari kata bahasa Perancis, émotion , dari émouvoir , 'kegembiraan' dari bahasa Latin emovere , dari e-(varian eks-) 'luar' dan movere ' bergerak'.  Kebanyakannya, yakin bahawa emosi lebih cepat berlalu daripada suasana hati.  Sebagai contoh, bila seseorang bersikap agresif, mereka akan merasa marah .  Perasaan marah tersebut mungkin datang dan pergi dengan  cepat tetapi ketika  dalam suasana hati yang suram, seseorang dapat merasa sedih dalam jangka waktu yang lama. 

Pada 28 Disember 2010, minggu kedua perkuliahan, kami telah belajar mengenai definisi emosi, komponen perasaan, serta emosi dan motivasi. Baiklah, pengertian emosi ialah satu keinginan yang dipengaruhi oleh pegangan , situasi luaran yang diperantarakan oleh sistem saraf, seterusnya ia membawa kepada pengalaman berunsurkan perasaan  seperti gembira, takut, marah dan sebagainya yang melibatkan proses kognitif, penyesuaian fisiologi dan tingkahlaku yang berkaitan.

Menurut Dr Khamsiah Ismail, Bahagian Pembangunan Keluarga LPPKN,  emosi juga bermaksud satu perasaan yang kuat dan pelbagai jenis seperti kasih sayang, keriangan, benci, takut, cemburu, keseronokan atau gangguan pada perasaan. Ia juga dapat menggambarkan perasaan yang kuat akan sesuatu yang menyenangkan atau perasaan yang sangat mengganggu. Di sini, boleh saya kaitkan satu peristiwa yang berlaku dalam hidupku dua tahun lepas  yang melibatkan emosi.  Pada tanggal 26 November 2008, saya telah dikejutkan dengan satu berita yang sangat menyedihkan seluruh anggota keluargaku. Hari itu hari Jumaat, pada pukul 7.50 petang datukku telah kembali ke rahmatullah selepas menunaikan solat maghrib. Sejurus mendapat tahu berita buruk tersebut, air mataku terus mengalir laju kerana  tidak dapat menahan perasaan sedihku itu. Kebetulan, saya sedang berdepan dengan Peperiksaan STPM. Saya tidak dapat pulang ke kampung kerana pada keesokan hari, saya akan mengambil peperiksaan Bahasa Arab. Mujurlah ada kawan-kawanku yang memberi  kata-kata semangat kepadaku  supaya bersabar dan bertenang. Pada mulanya, saya merasa serba salah samada mahu pulang atau tidak kerana peperiksaan dijalankan pada awal pagi dan saya bimbang tidak sempat untuk mengambil peperiksaan. Ayahku berjanji akan menjemputku selepas selesai peperiksaan dan saya yakin sempat untuk berjumpa dengan arwah datukku. Tetapi, apabila saya menelefon ayah seusai selesai  peperiksaan, ayahku memberitahu bahawa datukku telah selamat dikebumikan. Tuhan sahaja yang tahu bagaimana persaaanku pada ketika itu,  Semua bercampur baur. Bayangkan saya seorang sahaja cucunya yang tidak sempat menemui datuk  pada saat –saat yang terakhir. Dalam hati ini, timbul juga perasaan bersalah dan terkilan. Tetapi apakan daya, sudah rezekiku tidak dapat berjumpa datukku pada hari kematiannya  itu. Jadi, apa yang boleh saya kaitkan dengan contoh di atas dengan kursus pengurusan emosi, iaitu saya berdepan dengan suatu emosi iaitu perasaan sedih dan  terkilan, kerana telah kematian orang yang saya sayang. Tindakan saya utuk tidak pulang ke kampung walaupun sekejap telah menyebabkan saya merasa menyesal apabila memikirkannya balik.

Selain itu, kami juga telah diajar tentang komponen emosi yang terbahagi kepada empat kategori .Pertama ,emosi boleh membawa kepada pengalaman perasaan . Kedua, emosi yang melibatkan proses kognitif, iaitu sesuatu yang dilakukan oleh minda yang dapat memahami sesuatu situasi . Ketiga  pula, perubahan fisiologi dalam badan kita dan yang keempat pula adalah emosi boleh dikaitkan dengan tingkah laku ataupun tindakan yang tertentu. Sebagai contohnya ialah, seorang wanita yang baru keluar dari sebuah bank telah  membawa sejumlah wang yang banyak. Tiba-tiba datang seorang lelaki  dari arah bertentangan telah meragut beg tangannya.  Dalam keadaan yang panik, wanita tersebut telah menjerit meminta pertolongan.  Orang ramai yang ada di situ telah  mengejar lelaki tersebut dan akhirnya wangnya dapat dikembalikan. Selepas daripada peristiwa tersebut, wanita itu tidak berani lagi untuk membawa wang  yang banyak kerana takut dan masih trauma dengan kejadian yang menimpa dirinya itu. Dengan contoh yang saya berikan itu, keempat- empat komponen emosi terdapat dalam peristiwa tersebut.

Seterusnya kami telah belajar tentang emosi dan motivasi, pada mulanya, saya menyangkakan bahawa emosi dan perasaan adalah satu perkara yang sama, tetapi ia adalah berbeza. Perasaan adalah salah satu daripada komponen emosi. Menurut Baron & Logan, 1993 ,emosi tidak dapat dipisahkan dari motivasi. Emosi sebagai motivasi kepada tingkahlaku & motif boleh menjadi emosional (Lang et al, 1992). Oleh itu, emosi lebih luas maknanya daripada perasaan. Sebagai contoh, seseorang yang melakukan pembunuhan atau jenayah adalah bertujuan untuk mendapat duit dan mungkin juga disebabkan oleh kebencian (emosi) kerana terdorong oleh perasaan tidak puas hati dan perasaan untuk membalas dendam. Selain itu juga, seseorang yang sedang dilamun cinta juga boleh memotivasikan diri untuk terlibat dalam tingkahlaku tertentu seperti menghantar mesej, menelefon, memberi hadiah serta mendirikan rumah tangga. Tetapi. tidak semua keadaan,  emosi boleh menjadi pendorong dan tidak semua pendorong berasaskan kepada emosi. 

Sepanjang dua minggu kuliah, saya dapat merumuskan bahawa emosi terdapat dalam diri setiap orang yang terdorong oleh suatu pengalaman yang dialami, proses kognitif, perubahan fisiologi serta tingkah laku yang berkaitan. Semua manusia akan mengalami pelbagai emosi samada suka atau tidak dan ia terpulang kepada individu untuk mengurus emosi yang dialaminya. Dengan emosi juga, kita dapat menilai  dan membantu diri kita dalam membuat sesuatu keputusan. Bukan itu sahaja, ekspresi wajah juga boleh menandakan seseorang berada dalam keadaan yang dirasainya seperti sedih, tersinggung, marah   dan tidak puas hati. Pengurusan emosi bukan bermakna kita menafikan kewujudannya atau tidak mengendahkannya, tetapi kita perlu mengakui kehadirannya dan perlu belajar untuk mengawalnya serta memilih bagaimana untuk bertindak balas akan sesuatu reaksi.

" Tidak rugi jika kamu berperasaan gundah walau sekali, jika kamu tahu apa yang dicari" Umar al Khattab..

Sekian sahaja coretan saya pada kali ini. Wassalam.

No comments:

Post a Comment