Friday 1 October 2010

A134544 nabihan LJ10

                Selamat bertemu lagi kita dalam edisi jurnal kali ini. Jurnal kali ini merupakan jurnal yang sudah hampir hendak ke penghabisan. Ini kerana hanya tinggal lagi tiga minggu untuk kami pelaja-pelajar UKM mengikuti kuliah. Selepas itu, peperiksaan akhir semester akan menjelang tiba. Seperti biasa harapan saya kepada pembaca-pembaca jurnal agar dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan mengenai emosi diri kita. Selepas itu, para pembaca dapat mempraktikkan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian.

            Hari ini tepat jam 4.00 petang, saya melangkah masuk ke dalam kelas pengurusan emosi. Entah mengapa saya berasa sangat penat pada hari ini. Mungkin kerana malam tadi saya tidur lewat menyebabkan sistem tubuh saya tidak mendapat rehat yang secukupnya. Saya tidur lewat kerana perlu menyiapkan beberapa tugasan yang diminta pensyarah tugasan tersebut pula perlu dihantar dalam masa yang terdekat. Oleh itu, saya tidak mahu menangguhkan waktu untuk menyiapkannya. Dengan itu, saya berharap agar saya tidak akan berasa mengantuk sewaktu pensyarah menyampaikan pembelajaran di dalam kelas. Ternyata sangkaan saya tepat. Penyarah bijak menggunakan kemahiran yang beliau ada untuk mewujudkan suasana ceria dalam kelas tersebut. Maklum sahajalah, waktu sudah petang. Memang masa yang sangat seronok jika dapat tidur.

      Baiklah, tajuk pengurusan emosi kita pada minggu ini ialah Kebijaksanaan Emosi. Tentu para pembaca tertanya-tanya. Apakah yang dimaksudkan dengan emosi yang bijak itu? Diharapkan para pembaca dapat bersabar kerana saya akan menerangkannya sebentar lagi. Tapi sebelum itu ingin saya mengimbas kembali tajuk-tajuk emosi yang lepas. Adakah para pembaca masih ingat akan isi kandungannya? Tidak mengapa. Saya akan memberitahu para pembaca. Selepas beberapa minggu mengikuti kelas pengurusan emosi ini, terdapat beberapa perkara penting tentang emosi yang boleh saya kongsikan bersama para pembaca. Yang pertama, emosi dapat dikenalpasti melalui mimik wajah dan dari intonasi suara. Kedua, sifat emosi berubah-ubah mengikut situasi. Kemudian, emosi mempunyai darjah intensiti yang berubah mengikut tempat. Seterusnya, ingatan dan emosi sangat berkaitan. Emosi boleh berubah dengan jalan berfikir. Emosi bermula dengan bagaimana kita mempersepsi sesuatu perkara. Situasi boleh mengubah emosi. Emosi hanya terbit bila ada rangsangan berkaitan. Rangsangan hilang, emosi tidak aktif. Emosi positif dan negatif saling berlawanan. Emosi boleh sebagai pendorong (motivator) kepada tingkahlaku. Emosi berkait rapat dengan personaliti. Emosi bersifat dinamik dan boleh berubah-ubah.

 

      Kebijaksanaan emosi di sini bermaksud kemampuan seseorang individu itu untuk mentafsir atau menilai emosi seseorang yang lain berdasarkan apa yang telah dipelajarinya. Sewaktu kami mempelajari tajuk ini, pensyarah telah memaparkan beberapa jenis mimik muka dan menyuruh kami meneka apakah emosi yang ditunjukkan berdasarkan mimik muka tersebut. Kebanyakan daripada kami berjaya meneka dengan betul. Sebenarnya tidak susah untuk mengetahui emosi seseorang itu walaupun hanya dengan melihat pergerakan mukanya sahaja. Terdapat beberapa teknik untuk mengenalpasti emosi seseorang itu berdasarkan mimik muka. Antaranya dengan melihat pergerakan keningnya, mulut, keluasan mata, dan bemacam-macam lagi perubahan yang terjadi pada bahagian anggota muka.

      Ingin saya kongsikan di sini satu pengalaman saya mengenai meneka emosi seseorang ini. Saya mempunyai seorang kawan, Farah. Kami sebenarnya bukanlah kawan rapat. Hanya kawan biasa-biasa sahaja. Sehinggalah satu hari tiba-tiba dia menegur saya. Dia bertanya, adakah saya mempunyai sebarang masalah pada hari ini. Saya pula berasa hairan kenapa tiba-tiba dia bertanya sebegitu. Lalu dia menjawab, kebiasaannya dia sering melihat saya senyum dan ketawa bersama kawan-kawan. Tetapi pada hari ini, dia melihat saya bersendirian. Saya tanya dia kembali. Bagaimana dia tahu saya mempunyai masalah? Dia pun menjawab, dia melihat muka saya berkerut-kerut seperti seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Saya terkejut pada mulanya. Tapi memang itulah kenyataannya. Barulah saya tahu, dengan hanya melihat pergerakan muka sahaja seseorang itu dapat menafsir apa yang ada dalam minda kita.

      Jadi para pembaca jurnal di luar sana, itulah sedikit sebanyak pengalaman yang saya dapat kongsikan bersama. Diharapkan para pembaca dapat mengambil sedikit pengajaran dari apa yang telah saya sampaikan. Sekian. #

 

     

 


No comments:

Post a Comment