Friday 8 October 2010

A133720 Nurul LJ11

            Minggu ini merupakan minggu terakhir kami menulis learning journal yang mana merupakan tugasan individu bagi subjek pengurusan emosi. Tajuk yang dibincangkan pada minggu ini ialah Mengurus Emosi Dalam Keluarga. Sesebuah keluarga terbina setelah berlakunya perkahwinan. Namun, perkara utama yang perlu dititikberatkan untuk menjadikan sesebuah keluarga itu bahagia dan harmoni ialah bagaimana anggota keluarga itu mengawal emosi mereka. Di sinilah emosi itu memainkan peranan yang penting dalam mencorak hala tuju sesebuah keluarga itu.

            Memetik kata-kata Hasnan Kasan, konsep keluarga bahagia ialah keluarga yang dibina atas suatu ikatan perkahwinan yang amat kuat dan mesra untuk tolong-menolong, berkasih sayang, bahagia membahagiakan dan damai mendamaikan antara satu sama lain. Lelaki dan perempuan atau lebih tepat lagi suami dan isteri sememangnya  mempunyai perwatakan dan sikap yang berbeza. Perbezaan inilah yang menjadikan mereka saling melengkapi untuk mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia. Apabila berlaku sesuatu masalah dalam keluarga, suami dan isteri haruslah memainkan peranan masing-masing supaya masalah yang timbul itu tidak akan berlanjutan dan dapat diselesaikan secepat mungkin. Ketika inilah suami isteri perlu bijak mengawal emosi agar emosi negatif tidak menguasai diri.

Sebagai contoh, jika suami pulang ke rumah dengan perasaan marah kerana masalah di tempat kerja, isteri haruslah bijak menangani situasi tersebut dengan melakukan perkara-perkara yang dapat menyejuk dan menenangkan hati suami seperti menyediakan minuman kepada suami  dan bukannya turut berasa marah kepada suami. Jika seorang sedang marah, seorang lagi haruslah mengalah barulah pergaduhan tidak timbul dan masalah keluarga dapat dielakkan.

Saya tertarik dengan beberapa tips yang diberikan oleh Dr.Aisha Hamdan untuk mewujudkan sebuah perkahwinan yang bahagia. Antaranya ialah:

·         Jadikan diri kita  sebagai kawan baik kepada pasangan

·         Luangkan masa bersama-sama

·         Selalu mengekspresikan perasaan kita

·         Mengaku kesalahan dan memohon kemaafan

·         Jangan sesekali mengungkit kesalahan yang dilakukan pada masa lalu

·         Kadangkala membuat kejutan kepada pasangan

Tip-tip yang diberikan ini amat berguna untuk diaplikasikan dalam sesebuah rumah tangga untuk mencapai kebahagiaan. Keluarga saya adalah contoh terdekat yang sering meluangkan masa bersama-sama. Selalunya, kami akan berbincang dan berkongsi masalah masing-masing ketika minum petang. Seboleh mungkin pada waktu itulah kami akan cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi dan bukannya membiarkan masalah itu berlanjutan. Jika mempunyai kelapangan pada hujung minggu, ayah akan membawa kami keluar bersiar-siar atau berkelah. Aktiviti-aktiviti seperti ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara kami selain dapat meluangkan masa bersama-sama.

Seterusnya, apabila kita melakukan kesalahan, tidak kiralah besar ataupun kecil, kita haruslah berani mengaku kesalahan yang telah dilakukan dan tidak berasa malu untuk memohon maaf. Tidak ada seorang pun yang sempurna dan sebagai manusia biasa kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan. Namun, ada segelintir daripada kita yang tidak mahu mengaku kesalahan dan malu untuk meminta maaf. Hal ini kerana perasaan ego telah menguasai diri  dan menghalang  mereka daripada berbuat demikian. Mereka merasakan apa yang mereka lakukan semuanya betul tanpa menghiraukan perasaan orang sekeliling. Mengaku kesalahan tidak bermakna kita kalah dan lemah  tetapi menunjukkan kita seorang yang berani menghadapi kebenaran. Dalam kehidupan berumah tangga, sikap ego ini haruslah dielakkan sebaliknya meminta maaf atas kesilapan yang telah dilakukan. Lantas, masalah dalam rumah tangga dapat dielakkan sekiranya setiap pasangan mengamalkan sikap saling memaafkan.

Kesimpulannya, kawalan emosi amat penting dalam rumah tangga terutamanya ketika menghadapi masalah. Serumit mana pun masalah yang dihadapi akan dapat diselesaikan sekiranya kita berfikir secara rasional dan dapat mengawal emosi negatif dengan baik. Jadi, sayangilah keluarga anda kerana kebahagiaan adalah hak milik setiap insan.


No comments:

Post a Comment