Friday 8 October 2010

A133500 Ng Sin Mun LJ11

Dalam kuliah pada minggu ini kami telah belajar tentang kaedah pengurusan emosi dalam keluarga dan masyarakat. Pada pendapat saya, pengurusan emosi dalam keluarga adalah amat penting kerana pengurusan emosi yang kurang berkesan akan menyebabkan salah faham antara ahli keluarga iaitu orang yang tersayang. Justeru, kita boleh menggunakan konsep-konsep mengenai emosi yang dipelajari dalam minggu-minggu yang lalu untuk menguruskan emosi kita dengan baik dan membina keluarga bahagia.

Sesebuah keluarga dibina berasaskan cinta dan perkahwinan suami isteri. Menurut Hasnan Kanan (2006), keluarga bahagia adalah sesebuah keluarga yang dibina atas suatu ikatan perkahwinan yang kukuh dan mesra untuk tolong-menolong, berkasih sayang, bahagia-membahagiakan dan damai-mendamaikan antara satu sama lain. Oleh itu, keluarga dibentuk dengan matlamat mencapai kebahagiaan, melahirkan anak yang soleh, mewujudkan masyarakat yang aman dan sentosa di samping membentuk keluarga harmonis. Sebuah keluarga yang bahagia dapat melahirkan anak yang sihat mahupun dari segi mental atau personalitinya. Hal ini kerana anak tersebut mendapat kasih sayang yang mencukupi sejak zaman kanak-kanak dan justeru sentiasa berasa tenteram dalam hati.

Kewujudan sesebuah keluarga biasanya melibatkan interaksi antara ahli keluarga, contohnya suami, isteri dan anak-anak yang beremosi seperti manusia yang lain. Memandangkan emosi biasanya bergantung kepada situasi di mana seseorang itu berada, keadaan keluarga mengandungi pelbagai rangsangan ke atas emosi dan menyebabkan perubahan emosi ahli keluarga semasa di rumah. Emosi positif yang disuburkan dapat mengeratkan hubungan kasih sayang dalam keluarga manakala hal sebaliknya jika emosi negatif disemarakkan. Contohnya, seseorang tidak suka tinggal di dalam rumah kerana dia berasa dunia luar lebih menggembirakan. Terdapat kemungkinan bahawa rumah itu tidak bersih dan kemas atau dalam keluarga itu sering berlaku pertelingkahan yang menimbulkan tekanan dalam fikiran orang tersebut.

Suami dan isteri dalam sesuatu keluarga itu berperanan penting untuk berfikir secara matang dan mengawal emosi mereka. Mereka harus mengenalpasti emosi apa yang harus dielakkan atau sebaliknya, di samping menggunakan bahasa verbal dan bahasa bukan verbal yang sesuai. Contohnya, adalah tidak digalakkan untuk menuding jari telunjuk terhadap suami atau isteri sendiri kerana perbuatan ini menunjukkan rasa tidak hormat terhadap orang tersebut. Hal ini boleh mewujudkan perselisihan faham dan menjejaskan hubungan suami isteri.

Selain itu, konsep kebijaksanaan emosi (Emotional Intelligence) iaitu kesedaran diri, pengurusan diri, empati dan pengurusan perhubungan juga boleh diaplikasikan dalam pengurusan emosi dalam keluarga. Contohnya, kita boleh mengaplikasikan konsep empati untuk memahami perasaan ahli keluarga lain apabila kita membuat sesuatu tindakan terhadapnya dengan membayangkan perkara itu berlaku ke atas diri sendiri. Kita harus menangani emosi positif dan negatif dengan sewajarnya supaya tidak bersifat keterlaluan terhadap ahli keluarga. Setiap ahli keluarga juga harus memainkan peranan sendiri dalam usaha membina keluarga yang aman dan harmonis.

Selain dalam keluarga, kita juga perlu mengurus emosi kita dalam sesebuah masyarakat. Masyarakat terdiri daripada bilangan orang ramai. Oleh itu, sesebuah masyarakat akan melibatkan emosi yang lebih banyak dan lebih kompleks selain kasih sayang, cemburu dan bahagia. Kita berkomunikasi antara satu sama lain disebabkan punca yang banyak, akan tetapi inklusi (inclusion) menjadi faktor utama agar kita dapat berkongsi perasaan. Terdapat sesuatu teori iaitu Teori Pengurangan Ketidakpastian (Uncertainity Reduction Theory) yang mencadangkan bahawa dua orang yang tidak mengenali satu sama lain bertembung dan berbual, mereka berusaha untuk mengurangkan ketidakpastian satu sama lain. Contohnya, apabila saya mula berbual dengan seseorang, saya akan cuba mengenali latar belakang orang itu (contohnya tempat asalnya) dan seterusnya cuba mengenal pasti persamaan dan perbezaan antara saya dengan orang tersebut. Pengenalpastian ini dapat meramalkan hubungan antara saya dengan orang itu pada masa depan, misalnya jika kami berkongsi banyak persamaan atau menunjukkan minat terhadap ciri-ciri satu sama lain, kami boleh menjadi kawan karib pada masa yang akan datang melalui pergaulan yang berterusan. Pengenalpastian tersebut boleh dijalankan sama ada secara aktif, pasif atau interaktif antara dua orang tersebut.

Keadaan perhubungan dalam masyarakat dibahagikan kepada 3 jenis iaitu hubungan komplementari, hubungan simetri dan hubungan selari. Hubungan komplementari menunjukkan dominasi salah satu pihak dalam perhubungan tersebut. Hubungan simetri berlaku apabila kedua-dua pihak menginginkan kuasa mengawal yang sama terhadap sesuatu hubungan. Hubungan selari pula menguruskan kuasa hubungan dan mengawalnya dalam kaedah yang lebih fleksibel, iaitu kedua-dua pihak tidak mendominasi sesuatu hubungan pada setiap masa, dan dirujuk sebagai hubungan yang menunjukkan situasi yang lebih benar.

Beginilah akhirnya jurnal pembelajaran saya pada minggu ini.

No comments:

Post a Comment