Saturday 9 October 2010

A135345 YUVARANI NAIR A/P SUKUMARAN LJ09

Salam sejahtera saya ucapkan kepada Prof Ahmad Zamri Bin Mansor. Minggu ini merupakan minggu ke-9 saya menghadiri kuliah untuk kelas Pengurusan Emosi. Tajuk kuliah minggu ini adalah Emosi Dalam Keluarga Dan Masyarakat.
Mengulas kuliah minggu ini bermula dengan pengurusan emosi dalam keluarga. Pengetahuan ini adalah sesuatu yang sangat berguna kepada semua terutamanya pemuda-pemudi sekarang yang tidak memahami konsep kekeluargaan. Antara sebab seseorang perlu mengetahui cara mengurus emosinya dalam keluarga adalah untuk membentuk sebuah keluarga yang bahagia dan menangani emosi dalam keluarga yang amat berguna ketika ke arah pembentukan keluarga yang bahagia. 
Menurut Hasnan Kasan (2006), keluarga bahagia adalah keluarga yang dibina atas suatu ikatan perkahwinan yang amat kuat dan mesra untuk tolong-menolong, berkasih sayang, bahagia-membahagiakan dan damai-mendamaikan antara satu sama lain. Sememangnya pandangan ini betul tetapi kebanyakan generasi sekarang tidak dapat memahaminya yang mengakibatkan peningkatan kes-kes penceraian. Ramai yang tidak mengetahui matlamat sebenar pembentukan keluarga. Merujuk kuliah minggu ini, antara matlamat pembentukan keluarga adalah mencapai kebahagian, melahirkan anak yang soleh, mewujudkan masyarakat aman dan sentosa, dan membentuk keluarga harmonis. Kebahagian sesebuah keluarga amat bergantung pada emosi ahli keluarganya. Emosi seorang suami, isteri dan juga anak-anak jika tidak dikawal dan diurus akan menimbulkan pelbagai masalah dalam rumahtangga.
Kuliah minggu ini telah mengingatkan saya mengenai beberapa filem yang pernah saya tontoni serta beberapa artikel yang pernah saya baca. Di sini saya ingin berkongsi dua buah filem yang bertajuk Cheaper By The Dozen (2003), Stepmom (1998) dan sebuah artikel yang dikeluarkan dalam Reader's Digest yang bertajuk The Story Of Amy And Her Family, yang kemudiannya dijadikan sebuah filem yang bertajuk Gracie's Choice (2004). Ketiga-tiga cerita ini berunsurkan keluarga dan cabaran yang perlu dihadapi di dalam sesebuah keluarga.
Filem Cheaper By The Dozen (2003) menceritakan kisah sepasang suami isteri yang mencuba sedaya-upaya menjayakan rumahtangga mereka yang terdiri daripada 12 anak. Pada permulaan cerita ini, mereka tinggal di sebuah kawasan luar bandar, suami yang bekerja sebagai jurulatih pasukan football di sebuah kolej kecil dan isteri yang sedang menulis buku cerita yang mengisahkan pengalamannya mendirikan sebuah keluarga dengan 12 anak. Keluarga mereka sememangnya sebuah keluarga yang bahagia walaupun kedua-dua suami isteri tersebut terpaksa bekerja keras untuk menampung segala perbelanjaan serta menangani segala karenah anak-anak mereka. Akan tetapi, terdapat perubahan yang besar apabila ayah kanak-kanak ini ditawarkan pekerjaan baru yang memerlukan mereka berpindah ke bandar. Khabar ini sukar diterima oleh anak-anaknya kerana mereka telah menghabiskan sepanjang umur mereka membesar di kawasan mereka sekarang dan berasa takut sama ada mereka dapat mengadaptasi suasana baru di bandar. Walau bagaimanapun, kedua-dua suami isteri telah berjanji kepada anak-anak mereka yang tiada perubahan akan berlaku antara hubungan mereka dan mereka akan kekal sebagai sebuah keluarga bahagia walaupun di mana mereka berada. Malangnya, segala situasi telah berubah selepas mereka berpindah ke rumah baru mereka. Pertama sekali, ayah mereka tidak lagi meluangkan masa dengan keluarganya disebabkan penglibatannya dengan kerja baru. Manakala, anak-anak ini tidak dapat menyesuaikan diri mereka dengan cara hidup budak-budak bandar dan sering kali dibuli oleh ramai ketika berada di sekolah. Situasi ini bertambah buruk apabila ibu mereka mendapat tawaran mempromosikan buku cerita yang diusaha olehnya selama ini dan perlu ke New York meninggalkan anak-anak ini bersama ayah mereka. Disebabkan perubahan ibubapa yang tiba-tiba memilih kerjaya mereka mendahului anak-anak mereka, semua anak-anak mula meluahkan perasaan tidak puas hati antara satu sama lain. Sehubungan dengan ini, pelbagai insiden telah berlaku. Akhirnya, keadaan menjadi begitu mendesak sehingga salah seorang anak telah melarikan diri daripada rumah. Pada ketika itulah semua ahli keluarga mula sedar bahawa betapa mereka telah mementingkan diri sendiri dan lupa bahawa mereka adalah sebuah keluarga. Cerita ini berakhir semua ahli keluarga meminta maaf antara satu sama lain, penemuan anak yang hilang, berpindah balik ke kawasan lama mereka serta pengorbanan kedua-dua impian kerjaya ibubapa demi keluarga mereka.
Cerita Stepmom (1998) pula merupakan kisah sebuah keluarga yang pada mulanya ibu bapanya telah bercerai walaupun setelah mempunyai dua orang anak. Kemudian, ayah mereka membuat keputusan untuk berkahwin dengan seorang lagi wanita. Kedua-dua anak ini mengalami keadaan yang sukar untuk menyesuaikan diri mereka dengan kemunculan ahli baru ke dalam keluarga mereka. Hal ini meninggalkan impak terutama  sekali ke atas anak sulung mereka. Walau bagaimanapun, pengadaptasian ini tidaklah begitu mudah kepada ibu tiri mereka. Terdapat pelbagai konflict antara ayah, ibu kandung serta ibu tiri mereka yang sering kali dikaitkan dengan anak-anak ini. Sehingga tibalah suatu hari apabila ibu kandung mereka telah didapati mempunyai kanser tahap kritikal dan tidak lagi boleh dirawat. Ibu kandung mereka tidak memberitahu sesiapa dalam keluarga. Dia cuma memendamkan perasaan kekecewaannya, kesedihannya dan kebimbangannya terhadap masa depan anak-anaknya. Perasaan-perasaan ini telah dicurahkan sebagai perasaan marah terhadap ibu tiri mereka yang sedang mencuba sedaya-upaya menyesuaikan dirinya dengan suasana keluarga serta cuba mendekati kanak-kanak ini. Cerita ini berakhir dengan ibu kandung menceritkan kepada ibu tiri mengenai penyakitnya, dan penerimaannya dan anak-anaknya terhadap ibu tiri tersebut.
Artikel The Story Of Amy And Her Family pula menceritakan kisah seorang kakak yang mencuba sedaya-upaya untuk mewujudkan suasana yang bahagia untuk keluarganya. Cerita ini mengisahkan seorang ibu yang tidak bertanggungjawab dan merupakan seorang penagih dadah yang selalu mendatangkan masalah kepada anak-anaknya. Setiap orang anaknya berasal daripada bapa yang berlainan. Walau bagaimanapun, cerita ini menekankan peranan Amy sebagai seorang yang kuat berjuang. Dia telah berjuang dari awal kelahirannya di mana dia hampir meninggal semasa dilahirkan yang akhirnya telah diselamatkan, sehingga segala dugaan yang telah ditempuhinya untuk melindungi diri serta adik-adiknya daripada dunia luar dan juga ibu mereka. Karakter ini telah berjaya mengimbangkan pelajarannya, pekerjaannya serta keluarganya walaupun sepanjang perjalanan ini dia terpaksa melakukan pelbagai pengorbanan. Antaranya adalah perhubungan dengan teman lelakinya, impiannya untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading dan sebagainya. Walaupun terdapat beberapa ketika yang dia sememangnya ingin melepaskan beban keluarganya, dia masih bertekad untuk meneruskan cabarannya. Cerita ini berakhir dengan pelupusan hak ibunya terhadap anak-anak ini dan pelulusan hak penerimaan Amy mengambil adik-adiknya sebagai anak angkat sendiri selepas umur 18 tahun. Untuk membaca cerita ini secara terperinci, sila rujuk pada laman web ini http://www.rd.com/your-america-inspiring-people-and-stories/rd-on-tv-gracies-choice/article18017.html
Tujuan sebenar saya berkongsi ketiga-tiga cerita ini adalah kerana selepas menonton dan membaca cerita-cerita tersebut, saya berpendapat bahawa apapun cabaran yang ditempuhi oleh sesebuah keluarga, ia tetap memerlukan sekurang-kurangnya seorang yang memahami situasi tersebut dan menginginkan sebuah keluarga yang bahagia. Dengan ini, walau betapa sukar pun keadaan yang dilalui, jika dijuang sesungguhnya demi melahirkan sebuah keluarga yang bahagia, akhirnya dapat juga kita memilikinya. Oleh itu, janganlah berputus asa atau mengambil keputusan terburu-buru yang mungkin dikesali ketika berhadapan dengan masalah keluarga. Kita cuma perlu menenangkan diri, cuba memikirkan pilihan yang boleh kita lakukan, memilih keputusan yang terbaik kepada semua pihak termasuk diri-sendiri dan keluarga kita, dan baru melaksanakannya. Asalkan kita berjanji untuk bertekad dan bersatu hati mengekalkan sebuah keluarga yang bahagia, kita pasti dapat mencapainya. Saya menujukan kata-kata saya ini kepada semua yang akan mendirikan rumahtangga dalam masa akan datang. Cintailah keluarga anda.

No comments:

Post a Comment