Thursday 14 October 2010

A135584 Qurratu Aini LJ13

Assalamualaikun dan salam sejahtera.

Masa sangat pantas berlalu. Ini bermakna peperiksaan akhir juga tinggal beberapa minggu sahaja lagi dan jurnal ini adalah jurnal terakhir untuk Kursus Pengurusan Emosi. Tajuk terakhir yang bakal dikupas adalah Emosi di Tempat Kerja.

Seperti yang kita sedia maklum. Tempat kerja adalah salah satu tempat yang paling banyak menyumbang kepada tekanan seseorang. Ia tidak kiralah sama ada bebanan kerja yang banyak, persekitaran yang tidak sihat ataupun organisasi yang tidak membantu. Kami dipertontonkan dengan pelbagai aksi yang bagi saya sangat ekstrem ketika di pejabat. Hal ini berlaku kerana tekanan yang tidak dapat dikawal oleh individu tersebut. Ada yang membaling komputer kerana kerja yang tergendala akibat kerosakan komputer. Malah ada yang mengamuk di pejabat dan membahayakan orang lain.

Emosi sangat mempengaruhi prestasi kerja seseorang. Jika kita pandai mengaplikasikan emosi yang bersesuaian dengan situasi di tempat kerja, ia dapat membantu meningkatkan kemahiran dan prestasi kerja. Begitu juga sebaliknya. Sekiranya kita tidak bijak mengawal dan memanipulasikan emosi, prestasi kerja akan terjejas. Ini kerana emosi memainkan peranan dalam penerimaan mesej daripada pengurusan.

Kita dalami pula konsep-konsep yang berkaitan dengan tempat kerja. Yang pertama adalah
Teori Kerjaya Holland. Ia merupakan pemadanan antara personaliti dengan kerjaya yang sesuai dengan personaliti tersebut. Contohnya orang yang suka menolong orang lain dan membangunkan kebajikan orang lain lebih sesuai menjadi seoarang kaunselor ataupun guru, manakala orang yang bersikap menguasai dan suka kepada aktiviti yang menggunakan percakapan lebih cenderung menjadi seorang peguam. 

Yang kedua adalah pembahagian personaliti iaitu
type A dan type B. Pada pendapat saya, type A lebih kepada orang yang sangat kuat bekerja dan tidak ada istilah 'lepak' dalam hidupnya. Manakala type B pula lebih fleksibel. Hidupnya tidak sukakan peraturan dan hanya sukakan keseronokan. Bukan bermakna hidupnya tidak bermanfaat tetapi cara individu type B bekerja penuh dengan keseronokan dan tiada desakan.

Saya tertarik dengan peribahasa Cina dalam tajuk kuliyah pada minggu ini iaitu:
"A man without a smile must not open a shop" –Maksudnya apabila seseorang yang ingin membuka sesuatu perniagaan hendaklah sentiasa tersenyum. Saya bersetuju dengan pendapat ini. Berdasarkan pengalaman saya yang pernah bekerja dengan majikan Cina, beliau sentiasa mengingati kami untuk sentiasa tersenyum dan mengucapkan terima kasih dengan kuat dan besungguh-sungguh. Ini adalah untuk menunjukkan betapa kita menghargai pelanggan yang datang. Di situ saya menyedari bahawa dengan senyuman, kita dapat menarik pelanggan dan sekaligus membentuk hubungan di antara pelanggan dan peniaga.

Berpindah pula kepada tajuk
Budaya Kerja di Malaysia. Sebagaimana yang kita sedia maklum, rakyat Malaysia sangat mementingkan hubungan walaupun ketika bekerja. Ini berbeza dengan budaya kerja orang Barat yang lebih mementingkan pencapaian individu berbanding pencapaian kumpulan. Ini dibuktikan dengan dapatan kajian yang dilakukan oleh Asma' (1995). Asma' juga melakukan kajian bagaimana orang Malaysia mengendalikan konflik dan hasilnya lebih kepada perasaan peribadi atau surat layang untuk meluahkan rasa tidak puas hati. Orang Malaysia juga suka mengelak untuk bersua muka menyatakan pendapat masing-masing tetapi lebih suka menggunakan cara yang salah seperti mengumpat dan menggunakan ilmu sihir. 

Apabila kita bercerita tentang ilmu sihir, saya segera terimbas filem 'Santau' yang dilakonkan oleh Isma Daniel. Ia adalah satu contoh yang tepat mengenai budaya di Malaysia. Ia berkisar tentang Hassan yang dengki dengan kejayaan  Halim dan memusnahkan kehidupan Halim dengan cara menghantar santau. Daripada filem ini, saya mendapati rakyat Malaysia lebih suka menikam dari belakang daripada menyelesaikan secara terbuka dan berdepan. Puncanya hanyalah ketidakpuasan hati . Pada pandangan saya, sekiranya Hassan menyelesaikan masalah emosinya dan menyalurkan ke arah yang baik, pasti kecelakaan tidak akan berlaku kepada kedua belah pihak.

Kesimpulannya, sangat wajar bagi setiap individu mengawal dan mengendalikan emosi dengan baik di tempat kerja. Ini kerana dengan emsi yang positif, prestasi kerja akan bertambah baik sekaligus menaikkan produktiviti di tempat kerja. Saya akhiri dengan ayat Al-Quran.
Allah berfirman: 
".....dan katakanlah: bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman akan melihat pekerjaan itu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata lalu diberitakannya kepadamu apa yang telah kamu kerjakan."
(QS. At-Taubah 105).



No comments:

Post a Comment