Monday 3 January 2011

A128608 HAZWANI BINTI MOHAMAD TAJUK 1 PEMBELAJARAN EMOSI SAYA

Pada 28 Disember 2010, bermulalah pembelajaran baru dalam kursus Pengurusan Emosi. Pengenalan tentang apa itu emosi. Selama ini saya sering tertanya-tanya tentang apakah itu emosi tetapi saya tidak pernah berfikir dengan mendalam apakah definisi bagi emosi. Kursus ini telah mengajar saya dengan lebih terperinci tentang emosi  samada dari segi definisi, konsep, cara pengurusan, dan pelbagai lagi.

Pada permulaan kelas kami telah diberikan satu kuiz personaliti diri. Kuiz tersebut sangat menarik kerana daripada jawapan kuiz tersebut dapat merungkai rahsia personaliti setiap individu yang berlainan. Di dalam slaid yang ditunjukkan terdapat laman web tentang sumber kuiz tersebut iaitu http://quizstop.com/0phpfac.htm disertakan. Apabila pulang dari kelas, saya terus melayari internet untuk membuka laman web tersebut dan membuat semula kuiz tersebut. Saya sangat teruja dengan kuiz seperti ini.

Menurut Kamus Oxford (1991) 'Emotion' membawa maksud perasaan yang kuat dari dalam mental/psikologi seperti sayang atau benci. Manakala Kamus Dwi bahasa (Melayu-Arab, Arab-Melayu): Emosi bermaksud Ihsas, Infia'l, A'thifah.  Kamus Mu'jam Tullab (2001) ( Arab-Arab): A'lima bihi wa Sya'ara bi wujudihi – membawa maksud mengetahui dan merasai kewujudannya. Emotion: apa-apa yang melibatkan perasaan yang kuat. Dalam kamus abad ke 17 & 18, telah menerangkan bahawa emosi berasal daripada bahasa latin iaitu 'emoreve' (untuk membawa sesuatu ke sesuatu yang lain).

            Pada pendapat saya, emosi adalah sesuatu yang memberi tindak balas kepada sesuatu suasana persekitaran seseorang. Tindak balas itu boleh dilakukan sama ada dalam bentuk perbuatan, kata-kata, atau mimik muka. Selama ini saya sering beranggap bahawa emosi adalah sesuatu yang diluahkan oleh seseorang dalam bentuk yang negatif contohnya marah, geram, benci tetapi baru kini saya mengetahui bahawa emosi itu tidak semestinya sentiasa dalam bentuk negatif, tetapi masih wujud emosi yang positif contohnya gembira, suka, bahagia dan sebagainya.

            Terdapat empat komponen emosi iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkahlaku berkaitan. Berdasarkan komponen emosi tersebut dapatlah diberikan contoh daripada pengalaman saya sendiri iaitu pada suatu hari tiba-tiba saya mendapat tahu bahawa salah seorang rakan sekolej saya telah kehilangan komputer riba akibat biliknya dicerobohi orang. Kebetulan pula saya satu aras dengan biliknya. Lantas saya teringat bahawa sebelum meninggalkan bilik untuk ke kelas, saya meletakkan komputer tiba saya di atas meja tanpa berkunci. Tambahan pula, rakan sebilik saya tiada di bilik ketika itu. Hati saya berdegup kencang akibat terlalu risau dan bimbang tentang keadaan tersebut. Malah kawan saya juga menegur muka saya tiba-tiba menjadi pucat. Sebaik sahaja tamat kelas saya terus pulang ke bilik untuk memeriksa keadaan bilik saya. Saya bersyukur kerana tiada musibah yang menimpa diri saya pada hari itu. Saya menyimpan komputer riba saya di dalam laci yang berkunci supaya lebih terjamin dan tidak bimbang lagi.

            Selain dapat memahami definisi emosi di dalam kelas tersebut, saya juga mengerti bahawa emosi berkait rapat dengan motivasi. Contohnya berdasarkan pengalaman saya sendiri iaitu dahulu saya tidak pandai memasak. Menghidupkan api di dapur pun saya tidak pernah mencuba. Sejak saya mempunyai teman istimewa dan saya telah bertemu dengan keluarganya, saya berasa malu apabila ditanya oleh ibunya bagaimana memasak cara kampong di tempat saya kerana saya berasal dari selatan dan keluarganya berasal dari pantai timur. Sejak dari hari itu, saya telah berusaha belajar memasak sedikit demi sedikit daripada emak saya dan sehingga sekarang saya mampu memasak untuk ahli keluarga saya. Emosi saya yang malu telah mendorong saya untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri saya sendiri supaya lebih yakin di masa akan datang. Walaupun begitu, bukan dalam semua keadaan di mana emosi boleh menjadi pendorong (motivator) dan bukan semua pendorong (motivator) berasaskan emosi.

            Kesimpulannya, setiap manusia di atas muka bumi ini tidak kira umur, bangsa atau agama tetap akan mengalami emosi dalam kehidupan seharian dan cara menangani emosi itu bergantung pada individu tersebut. Saya berasa tidak menyesal menyertai kursus ini kerana saya bukan sahaja dapat mengkaji emosi manusia malah mempelajari bagaimana untuk mengurusi emosi saya sendiri.#

           

           

 

 


No comments:

Post a Comment