Friday 14 January 2011

A126800 Ira Fazliana bt Sadeli TAJUK 3 SERONOK KAN BILA KITA BAHAGIA..

Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia. "Rakyat di dahulukan pencapaian di utamakan". Siap dengan slogan. Betullah, bagi saya kita sebagai rakyat Malaysia perlulah ada rasa tanggungjawab untuk mengetahui beberapa kata-kata atau slogan berkaitan negara kita contohnya Rukun Negara, lagu Negaraku dan sebagainya. Kembali kita kepada matlamat sebenar berkaitan Pengurusan Emosi. Pada minggu ini bertarikh 11.01.11 Alhamdulillah saya dapat hadir ke kuliah pada waktunya walaupun agak terlewat sedikit namun saya masih sempat mengikuti pelajaran hari ini dari awal. Pada minggu ini kami didedahkan dengan tajuk KEBAHAGIAAN. Saya jangka, ramai dikalangan rakan-rakan sekuliah saya juga berminat dengan tajuk ini. Jika kita lihat pada perkataan kebahagiaan, selalunya dikaitkan dengan cinta itu sendiri, ianya sangat berkait rapat dengan emosi seseorang. Dengan cintalah membuatkan seseorang itu gembira dan bahagia dan dengan cinta jugalah seseorang itu boleh berasa sedih dan menderita.

 

Mari kita lihat definisi kebahagiaan. Kebahagiaan ialah satu keadaan emosi yang bercirikan emosi seperti keseronokkan, kegembiraan dan kepuasan hati. Ini mencerminkan kepentingan yang diletakkan ke atas emosi kebahagiaan. Pada kuliah minggu ini kami didedahkan oleh Dr Zamri tentang beberapa pandangan falsafah tentang kebahagiaan.

 

Terdapat 4 pandangan:-

1.       Aristotle: kegembiraan ialah hasil kepada pencarian ke arah keseronokkan.

2.       Plato: punca kepada kebahagiaan ialah kehidupan yang baik dan mulia.

3.       Epicurean: kebahagiaan ialah dengan memaksimumkan keseronokkan dan meminimumkan penderitaan.

4.       Mills: kebahagiaan ialah sejauh mana kesesuaian tingkah laku kita dengan keadaan sesuatu tempat.

 

Seronok rasanya bila kita berbicara tentang kebahagiaan, lebih-lebih lagi bila dikaitkan dengan perkahwinan. Jika kita lihat secara puratanya, mereka yang telah berkahwin adalah lebih gembira berbanding mereka yang hidup bersendirian. Sebagai contoh apabila si suami pulang ke rumah setelah seharian berhempas pulas di tempat kerja, akan berasa tenang setelah dapat "punch card" menandakan waktu bekerjanya pada hari tersebut telah berakhir. Alangkah gembiranya si suami apabila sampai sahaja di rumah apabila disambut dengan wajah keceriaan dan senyuman seorang isteri di muka pintu rumah. Tambahan lagi apabila disajikan dengan minum petang, seolah-olahnya segala masalah di pejabat bukan lagi menjadi tanggungjawabnya.

 

Begitu jugalah apa yang berlaku pada rakan saya, Fhaz yang telah mendirikan rumah tangga pada bulan Julai yang lepas. Mereka suami isteri tinggal di Klang tetapi suaminya pula bekerja di Rawang sebagai guru sekaligus menjadi warden di asrama. Jadi untuk berulang alik dari Klang ke Rawang, Rawang ke Bangi amatlah mustahil. Jadi Fhaz terpaksalah tinggal di asrama, terpaksalah juga mereka suami isteri berkorban untuk sepanjang tempoh pengajian Fhaz. Mujurlah tahun depan Fhaz akan tamat pengajian di UKM ini. Barangkali sangat gembira perasaannya untuk berjumpa kembali bersama suami tercinta, ihsan dan berbakti sekaligus menjalankan tanggungjawab isteri kepada seorang suami. Dengan gelaran isteri yang dibawa oleh Fhaz saya tidak sabar rasanya untuk mendirikan rumahtangga dan berbahagia sentiasa sepertimana yang di alami oleh Fhaz. Kerana dari satu sudut kelihatan di wajahnya ketenangan dan kegembiraan lebih-lebih lagi apabila dapat berjumpa dengan suami pada hujung minggu. Tapi, hasrat itu saya ke tepikan jauh-jauh buat sementara waktu ini. Lagipun banyak lagi matlamat yang perlu saya utamakan dahulu.

 

Berbalik kita pada perbincangan emosi. Sangat teruja saya apabila Dr. Zamri kaitkan kebahagiaan dengan cinta dan perkahwinan. Saya yakin rakan-rakan saya juga mengalami perasaan yang sama sebagaimana saya. Mungkin juga ada dikalangan rakan-rakan sekuliah saya yang sudah berkahwin. Alangkah seronok dan gembiranya rasa, lebih-lebih lagi apabila mereka memperolehi kebahagiaan daripada perkahwinan mereka.

 

Berkahwin bukanlah sebab utama untuk mencapai kebahagiaan. Walaupun kalau kita tanya kepada sesiapa pun "nak tak kahwin?" majoritinya akan menjawab "NAK!!!", terutamanya wanita. Antara perkara-perkara yang paling menggembirakan seseorang ialah jatuh cinta, pencapaian yang cemerlang dalam pelajaran, sembuh daripada penyakit, bercuti, baik selepas berkahwin, berkahwin, kelahiran bayi, kenaikan gaji, dapat berjumpa dengan kawan dan mendapat pekerjaan baru. Namun begitu, "ranking" yang paling utama yang membuatkan seseorang berasa gembira ialah apabila seseorang itu telah jatuh cinta. Apabila seseorang itu jatuh cinta, kita dapat lihat riak wajah kegembiraan, selalu tersenyum, sentiasa bersemangat lebih-lebih lagi apabila cintanya di terima. Dari sudut yang lain pula ada yang mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang, semua serba tak kena, kata orang tua-tua "angau".

 

Apabila kita kaitkan perkahwinan, cinta dan kebahagiaan, kasih-sayang juga tidak dapat dipisahkan. Apabila di kaitkan di antara cinta dan perkahwinan sudah semestinya kasih sayang penyebab utama untuk mencapai kebahagiaan. Cinta bukan setakat saling suka tetapi suka akan menjadi lebih kuat apabila ada "attachment", "caring" dan "trust". Selain itu, kita juga seharusnya menjadi pendengar yang setia kepada orang lain terutamanya pasangan suami isteri.

 

Menurut Argyle 1987, terdapat juga faktor lain yang membuatkan seseorang itu gembira. Antaranya ialah kesihatan, persahabatan, kerja, rekreasi dan juga penghayatan agama. Apa perkaitan di antara pegangan agama dan kegembiraan? Jika kita lihat mereka yang kuat pegangan agamanya adalah lebih gembira dan tenang hatinya berbanding mereka yang lemah pegangan agamanya. Ini kerana agama secara umumnya tidak kiralah agama Islam atau agama lain amat mementingkan kebahagiaan. Dalam agama sendiri, terdapat beberapa unsur-unsur baik yang perlu diambil sebagai pegangan hidup contohnya taat kepada tuhan, hormat-menghormati, tolong-menolong dan sebagainya yang mana hal-hal ini sangat di tuntut dalam semua agama. Apabila segala kebaikan dituruti akhirnya akan mewujudkan kegembiraan dalam diri seseorang. Di sini kita dapat lihat betapa pentingnya pegangan agama untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup.

 

Sebelum kuliah berakhir, Dr Zamri telah menontonkan kepada kami 2 buah video yang mana video yang pertama berkaitan dengan "different gender" di antara lelaki dan perempuan. Walaupun video ini menceritakan tentang perilaku di antara lelaki dan perempuan dari pelbagai sudut dalam bentuk komedi, namun terdapat mesej yang cuba disampaikan melalui video tersebut. Apa yang dapat disimpulkan daripada video yang dipertontonkan ialah berkaitan dengan komunikasi. Kebiasaannya lelaki bercakap hanya untuk melaporkan tetapi berlaku yang sebaliknya pada perempuan di mana perempuan bercakap untuk meluahkan dan untuk menjalinkan hubungan.

 

Video kedua pula berkaitan dengan "power of smile". Dengan senyuman seseorang boleh membuatkan kita  gembira dan dengan senyuman kita jugalah seseorang akan berasa gembira. Pepatah cina ada mengatakan, "orang yang tidak pandai melontarkan senyuman tak usahlah membuka kedai kerana ditakuti kedainya tidak laku". Jadi, kita dapat lihat di sini, senyuman seolah-olahnya mampu melembutkan hati seseorang. Ada mutiara kata mengatakan "senyumlah, supaya alam tersenyum kepada kita", "dibawanya senyum matanya, dirasakan hari hujan. Dibawanya gelak pipinya, dirasakan hari panas"

 

Akhir kalam "SENYUM SELALU!!!" kerana dengan senyum dapat melahirkan kegembiraan. Sampai sini saja coretan saya pada kali ini. Ketemu lagi di coretan akan datang. Wassalam

 

 


No comments:

Post a Comment