Monday 3 January 2011

A126800 Ira Fazliana bt Sadeli TAJUK 1 NAK TAHU TAK?!!

Hari ini bermulalah kuliah pertama saya untuk subjek Pengurusan Emosi di bawah kod ZZZT 2253. Alhamdulillah untuk semester ini saya dapat lagi mengenal seorang lagi pensyarah yang sangat mahir dan luas ilmunya iaitu En Ahmad Zamri bin Mansor. Pada mulanya saya dan sahabat-sahabat bingung untuk memilih subjek apakah yang patut kami pilih untuk U2 ini. Akhirnya saya membuat keputusan untuk memilih Pengurusan Emosi dan dipersetujui oleh sahabat-sahabat saya.

Pada pertemuan pertama bersama En Zamri, beliau telah memberi penerangan ringkas berkenaan subjek ini. Beliau menyatakan bahawa subjek ini bukanlah satu yang berbentuk akademik tetapi ia merupakan satu ilmu di mana ianya sangat berkait rapat dengan kehidupan kita seharian sebagai manusia dari segi bagaimana seseorang yang mengalami emosi itu mengawal emosinya dan sebagainya. Setelah diberikan penerangan ringkas tentang subjek ini, saya berasa sangat teruja untuk mempelajari lebih lagi berkenaan ilmu pengurusan emosi ini dan ingin mengetahui bagaimana atau apakah yang sepatutnya dilakukan oleh seseorang apabila berdepan dengan emosi.

Sebelum kuliah bermula, En Zamri mengadakan satu aktiviti pemanasan minda yang di beri nama "expression question quizzes" di mana kami dikehendaki untuk memilih riak wajah yang menjadi pilihan kami melalui slide yang ditunjukkan semasa kuliah sama ada riak wajah smile, surprise, atau disgust. Ternyata ramai di antara kami yang memilih untuk riak wajah senyum termasuklah juga saya. Jelas sekali, untuk saya memahami bahawa manusia lumrahnya sukakan sesuatu yang berbentuk positif. Senyum menggambarkan kepada kita tentang suatu kegembiraan dan kebahagiaan sebagai contoh apabila kita menonton satu rancangan yang berunsurkan jenaka, secara tak langsung kita akan tersenyum dan tergelak seolah-olah segala masalah yang kita hadapi telah selesai dalam sekelip mata. Dengan senyuman juga kita dapat mengawal tekanan emosi kita.

Dalam kuliah yang pertama ini kami didedahkan tentang definisi emosi itu sendiri. Apa yang saya faham daripada perkataan emosi, ianya merupakan satu perasaan apabila kita berhadapan dengan sesuatu dan bagaimana kita berhadapan dan mengawal emosi tersebut sama ada dalam bentuk positif atau negatif dan dipancarkan melalui riak wajah. Dengan emosi seseorang itu boleh berubah sifatnya daripada suka menghina kepada sifat kasihan, sedih kepada gembira, kedekut kepada pemurah, marah kepada sayang dan banyak lagi begitulah juga sebaliknya.

Setelah diberi penerangan tentang maksud emosi itu, ternyata jangkaan saya meleset. Rupa-rupanya emosi dan perasaan bukanlah satu benda yang sama. Emosi lebih luas berbanding perasaan. Perasaan merupakan salah satu daripada komponen emosi yang 4 iaitu:-
1.    Perasaan.
2.    Process cognitive bermaksud bagaimana minda melabelkan situasi yang sedang dihadapi.
3.    Physiological changes bermaksud tindak balas fizikal sebagai contoh kita akan berpeluh apabila kita rasa takut atau gementar.
4.    Associated behavior bermaksud tindakan yang akan kita lakukan bila mana berhadapan dengan emosi.

En Zamri juga memberikan contoh yang sesuai untuk menerangkan perkaitan di antara komponen emosi yang empat tersebut. Contoh: Pada suatu malam Junainah terdengar satu suara yang pelik dan dia cuba untuk mengenal pasti bunyi tersebut. Jantungnya berdegup kencang kerana perasaan takut yang menyelubunginya. Dia merasakan "pencuri" tersebut masuk ke dalam biliknya lalu dia pun menjerit dan akhirnya dia dapati suara pelik yang disangkakan seorang "pencuri" itu rupa-rupanya adalah seekor kucing.

Kini barulah saya faham dan mula berfikir rupa-rupanya dalam pengurusan emosi ini juga mempunyai beberapa teori-teori yang tersendiri. Berbalik pada contoh tadi teringat saya tentang satu kisah yang berlaku pada diri saya sendiri. Dahulunya saya adalah seorang yang berani dan suka untuk melihat adegan-adegan atau aksi-aksi yang amat mengerikan di kaca tv dan juga melihat gambar-gambar kemalangan yang mengerikan termasuklah cerita-cerita hantu. Walaupun ada sedikit perasaan ngeri dan takut namun perasaan ingin tahu mengatasi perasaan ngeri dan takut tersebut. Sehinggakan terbit satu perasaan dalam diri saya, untuk melihat satu kejadian kemalangan yang mengerikan di depan mata saya sendiri. Saya pernah melihat beberapa kemalangan ngeri menerusi beberapa video yang saya dapatkan daripada seorang rakan saya semasa di kolej dahulu. Walaupun kadangkala saya dibayangi semula apa yang telah saya tonton namun, ianya tidaklah mematahkan semangat saya untuk melihat kembali aksi-aksi sedemikian.

Sehinggalah pada suatu hari saya ditegur oleh seseorang supaya cuba untuk kurangkan melihat aksi-aksi atau sesuatu yang mengerikan itu. Dia memberitahu saya apabila kita menonton sesuatu yang mengerikan ianya secara tidak langsung akan melemahkan otak kita. Semenjak hari itu saya cuba untuk mengurangkan daripada melihat sesuatu yang boleh melemahkan otak dan sehingga kini perlahan-lahan saya semakin tidak berani untuk melihat sesuatu yang amat mengerikan. Berbalik kepada cerita tadi, mujurlah sehingga hari ini belum pernah lagi saya melihat satu kemalangan ngeri di depan mata saya sendiri. Jika ianya betul-betul berlaku mungkin trauma akan sentiasa menyelubungi hidup saya.

Berbalik kepada tajuk yang saya pelajari dalam minggu ini. Setelah beberapa penerangan diberikan oleh En Zamri, beliau menerangkan pula tentang apa itu emosi dan motivasi. Emosi dan motivasi tidak dapat dipisahkan antara keduanya kerana emosi adalah sebagai motivasi kepada satu tindak-tanduk kita. Sebagai contoh, cinta. Cinta akan memotivasikan seseorang untuk terlibat melakukan sesuatu tindakan tertentu sama ada beri hadiah, mendirikan rumah tangga, mengucapkan kata-kata sayang dan sebagainya. Tindakan tersebut bukan sahaja berbentuk positif malahan juga ada yang sanggup melakukan perkara negatif semata-mata kerana cinta.

Teringat saya tentang satu cerita lucu lakonan Allayarham Tan Sri P.Ramlee dalam "Laksamana Doremi". Cerita ini mengisahkan tentang 3 sekawan, Do Re dan Mi yang telah diperintahkan oleh sultan supaya menyelamatkan puterinya daripada cengkaman Menteri Pasola dengan ganjaran, sesiapa yang dapat menyelamatkan puterinya dia akan dikahwinkan dengan puterinya. Justeru, mereka berusaha dengan gigih semata-mata untuk mencapai hasrat mereka supaya dapat berkahwin dengan Tuan Puteri. Dengan segala kelebihan sakti yang diberikan oleh Tuan Puteri Buluh Betung, akhirnya mereka dapat menyelamatkan Tuan Puteri tersebut daripada ancaman Menteri Pasola yang sangat jahat. Mereka bertiga sentiasa berusaha gigih untuk menarik hati Tuan Puteri walaupun pada akhirnya ketiga-tiga mereka tidak juga dapat berkahwin dengan Tuan Puteri tersebut. Di sini menunjukkan, dengan cinta seseorang itu sanggup berusaha lebih bagi mendapatkan cinta hatinya walaupun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran.

Akhir kalam, setakat ini sahaja coretan saya untuk kali ini. Sehingga kini saya sangat teruja untuk mengenal dengan lebih mendalam lagi berkenaan kursus ini. Sekurang-kurangnya dengan ilmu yang saya perolehi ini dapat juga saya praktikkan dalam kehidupan seharian saya dalam menguruskan emosi. Bertemu lagi dalam coretan saya yang akan datang. Wallahu a'lam





No comments:

Post a Comment