Friday 1 October 2010

A128283 Hafizah Abdullah LJ10

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua kawan-kawan dan pensyarah yang kita hormati..


Dengan lafaz Bismillah, saya mulakan jurnal terakhir yang perlu dicoretkan buat semua bagi semester ini dalam kursus Pengurusan Emosi ini. Kebijaksanaan Emosi adalah tajuk kuliah yang di bentangkan pada hari Rabu yang lepas. Objektif yang diutarakan oleh pensyarah kita dalam kuliah ini ialah pemahaman makna sebenar pengurusan emosi, pemahaman mengenai pengaplikasian teori-teori emosi bagi mengurus emosi, pemahaman bahawa pengurusan emosi memerlukan kebijaksanaan dan kematangan emosi, dan seterusnya ialah pemahaman mengenai konsep kebijaksanaan dan kematangan emosi. Definisi sebenar Pengurusan Emosi ialah merujuk kepada cara seseorang individu itu menguruskan emosi mereka sendiri dan bagaimana seseorang individu itu boleh mempengaruhi emosi orang-orang yang berada di sekelilingnya.


                Antara fakta-fakta yang dipelajari berkenaan dengan emosi ialah emosi dapat dikenal pasti melalui mimik wajah seseorang itu dan dari intonasi suaranya, sifat emosi turut berubah-ubah mengikut situasi, emosi mempunyai darjah intensiti, intensiti emosi berubah mengikut tempat, menurut Adaptation Level Theory – emosi boleh berubah dengan cepat, dan ingatan dan emosi sangat berkaitan. Emosi juga boleh bertindak sebagai motivator kepada seseorang. Sebagai contoh, seandainya saya berada dalam situasi yang menyenangkan, saya akan berada dalam emosi yang stabil dan gembira untuk melakukan sesuatu kerja yang agak susah kerana motivasi daripada emosi tersebut menyebabkan saya lebih bersemangat dan kuat menghadapi dugaan kerja tersebut.


                Emosi yang terlalu cepat berubah-ubah dapat menjejaskan emosi seseorang individu tersebut kerana orang lain akan susah untuk berdampingan dengannya dan menyebabkan dirinya kesunyian serta mengalami tekanan perasaan. Seseorang yang dapat mengawal emosinya pasti dapat menyesuaikan diri di mana-mana keadaan sekalipun sekali gus mudah disenangi oleh orang ramai. Namun, berbeza pula dengan situasi bagi seseorang individu yang mengalami trauma bagi sesuatu keadaan yang teruk kerana terdapat kajian yang mengatakan "the greater our anxiety about a situation, the better we'll remember that situation". Tambahannya lagi, terdapat perbezaan emosi di antara wanita dan lelaki kerana wanita lebih terpengaruh dengan emosi mereka, ini disebabkan oleh otak wanita lebih mengintegrasikan sesuatu memori jika dibandingkan dengan lelaki. Sebagai kaitan yang ingin saya kaitkan di sini ialah, ibu saya lebih mengingati ulang tahun perkahwinannya bersama ayah jika dibandingkan dengan ayah. Dan ibu lebih mengingati ulang tahun kelahiran kami jika dibandingkan dengan ayah. Tetapi kami tidak menyalahkan ayah kerana kami faham dengan situasi ini.


                Model Kebijaksanaan Emosi (EI) yang dipilih oleh pensyarah ialah Ability-Based Model yang mengutarakan definisi EI iaitu kebolehan untuk melihat emosi, mengintegrasikan emosi, memahami emosi, dan mengawal emosi untuk menggalakkan tumbesaran sendiri. Konsep yang dipegang oleh model ini ialah, Emosi sebagai sumber maklumat berguna membantu memahami persekitaran sosial. Model ini mencadangkan bahawa individu berbeza dari segi kemampuan memproses maklumat tentang tabii emosi dan kemampuan menghubungkan pemprosesan emosi kepada kognisi yang lebih luas. Kemampuan ini dapat dilihat dalam tingkah laku penyesuaian (adaptive behaviors). Terdapat 4 jenis kemampuan dalam EQ iaitu, Perceiving emotions (Mengenal pasti emosi), Using emotions (Menggunakan emosi), Understanding emotions (Memahami emosi), dan Managing emotions (Mengurus emosi). Kebijaksanaan Emosi dapat memanfaatkan emosi seseorang, walaupun emosi itu sebenarnya negatif, tetapi diuruskan dengan baik, ia pasti akan membawakan kejayaan dalam diri seseorang individu tersebut.


                Berkenaan dengan pengalaman saya sendiri dalam menguruskan emosi, jika ada sesuatu yang membuatkan saya marah, saya akan mendiamkan diri saya sendiri dan saya akan meluahkan kemarahan saya itu dengan linangan air mata jika saya terlalu geram kerana saya bukanlah seorang yang pandai meluahkan kemarahan saya. Ketika marah, saya akan mengasingkan diri saya daripada orang lain kerana khuatir mereka akan terasa dengan sikap diam diri saya ketika itu. Namun demikian, jika saya berada dalam keadaan sedih, saya akan cuba menceriakan diri saya dengan melakukan sesuatu yang boleh membuatkan saya lupa dengan kesedihan yang saya alami. Sebagai contoh, saya akan bergurau dengan kawan-kawan saya serta berlawak dengan mereka dan memastikan diri saya tidak keseorangan. Dan perkara yang paling membahagiakan hidup saya ialah ketika saya gembira. Kegembiraan akan membuatkan saya berasa tenang dan membuatkan saya sentiasa ingin tersenyum.


Kesimpulannya, kebijaksanaan dalam menguruskan emosi sangat penting bagi setiap individu bagi mengawal perasaan mereka untuk menghadapi cabaran dan dugaan yang mendatang. Bagi yang muslim, tidak salah bagi kita untuk mendekatkan diri kita kepada Tuhan kita yang Maha Esa kerana selain keberkatan yang dapat kita peroleh dari-Nya, kita juga akan dianugerahkan ketenangan dan kebahagiaan yang sangat diidamkan oleh setiap insan yang berada di muka bumi ini. Insya-Allah kita akan mendapat hidayah dan petunjuk dari-Nya supaya jalan kita sentiasa dipermudahkan bagi mencapai kejayaan dalam kehidupan kita di dunia dan di akhirat.


Sekian, terima kasih. End#


No comments:

Post a Comment