Sunday 9 January 2011

A126800 Ira Fazliana bt Sadeli TAJUK 2 STRUKTUR ASAS EMOSI



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam 1 Malaysia juga. Pada minggu ini bertarikh 4 Januari 2011 kuliah dijalankan seperti biasa. Rasa satu kelainan bila tahun semakin beranjak ke 2011. Umur pun semakin meningkat. Ilmu?? Wallahu a'lam. Moga-moga ilmu yang kita perolehi selama mana menuntut dan mencari ilmu di UKM tercinta ini semakin bertambah seiring dengan pertambahan umur kita. Insya Allah. Amin

Untuk kuliah minggu ini saya terlewat sedikit hadir ke kelas bersama 3 lagi rakan seperjuangan saya. Ini kerana sebelum jadual kelas Pengurusan Emosi ini kami perlu menghadiri kuliah Maharat al-Istima' di Fakulti Pengajian Islam dari jam 8.00 hingga 10.00 pagi. Terkilan sedikit kerana terlepas beberapa slide daripada pembelajaran untuk minggu ini. Tapi tidak mengapa, mujurlah Dr Zamri sudah meletakkan nota pembelajaran di dalam SPIN UKM. Sekurang-kurangnya saya dapat merujuk apa yang saya tertinggal tadi. Pada minggu ini kami didedahkan lagi dengan tajuk baru iaitu Struktur Asas Emosi. Pada mulanya saya agak terpinga-pinga sesampainya saya di dewan kuliah. Ini di sebabkan keterlewatan saya untuk hadir tepat pada waktunya kerana lazimnya Dr Zamri akan hadir ke kelas awal sedikit dari waktu yang sepatutnya.

Dalam tajuk minggu ini Dr Zamri menerangkan bahawa Struktur Asas Emosi menunjukkan karaktor semula jadi manusia. Menurut pendapat Darwin, emosi asas terdapat dalam diri manusia. Idea tentang manusia ini ditulis dalam karangan beliau, "The Expression of The Emotions in Man and Animals". Darwin juga menyatakan bahawa ekspresi wajah menggambarkan emosi seseorang. Ini kerana dari riak wajahlah kita dapat kenal pasti emosi seseorang itu kerana muka senang dilihat bukannya organ lain seperti tangan, kaki dan sebagainya. Sebagai contoh teringat saya sewaktu adik-adik saya seusia bayi lagi. Lazimnya bayi kecil akan kerap menangis apabila ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya sebagai contoh lapar, kembung perut dan sebagainya. Begitu jugalah yang berlaku kepada setiap bayi termasuklah adik saya. Ibu saya seolah-olahnya tahu apa kehendak adik kecil saya walaupun hanya dilontarkan melalui riak wajah dengan tangisan tidak melalui perkataan.

Berbalik kepada teori Darwin tadi, melalui teori Darwin tersebut maka muncullah pula beberapa teori yang lain iaitu sarjana Plutchik, Tomkin dan Izard. Sarjana Plutchik menyatakan teori asas emosi terbahagi kepada 3 :-
1.    Bahasa subjektif  ialah bahasa biasa bagi emosi. Contohnya perasaan gembira, takut, sedih dan sebagainya.
2.    Bahasa tingkah laku menunjukkan tindakan susulan dari emosi yang telah diransang. Contoh, apabila kita berasa sedih lazimnya akan mengeluarkan air mata. Jika kita gembira pula kita akan tersenyum, melompat dan sebagainya.
3.    Bahasa fungsian iaitu tujuan emosi dilahirkan, bagaimana emosi itu berperanan kepada individu. Contohnya, apabila kita berani ia akan memberikan keyakinan kepada kita.

Melihat kepada teori di atas teringat saya kisah tentang diri saya. Kisah ini berlaku 5 tahun lepas di mana ketika itu saya baru sahaja mendapat keputusan SPM. Walaupun keputusan saya tidaklah membanggakan tapi Alhamdulillah beberapa subjek yang saya skor mendapat gred A. Lalu berlakulah proses di mana setiap pelajar lepasan SPM akan memohon untuk menyambung pengajian mereka di peringkat IPTA tidak terkecuali saya. Entah kenapa keyakinan saya untuk mendapat tawaran di IPTA sangat tinggi memandangkan keputusan yang saya perolehi tidaklah begitu teruk. Namun, rezeki Allah kali ini bukan untuk saya. Ada lagi yang lebih berhak mendapat tawaran berbanding saya. Saya begitu sedih dengan keputusan yang saya perolehi. Sangat kecewa, hampa, putus asa, "kenapa bukan aku yang dapat" dan macam-macam lagi. Sehinggakan air mata saya terpaksa dikeluarkan kerana terlalu sedih. Sehinggalah pada satu hari saya terjumpa iklan di akhbar tentang kemasukan pelajar di KUIS (Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor). Jadi saya membuat keputusan untuk memohon pengajian diploma di situ setelah berbincang dengan mak dan abah saya. Tak mengapalah jika saya bermula dengan diploma dahulu. Saya juga berazam untuk menyambung pengajian saya di peringkat ijazah di IPTA. Akhirnya, mungkin rezeki saya di sini. Permohonan saya diluluskan oleh pihak kolej. Walaupun hati sedikit terkesan dengan keputusan IPTA yang lalu namun, saya tetap kuatkan semangat, gagahkan usaha, berdoa dan bertawakal sehinggalah hari ini, impian saya untuk menyambung pengajian di IPTA tercapai. Alhamdulillah syukur. Terima kasih Ya Allah. Walaupun berasa agak segan memandangkan ramai di kalangan rakan seperjuangan dalam lingkungan umur 19 hingga 21 tahun ketika itu, tapi ianya tidaklah mematahkan semangat saya. Dengan segala pengalaman, susah payah, usaha gigih semasa diploma dahulu sangat-sangat membantu saya sepanjang pengajian saya di peringkat ijazah sehinggalah kini saya sudah pun berada di tahun 2 di UKM.

Rasa panjang pula bercerita. Berbalik kepada teori-teori yang dilahirkan oleh sarjana seterusnya iaitu Tomkin. Beliau telah melahirkan beberapa teori yang menyatakan di antara senyum dan gembira, mana yang datang dahulu. Senyum atau gembira. Beliau berpendapat senyumlah yang akan membuat seseorang gembira kerana dengan riak wajah senyum akan membentuk kegembiraan. Kalau kita lihat, bila mana kita berada dalam suasana sejuk contohnya di dewan kuliah yang berhawa dingin secara automatik perasaan kita akan positif dan jika berlaku sebaliknya contohnya suasana panas di bawah sinaran matahari perasaan kita akan menjadi negatif, terasa cepat marah dan sebagainya. Senyuman kadangkala menggambarkan komunikasi bukan sahaja menggambarkan emosi. Senyum juga tidak selalunya menggambarkan kegembiraan seseorang. Teringat saya, saya mempunyai seorang rakan yang sangat "happy go lucky". Kadangkala susah untuk saya melihat dia kesedihan, menangis dan sebagainya. Tapi sebenarnya dalam hati dia mungkin tersimpan kedukaan yang disembunyikan di sebalik senyuman dan gelak tawanya.

Menurut sarjana Izard, beliau menyatakan bahawa ekspresi wajah ialah semulajadi. Kajian telah dilakukan kepada seorang bayi. Seusia awal 2-3 bulan, kebiasaannya bayi tidak akan menangis jika dia disentuh atau didukung oleh orang yang tidak di kenalinya. Akan tetapi, setelah bayi tersebut membesar kita akan dapat lihat bayi tersebut akan menangis apabila disentuh atau didukung dengan orang yang tidak biasa dengannya kecuali ahli keluarganya sahaja.

Hmm..kuliah pada minggu ini hanya sejam sahaja kerana Dr Zamri terpaksa menghadiri satu mesyuarat. Untuk hari tutorial Dr Zamri menyambung semula pembelajaran yang tergendala semasa kuliah pada semalamnya. Berbalik kepada emosi. Emosi juga boleh dipelajari. Sebagai contoh, seseorang yang suka menonton cerita-cerita hantu dan berunsurkan seram dan sangat kerap menontonnya secara tidak langsung dia akan terbiasa dan tidak lali lagi dengan kejutan atau ketakutan yang cuba ditontonkan. Contoh lain, seseorang yang dahulunya takut kucing akhirnya menjadi berani dek kerana bidang kerjayanya dekat dengan kucing sebagai contoh doktor haiwan. Teringat saya masa zaman kecil-kecil dahulu. Saya paling takut untuk makan ubat yang berbentuk kapsul. Tidak tahu kenapa, mungkin saiz kapsul yang terlalu besar dan panjang menyebabkan saya rasa sukar untuk menelannya walaupun dengan sebotol air. Namun, setelah saya cuba dan terus mencuba akhirnya sehingga kini ubat sebesar mana pun Insya Allah saya mampu untuk menelannya.

Rasanya sampai di sini sahaja coretan kedua saya buat kali ini. Jumpa lagi di coretan yang akan datang. Wallahu a'lam
 



No comments:

Post a Comment