Monday 10 January 2011

A128145 Rohaida binti Abdul Latiff Tajuk2 Struktur Asas Emosi

Assalamualaikum dan salam sejahtera....

 

Pada kuliah kali ini, saya agak bingung sedikit kerana tidak dapat memahami tajuk kuliah sepenuhnya. Namun setelah membaca dan merujuk nota berkali-kali, dapatlah saya memahami tajuk minggu ini dengan baik. Minggu ini Dr. Zamri telah memberi pendedahan tentang Struktur Asas Emosi. Menurut teori Darwin, emosi asas terdapat dalam diri manusia. Ini dapat dibuktikan dalam bukunya, "The Expression of the Emotions in Man and Animals".Beliau turut menyatakan bahawa ekspresi wajah melambangkan emosi seseorang individu. Kita dapat mengenal pasti emosi seseorang dengan melihat wajahnya kerana muka adalah organ yang mudah dilihat, dan bukan organ lain.

 

Maka muncul pula pelbagai teori lain iaitu teori Plutchik's, Tomkin dan Izard. Dalam teori Plutchik's, emosi digambarkan dalam tiga bahasa iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkah laku dan bahasa fungsian. Bahasa subjektif adalah bahasa yang biasa dalam emosi seperti takut, gembira dan sedih. Bahasa tingkah laku pula merujuk kepada apakah tindakan susulan dari emosi yang telah dirangsang. Contohnya, seseorang itu melompat kegirangan kerana terlalu gembira dan seseorang itu berada dalam kesedihan yang menyebabkan ia menangis. Bahasa fungsian pula merujuk kepada emosi seseorang. Contohnya seseorang itu bersikap berani yang memberinya keyakinan dan seseorang itu bersedih yang melambangkan eratnya persahabatan.

 

Mengimbau kenangan lalu, saya pernah mempunyai kawan rapat yang sangat baik suatu ketika dulu. Kami sering mengulangkaji pelajaran bersama-sama dan bertukar-tukar pendapat antara satu sama lain. Persahabatan kami amat erat sehinggakan kami tidak dapat dipisahkan. Suatu hari, saya mendapat tahu bahawa sahabatku itu mempunyai penyakit yang dinamakan penyakit sawan. Di sekolah, dia kerap sakit sehingga pelajarannya sedikit terganggu dan terjejas. Peristiwa sedih yang tidak dapat saya lupakan adalah apabila kawan-kawannya mengejek dan mentertawakannya ketika penyakit sawan menyerangnya di sekolah. Saya amat sedih dengan keadaan dirinya yang terpaksa menanggung penderitaan tersebut. Namun saya tahu sahabatku itu seorang yang sabar dan tabah dalam menghadapi ujian Allah. Sebagai sahabat, saya selalu menziarahinya dan memberikan kata-kata semangat kepadanya. Selepas SPM, dia tidak dapat melanjutkan pelajarannya akibat penyakit yang dihadapi itu. Pelbagai ikhtiar yang dilakukan oleh keluarganya untuk menyembuhkan penyakitnya namun tidak berhasil. Setelah lapan tahun mencari penawar dan berkat kesabaran dia dan keluarganya , akhirnya sahabatku pulih sepenuhnya daripada penyakit sawan tersebut. Gembira rasanya apabila semua penderitaan yang dialaminya telah berakhir.

 

Teori Tomkin mengatakan bahawa 'Smile makes you happy'. Saya telah mencuba teori ini dimana persoalannya, adakah kita senyum kerana kita gembira? Atau kita gembira kerana senyum? Hasilnya, yes! Dengan mengukirkan senyuman akan membuatkan saya gembira yang menggambarkan keceriaan di wajah saya. Menurut Tomkin juga, senyuman bukan sahaja menggambarkan emosi seseorang, bahkan menggambarkan sebuah komunikasi.

 

Mengikut teori Izard, beliau menyatakan bahawa ekspresi muka merupakan sesuatu yang semulajadi. Ini dapat dibuktikan dengan kajian yang dilakukan terhadap bayi. Bayi yang berumur dalam lingkungan tiga hingga empat bulan, kebiasaannya mereka tidak akan berasa takut dan menangis apabila dipegang atau didukung oleh orang  yang tidak dikenalinya. Namun apabila bayi tersebut semakin membesar, mereka akan menangis sekiranya dipegang atau didukung oleh orang yang tidak dikenalinya melainkan ibunya atau ahli keluarganya yang lain.  

 

Pada waktu tutorial, Dr. Zamri menyambung pembelajaran berkenaan emosi. Beliau berkata bahawa emosi itu boleh dipelajari. Saya teringat video yang ditunjukkan oleh Dr. Zamri yang mana ianya berkaitan emosi budak kecil. Budak kecil tersebut telah diuji emosinya dengan pelbagai cabaran untuk menguji ketakutannya. Teori yang berkait rapat dengan video tersebut ialah teori pembelajaran yang mana emosi itu boleh dipelajari.

 

Cukuplah rasanya coretan saya kali ini. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membaca coretan ini. Izinkan saya mengundur diri terlebih dahulu. Wassalam.

 

 


No comments:

Post a Comment