Friday 15 October 2010

A133500 Ng Sin Mun LJ12

Jurnal pembelajaran pada minggu ini adalah jurnal yang terakhir. Walaupun masa pembelajaran kursus ini agak singkat, saya telah mendapat banyak manfaat mengenai teori dan panduan yang biasa digunakan dalam pengurusan emosi. Dalam jurnal yang terakhir ini, kita akan menyentuh aspek yang paling penting dalam pengurusan emosi, iaitu pengurusan emosi di tempat kerja.

Suasana kerja yang bosan dan merimaskan boleh memdatangkan tekanan stres yang terlampau tinggi. Sebelum memulakan kuliah ini, pensyarah telah menunjukkan kami satu video tentang stres kerja yang menimbulkan kemarahan serta tindakan ganas terhadap subjek yang lain. Kita menghadapi pelbagai situasi dalam suasana kerja, contohnya majikan yang tidak bertimbang rasa, penyelewengan, gangguan seksual terhadap pekerja wanita dan sebagainya. Pekerja-pekerja akan bertindak balas terhadap situasi-situasi ini secara agresif, submisif atau asertif, manakala pilihan terhadap gaya tindak balas ini bergantung kepada pengurusan emosi mereka.

Kita boleh mengaitkan emosi dengan prestasi kerjaya dengan menggunakan sesetengah konsep, contohnya Pemadanan Holland antara Personaliti dan Kerjaya, Jenis Personaliti A dan B, 'Emotional Labour' dan budaya kerja di Malaysia. Pemadanan Holland merupakan sesuatu kaedah yang dicipta supaya memadankan personaliti seseorang dengan kerjaya yang sesuai untuknya. Sebanyak enam jenis personaliti telah dipadankan, iaitu Realistik yang gemar melakukan aktiviti fizikal, Penyelidikan yang gemar membuat penyelidikan, pemerhatian dan pemikiran kritikal, Sosial yang gemar akan aktiviti yang membantu dan memajukan pembangunan orang lain, Konvensional yang suka melakukan sesuatu dengan kemas dan tersusun, Keusahawanan yang menggunakan cara verbal untuk mempengaruhi fikiran orang lain, dan akhirnya Kreative yang suka melakukan sesuatu yang kreatif melalui aktiviti yang tidak sistematik. Konsep ini amatlah berguna kerana sekiranya seseorang menceburi diri dalam kerjaya yang tidak padan dengan personalitinya, terdapat kemungkinan bahawa dia akan menghadapi tekanan kerana tidak dapat berprestasi cemerlang seperti rakan sekerja yang lain.

Selain itu, Jenis Personaliti A dan B juga boleh digunakan untuk membezakan bakat-bakat untuk diperkembangkan dalam kerja masing-masing. Personaliti jenis A lebih sesuai untuk membuat sesuatu yang mencabar dan memerlukan ketepatan serta keberkesanan. Manakala personaliti jenis B pula sesuai untuk kerja yang kurang mencabar atau tidak mengejar masa kerana personaliti jenis ini kurang mementingkan masa.

"Emotional labour" atau Emosi tenaga kerja pula merujuk kepada sesuatu keadaan di mana pekerja perlu menggunakan emosi dalam pekerjaan mereka, terutamanya dalam sektor perkhidmatan. Ia boleh dipraktikan secara 'surface acting' atau 'deep acting', iaitu melahirkan emosi tersebut secara paksaan atau secara semula jadi. Kejadian ini dapat mempengaruhi emosi subjek yang ditunjukkan emosi tenaga kerja, dan seterusnya menimbulkan emosi yang berpendekatan. Akan tetapi, penggunaan emosi tenaga kerja dalam jangka masa yang panjang akan mengakibatkan keletihan emosi yang terlampau dan menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap kerja sendiri.

Apabila saya diperkenalkan kepada konsep emosi tenage kerja ini, terus saya teringat akan pengalaman kerja saya pada masa dahulu. Saya pernah bekerja di sebuah kedai buku dan alat tulis sebagai 'cashier'. Sifat pekerjaan ini memerlukan saya senyum terhadap semua pelanggan walaupun mengalami pelbagai tekanan seperti kerenah majikan dan juga sifat pelanggan yang tidak munasabah. Saya juga pernah menghadapi pelanggan yang cuba mengambil kesempatan dengan menyalahguna hak pengguna, tetapi akhirnya dibantu oleh majikan. Situasi ini sering menyebabkan saya berasa muram, akan tetapi saya terpaksa terus bersenyum secara 'surface acting'. Apabila saya menghadapi pelanggan yang bersikap munasabah dan berpuas hati akan perkhidmatan saya, mereka akan membalas senyuman saya, dan hal ini menjadikan saya berasa lebih ceria.

Walaupun interaksi dengan pelbagai jenis pelanggan merupakan sesuatu yang menyeronokkan dan mencabar bagi saya, penggunaan emosi dalam suasana kerja telah meletihkan saya sehingga saya tidak ingin menghadapi kerja ini lagi. Kebetulan pada masa itu keputusan kemasukan ke IPTA akan diumumkan, justeru saya telah meletakkan jawatan lebih awal dan bercuti selama seminggu untuk menenangkan balik emosi diri sebelum keputusan diumumkan.

Budaya kerja di Malaysia pula melibatkan kefahaman terhadap cara kerja sebagai sebuah pasukan dan langkah-langkah menangani konflik dalam suasana kerja di Malaysia, dan pemerhatian Asma' pada tahun 1985 dan 1995 telah menunjukkan beberapa ciri-ciri yang penting seperti rasa kekeluargaan, mengelakkan konflik secara langsung melalui peranan pihak ketiga dan penggunaan kaedah metafizik, iaitu kepercayaan terhadap alam ghaib. Ciri-ciri tersebut menjadikan budaya kerja di Malaysia sesuatu fenomena yang unik, akan tetapi ciri-ciri negatif dalam budaya kerja di Malaysia perlu dibetulkan.

Demikianlah berakhirnya jurnal pembelajaran saya pada minggu ini.

No comments:

Post a Comment