Saturday 16 October 2010

A134393 Yanzur LJ12


Kuliah Pengurusan Emosi pada minggu ini membincangkan tentang emosi dalam keluarga dan masyarakat. Kita amat memerlukan keluarga dalam kehidupan kerana ia merupakan institusi yang sangat penting. Oleh itu, kita perlu tahu tentang pengurusan emosi dalam sesebuah keluarga supaya dapat membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Menurut Hasnan Kasan, konsep keluarga bahagia ialah keluarga yang dibina atas satu ikatan perkahwinan yang amat kuat dan mesra untuk tolong-menolong, berkasih sayang, bahagia-membahagiakan dan damai-mendamaikan antara satu sama lain. Terdapat 4 matlamat yang ingin dicapai dalam pembentukan sesebuah keluarga di mana yang utamanya adalah untuk mencapai kebahagiaan. Seterusnya melahirkan anak yang soleh, mewujudkan masyarakat aman dan sentosa, serta membentuk keluarga yang harmonis.


Emosi positif dan negatif dalam keluarga haruslah bijak dikawal. Sekiranya kita gagal mengawal emosi negatif, inilah yang akan menyebabkan timbulnya pelbagai masalah dalam keluarga kita. Sebaliknya, emosi positif harus disemai dalam diri setiap ahli keluarga agar keharmonian keluarga sentiasa terjamin. Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam mengawal emosi negatif dan positif dalam keluarganya kerana merekalah yang menjadi contoh teladan kepada anak-anak mereka. Emak saya seorang ibu yang sangat garang dan tegas berbanding ayah. Saya ingat lagi semasa kecil-kecil dahulu saya suka bergaduh dengan adik-adik saya terutamanya adik perempuan. Jika diketahui oleh emak, kami akan dikejar dengan rotan buluhnya yang panjang. Kadangkala sampai berbekas-bekas badan kami dirotan. Namun, ini adalah cara emak menyedarkan kami agar berbaik-baik sesama ahli keluarga kerana kami tersangatlah degil. Sudah berbuih mulut emak kami berpesan agar tidak bergaduh tapi kami tetap sering melakukannya. Boleh dikatakan hampir setiap hari. Mana ibu yang tahan dengan sikap anak-anak yang sebegini. Oleh itu, rotanlah jawabnya. Walaupun begitu, rotan juga tidak dapat menyedarkan kami adik-beradik kerana setelah dirotan berkali-kali, kami masih mengulanginya. Nakal sungguh saya sewaktu kecil dulu.


Selain emosi dalam keluarga, kita juga perlulah tahu menguruskan emosi dalam masyarakat. Kita harus sedar akan peranan masing-masing dalam masyarakat dan juga peranan emosi itu sendiri. Setiap individu harus bersama-sama menjaga keharmonian masyarakat dan tidak memecahbelahkannya. Islam juga menyuruh umatnya supaya hidup bersama-sama dalam satu masyarakat, saling bantu-membantu, dan jangan sesekali berhasad dengki sesama sendiri atau bermusuh-musuhan. Setiap orang yang beragama Islam adalah saling bersaudara. Selain itu, sekiranya kita ingin diri diterima dalam masyarakat, kita haruslah tahu cara-cara untuk membuatkan orang ramai menyukai diri kita. Pertama sekali, senyuman hendaklah sentiasa terpapar di wajah kita kerana wajah memberikan first impression orang terhadap kita. Seterusnya, kita perlu sungguh-sungguh berminat untuk bergaul dengan orang di sekeliling kita. Selain itu, kita juga hendaklah sentiasa ingat bahawa nama seseorang adalah bunyi yang paling manis dilontarkan. Oleh itu, panggillah seseorang itu dengan namanya dan bukanlah nama gelarannya kerana ia adalah lebih manis. Yang terakhir sekali, untuk disukai oleh semua orang, kita mestilah menjadi seorang pendengar yang baik iaitu dengan menggalakkan orang lain menceritakan tentang diri mereka kepada kita. Oleh itu, jadilah orang yang sentiasa disukai agar hidup ini sentiasa ceria dan kehidupan masyarakat yang harmoni dapat dilahirkan.


Kesimpulannya, pengurusan emosi dalam keluarga dan masyarakat adalah amat penting dalam kehidupan kita. Ini kerana kedua-duanya dapat mewujudkan perasaan kasih sayang serta menjamin keharmonian hidup.

No comments:

Post a Comment