Friday 8 October 2010

A133832 NURUL LJ11

            Kasih sayang merupakan elemen yang sangat penting dalam membentuk  sebarang ikatan,tidak kira lah ikatan kekeluargaan  mahu pun ikatan persahabatan. Tanpa rasa sayang antara satu sama lain pasti akan meleraikan ikatan ini sedikit demi sedikit, seterusnya tidak lagi mengenali yang mana kawan, yang mana lawan dan yang paling teruk berlaku dalam aspek kekeluargaan, tidak mengakui darah daging sendiri. Apa yang saya perkatakan ini adalah berkait dengan tajuk kuliah pengurusan emosi pada minggu ini yang bertajuk Mengurus Emosi Dalam Keluarga. Pengurusan emosi yang baik dalam keluarga akan dapat menjamin kebahagiaan yang berkekalan, malah kita sendiri dapat menilainya dengan mata kasar. Sebagai contoh, ketua keluarga yang mempunyai sifat panas baran dan mudah melepaskan amarahnya kerana gagal mengawal emosinya kepada ahli-ahli keluarga yang lain, pasti keluarga tersebut tidak bahagia serta sering bergaduh antara satu sama lain. Cuba kita lihat pula bagaimana kehidupan keluarga yang mempunyai ketua keluarga yang penyabar dan pandai mengawal emosi, mereka hidup aman dan bahagia kerana tiada pergaduhan, tiada tengkingan dan cemuhan didengari dalam keluarga tersebut.

            "There are three rings in marriage, the engagement ring; the wedding ring, and the suffer-ring!". Penyataan ini sama sekali tidak akan berlaku sekiranya kita semua mengamalkan konsep keluarga bahagia. Keluarga bahagia adalah keluarga yang dibina atas suatu ikatan perkahwinan yang amat kuat dan mesra untuk tolong menolong, berkasih sayang, bahagia membahagiakan dan damai mendamaikan antara satu sama lain jadi, emosi berperanan untuk menjamin keluarga bahagia. Sekiranya sesuatu emosi tidak dapat dikawal dan diurus dengan baik (emosi negatif khususnya), pasti akan menimbulkan banyak masalah dalam rumahtangga. Apabila salah seorang dalam keluarga tidak dapat mengawal emosi lalu melempiaskan amarah kepada ahli keluarga yang lain seterusnya menyebabkan ada yang akan tidak puas hati dan membalas dendam, pastilah keharmonian tidak dapat dipupuk dalam keluarga tersebut. Rumahtangga pula jadi medan peperangan. Sebaliknya, jika emosi dapat dikawal dengan baik (emosi positif), hubungan kasih sayang antara satu sama lain semakin bertambah baik, sudah tentulah keluarga akan bahagia. Anak-anak akan berasa disayangi dan dilindungi, malah ini juga akan membantu membentuk akhlak yang mulia seterusnya menjadi anak bangsa yang berguna, tidak pula mejadi sampah masyarakat.

            Peranan  suami isteri amatlah penting dalam membina keluarga bahagia, sebab itulah pentingnya kematangan dalam berfikir dan perlu mempunyai EQ yang tinggi supaya dapat mengenal pasti emosi mana yang perlu dielakkan dan diluahkan serta sentiasa menggunakan komunikasi yang baik dan mesra. Saya pernah mengenali sebuah keluarga yang mana ibu bapanya membahasakan diri mereka 'aku' apabila berkomunikasi dengan anak-anak dan menyebabkan anak-anak hilang hormat kepada ibu dan ayah mereka. Ada salah seorang anak mereka yang sudah pandai mencuri ketika berusia 12 tahun dan sering kali menyebut perkataan yang kurang sopan walaupun bercakap dengan ibunya sendiri. Bukan niat untuk mengaibkan keluarga ini tetapi untuk dijadikan iktibar bahawa komunikasi yang betul antara ibu bapa dan anak-anak sangatlah penting dalam memupuk keluarga yang bahagia.

            Dalam membina keluarga bahagia, Emotional Intelligence (EI) boleh diaplikasikan iaitu kesedaran diri, pengurusan diri, kesedaran sosial dan pengurusan perhubungan. Pada pendapat saya, orang yang terlebih dahulu perlu mempunyai EI adalah ketua keluarga. Mereka perlulah dapat mengawal emosi sendiri, barulah dapat mengawal emosi orang lain serta menguruskan hal ehwal rumahtangga dengan baik dan sempurna. Mereka juga perlu menjaga hubungan mereka dengan ahli keluarga yang lain. Keluarga yang bahagia dapat membentuk masyarakat yang gembira dan senang-menyenangi antara satu sama lain. Kita hidup bermasyarakat perlulah berbaik-baik antara satu sama lain. Sentiasa senyum dan mengingati nama orang dengan nama yang mereka sukai pasti akan menjadikan kita lebih rapat serta memupuk perasaan saying antara satu sama lain. Apabila kita ingin seseorang  bercakap mengenai diri mereka, kita perlulah menjadi pendengar yang baik dan menunjukkan minat dengan apa yang mereka perkatakan, barulah semua orang akan menyukai kita. Dalam satu hadith ada menyebut tentang pergaulan dalam kalangan masyarakat, "Orang yang bergaul dengan orang ramai dan sabar menghadapi perbuatan yang menyakitkan (diri) mereka lebih baik daripada orang yang tidak bergaul dengan orang ramai dan tidak sabar (menghadapi perbuatan) yang menyakitkan (diri) mereka." End#.


No comments:

Post a Comment